My Home

Followers

Jumaat, 9 Januari 2015

Solat Dalam Keadaan Takut (Solat Khauf)




Pendahuluan
Solat Khauf iaitu solat dalam keadaan yang sangat takut. Solat Khauf adalah kemudahan yang tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam solat-solat yang lain. ‘Solat Ketakutan’ ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan suasana peperangan kerana bimbang akan diserang musuh.
Firman Allah:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَ‌ائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَ‌ىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَ‌هُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ‌ أَوْ كُنتُم مَّرْ‌ضَىٰ أَن تَضَعُوا أَسْلِحَتَكُمْ ۖ وَخُذُوا حِذْرَ‌كُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ أَعَدَّ لِلْكَافِرِ‌ينَ عَذَابًا مُّهِينًا
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersolat (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisa’ 4; Ayat 102)
Ulamak–ulamak fiqah telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini, “Khauf bagi mereka bukan semata-mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf (takut) dari ancaman kebakaran dan juga binatang-binatang buas dan lain-lain lagi daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran.”
Allah berfirman:
فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِ‌جَالًا أَوْ رُ‌كْبَانًا 
“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan kaki atau naik kenderaan.” (Surah Al-Baqarah 2: Ayat 239)
Bila Dan Dimana ?
Solat Khauf boleh dilakukan dimana saja, tanpa mengira masa, tempat dan keadaan.
  1. Solat dilakukan mengikut keadaan seseorang pada ketika itu.
  2. Boleh dilakukan sama ada secara berlari, berjalan, meniarap atau berkenderaan.
  3. Rukuk dan sujud dilakukan dengan isyarat.
  4. Boleh melakukan solat tanpa menghadap kiblat.
Daripada Ibnu Umar r.a. katanya: Nabi Muhammad  bersabda: “Jika keadaan itu terlalu gawat, bolehlah solat secara berdiri, berjalan atau berkenderaan, menghadap kiblat ataupun tidak.”   (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)
Keadaan Solat Khauf
1. Para ulamak sepakat disyariatkan solat khauf (solat semasa takut), seperti solat kerana takut kepada musuh, kerana bencana alam sama ada di dalam perjalanan (bermusafir) atau tidak musafir. ( Fikih Sunnah:Sayid Sabiq:Jld 2:MS 202).
2. Orang orang yang solat yang dalam keadaan dikejar, dalam keadaan takut kerana musuh menguasai dia ( Sulubus Salam 2; Drs Abu Bakar Muhammad:MS 256).Kalau takut terlambat mencari musuh pun boleh solat khauf( Sohih Muslim :Jld 3:MS 58)
3. Ayat Quraan Surah An-Nisa’ ayat 101: “ Jika kamu takut diganggu oleh orang kafir..”. Didalam ayat ini ada dua sebab: (1).Sebab musafir. (2) Sebab takut gangguan orang kafir. Jamhur Ulamak menetapkan yang penting ialah musafir bukan takut gangguan orang kafir.
Diriwayatkan dari Abu Bakar Bin Syaibah dari Hanzhalah Al Hadzdzaak, bahawa dia bertanya Ibnu Umar:” Berapa rakaat solat dalam perjalanan?” Ibnu Umar menjawab:” Dua rakaat” . Dia bertanya lagi:” Apa sangkut pautnya dengan takut dalam ayat ini sedangkan kita sekarang dalam keadaan aman”. Ibnu Umar menjawab dengan tegas:”Begitulah sunnah Rasulallah”.( Tafsir Al-Azhar:Juz 5: MS 266).
4.Solat bagi orang yang dikejar musuh boleh dengan cara isyarat walaupun sambil berjalan dan tidak mengahadapi kiblat, begitu juga jika ia lari dari bencana alam. (Fikih Sunnah:Jld 2:MS 211).
Solat khauf (semasa takut) ini sekiranya kita kehuatir kita terlepas waktu solat sebenarnya, jika waktu masih panjang tak perlulah kita solat secara isyarat.
Solat khauf ini bagi kita di Malaysia ini boleh terjadi kepada kita,contohnya; apabila kereta kita rosak dalam perjalanan di tempat yang sunyi, sedangkan waktu solat hampir luput, maka bolehlah kita solat seperti itu. Begitulah islam amat mudah di laksanakan, namum begitu bukanlah tujuannya untuk sengaja mengambil jalan mudah. Apa yang di jelaskan ialah hukumnya ada dalam apa jua keadaan.
Batal Solat Khauf
Perkara-perkara yang membatalkan Solat Khauf:
1) Terbatal wuduk ketika sedang solat
2) Menjerit dan melaung (sekiranya tidak diperlukan)
3) Melakukan banyak pergerakan yang tiada kaitan dengan peperangan
4) Keluar darah yang banyak tidak menjejaskan solat (di sisi mazhab Maliki tetapi imam Syafie ia membatalkan solat kecuali kerana terpaksa atau darurat) maka ianya dimaafkan.                                                           

