Followers

Jumaat, 28 Jun 2013

Assignment 1: Al-ahkamul Hadith: HADIS-HADIS BERKAITAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL



HADITH-HADITH BERKAITAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
(Sila buat rujukan lain yang lebih baik, bahan ini hanya untuk rujukan dan simpanan peribadi. terima kasih kerana sudi menjengah..)

1.      Dari Abu Qatadah al-Ansari bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.

 
Rasulullah SAW menzahirkan kesyukuran kepada Allah dan membesarkan hari kelahiran
Baginda dengan berpuasa pada setiap hari Isnin. Begitu juga para sahabat berpuasa pada hari Isnin seperti Rasulullah SAW. Sambutan Maulid tidak hanya dikhaskan setahun sekali tetapi setiap Isnin bagi memperingati rahmat besar kelahiran Baginda ke dunia ini.

Namun begitu, terdapat juga pandangan yang menafikan hadith di atas sebagai dalil sambutan Maulidur Rasul digalakkan. Rasulullah SAW berpuasa setiap hari Isnin dan tidak dibezakan minggu atau bulan (kecuali bulan Ramadhan dan kes tertentu seperti eid) dan ini tiada kaitan dengan perayaan maulidul rasul yang dikhaskan setahun sekali.

Selain hari Isnin, Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari Khamis. Hadis di atas berkaitan perihal sunat berpuasa pada hari Isnin dan bukan berkaitan perayaan/eid. Jika diteliti hadis penuh dalam hadis ke-2603, nyata jawapan-jawapan Rasullullah terhadap semua soalan yang diajukan sahabat berkisar tentang ibadah puasa.

Yang sahih dan pasti ialah hari Rasulullah SAW dilahirkan ialah pada hari Isnin, tetapi berlaku khilaf yang banyak akan tarikh sebenar Rasulullah SAW lahir. Perkara ini tidak diberatkan oleh golongan salafus-soleh kerana perayaan maulid tidak penting dan tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Bahkan tiada sebarang bukti muktamad daripada hadis bahawa Rasulullah SAW atau golongan salafus-soleh merayakan maulidul rasul kecuali dakwaan yang kami tidak dapat pastikan bahawa Imam al-Auzaie (tabi’ut tabi’in) ada menulis tentang maulidul rasul. Malah tiada juga sebarang komentar daripada pengasas mazhab yang empat akan maulidul rasul kerana ianya tidak disambut oleh golongan mutaqaddimin.




2.      Diceritakan oleh 'Ursa/Urwah:

Thuwaibah merupakan hamba abdi perempuan merdeka yang dibebaskan oleh Abu Lahab, dan kemudian dia menyusukan Rasulullah. Apabila Abu Lahab meninggal dunia, salah seorang saudaranya bermimpi melihat Abu Lahab dalam keadaan yang amat teruk dan menanyakannya: “Apa yang telah engkau tempuhi?”

Abu Lahab berkata, “Aku tidak menemui rehat sejak aku meninggalkan engkau, kecuali aku telah diberi minum air ini (ruangan antara ibu jari dan jari lain) dan ini kerana aku telah memerdekakan Thuwaibah.




Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Tsuwaybah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.

Dalam kitab Fathul Bari, syarah kepada kitab Sahih Bukhari , Imam Ibnu Hajar al-Asqolani mencatitkan: “Imam As- Suhaili menyebut bahawa Al-Abbas telah bermimpi bertemu Abu Lahab , Abu Lahab menceritakan tiada rehat dari seksa melainkan diringankan setiap hari Isnin. Berkata Abbas: “Demikian itu kerana Nabi dilahirkan pada hari Isnin. Thuwaibah telah memberitakan khabar gembira kelahiran Rasulullah saw, lalu ia dimerdekakan”.

