Followers

Ahad, 30 Jun 2013

BAGAIMANAKAH TIDUR YANG MEMBATALKAN WUDUK?

Tidur yang nyenyak itu membatalkan wudhu'. Dalil2nya adalah
Sabda baginda saw yg diriwayatkan oleh Ali yang bermaksud, "Mata itu adalah pengawal dubur, maka dengan kerana itu sesiapa yang tidur, mka dia wajib berwudhu'."[Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah]
Dari Shafwan bin Assal r.a, "Rasulullah saw. memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari tiga malam, kecuali bila junub, tetapi agar membukanya di kala buang air besar atau kecil dan jika tidur.”[Hadis riwayat Ahmad, Nasa’i dan Turmudzi yang menyatakan sahnya]
Dari Muawiyah, "Mata itu adalah pengawal dubur. Jika dua mata telah tidur, maka terlepaslah kawalannya."[Hadis riwayat Ahmad]
Kembali kepada persoalan VHoutenJr:
Quote:

Bagaimana tidur yang membatalkan wuduk?
Ulama' berbeza pendapat mengenai perkara ini. Secara umumnya terdapat dua pendapat iaitu:
Mazhab Hanafi dan Syafi'i berpendapat, tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya ke tempat duduk tidaklah membatalkan wudhu'. Mereka berdalilkan kpd hadis berikut:
Hadis riwayat Anas yang bermaksud, “Pernah para sahabat Rasulullah saw. menunggu waktu utk sembahyang isya', lalu mereka terlena sambil duduk, kemudian mereka bangun melakukan shalat tanpa wudhuk. [Hadis riwayat Syafi’i, Muslim, Abu Daud dan Turmudzi]
mazhab maliki dan hanbali pula berpendapat, tidur yg sebentar ataupun ringan tidak membatalkan wudhu'. Dalil mereka:
Hadis riwayat Anas yang bermaksud, “Para sahabat Rasulullah saw. menunggu-nunggu waktu isya hingga larut malam, hingga kepala mereka berkulaian, kemudian mereka melakukan shalat tanpa wudhuk lebih dahulu.
Hadis riwayat Ibnu Abbas katanya, "Aku telah bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, lalu baginda bangun drpd tidur Baginda dan aku juga turut bangun di sebelah rusuk kiri BAginda, lalu baginda memegang tanganku dan menempatkan aku di sebelah rusuk kanan Baginda. Apabila aku terlelap, Baginda telah sembahyang sebyk 11 rakaat."[Hadis Riwayat Muslim]
Kesimpulannya, menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh Islami jilid 1, tidur dalam keadaan mengiring yang tidak rapat papan punggungnya, sama ada di dalam sembahyang atau lainnya boleh membatalkan wudhu' tanpa khilaf lagi di kalangan fuqaha'. WA.
BAGAIMANAKAH TIDUR YANG MEMBATALKAN WUDUK?

Sebelum kita membicarakan hukum tidur yang membatalkan wuduk sewajarnya kita dapat membezakan tidur (النَّوْم) dan mengantuk (النُّعَس). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

Keduanya (yakni mengantuk dan tidur) itu berbeza, iaitu barangsiapa yang fungsi inderanya berkurang, di mana dia mendengar perkataan teman disekitarnya namun tidak mengerti maknanya maka orang seperti ini dinamakan mengantuk. Apabila lebih dari keadaan tersebut maka dinamakan tidur. Di antara tanda-tanda tidur adalah mimpi baik yang singkat ataupun berlangsung lama… Ibnu al-Tin berkata: “خَفَقَ (anggukan kepala) adalahالنُّعَس (mengantuk)”.[1]

Dari sini dapat kita fahami bahawa perasaan mengantuk sehingga menyebabkan seseorang itu tersengguk-sengguk sampai mengakibatkan kepalanya menempel ke dada bukanlah tidur yang membatalkan wuduk.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ الآخِرَةَ

حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُمْ

ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُونَ.

Daripada Anas, dia berkata: Suatu ketika para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menunggu solat Isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka
kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melewatkannya.
Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bangun tanpa memperbaharui wuduk.[2]



عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: بِتُّ لَيْلَةً عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ

فَقُلْتُ لَهَا إِذَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَيْقِظِينِي

فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُمْتُ إِلَى جَنْبِهِ الأَيْسَرِ

فَأَخَذَ بِيَدِي فَجَعَلَنِي مِنْ شِقِّهِ الأَيْمَنِ فَجَعَلْتُ إِذَا أَغْفَيْتُ يَأْخُذُ بِشَحْمَةِ أُذُنِي.

