My Home

Followers

Ahad, 11 Januari 2009

Persoalan Jodoh (2)

Ada 6 faktor mengapa masih tidak bertemu jodoh.


Usaha sudah dibuat tapi mengapa masih ada yang tidak bertemu jodoh? Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, lambat bertemu jodoh ini mungkin disebabkan:

Usaha Belum Sempurna


“Usaha sudah dibuat tapi usaha yang sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai itu tidak dilakukan. Usahanya masih belum betul, masih belum sempurna. Kurang ‘munasib’.


Saya bertanya kepada seorang ulama, ‘Kenapa ustaz, orang ini sudah mandi bunga sampai 99 kali tapi masih tidak bertemu jodoh? Di mana silapnya?’ Dia jawab begini, ‘Mungkin dalam perancangan Allah, usahanya ialah mandi air bunga 101 kali, tapi dia berhenti pada tahap 99 kali.’ Mesejnya ialah, mungkin kita patah semangat di tengah jalan. Jawapannya ialah, cuba dan cuba lagi.

Belum Benar-benar Bersedia

“Pasangan sudah ada tetapi orang yang hendak mencari jodoh itu belum benar-benar bersedia. Orang yang bersedia adalah orang yang benar-benar merasakan dirinya macam nak jadi suami, macam jadi jadi isteri.

Satu contoh mudah, orang yang tak ada anak, selepas mengambil anak angkat, dengan izin Allah, mudah mengandung. Sebab bila dia ambil anak angkat, si suami telah menjadi bapa dan si isteri telah menjadi ibu. Jadi telah bersedia untuk dikurniakan anak.
Begitu juga orang yang hendak berkahwin. Adakah telah benar-benar bersedia untuk menjadi suami atau isteri? Adakah telah bersedia di segi hati, jiwa, fizikal, mental, intelek. Contohnya di segi fizikal, sentiasa menjaga ketrampilan tak kira bila dan di mana.
Tiada Daya Penarik

“Diri kita macam magnet yang boleh menarik bakal pasangan kita atau sesiapa pun untuk sayang pada kita. Daya tarikan ini berpusat di hati.


Caranya ialah dengan mengisi hati kita dengan sifat-sifat yang sempurna dan positif. Kalau kita benci pada orang, takut-takut orang yang patut sayang pada kita masih tertahan untuk meminang. Jadi cuba maafkan semua orang. Mudah-mudahan dengan sebab memaafkan semua orang, orang yang bakal jadi tunang akan datang meminang.


“Kita perlu perbanyakkan istighfar, solat taubat, solat hajat, istikharah, witir dan sebagainya untuk cuci hati kita. Maka hati kita akan jadi magnet untuk menarik orang yang sesuai dengan kita untuk mudah datang, sama ada bakal pasangan atau sesiapa saja.

Doa Tidak Makbul

“Kita berdoa untuk mendapatkan jodoh. Allah telah berfirman: “Mintalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan…” Persoalannya, kenapa masih tidak bertemu jodoh? Salah satu punca doa tidak makbul ialah hati masih kotor, rezeki masih belum berkat, zakat masih belum sempurna dan sebagainya. Hati yang masih kotor bermakna masih benci atau sakit hati pada orang.

Restu Ibu Bapa Belum Total

“Jodoh tak sampai juga mungkin disebabkan restu emak bapak tidak total. Emak bapak masih rasa tak berapa sedap untuk lepaskan anak. Tanya pada emak, ‘Mak benar-benar redha tak saya berumahtangga?’ Ada emak yang anak sulungnya tak mahu dilepaskan, anak bongsu apatah lagi. Itu yang kadang-kadang susah hendak dapat jodoh. Emak mahu anaknya kahwin tapi dalam hati masih tidak benar-benar redha untuk lepaskan. Ini satu masalah yang besar.
Banyak kes yang saya jumpa, bila emaknya benar-benar redha, terus dapat jodoh yang baik.
Faktor Metafizikal


“Kadang-kadang tak bertemu jodoh juga disebabkan ada faktor-faktor metafizikal yang susah hendak dijelaskan.

Contohnya terkena sihir atau gangguan ilmu hitam yang kadang-kadang susah hendak dijelaskan secara saintifik. Tapi ini wujud dan berlaku. Sebab sihir sudah ada sejak zaman jahiliah dulu sampai sekarang.


Jika ini berlaku, carilah jalan untuk benteng diri kita atau pulihkan diri kita dengan cara-cara yang munasabah untuk mengatasi masalah belum bertemu jodoh.”




(Koleksi ANIS / oleh zakaria sungib / dan juga ihsan Telaga Biru Sdn. Bhd. : VCD Forum Petua Mencari Jodoh di Bandar Baru Bangi)

Persoalan Jodoh (1)

Giliran Wanita Yang Buka Mulut, "Tidak Salah Perigi Mencari Timba" – Dato’ Dr. Fadzilah,

Ramai yang sudah berkeinginan untuk berkahwin tapi tidak juga kahwin-kahwin. Nampak seolah-olah susahnya menuju ke gerbang perkahwinan, seperti susahnya hendak mendapat rezeki walaupun rezeki kelihatan sudah ada di depan mata.

Begitulah halnya dengan seorang wanita dalam soal mendapatkan jodoh. Kadang-kadang calonnya sudah ada tapi belum juga dapat berkahwin disebabkan halangan tertentu. Berkahwin menjadi susah mungkin kerana calon yang difikirkan sesuai sudah ada tetapi si lelaki tidak memulakan inisiatif untuk menyatakan hasrat, apalagi untuk masuk meminang. Pinangan yang ditunggu tak sampai-sampai.