Selain riwayat tersebut terdapat lagi riwayat-riwayat dari Ismaili (guru Imam al-Bukhari) dan Imam Abdul Razzak dari Ma’mar dari Az- Zuhri dan dari Imam al-Bukhari sendiri yang mengatakan diringankan siksa Abu Lahab sehingga dapat menghisap sedikit air dari anak jari atau dicelah ibu jari. 

Jika Abu Lahab yang bukan muslim dan al-Quran jelas mencelanya, diringankan seksanya lantaran ungkapan kegembiraan atas kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam, maka bagaimana dengan orang yang beragama Islam yang gembira dengan kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Kitab Manhaj al-Salaf Fi Fahmi al-Nusus Bayan al-Nazariyyah Wa al-Tatbiq dan kitab Mafahim Yajibu An Tusahhah karangan al-Muhaddith Syeikh Dr. Al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid Alawi al-Maliki juga menyebut tentang perkara di atas.

Kisah   1 yang terpilih ialah Thuwaibah dimerdekakan pada hari Isnin setelah Abu Lahab mendengar dan gembira dengan berita kelahiran anak saudaranya ialah Rasulullah SAW. Hal ini disebut oleh penulis biografi iaitu Ibnu Kathir di dalam al-Bidayah wa an-Nihayah dan Ibnu Qayyim di dalam Tuhfat al-Mawdud bi-Ahkam al-Mawlud.

Hadis yang terdapat dalam Sahih Bukhari di atas tidak menyebut adanya kaitan antara kemerdekaan Thuwaibah dengan hari kelahiran baginda pada hari Isnin. Kata-kata Ursa’/Urwah sendiri juga tidak menyebut apa-apa berkaitan hari Isnin atau kelahiran Baginda.

Sungguhpun begitu, riwayat dari Ismaili dan Imam Abdul Razzak juga hanya menyebut keringanan azab Abu Lahab kerana telah memerdekakan Thuwaibah dan tiada sebarang komentar berkaitan hari Isnin. Versi Umdatul Qari dan Fathul Bari yang dipegang tiada penambahan berkaitan hari Isnin seperti versi pro-maulid.

Cerita bahawa Thuwaibah telah dimerdekakan oleh Abu Lahab pada hari kelahiran baginda ialah cerita tanpa sanad dan ditolak. Tiada penafian bahawa azab Abu Lahab diringankan kerana memerdekakan Thuwaibah dengan diberi sedikit minuman air. Tetapi tiada sebarang petunjuk bahawa Abu Lahab diringankan azab pada masa-masa atau hari-hari tertentu kerana tiada sebarang nas berkaitan perkara ini.

Kisah daripada hadis di atas menunjukkan syafaat dan kelebihan Baginda walaupun terhadap orang kafir. Persoalan ini tiada kaitan dengan perayaan maulidul rasul.




3.      Hadis daripada Ibnu Mas’ud:

Apa yang dilihat umat Islam baik maka ia juga baik di sisi Allah dan apa yang dilihat umat Islam buruk maka ia juga buruk di sisi Allah.
 

Hadis riwayat Imam Ahmad (#3418), Imam at-Tabrani (Mu’jam al-Kabir & al-Awsath), al-Hakim,
Imam al-Bazzar (Zawa’id), Imam al-Bayhaqi (al-I’tiqad) dan lain-lain.

Berdasarkan kepada hadis di atas dan bukti-bukti lain, perayaan Maulidul Rasul ialah bid’ah hasanah yang selari dengan al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan kata-kata para sahabah.

Maulidul rasul menzahirkan rasa cinta dan peringatan kepada nabi Muhammad SAW. Ramai ulama’ mutaakhirin menyokong perayaan Maulidul Rasul disebabkan faedahnya dan keadaan umat Islam yang jauh daripada nilai Islam. Antara ulama’ yang menyokong ialah Imam Jalaluddin Al-Sayuti, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Syeikh Atiyah Saqar, Syeikh Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Prof. Ali Jum’ah, Syeikh Dr Al-Sayyid  Muhammad al-Maliki, Imam as-Syawkani dan  Mullah ‘Ali Qari.