قَالَ: فَصَلَّى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

Daripada Ibnu ‘Abbas, dia berkata: Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri Nabi).
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk menunaikan solat malam.
Lalu aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian baginda menarik tanganku
hingga menjadikan aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk,
baginda akan menarik telingaku. Dia (‘Ibnu ‘Abbas) berkata:
Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat.[3]


Manakala dalil bagi wajibnya berwuduk apabila tidur adalah berdasarkan hadis Shofwan bin Ghassal radhiallahu 'anh, dia berkata:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا

أَنْ لاَ نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan
supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari hingga malam kecuali bila junub,
tetapi agar membukanya apabila buang air besar atau kecil dan jika tidur.[4]


Jelas melalui hadis ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkategorikan tidur bersama-sama dengan buang air besar atau kecil yang turut membatalkan wuduk. Namun yang hangat diperbincangkan oleh para ulamak adalah tidur yang bagaimana sebenarnya dianggap membatalkan wuduk.

Berikut penulis akan bentangkan pendapat-pendapat para ulamak berkaitan dengan tidur dan batalnya wuduk.[5]

PENDAPAT PERTAMA: Tidur sama sekali tidak membatalkan wuduk. Pendapat ini dipegang oleh sekelompok sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Abu Musa al-Asy’ari dan Sa’id bin Musayyab. Ianya juga merupakan pandangan Sa’id bin jubair, Makhlul, Ubaidah al-Salmani, al-Auza’i dan lain-lain

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنَامُونَ

ثُمَّ يَقُومُونَ فَيُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُون.

Daripada Anas bin Malik, dia berkata: Dahulu sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
tidur lalu solat dengan tidak berwuduk lagi.[6]


PENDAPAT KEDUA: Tidur samada sekejap mahupun lama secara mutlak membatalkan wuduk. Ibnu Mundzir telah menukilkan pendapat ini dari sebahagian sahabat dan tabi’in dan ini juga merupakan pandangan Abu Hurairah, Abu Rafi’, ‘Urwah bin Zubair, Atha’, al-Hassan al-Bashri, Ibnul al-Musayyib, Zuhri, al-Muzani, Ibnu Hazm, Abu Ubaid dan Ishaq bin Rahawaih. Syaikh al-Albani juga dalam kitab Tamamul Minnah[7] telah menguatkan pendapat ini. Hujah golongan ini adalah seperti berikut:

Daripada Shofwan bin Ghassal radhiallahu 'anh dia berkata:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا

أَنْ لاَ نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan
supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari hingga malam kecuali bila junub,
tetapi agar membukanya apabila buang air besar atau kecil dan jika tidur.[8]


Di sini hukum tidur disamakan dengan membuang air kecil dan besar. Maksud tidur di sini adalah secara umum dan ianya termasuk tidur yang panjang mahupun pendek.


PENDAPAT KETIGA: Kelompok ini membezakan tidur yang sekejap dan lama. Hanya tidur yang lama membatalkan wuduk. Ini merupakan pendapat Imam Malik, salah satu daripada riwayat Imam Ahmad, al-Zuhri, Rabi’ah dan al-Auza’i. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang dipergunakan oleh golongan pertama mereka fahami sebagai tidur yang sekejap sahaja. Oleh itu bagi mereka pendapat bahawa tidur secara mutlak tidak membatalkan wuduk adalah tidak benar.


PENDAPAT KEEMPAT: Tidur yang hanya membatalkan wuduk adalah tidur ketika dalam posisi baring atau bersandar kepada sesuatu. Tidur dalam posisi lain seperti duduk, rukuk, sujud atau berdiri maka wuduknya tidak batal baik dia tidur di luar solat atau ketika bersolat. Ini merupakan pandangan Hamad, Sufyan al-Thawri, Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Imam Daud dan Imam al-Syafi’i.

PENDAPAT KELIMA: Tidur yang membatalkan wuduk hanyalah tidur orang yang rukuk atau sujud. Ini dikatakan sebagai pendapat Imam Ahmad.

PENDAPAT KEENAM: Tidur yang membatalkan wuduk hanyalah tidur orang yang bersujud. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Imam Ahmad.

PENDAPAT KETUJUH: Tidur ketika berada dalam solat sama sekali tidak membatalkan wuduk. Tidur di luar solat membatalkan wuduk. Pendapat ini juga dikatakan pendapat Imam Abu Hanifah.

PENDAPAT KELAPAN: Apabila seseorang itu tidur di dalam keadaan punggungnya rata kepada lantai maka ianya tidak membatalkan solat baik tidurnya itu ketika dalam solat mahupun di luar solat atau tidur yang lama mahupun seketika sahaja. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’i.[9] Telah berkata Imam al-Syafi’i:

Apabila seseorang tidur pada posisi duduk tegak, maka saya melihat bahawa dia tidak wajib berwuduk, sebab orang yang tidur dalam posisi terlentang (baring) tidak sama dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk. Ini adalah kerana tidur dengan posisi terlentang akan terasa lebih nyenyak, sehingga akalnya akan terasa lebih tidak berfungsi jika dibandingkan dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk.