Perempuan juga mungkin susah mendapatkan jodoh kerana telah melewati usia tertentu. Misalnya, seorang kakak sulung mungkin menangguhkan hasrat untuk berkahwin kerana memberi perhatian lebih kepada persekolahan adik-adik hinggalah adik-adik dulu yang berkahwin. Si kakak bila sampai masa untuk berkahwin, gagal pula bertemu jodohnya kerana lelaki yang dikira agak sebaya telah pun berkahwin lebih awal.

Atau yang belum berkahwin akan mencari perempuan yang lebih muda. Ada juga yang melewatkan kahwin kerana menunggu habis belajar sampai ke peringkat yang dicita-cita. Tetapi bila sudah sampai ke tahap itu, timbul pula masalah mendapatkan jodoh yang setaraf. Dalam keadaan-keadaan seperti ini, wanita berada di persimpangan.

Antara mencari jalan untuk dapat berkahwin atau terus hidup membujang. Jika mahu berkahwin juga, mereka tidak boleh lagi semata-mata menunggu, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, mungkin sudah sampai masanya wanita sendiri yang harus memulakan inisiatif mencari dan memilih jodoh.

Paling tidak, mereka sendiri yang mula membuka mulut sekiranya memang sudah cukup bersedia untuk berkahwin. Di sini, perigilah yang berusaha mencari timba!Amalan ‘perigi mencari timba’ ini bukan amalan lumrah tapi tidak pula salah. Syariat Islam membenarkannya.

Di zaman Nabi s.a.w. sendiri ada berlaku. Seorang wanita pernah menemui seorang Sahabat menawarkan dirinya untuk dipinang sebagai isteri. Sahabat tadi menerimanya dengan senang hati kerana memang dia sendiri pun ada hati pada wanita tersebut, cuma malu untuk buka mulut.

Malah pernah seorang wanita menawarkan diri untuk diperisterikan oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda tidak menerima tawaran itu tapi tidak pula mengatakan cara wanita itu salah. Rasulullah s.a.w. sendiri sebelum menjadi rasul telah berkahwin dengan Siti Khadijah r.ha ekoran lamaran yang dibuat oleh Siti Khadijah melalui seorang perantara. Ia disusuli oleh kunjungan adat wakil keluarga baginda yang menemui keluarga Siti Khadijah untuk merasmikan ikatan pertunangan dan seterusnya perkahwinan.

Paling utama dalam memilih jodoh adalah mendapatkan pasangan yang baik, sesuai dan serasi. Apabila calon telah ditemui dengan asas pemilihannya menekankan pada aspek agama dan akhlak, proses seterusnya sepatutnya menjadi lebih mudah.

Kerana Rasulullah s.a.w. berpesan: “Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah ia. Jika tidak engkau perbuat (demikian), akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Dalam konteks ini amalan ‘perigi mencari timba’ boleh dilihat sebagai salah satu kaedah untuk memudahkan proses perkahwinan. Ia salah satu jalan keluar bagi mengatasi halangan bertemu jodoh dan berkahwin, khususnya bagi wanita.

Bijaknya Taktik Dakwah Nabi










“Aku ini orang Arab Badwi yang kasar,” kata seorang lelaki, memperkenalkan dirinya kepada Nabi s.a.w.

Melihatkan wajahnya yang murung, Nabi tahu dia sedang hadapi masalah.

Nabi tenang saja, memberi peluang lelaki itu memberitahu masalahnya.

Badwi itu berkata lagi, “Aku biasa melakukan hal-hal yang tidak dibenarkan oleh agama tuan. Payah sungguh hendak meninggalkannya. Bolehkah orang macam aku ni memeluk Islam?”

Nabi s.a.w. tidak terus menjawab. Sebaliknya baginda bertanya dulu, “Mahukah engkau berjanji denganku tidak akan bercakap bohong?”

“Baiklah. Aku berjanji,” kata lelaki Arab Badwi itu.

“Kalau begitu, kau boleh masuk agama Islam,” balas Nabi semula.

Lalu lelaki Badwi itu pun diajarkan ucapan dua kalimah syahadah.

Kemudian dia pulang dengan wajah berseri-seri. Pada sangkaannya, dia masih boleh melakukan semua tabiat buruk yang dilakukannya dahulu, walaupun sesudah menjadi seorang muslim.

Menjelang tengah malam, dia keluar dari rumahnya dengan tujuan hendak pergi mencuri. Tetapi baru beberapa langkah tiba-tiba dia terfikir, esok kalau Nabi tanya ke mana aku pergi malam ini, apa aku nak jawab. Aku sudah berjanji tidak mahu bercakap dusta.

Tidak jadi dia meneruskan rancangan jahatnya itu. Pada hari yang lain, timbul lagi keinginannya untuk berbuat jahat. Tetapi cepat pula dia teringatkan janjinya dengan Nabi Muhammad s.a.w. Tak jadi dia hendak buat jahat.

Lama-kelamaan, dari sehari ke sehari lelaki Badwi itu sudah boleh meninggalkan semua tabiat buruknya dahulu.

Dia menjadi seorang muslim yang baik.

p/s: Betapa berhikmahnya cara nabi berdakwah, jika kita menghayati dan mempraktikkan kebijaksanaan Rasulullah ini, insya Allah akan dipermudahkan pula jalan dakwah kita..jangan kita cicirkan akal dan kebijaksanaan yang Allah kurniakan kepada kita..gunakan ia pada jalan kebaikan, semoga kelak Allah akan mengganjari kebaikan pada diri dan keluarga kita pula...insya Allah


Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)