Ikuti artikel berkaitan perbezaan undang-undang Jenayah Islam dan Sivil tulisan Farhah Rusyda yang disiarkan oleh tranungkite.net
Undang-undang jenayah Islam
mempunyai kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang
kebanyakannya datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang
jenayah kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang
diceduk dari Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya
berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan
ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang
jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya,
Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri
1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula
diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan
akta-akta berkaitan mahkamah.
Oleh kerana sumber kedua-dua
undang-undang ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara
undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan
di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah:
- Undang-undang Islam adalah dari Allah sedangkan undang-undang sivil adalah ciptaan manusia. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan tentunya membuat undang-undang yang terbaik dan paling sesuai untuk manusia. Bahkan manusia ini adalah ciptaan Allah, maka Allah tentu Maha Mengetahui apakah undang-undang jenayah yang sesuai dengan fitrah manusia. Undang-undang ciptaan manusia terdedah dengan seribu satu kelemahan kerana ilmu dan kebolehan manusia adalah terhad. Tambahan pula manusia sentiasa terpengaruh dengan keadaan persekitaran, latar belakang keluarga, pendidikan, dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Kerana itulah undang-undang manusia sentasa berubah umpamanya dahulu homoseksual dianggap sebagai satu jenayah, tetapi hari ini ia tidak lagi dianggap satu kesalahan, bahkan ia diangkat sebagai satu amalan yang sah melalui perkahwinan seperti yang diamalkan di negara-negara tertentu.
- Undang-undang jenayah Islam tidak terpisah dengan aspek aqidah iaitu keimanan kepada perkara ghaib. Beriman dengan kebenaran dan kehebatan undang-undang jenayah Islam adalah wajib kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah. Demikian juga undang-undang Islam tidak memisahkan soal pembalasan di dunia dengan pembalasan di akhirat. Unsur kepatuhan kepada Allah, konsep pembalasan di akhirat, serta konsep dosa dan pahala mendorong rakyat menjauhi jenayah. Ini kerana mereka bukan sahaja takut kepada hukuman di dunia bahkan mereka lebih takut hukuman di akhirat yang lebih dahsyat dan lebih lama. Oleh yang demikian mereka akan mengelakkan diri dari melakukan jenayah dengan bersungguh-sungguh walau pun jenayah itu boleh dilakukan di luar pengetahuan penguatkuasa undang-undang. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar jenayah. Begitu juga bagi yang terlanjur melakukan jenayah, mereka akan lebih bersedia untuk tampil menyerahkan diri mereka untuk dihukum dengan undang-undang Islam demi untuk mengelakkan hukuman di akhirat. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah, dan Khulafa’ al-Rasyidin. Berbeza dengan undang-undang sivil yang langsung tidak ada hubungan dengan iman atau aqidah. Keberkesanan undang-undang sivi bergantung sepenuhnya kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.
- Ruang lingkup jenayah atau kesalahan dalam Islam adalah lebih luas iaitu mencakupi kesalahan yang bersabit hak Allah, hak manusia serta hak Allah bersama-sama hak manusia. Ini bermakna ia meliputi berbagai bentuk kesalahan seperti yang berkaitan dengan kepercayaan atau keimanan, umpamanya hukuman ke atas mereka yang murtad. Undang-undang Islam juga menyentuh hukuman ke atas kesalahan berkaitan ibadat seperti mereka yang meninggalkan solat, solat Jumaat, puasa pada bulan Ramadhan dan haji. Undang-undang jenayah Islam juga amat menitik beratkan soal akhlak seperti hukuman kepada mereka yang berzina, berkhalwat, berjudi dan minum arak. Berbeza dengan hukuman jenayah sivil yang tidak menganggap sesetengah jenayah seperti murtad, zina, meninggalkan solat, minum arak dan judi sebagai satu jenayah. Ini kerana soal unsur-unsur iman, ibadat dan akhlak tidak menjadi perkiraan yang penting bagi penggubal undang-undang ini.
- Undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Contohnya hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak. Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman adalah amat ketat. Umpamanya ia memerlukan empat saksi leleki yang tidak fasik yang melihat secara jelas apa yang berlaku. Ini menjadikan jumlah sebenar yang dikenakan hukuman yang dianggap berat ini adalah sedikit. Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan. Bahkah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin, hukuman hudud seperti zina kebanyakannya disabitkan melalui iqrar atau pengakuan bukan melalui empat orang saksi kesaksian. Begitu juga dalam Islam terdapat hukum yang berbentuk pencegahan umpamanya pengharaman berdua-duaan bagi lelaki dan wanita ajnabi bertujuan untuk mengelakkan zina, pengharaman arak untuk mengelakkan jenayah yang lebih besar seperti membunuh dan lain-lain. Konsep pencegahan begini tidak diambil berat oleh undang-undang jenayah sivil, kerana ia lebih menumpukan kepada kepada aspek menghukum dan membalas.