Disebabkan tiada bukti bahawa golongan salafus-soleh menyambut maulidul rasul, maka terjadilah amalan tercari-cari nas sama ada daripada al-Qur’an atau hadis untuk menyokong amalan baru ini. Nas golongan pro-maulid kesemuanya terlalu umum atau digunakan di luar konteks dan kesukaran ini terbukti kerana ulama’ mutaqaddimin tidak merayakan maulidul rasul, maka tiada penulisan kitab berkaitan hal ini.

(Sila buat rujukan lain yang lebih baik, bahan ini hanya untuk rujukan dan simpanan peribadi. terima kasih kerana sudi menjengah..)

SEJARAH SAMBUTAN MAULIDURASUL

Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.
Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar. Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya. Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.
Di antara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Sa `id Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (l. 549 H. w.630 H.),  penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
Menurut Imam Al-Suyuthi tercatat sebagai raja pertama yang memperingati hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam ini dengan perayaan yang meriah luar biasa. Tidak kurang dari 300.000 dinar beliau keluarkan dengan ikhlas untuk bersedekah pada hari peringatan maulid Nabi atau juga disebut milad Nabi.
Berdasarkan kisah dan sejarah berikut, untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis sambutan Maulidur Rasul bukan sahaja pada hari kelahiran Rasulullah SAW malah sesetengah kawasan berlarutan sepanjang bulan Rabiul Awal.



ISU-ISU BERKAITAN MAULIDUR RASUL  DAN SAMBUTAN MAULIDURASUL

1-    Perbezaan pendapat tentang tarikh lahir sebenar Rasulullah S.A.W
Ahli sejarah dan para ulama’ berpendapat bahawa Rasulullah SAW lahir pada hari Isnin , bulan Rabiul Awal di tahun Gajah. Namun ada perselisihan pendapat tentang hari bulan Baginda dilahirkan. Sesetengah pendapat mengatakan hari lahir Baginda jatuh pada 2,8,10,12,17 @ 22. Masyhur masyarakat mengatakan 12 hari bulan Rabiul Awal. Ahli falak membuat pengiraan bahawa hari Isnin pada bulan Rabiul Awal ketika tahun itu bersamaan dengan 2, 9, 16 dan 23 hari bulan, bukannya 12 hari bulan. Walau bagaimanapun, perbezaan tarikh ini bukan satu isu pokok yang menjadi perbalahan malah perbahasan dan perdebatan berkenaannya tidaklah membuahkan amal, ditambah pula tiada dalil atau asas yang kukuh bagi setiap pendapat yang dikemukakan. Maka terpulang kepada sesiapa sahaja untuk menerima mana-mana tarikh dan menolaknya.

2-    Sambutan maulidurasul dianggap sebagai bid’ah
Melakukan penambahan dalam ibadah yakni yang tidak dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat. Maksud “…gigitlah ianya dengan geraham…” ialah peganglah ianya dengan bersungguh-sungguh serta bersabarlah dengannya.

3-    Kewajaran sambutan Maulidur Rasul disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu besar
Jika ia disambut dengan perarakan dan perhimpunan, maka ia perlu diaudit semula. Tenaga dan wang yang digunakan perlu ditimbang prioritinya, adakah layak digunakan untuk majlis seumpama atau sebaliknya, Jika ia disambut dengan tujuan mengingatkan semula umat Islam kepada sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., hendaklah majlis-majlis ilmu yang mengimbas kembali sejarah perjuangan baginda dilakukan dengan lebih kerap dan bukan dihadkan kepada sekali setahun, agar umat Islam tidak leka daripada mengambil iktibar daripadanya, menjadikannya sebagai sumber kekuatan untuk memperjuangkan Islam pada masa kini.
PANDANGAN TENTANG KEHARUSAN MENYAMBUT MAULIDURRASUL