Cara Solat Khauf       
Islam cukup menitikberatkan solat dan ianya harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim dalam apa jua keadaan yang berlaku sama ada ketika sakit, keuzuran atau pun ketika di medan peperangan dengan cara-cara yang telah ditetapkan.
Ciri-ciri asas solat itu secara berjemaah sama dengan solat qasar dan jamak. Solat ketika perang tidak begitu banyak perbezaan kecuali makmum dapat bergerak, menangguhkan solat dan menyambung semulanya selepas berperang.
Tiga Keadaan Cara Solat Khauf    
Solat Khauf dilakukan mengikut tiga keadaan iaitu solat ketika :
1.         Musuh datang dari arah kiblat,
2.         Musuh datang dari arah bertentangan kiblat,
3.         Musuh datang dari semua arah.
Cara–cara menunaikan Solat Khauf dapat disimpulkan kepada dua keadaan:           
a.    Sebelum Tercetus Peperangan
b.    Ketika Hangat Berperang                       
A.    Sebelum Tercetus Peperangan (Situasi Berjaga-Jaga)         
Terdapat dua cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah  dalam situasi berjaga-jaga, mengikut keadaan kedudukan arah musuh:           
1) Musuh Berada Di Arah Qiblat   
Cara ini telah disepakati oleh imam Shafie dan Ahmad serta para pengikutnya, cuma mereka meletakkan beberapa syarat untuk menunaikanya, iaitu :
a)   Bilangan tentera Islam itu lebih ramai.
b)   Tentera musuh tidak mampu membuat serangan hendap ketika solat berlangsung.
c)    Boleh dipecahkan kepada beberapa kumpulan jika bilangan tentera Islam melebihi daripada 6 orang.  
Saf Solat Khauf
           Imam perlu membahagikan anggota tentera kepada dua kumpulan,
           Sekurang-kurangnya ada tiga orang  dalam setiap kumpulan.
           Dua kumpulan akan membuat saf di belakang imam,
           Setiap kumpulan tersebut boleh terdiri daripada beberapa saf.                     
Cara Solat Khauf dalam situasi sebegini adalah seperti berikut:
1.  Imam akan memulakan solat dengan mengadap ke arah Qiblat bersama dengan kedua-dua kumpulan.
2.  Apabila tiba pada rukuk di rakaat yang pertama, hanya kumpulan pertama sahaja yang akan turut rukuk bersama imam.
3.  Kumpulan yang kedua pula terus berdiri (dalam keadaan iktidal) bagi memantau keadaan sekeliling dan menjaga pertahanan, kalau-kalau ada gerakan baru atau serangan dari pihak musuh.
4.  Setelah imam dan bahagian pertama bangkit untuk rakaat yang kedua, mereka pula terus berdiri (dalam keadaan iktidal) bagi memantau dan menjaga pertahanan keadaan sekeliling.
5.  Kumpulan kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian hinggalah mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua.
6.  Pada rakaat ini, imam akan rukuk diikuti dengan kumpulan yang kedua sahaja akan turut bersama–sama dengan imam, manakala kumpulan yang pertama tadi akan tetap berdiri (iktidal).
7.  Apabila imam dan kumpulan yang kedua sampai ke tahiyyat akhir, barulah mereka akan menyempurnakan rakaat yang kedua secara bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyyat akhir (yang mana imam hendaklah menunggu kumpulan pertama dengan memanjang doa).
