My Home

Followers

Khamis, 27 September 2007

Slot Pilihan

‘Spy’ Calon Menantu...

Kalau ibu bapa berkenan dengan seorang pemuda yang difikirkan sesuai dibuat menantu, jemput si lelaki datang makan malam di rumah. Masa makan boleh dinilai peribadinya...

Awal tahun 70-an saya sekeluarga ke tapak Pesta Pulau Pinang. Selain tujuan berhibur, ayah bawa kami mengunjungi sebuah pondok pengajian tempat dia pernah menadah ilmu di utara tanah air. Ketika itu usia saya baru mencecah lapan tahun.
Antara perbualan yang masih saya ingat lagi di antara tuan guru itu dengan ayah, pesannya kalau ada yang berkenan di hati nak dibuat menantu, jemput si lelaki datang makan malam di rumah. Masa makan boleh dinilai peribadinya.

Kalau masa makan bersulam air dan memegang gelas menggunakan tangan kiri, itu tandanya si lelaki itu tak kisah sangat dalam hal mencari keberkatan terhadap makanan yang dimakan. Tapi kalau pegang gelas dengan tangan kiri juga dan diampu dengan belakang tangan kanan, itu tandanya seseorang itu ambil berat terhadap keberkatan dalam soal adab sopan waktu makan.

Itu baru bab makan. Ada kalanya dijemput waktu makan malam dengan niat nak pancing bakal menantu untuk sama-sama solat berjemaah. Mahu tak mahu kalau benar-benar ingin berkahwin dengan gadis pilihan, pelawaan tak boleh ditolak.

Bukan hendak mendera tapi sebagai satu peringatan kepada si lelaki bahawa tuntutan beribadah dan menjaga keberkatan terhadap rezeki tidak boleh lepas pandang. Rezeki yang berkat mestilah dari sumber yang halal. Untuk berkahwin, seseorang lelaki itu mestilah mempunyai pekerjaan kerana tanggungjawab utama mencari rezeki terletak di bahu suami dan bukannya isteri.

Sebab itulah sepanjang tempoh pertunangan, setiap ahli keluarga pasangan dan pasangan itu sendiri berhak lebih serius menyelidiki latar belakang peribadi pasangannya. Pastikan layanannya pada tunang ikut tertib agama seperti mana amalan masyarakat zaman dahulu. Ada orang ketiga menjadi perantara jika sekali-sekala hendak bertemu agar terhindar dari fitnah dan godaan syaitan.

Kalau ada yang tak kena dan mencurigakan maka dalam tempoh pertunangan ini mana-mana pihak berhak memutuskan ikatan. Putus tunang bukanlah bererti seseorang gadis itu dinilai sebagai seorang yang tidak bermaruah.

Ada juga yang berlaku, berkenalan dengan orang lain, bertunang dengan orang lain, bernikah dengan orang lain. Itulah jodoh namanya. Apa pun, kita tetap berusaha mencari yang terbaik meskipun tidak terlalu ideal seperti yang diangan-angankan.

Pendek kata ibu bapa perlu bersungguh-sungguh dalam menilai peribadi calon menantunya. Allah akan beri mengikut acuan yang kita kehendaki jika usaha mendapatkan menantu soleh kita mulakan dari anak gadis itu dilahirkan. Antara usaha yang perlu dibuat oleh ibu bapa, setiap hari buatlah solat hajat dan doa khusus untuk anak-anak kita agar kriteria calon suami yang digariskan oleh Islam terserlah.

Kalau perlu, kita boleh cari ‘spy’ untuk tengok kelaku sebenar bakal menantu. Mereka yang diamanahkan sebagai ‘spy’ ini menjadi mata dan telinga kita. Oleh itu mestilah terdiri dari orang yang amanah dan boleh dipercayai supaya mereka tidak mengada-adakan atau menghebahkan cerita tak elok hingga satu kampung tahu.

Besar risikonya kalau ibu bapa ambil mudah terhadap peribadi bakal menantu, malas nak ambil tahu asal-usul keturunan. Asal ada kerja tetap, ada kereta, tak solat pun tak apa. Dengan alasan ramai juga orang boleh hidup kaya-raya walaupun tak solat. Ukuran memperhalusi solat menjadi perkara terakhir dan sesetengahnya pula cukuplah solat yang sekadar ‘gitu-gitu’ saja. Tak penuh lima waktu pun tak apa asal solat walaupun seminggu sekali pada hari Jumaat.

Malanglah kehidupan manusia sebegini, kehidupan hanya sekadar rutin yang tiada nilai ibadah di sisi Allah s.w.t. Hasilnya, lahirlah manusia yang kosong jiwanya. Pelbagai kerosakan bermula dari tangan mereka. Lama-kelamaan dirasakan, berkahwin dengan tidak berkahwin tak ada bezanya sebab tak dapat nikmat kebahagiaan dan ketenangan.