Di antara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
.
1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah  Shalallahu ‘alaihi wasalam. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
.
2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’, menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
.
3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa, “Dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi  Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
4. Al-Hafidz al-Iraqi dalam kitab Syarh Mawahib Ladunniyah mengatakan:“Melakukan perayaan, memberi makan orang disunnahkan tiap waktu, apalagi kalau itu disertai dengan rasa gembira dan senang dengan kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam pada hari dan bulan itu. Tidaklah sesuatu yang bid’ah selalu makruh dan dilarang, banyak sekali bid’ah yang disunnahkan dan bahkan diwajibkan.”
.
5. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bid’ah yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
6. Imam Suyuti berkata: “Menurut saya asal perayaan maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong bid’ah hasanah. Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, menampakkan suka cita dan kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad Shalallahu ‘alaihi wasalam yang mulia.”
.
7. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf berkata: “Menghidupkan malam maulid nabi dan malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah dengan memperbanyak zikir kepada Allah, memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di alam dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan cara yang santun dan khusyuk’ dan menjauhi hal-hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan bid’ah dan kemungkaran. Dan termasuk cara bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah, menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak dilakukan pada zaman Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan tidak juga pada masa salaf terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk sunnah hasanah.”
.
8. Abu Shamah (guru Imam Nawawi) menyatakan: “Termasuk yang hal baru yang baik dilakukan pada zaman ini adalah apa yang dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dengan memberi sedekah dan kebaikan, menunjukkan rasa gembira dan bahagia, sesungguhnya itu semua ini yang membantu fakir miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan penghormatan kepada beliau, begitu juga merupakan bentuk syukur kepada Allah atas diutusnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam kepada seluruh alam semesta.”

9. Ibnu Taymiyah dalam kitab Iqtidla’-us-Syirat al-Mustaqim (2/83-85) mengatakan :“Rasululullah Shalallahu ‘alaihi wasalam telah melakukan kejadian-kejadian penting dalam sejarah beliau, seperti khutbah dan perjanjian beliau pada hari Badar, Hunain, Khandaq, pembukaan Makkah, Hijrah, Masuk Madinah. Tidak seharusnya hari-hari itu dijadikan hari raya, kerana yang melakukan seperti itu adalah umat Nasrani atau Yahudi yang menjadikan semua kejadian Isa hari raya. Hari raya merupakan sebahagian dari syariat, apa yang disyariatkan itulah yang diikuti, kalau tidak maka telah membuat sesuatu yang baru dalam agama. Maka apa yang dilakukan orang memperingati maulid, antara mengikuti tradisi Nasrani yang memperingati kelahiran Isa, atau kerana cinta Rasulullah. Allah mungkin akan memberi pahala atas kecintaan dan ijtihad itu, tapi tidak atas bid’ah dengan menjadikan maulid nabi sebagai hari raya. Orang-orang salaf tidak melakukan itu padahal mereka lebih mencintai rasul.”.