- Undang-undang jenayah Islam tidak dapat dipisahkan dari konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan munkar (al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar). Konsep ini banyak membantu mengurangkan jenayah. Islam bukan sahaja mengarahkan kejahatan diperangi bahkan menyeru agar kebaikan disebarluaskan. Mereka yang biasa dengan amalan kebaikan dan ibadat akan terhindar dari melakukan kemunkaran dan jenayah. Umpannya ibadat solat yang disebut oleh Allah sebagai ibadat yang dapat mencegah munkar. Ibadah puasa pula disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai amalan yang dapat mengekang hawa nafsu syahwat. Begitu juga dengan amalan makruf yang lain. Konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini mengajak seluruh rakyat terutamanya umat Islam untuk bersama-sama membenteras jenayah. Bahkan, mereka juga dibenarkan untuk membuat tangkapan jika mempunyai asas kukuh. Kewujudan Badan Hisbah selaku badan rasmi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini juga dapat membantu mengurangkan jenayah. Dengan cara ini para penjenayah akan lebih berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Konsep ini tidak ada dalam undang-undang jenayah sivil. Pihak penguatkuasa seperti polis biasanya akan hanya mengambil tindakan selepas terdapat laporan berkaitan jenayah dibuat.
- Undang-undang jenayah Islam amat berhati-hati dalam soal mensabitkan seseorang dengan hukuman jenayah. Umpamanya dalam kes hudud, pensabitannya adalah amat berat. Contohnya, bagi kes kecurian, harta yang dicuri itu mesti disimpan ditempat yang sesuai, dan tidak berlaku masalah yang mendesak seperti perang, kebuluran dan mala petaka. Begitu juga dalam kes zina yang disabitkan dengan iqrar atu kesaksian oleh emapat lelaki yang melihat kejadian secara jelas ibarat melihat timba masuk ke dalam perigi. Jika gagal membawa empat saksi, orang yang yang membuat tuduhan itu pula akan didakwa melakukan kesalahan qazaf. Syarat saksi dalam undang-undang Islam pula amat ketat. Seseorang saksi mestilah adil iaitu tidak fasik. Terdapat proses penapisan saksi yang disebut sebagai ‘tazkiyah al-syuhud’. Jika didapati saksi itu pernah melakukan dosa besar selalu melakukan kejahatan mempunyai akhlak yang keji, maka kesaksiannya boleh dipertikai. Dalam undang-undang jenayah sivil, soal akhlak dan perangai saksi tidak diambil kira dalam menentukan kesahihan keterangannya.
- Undang-undang jenayah Islam tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dibawa kemuka pengadilan dan didakwa menurut prosedur yang sah. Islam menjunjung tinggi konsep bahawa ‘pada asalnya seseorang itu tidak bersalah’ (al-aslu bara’ah al-zimmah). Tahanan tanpa bicara dianggap satu kezaliman dalam Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Jika seseorang itu dikatakan melakukan jenayah, maka perkara jenayah itu perlu dibuktikan oleh pendakwa di hadapan hakim di mahkamah. Beban bukti terletak pada pendakwa. Jika tiada bukti bahawa tertuduh itu melakukan jenayah, maka tertuduh itu perlu dilepaskan dan dia bebas dari tuduhan itu. Dalam undang-undang jenayah sivi, terdapat peruntukan yang membenarkan tahanan tanpa bicara yang disebut sebagai tahanan pencegahan atau preventive detention. Contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri membenarkan seseorang yang disyakki menjejaskan keselamatan awam ditahan selama 60 hari tanpa bicara untuk siasatan. Seseorang yang pada pendapat Menteri Dalam Negeri boleh menjejaskan keselamatan awam pula boleh ditahan selama dua tahun. Mereka boleh ditahan tanpa dibicara di mana-mana tribunal atau mahkamah.