8.  Akhir sekali imam akan memberi salam bersama-sama dengan kedua-dua kumpulan tersebut.
2) Musuh Tidak Berada Di Arah Qiblat      .
Cara Solat Khauf dalam situasi ini pula disepakati oleh Imam Syafie , Imam Maliki dan Imam Hambali, ianya adalah seperti berikut:            .
1.  Imam akan membahagikan tentera kepada dua kumpulan; kumpulan yang pertama akan solat bersamanya manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan.
2.  Imam pada permulaannya akan solat bersama kumpulan yang pertama untuk rakaat yang pertama sekiranya solat dua rakaat atau solat qasar, dan dua rakaat pertama sekiranya solat genap (empat rakaat).
3.  Sesudah itu imam akan bangkit untuk rakaat seterusnya dan berdiri bagi menunggu kedatangan kumpulan yang kedua.
4.  Kumpulan pertama akan niat berpisah dengan imam (niat mufaraqah) dan menamatkan solat masing-masing secara bersendirian, kemudian bergerak manggantikan tempat kumpulan kedua yang tadinya mengawasi keadaan.
5,  Kumpulan yang kedua pula akan memulakan solat bersama imam (yang mana imam sedang berada di rakaatnya) hinggalah sampai ke tahiyyat akhir (bagi imam).
6.  Imam akan memanjangkan doa dalam tahiyyat akhir bagi menunggu kumpulan kedua menyempurnakan baki rakaat mereka masing-masing sehinggalah mereka juga sampai di tahiyyat akhir dan imam akan memberi salam bersama-sama dengan mereka.
7.  Kumpulan pertama akan mendapat kelebihan (fadhilat) takbirratul-ihram bersama-sama dangan imam, manakala kumpulan kedua pula mendapat kelebihan memberi salam bersama-sama imam.       
B.    Ketika Hangat Berperang
Sekiranya peperangan tercetus dengan dahsyatnya, sedangkan waktu solat hampir ke penghujungnya manakala pihak musuh pula tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan serangan dan keadaan juga seolah-olah tidak memberikan peluang untuk bersolat Khauf secara berjamaah.
Dalam keadaan demikian :
  1. Dikecualikan dan dimaafkan untuk tidak menghadap Qiblat kerana darurat.
  2. Di waktu ini dibolehkan untuk solat  dengan isyarat kepala, tangan, jari atau hati sahaja.
  3. Dibolehkan tidak melaksanakan rukun-rukun fi’li (perbuatan seperti rukuk, sujud dan tahyat).
  4. Dibenarkan untuk bergerak lebih tiga kali berturut-turut seperti berjalan, berlari, memukul, menikam dan menembak.
  5. Diharuskan juga memegang senjata walaupun terdapat najis padanya.
  6. Dibolehkan bercakap, bertempik dan berteriak tanpa membatalkan solat jika ada keperluan yang mendesak.
  7. Dimaafkan ada pendapat solat yang sedemikian wajib diqada’ dan ada pula pendapat laian mengatakan tidak perlu diqadha.
 .
Firman Allah:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ (٢٣٨) فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِ‌جَالًا أَوْ رُ‌كْبَانًا ۖ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَاذْكُرُ‌وا اللَّـهَ كَمَا (٢٣٩)عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan solat secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al Baqarah 2; Ayat 238-239)