Kaya harta belum tentu tenang jiwa. Rahsia ketenangan jiwa akan mudah dorong diri untuk buat baik dan sangat berkait dengan unsur keberkatan dalam hidup.

Ingatlah, yang membezakan seorang yang tak kahwin, bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah dengan sepasang manusia yang bernikah secara sah dan benar-benar mengikut hukum Allah ialah hasil dari titisan zuriat yang dilahirkan. Allah kerahkan malaikat mengawasi ibu dan janin yang dikandung agar berkeadaan baik kerana dunia memerlukan zuriat yang soleh hasil dari pertemuan dua jiwa berlainan jantina yang soleh ini.


Kerana generasi soleh inilah yang akan mewarisi segala khazanah ilmu dan salinan peribadi Nabi s.a.w. Rahmat Allah tetap akan turun mencurah-curah selagi setiap hamba-Nya masih tahu menadah tangan, masih kenal mana arah kiblat.



KOLEKSI ANIS oleh Jalilah Abdullah

Slot Pilihan

Tiada Taubat Tanpa Penyesalan

Sebagaimana pentingnya rukun Wuquf di Arafah bagi para hujjaj di kemuncak ibadah haji, maka begitulah pentingnya An Nadam di dalam sebuah taubat. Tanpa wuquf tiadalah haji seperti ungkapan hadis nabi saw: “Haji itu Arafah”. Begitulah juga sifirnya. An Nadam itu ertinya Penyesalan. Ia merupakan rukun terpenting di dalam taubat. Tanpa An Nadam tiadalah At taubah.
Sabda Nabi saw: “ Penyesalan itu adalah taubat”. (Riwayat Al Hakim dan Ibnu Majah - sanad sahih)Kenapa kita perlu sangat mewar-warkan soal penyesalan ini? Jawapannya kerana ia memang sangat perlu.

a. Ia menjadi modal utama bagi setiap hamba untuk melengkapkan kesempurnaan sesebuah taubat yang akan dipersembahkan kepada Allah Tabaraka wa Ta’ala.

Imam Al Qusyairi rahimahullahu Ta’ala menukilkan dari sebahagian ulama satu kenyataan yang berbunyi: “penyesalan sudah memadai untuk terlaksananya taubat”. Apa tidaknya. Dari penyesalan yang bersungguh-sungguhlah nanti akan menumbuhkan buah ‘keazaman’ dan ‘peninggalan’, iaitu dua rukun lain yang bakal menyusul sesudahnya.

Amat mustahil sekali sekiranya seseorang yang sudah ‘benar-benar menyesal’, berazam tetap mahu melakukan semula perkara yang sudah disesalinya itu.

b. Penyesalan adalah perasaan atau pun emosi batiniah (rohaniah) seseorang yang menggambarkan kekecewaan lantaran keterlanjurannya melakukan dosa sama ada terhadap Allah(Penciptanya), atau makhluk-Nya atau pun terhadap dirinya sendiri.

Baca dan renungilah perjalanan taubat orang-orang yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Apa yang mereka ungkapkan. “Kekecewaan itu adalah umpama api yang membakar hati. Hati akan rasa tersalai setiap kali mengenangkan dosa dan keterlanjuran diri serta balasan Allah yang bakal menanti”.

Kisah taubat tiga sahabat Nabi saw yang diabadikan dalam Al Quran cukup mengharu dan meruntun hati kita. Pemaparan yang sungguh indah lagi menarik.

Itulah kisah tiga sahabat yang tidak ikut serta bersama Nabi saw dalam perperangan Tabuk (pertemuan pertama Rasulullah saw dengan kuasa besar ketika itu iaitu Rom). Ketiga-tiga sahabat ini tidak datang menemui Rasulullah saw untuk menyatakan keuzuran ‘palsu’ seperti yang dilakukan sebahagian para munafiqin. Lalu rasulullah saw memerintahkan supaya mereka dipulaukan hingga datang keputusan dari Allah swt. Penyesalan dan kekecewaan mereka akhirnya mencapai tahap yang amat tinggi.

Al Quran menggambar kesengsaraan jiwa mereka itu seperti berikut: “Dan, terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa mereka pula (terasa) sangat sempit serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lain dari (seksaan) Allah, melainkan kepadaNya, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (At Taubah ayat 118).

Ahli sufi terkenal, Zunnun Al Misri berkata: “Hakikat taubat ialah kamu merasakan bumi yang luas ini menjadi sempit sehinggakan kamu terasa tidak dapat berdiri”.

Begitulah gambaran penyesalan yang sepatutnya berlaku di dalam taubat kita. Barulah dosa kita benar-benar akan terampun di sisi Allah swt. Sesal dulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Koleksi ANIS/ Olej Rozana Hamim

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)