- Undang-undang Islam memperuntukkan pelbagai bentuk hukuman yang mempunyai kesan yang mendalam. Bagi hukuman hudud terdapat hukuman rejam sampai mati, sebatan, hukuman mati, potong tangan. Potong kaki, salib, dan buang negeri. Bagi kesalahan qisas, terdapat hukuman qisas iaitu balasan yang sama dengan jenayah iaitu nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, telinga dengan telinga dan seterusnya, serta hukuman diat iaitu gantirugi dengan kadar yang berbeza. Hukuman takzir pula amat luas dan boleh dikenakan mengikut maslahah, keperluan dan kebijaksanaan pemerintah, badan perundangan serta hakim. Sementara dalam undang-undang sivil, hukumannya yang utama hanyalah hukuman mati, penjara, sebat dan denda. Walau pun terdapat hukuman lain seperi jaminan perkelakuan baik, gantirugi, dan arahan untuk remaja, hukuman yang utama adalah hukuman mati, penjara, denda dan rotan. Di antara keempat-empat hukuman ini pula hukuman yang paling banyak adalah hukuman penjara. Boleh dikatakan hampir semua bentuk kesalahan jenayah boleh dihukum dengan hukuman penjara. Kesalahan-kesalahan utama dan berat seperti membunuh, rogol, menculik, merompak dan seumpamanya boleh dihukum dengan hukuman penjara. Begitu juga dengan kesalahan kecil seperti kesalahan lalu-lintas, kesalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan dan sebagainya. Sedangkan penjara boleh membawa kepada berbagai keburukan seperti ia boleh menjadi tempat latihan jenayah di samping pusat pengedaran dadah dan perbuatan tidak bermoral. Penjara juga menyebabkan isteri, anak-anak dan keluarga terpaksa menanggung malu dan beban ekonomi akibat dari kesalahan penjenayah. Mereka yang keluar dari penjara biasanya disisihkan oleh masyarakat dan ada yang kembali melakukan jenayah.
- Perbezaan terakhir iailah dari sudut keberkatan. Keberkatan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera tetapi ia terbukti melalui janji Allah dan Rasulnya serta peristiwa yang berlaku. Allah menjamin keberkatan dengan pelaksanaan hukum Islam termasuk undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang Islam pasti dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat. Berbeza dengan undang-undang sivil ciptaan manusia yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam. Ia gagal menimbulkan rasa takut dan gerun walau pun hukuman yang dikenakan adalah berat. Umpamanya hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah tidak berjaya mengurangkan jenayah berkenaan. Begitu juga dengan kesalahan jenayah yang lain.
6.7
Pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam
Undang-undang jenayah Islam
adalah undang-undang yang sesuai untuk semua masyarakat pada semua zaman. Ia
juga undang-undang undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
Apa yang lebih penting undang-undang jenayah Islam wajib diamalkan oleh mereka
yang beriman. Antara dalil yang menunjukkan kewajipan tersebut adalah ayat-ayat
Al-Quran berikut:
1)Dan
hendaklah kamu berhukum antara manusia dengan hukum yang diturunkan oleh Allah
dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kamu, dan berhati-hatilah kamu terhadap
mereka kalau-kalau mereka menggelincirkan kamu daripada sebahagian dari apa
yang telah Allah turunkan kepadamu. [1]
2)Sesungguhnya
kami telah turunkan kepada kamu (ya Muhammad s.a.w.) akan kitab (al-Quran)
dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah
dinyatakan oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang
yang khianat.[2]
Terdapat banyak lagi ayat
al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kewajipan pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan takzir ini. Hukum ini berkekalan sampai
hari kiamat. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Khulafa al-Rasyidin dan
para khalifah berikutnya melaksanakan undang-undang ini, sehinggalah jatuhnya
kerajaan atau khilafah Islam. Malah kerajaan empayar Melaka dan negeri-negeri
lain juga pernah melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini. Tiada siapa yang
berhak memansuhkan hukuman ini. Ada yang mengatakan Sayyidina Umar pernah
memansuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri pada tahun kelaparan. Dakwaan
ini adalah satu fitnah yang besar ke atas sahabat yang dijamin syurga ini. Apa
yang berlaku ialah pencuri tidak dihukum kerana tiada keterangan yang mencukupi
untuk disabitkan bersalah.[3]
Hadith-hadith yang mengatakan Sayyidina Umar menangguhkan pelaksanaan hukum potong
tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan adalah hadis daif.[4]
Ada yang mengatakan
pelaksanaan hukum jenayah Islam perlu ditangguhkan untuk mengelakkan tekanan
ekonomi akibat ketiadaan pelabur asing. Alasan ini tidak berasas kerana
pelaksanaan hukum Islam dibuat secara adil mengikut kehendak Allah. Hasil dari
pelaksanaan hukum Islam negara akan menjadi aman dan tenteram serta jenayah
dapat dikurangkan pada tahap yang sangat minimum. Perkembangan ini tentunya
akan menambahkan lagi tarikan pelabur untuk melabur di dalam negara pengamal
undang-undang jenayah Islam ini. Tambahan pula pelabur yang datang tidak perlu
takut kerana mereka datang bukan untuk melakukan jenayah tetapi untuk menanam
modal.