Namun dalam bahagian lain di kitab tersebut, Ibnu Taymiyah menambah:  “Merayakan maulid dan menjadikannya sebagai kegiatan rutin dalam setahun yang telah dilakukan oleh orang-orang, akan mendapatkan pahala yang besar sebab tujuannya baik dan mengagungkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Seperti yang telah saya jelaskan, kadang-kadang sesuatu itu baik bagi satu kalangan orang, padahal itu dianggap kurang baik oleh kalangan mu’min yang ketat. Suatu hari pernah ditanya kepada Imam Ahmad tentang tindakan salah seorang pegawai yang menyedekahkan wang 100 dinar untuk membuat mushaf Quran, beliau menjawab: “Biarkan saja, itu cara terbaik bagi dia untuk menyedekahkan emasnya”. Padahal mazhab Imam Ahmad mengatakan bahawa menghiasi Qur’an hukumnya makruh. Tujuan Imam Ahmad adalah bahawa pekerjaan itu ada maslahah dan ada mafsadahnya juga, maka dimakruhkan, akan tetapi apabila tidak dibenarkan, mereka itu akan membelanjakan wangnya untuk kerosakan, seperti membeli buku porno dan sebagainya.”
.
10. Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitab Fatawa Kubro menjelaskan: “Asal melakukan maulid adalah bid’ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf dalam tiga abad pertama, akan tetapi di dalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga kesalahan-kesalahan. Sesiapa melakukan kebaikan di dalamnya dan menjauhi kesalahan-kesalahan, maka ia telah melakukan bid’ah yang baik (bid’ah hasanah). Saya telah melihat landasan yang kuat dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam datang ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka beliau bertanya kepada mereka, dan mereka menjawab: “Itu hari di mana Allah menenggelamkan Firaun, menyelamatkan Musa, kami berpuasa untuk mensyukuri itu semua.”  Dari situ dapat diambil kesimpulan bahawa boleh melakukan syukur pada hari tertentu di situ berlaku nikmat yang besar atau terjadi penyelamatan dari mara bahaya dan dilakukan itu tiap bertepatan pada hari itu. Syukur boleh dilakukan dengan pelbagai macam ibadah, seperti sujud, puasa, sedekah, membaca al-Quran dll. Apa nikmat yang paling besar selain kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di muka bumi ini. Maka sebaiknya merayakan maulid dengan melakukan syukur berupa membaca Qur’an, memberi makan fakir miskin, menceritakan keutamaan dan kebaikan Rauslullah yang boleh menggerakkan hati untuk berbuat baik dan amal soleh. Adapun yang dilakukan dengan mendengar muzik dan bermain alat muzik, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum pekerjaan itu, kalau itu mubah maka hukumnya mubah, kalau itu haram maka hukumnya haram dan kalau itu kurang baik maka begitu seterusnya.”


KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan hadis-hadis yang telah dibincangkan berkenaan sambutan Maulidur Rasul, Pertama adalah mereka yang membolehkan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini, menurut mereka, tidak lain adalah untuk mengingati Rasulullah. Kedua adalah mereka yang melarangnya dengan alasan Rasulullah tidak pernah menyambutnya.

Perselisihan ini berlanjutan sehingga ke tahap saling bermasam muka dan tuduh menuduh antara kedua-dua kumpulan. Bahkan yang lebih menyedihkan, adakalanya yang saling bermasam muka dan tuduh menuduh adalah para agamawan, ustaz dan ustazah! Jika diperhatikan secara adil, akan didapati bahawa kedua-dua kumpulan mendasari hujah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Akan tetapi sayang sekali kedua-dua kumpulan tidak mencontohi sikap ceria dan mudah yang ditonjolkan oleh baginda. Tidak ada sikap ingin berbincang dan bertukar pandangan dalam suasana keceriaan dan kemaafan.

 Pendapat boleh atau tidak Maulidur Rasul bergantung kepada tujuan ia disambut. Jika ia disambut berdasarkan keyakinan Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiulawal, maka keyakinan ini perlu dikaji semula. Ini kerana tarikh tersebut, sekali pun masyhur di kalangan para sejarahwan, hanyalah satu anggaran. Hari kelahiran baginda yang sebenar tidak diketahui kerana bukanlah menjadi kelaziman masyarakat arab jahiliyah untuk mencatit hari kelahiran seseorang bayi di kalendar, atau diari. Tambahan lagi pada saat itu Muhammad s.a.w. hanya seorang bayi biasa. Tidak siapa yang mengetahui bahawa sekitar 40 tahun kemudian baginda akan menjadi seorang Rasul.

Jika ia disambut dengan ibadah-ibadah tertentu seperti solat sunat, puasa dan zikir, maka amalan-amalan ini perlu disemak semula. Ini kerana asas dalam ibadah adalah ia perlu berdasarkan nas, tanpa ditambah, dikurangi atau dibuat sesuatu yang baru. Jika ia disambut dengan selawat, nasyid dan qasidah, maka lirik-liriknya perlu diteliti agar ia tidak mengandungi unsur syirik dan kurafat. Sebaik-baik selawat adalah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dan ia adalah apa yang kita baca setiap hari ketika duduk tasyahud akhir dalam sembahyang.