Hukum-hukum Solat Khauf
‘’Sembahyang khauf masih tetap hukumnya sampai sekarang ini, yakni: tidak dimansukhkan.”
Menurut pendapat Abu Yusuf, sembahyang khauf itu tertentu dengan Rasulullah saja. Menurut pendapat Al Muzany, sembahyang khauf itu sudah dimansukhkan.
“Sembanyang khauf jika di dalam hadlar, empat raka’at sebagai biasa, dan jika di dalam safar dua raka’at”.
Demikian pendapat imam yang empat. Segolongan ulama muhaqqiqien berpendapat, bahawa sembahyang khauf itu boleh seraka’at.
“Boleh dilakukan sembahyang khauf dengan salah satu cara yang pernah dilaksanakan Rasul”
Hukum ini disetujui, walaupun mereka berlainan pendapat tentang mana yang lebih baik caranya.
“Tidak dibolehkan sembanyang khauf di dalam peperangan yang terlarang (yang tidak dibenarkan syara’)”
Pendapat ini disetujui Malik bin Ahmad. Kata Abu Hanifah: Boleh.
“Sembanyang khauf boleh dikerjakan berjemaah dan bersendirian”
Kata Abu Hanifah: “Sembahyang khauf itu tidak boleh dikerjakan secara berjama’ah”
“Boleh sembahyang khauf dikerjakan dalam hadlar”.
Pendapat ini dipersetujui Abu Hanifah dan Ahmad. Kata Malik: Tidak boleh dikerjakan sembahyang khauf di dalam hadlar. Para ashhabnya, membolehkan.
“Apabila perang telah berkecamuk, berhadap-hadapan muka, ketakutan telah memuncak, maka hendaklah dikerjakan sembahyang dalam keadaan itu seberapa mungkin (sebagaimana mungkin) menghadap qiblat atau tidak, serta mengisyaratkan saja dengan kepala pengganti ruku’ dan sujud.”
Pendapat ini dipersetuju Malik dan Ahmad. Kata Abu Hanifah: Dalam keadaan tersebut, tidak dikerjakan sembahyang hanya ditakhirkan saja hingga peperangan telah reda, yakni sehingga dapat dikerjakan sebagaimana semestinya.
”Wajib bagi orang yang sedang bersembahyang khauf menyandang senjatanya”.
Demikian pendapat as-Syafi’y dalam salah satu pendapatnya dan dipersetujui pula oleh Malik. Menurut pendapat Ab Hanifah dan Ahmad yang dipersetujui pula oleh as-Syafi’y dalam salah satu pendapatnya, tidak wajib, tetap sunnat.
“Apabila disangka musuh datang lalu kita mengerjakan sembahyang khauf, kemudian ternyata yang datang itu bukan musuh, wajiblah kita ulangi sembahyang itu”.
Demikian pendapat jumhur. Dalam satu pendapat as-Syafi’y dan menurut satu riwayat dari Ahmad, tidak diulangi.
“Boleh orang yang sedang berperang memakai kain sutera”.
Pendapat ini dipersetujui oleh Malik, Abu Yusuf fan Muhammad. Abu Hanifah dan Ahmad, memakruhkannya.
“Mempergunakan sutera sebagai hamparan duduk atau unutk sandaran, sama hokum dengan memakainya, yakni haram.”
Demikian pendapat jumhur. Ada diriwayatkan dari Abu Hanifah bahawa beliau mengharamkan memakainya sahaja.
Solat Khauf Pernah Dilakukan Di Lokasi Perang Berikut
Berdasarkan beberapa hadis riwayat para sahabat, Solat Khasuf pernah dilakukan oleh Rasulullah pada empat lokasi perang :
1)     Perang Zaatur Riqaa’, yang berlaku sebelum Perang Khandak.
2)     Perang ‘Usfan berlaku di Asfan yang terletak kira-kira dua marhalah dari Makkah.
3)     Perang Zil Qarad, dikenali juga dengan Perang al-Ghaabah, berlaku pada Rabiulawal, tahun ke 6 sebelum Perjanjian Hudaibiah.
4)     Perang Bathni Nakhal, berlaku di satu tempat di Ghatafan.
Hikmah Solat Khauf
1. Ketika manusia dalam keadaan takut dari ancaman musuhnya atau apa-apa yang membuat   mereka khuatir dalam hidupnya, maka di saat itu memerlukan kepada yang mampu melepaskan beban dan melindunginya dari segala bahaya yang mungkin menimpa mereka. Pada situasi seperti itu, tidak ada perbuatan yang lebih bermanfaat bagi seseorang selain mengerjakan solat pada waktunya dan tidak meninggalkannya disebabkan ke khuatiran agar manusia lebih mendekatkan diri kepada tuhannya yang dengan kekuasaannya akan melindunginya dari kejahatan musuh yang datang secara tiba-tiba.
2. Solat merupakan salah satu daripada rukun islam, maka Allah SWT mewajibkan menunaikannya pada apa-apa keadaan dan situasi:-
Allah SWT berfirman :-
“Kalau kamu tunaikan wahai hambaku apa-apa yang aku wajibkan atasmu, maka kamu akan semakin dekat denganku dan akan tenang dengan mengingatiku”.
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), Maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. (Q.S. al-Anfaal: 45)”.
3. Memudahkan para mukallaf untuk menunaikan kewajipan solat yang merupakan perkara paling penting.
4. Untuk menghubungkan diri dengan Allah  Azzawajalla.
5. Hati akan berada dalam keadaan tenang dan menambahkan keyakinan dan bantuan Allah.