Terdapat juga pihak yang
ingin mengelakkan dari pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan alasan
bahawa keadaan rakyat yang belum menghayati Islam sepenuhnya serta banyaknya
perkara munkar, menjadikan undang-undang Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Pelaksanaan undang-undang Islam tidak tertakluk kepada syarat bahawa semua
rakyat telah menghayati Islam terlebih dahulu. Pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam adalah bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar
jenayah. Ia sesuai dilaksanakan dalam semua keadaan. Undang-undang jenayah yang
ada pada hari ini terbukti gagal untuk menghapuskan jenayah. Fakta menunjukkan
bahawa purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula dari tahun
1994-1998 telah menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana yang dilaporkan
oleh Polis DiRaja Malaysia. Keadaan ini jauh berbeza dengan kadar pertumbuhan
penduduk Malaysia sekitar 2.53% sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan
Perangkaan Malaysia. Jika perkembangan ini dibiarkan berterusan, keselamatan
rakyat dan keamanan negara semakin lama semakin terancam. Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang
jenayah Islam perlu kembali dikuatkuasakan sebagaimana yang pernah diamalkan
oleh Empayar Melaka dan negeri-negeri Melayu. Sepatutnya situasi rakyat yang
tidak menghayati Islam sepenuhnya dan banyaknya munkar menjadi faktor pendorong
untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam, bukannya faktor untuk tidak
melaksanakannya seperti yang didakwa oleh sesetengan pihak. Jika kita ingin
menunggu seluruh masyarakat menjadi ‘baik’ semuanya tanpa pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam, sehingga kiamat pun kita tidak akan berjaya. Ini kerana
undang-undang jenayah Islam adalah pelengkap kepada proses islah atau tajdid
iaitu proses untuk merubah masyarakat ke arah kebaikan. Usaha pendidikan,
pembangunan institusi keluarga, pembangunan sosial dan dakwah tidak akan
berjaya sepenuhnya tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam seperti
yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
Di samping itu, terdapat juga
suara-suara yang mengatakan bahawa undang-undang jenayah Islam tidak dapat
dikuatkuasakan kerana rakyat masih jahil dengan undang-undang tersebut. Islam
sebenarnya tidak mensyaratkan semua rakyat memahami sesuatu undang-undang
sebelum pelaksanaannya. Bahkan dalam mana-mana sistem perundangan dalam dunia
tidak terdapat Parlimen atau Badan Perundangan yang mensyaratkan kefahaman
rakyat sebelum sesuatu undang-undang diluluskan. Di Malaysia sahaja terdapat
lebih kurang 600 akta dan beribu-ribu undang-undang kecil serta bermacam-macam
peraturan. Tidak ramai rakyat memahami kesemua undang-undang tersebut. Parlimen
tetap meluluskan semua undang-undang walau pun ia belum difahami sepenuhnya
oleh rakyat. Undang-undang jenayah Islam seperti hudud, qisas dan takzir
sebenarnya undang-undang yang sedia diketahui oleh rakyat terutamanya umat
Islam kerana ia terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith yang menjadi bacaan
harian umat Islam. Ia juga diajar di masjid-masjid dan surau-surau. Terdapat
banyak buku dalam pelbagai bahasa yang menghuraikan tentang hukum jenayah Islam
ini. Jika ada yang belum memahaminya sekali pun ia boleh diketahui dan difahami
dengan mudah. Oleh yang demikian tiada sebab umat Islam menolak pelaksanaan
undang-undang jenayah Islam kerana alasan kejahilan masyarakat.
Undang-undang jenayah Islam
ini sesuai untuk semua masyarakat. Namun begitu ada yang menyatakan
undang-undang ini tidak sesuai dijalankan di sebuah negara yang mempunyai
masyarakat berbilang kaum. Sebenarnya ini bukan satu alasan yang kukuh kerana
kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah juga adalah masyarakat
berbilang kaum dan agama yang turut didiami oleh orang Yahudi di samping umat
Islam. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat ulama
berkaitan kedudukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ke atas bukan
Islam. Sebahagian ulama seperti Imam Malik dan al-Syafie berpendapat bahawa
mereka diberi pilihan sama ada mahu dihukum dengan hukum jenayah Islam atau
tidak.[5]
Jika pandangan ini diambil, tidak timbul soal masyarakat berbilang kaum dan
agama sebagai penghalang kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Jika
mereka tidak mahu memilih undang-undang jenayah Islam mereka boleh diadili dan
dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan.
Tegasnya undang-undang
jenayah Islam adalah undang-undang yang dikurniakan kepada manusia sebagai
rahmat dari Allah. Undang-undang ini sesuai dengan naluri manusia yang begitu
kompleks dan sukar dijangkakan. Pelaksanaan undang-undang Islam akan membawa
kejayaan bukan sahaja di dunia bahkan juga kejayaan di akhirat.
Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~
Assalamualaikum penulis, saya ingin bertanya dari mana saya boleh dapatkan buku/rujukan berkaitan seksyen yang selari dengan islam dan seksyen yang tidak selari dengan islam? Mungkin cik/puan lebih mengetahui bagaimana saya boleh dapatkan maklumat2 tersebut untuk tugasan menganalisi seksyen2 tersebut.
BalasPadam