Jika ia disambut dengan perarakan dan perhimpunan, maka ia perlu diaudit semula. Tenaga dan wang yang digunakan perlu ditimbang prioritinya, adakah layak digunakan untuk majlis seumpama atau lebih layak digunakan kepada mereka yang memerlukan. Jika ia disambut dengan tujuan mengingatkan semula umat Islam kepada sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., maka ia dibolehkan. Inilah yang lazim dilakukan dalam pelbagai majlis sempena Maulidur Rasul. Hanya sahaja janganlah dibataskan kepada sekali setahun. Hendaklah majlis-majlis ilmu yang mengimbas kembali sejarah perjuangan baginda dilakukan dengan lebih kerap agar umat Islam tidak leka daripada mengambil iktibar daripadanya, menjadikannya sebagai sumber kekuatan untuk memperjuangkan Islam pada masa kini.
RUJUKAN

1.    Umdatul Qari, karangan Badruddin Aini, juzuk 20, halaman 95. Fathul Bari, karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqolani juzuk 19, halaman 174 – 175. Raudhul Unuf, juzuk 5, halaman 191. Karangan as-Suhaili.
2.    Abu Soleh Nasaruddin (1997): Hadis-hadis Hukum Mengenai Bersuci dan Solat ; Perniagaan Jahabersa.
3.    Zaharuddin Abd Rahman (2010): Untukmu Umat. Karya bestari Sdn Bhd.
4.    Muhadir Haji Joll (2012): Q & A Bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Merbu Al-Banjari al-Makki: PSN Publication Sdn Bhd
5.    Zulkifli Mohd Yusoff, Nur Naemah Bt. Abdul Rahman (2011): Biografi Muhammad Bin Abdullah (edisi 2011). PTS Islamika Sdn Bhd.
6.    Rohidzir Rais (2011): Khutbah Rasullulah Wasiat Agung Buat Umat Tercinta. PTS Islamika Sdn Bhd.
7.    Dr. Kamariah Kamarudin (2012, Edisi-10). Akhlak Muhammad Dalam Diri dan   Keluarga. Fardhu Ain. MS 10. Kalimat Cinta Sdn Bhd.
8.    Ustaz Hj Ahmad Baei Jaafar (2012, Edisi-10). Muhammad ContohTerbaik. Fardhu Ain. MS 12. Kalimat Cinta Sdn Bhd.
9.    Zaharuddin Abd Rahman (2010). Sambutan Maulidur Rasul: Wajar Diterus Atau Diubah. 5 Rabiul Awwal 1431 H. www.zaharuddin.net.
10.  Ibnu Umar (2007). Maulidur Rasul: Sanggahan terhadap Risalah Pelajar Pondok. 2007 April 5. http://www.al-ahkam.net
11.  Dr. Mohd Asri Zainul Abidin: Bidaah Hasanah: Istilah Yang Disalah fahami. http://www.hafizfirdaus.com/ebook





 Nota: Credit kepada mana2 penulisan yang tidak disebutkan sumbernya di sini, terlalu banyak buat rujukan, ada yang copy n paste ;(






Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

5 ulasan:

  1. pening bila baca... cam main tangkap muat jer


    BalasPadam
  2. Ya..betul tekaan encik, memang tangkap muat..diupload sebagai bahan peringatan..

    BalasPadam
  3. Bagi sy tak tangkap muat..bahan ilmiah mmg mcm tu teknik penulisan dan kupasannya, baik dan tahniah sy ucapkqn.

    BalasPadam
  4. Terima kasih..sy br bertatih menadah ilmu agama ;)

    BalasPadam
  5. Tahniah atas usaha anda. Bahan amat sesuai sebagai rujukan berceramah. Dicadangkan dibuat penambahbaikkan. Jazakillaha kathiran.

    BalasPadam

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)