Kesimpulan

Kesimpulannya, Solat khauf ialah solat yang ditunaikan dalam keadaan suasana peperangan dengan pihak musuh, yang mana ianya dikhususkan dengan beberapa rukhsah atau kemudahan yang tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam sembahyang –sembahyang yang lain.

Adapun sumber tuntutan (asal mashruiyyah ) solat khauf ini ianya berdasarkan kepada nas –nas alquran dan hadis Rasulullah saw. Ulamak – ulamak feqah juga telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini, "bahkan yang dimaksudkan dengan khauf oleh mereka bukan semata – mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf (takut )dari ancaman kebakaran dan juga binatang –binatang buas dan lain –lain lagi daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran ".(rujuk Fiqh Sunnah –Sayyed Sabiq Jilid 1 m.s 209,Fiqh Manhaji- Sheikh Mustafa Bugha, jilid 1 ms 196).

Solat merupakan ibadat yang terpenting dalam kehidupan seorang muslim. Maka tidak hairanlah apabila solat disebut sebagai tiang agama bagi menghindarkan seseorang muslim itu daripada segala dosa dan noda. Lebih istimewa, solat lima waktu yang wajib ke atas semua umat Islam merupakan kurniaan Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku lebih 1,400 tahun dahulu. Fitrah setiap manusia adalah berkehendakkan kebaikan dalam hidup. Jadi solat merupakan ‘hadiah’ daripada Allah kepada hamba-hambanya untuk terus berada dalam landasan kebaikan.

Justeru, Islam tetap menganjurkan penganutnya menunaikan solat dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit atau keuzuran dengan cara-cara yang ditetapkan selain solat juga wajib biarpun ketika di medan peperangan.Solat di medan perang atau lebih dikenali sebagai solat khauf (semasa dalam ketakutan) pernah ditunaikan oleh Rasulullah beberapa kali dengan pelbagai cara seperti yang diterangkan secara terperinci dalam kitab-kitab hadis. Islam cukup menitikberatkan solat walau apa jua keadaan berlaku, solat harus ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim.

 


Rujukan

1. Fatani, D. (2010). Furu' al-masa'il wa usul al-wasa'il. Kuala Lumpur: Telaga Biru.
2. Kesempurnaan solat. (2006). Kuala Lumpur: E-Media Publication.
3. Ammad, I. (1998). Tatacara solat. Kuala Lumpur: Penerbitan PCT.
4. Rahbawi, & Hamid, Z. (1996). Salat empat mazhab. Kuala Lumpur: Victor Agencie.
5. Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. (1996). Kitab Fikah  Mazhab Syaf'ie . Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
7. Bekam Sunnah Port Dickson. (n.d.). Retrieved August 18, 2014. http://muhaimin76.blogspot.com/2009/03/solat-khauf-solat-dalam-peperangan.html
8. Solat Khauf. (n.d.). Retrieved August 18, 2014. http://shafiqolbu.wordpress.com/2013/03/10/solat-khauf/


 



Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)