Apabila dia telah tergeser dari posisi duduk tegak saat tidur, maka dia wajib megulangi wuduknya, kerana orang yang tidur dalam keadaan duduk itu menekan dirinya (bahagian punggungnya) pada lantai dan hampir tidak terkeluar sesuatu (kentut) kecuali dia akan menyedarinya.

Tambah Imam al-Syafi’i lagi:

Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak. Adapun orang yang fungsi akalnya tidak hilang, baik tidur dengan posisi terlentang, dengan kepala yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk atau adanya bisikan hati, maka hal itu tidak mewajibkan berwuduk kembali, sehingga dia yakin bahawa dia telah berhadas.[10]


KESIMPULAN

Apabila kita menghimpunkan segala dalil-dalil dan hujah-hujah di atas lalu kita cuba menyatukan kesemua pendapat-pendapat ini maka dapatlah kita simpulkan bahawa tidur yang membatalkan wuduk adalah tidur nyenyak sehingga menghilangkan kawalan seseorang terhadap pancainderanya dalam apa jua posisi samada duduk, baring, meniarap, sujud, rukuk, berdiri dan lain-lain. Namun perasaan mengantuk sehinggakan kepalanya tersengguk-sengguk yang mana seseorang itu tidak hilang kawalan pancainderanya secara total dalam apa jua posisi dia berada samada duduk, baring, meniarap, sujud, rukuk, berdiri dan lain-lain tetap tidak membatalkan wuduk.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ‘Abdullah bin Baz rahimahullah berkata:

Pendapat yang benar dalam masalah ini bahawa tidur merupakan saat umum mengakibatkan hadas, maka rasa mengantuk dan tidur ringan tidaklah membatalkan wuduk. Akan tetapi tidur yang membatalkan wuduk adalah tidur yang dapat meghilangkan rasa (indera) secara sempurna. Dengan demikian hadis-hadis yang disebutkan mengenai hal-hal ini dapat dipadukan. Wallahu A’lam.[11]

Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim pula berkata:

Tidur yang nyenyak sehingga seseorang itu tidak sedarkan diri, tidak mendengar suara (di sekelilingnya), tidak terasa sesuatu jika sesuatu jatuh dari tangannya atau jika ada air liur keluar dari mulutnya dan lain-lain adalah tidur yang membatalkan wuduk. Sebab tidur sebegini menunjukkan (berkemungkinan) terjadinya hadas, samada dalam posisi berdiri, duduk, berbaring, rukuk atau sujud, tidak ada bezanya semua posisi itu. … Tidur ringan yang berupa rasa mengantuk sehingga apabila seseorang itu masih dapat merasa hal-hal yang kami sebutkan di atas, maka bagaimanapun keadaan tidur seperti itu tidak membatalkan wuduk dengan alasan hadis tertidurnya para sahabat sehingga kepala mereka tersengguk-sengguk dan hadis Ibnu ‘Abbas ketika solat bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dengan demikian terkumpullah seluruh dalil-dalil tersebut dalam bab ini, segala puji dan kurnia hanya milik Allah.[12]

Bagaimana pula jika seseorang itu berada dalam keraguan samada tidurnya itu membatalkan wuduk atau tidak. Menurut pendapat Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dalam Majmu al-Fatawa (jilid 21, ms. 230) yang lebih zahir sebagai hukumnya adalah tidak batal, sebab kesuciannya telah kukuh dengan keyakinan sehingga tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.[13]




[1]               Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 254.
[2]               Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 172
[3]               Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Sholatu al-Musafirni wa Qasruha, no: 763.
[4]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 89.
[5]               Pendapat-pendapat ini penulis rangkumkan dari kitab Shahih Fikih Sunnah karya Syaikh Kamal as-Sayyid Salim, Fathul Baari karya al-Hafidz Ibnu Hajar, Fikih Thaharahkarya Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syarah Bulughul Maram oleh Syaikh ‘Abdullah al-Bassam.
[6]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 73.
[7]               Rujuk Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq,, jilid 1, ms. 110.
[8]               Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 89.
[9]               Ini juga merupakan pendapat lama Syaikh al-Albani rahimahullah namun beliau telah menarik kembali dari pandangan ini kerana satu peristiwa yang telah berlaku terhadap dirinya. Beliau berkata:
Saya pernah berfatwa bahawa orang yang tertidur dalam posisi duduk tidak perlu berwuduk kecuali jika dia bersandar pada lambung sehingga seorang lelaki (yang duduk di sebelahku) pada hari Jumaat, lalu dia tertidur kemudian dia mengeluarkan angin (terkentut).
Saya berkata: Berdiri lalu berwuduklah!
Orang itu menjawab: Saya tidak tidur.
Saya berkata: Benar, tetapi anda telah mengeluarkan angin yang membatalkan wuduk.
Kemudian dia bersumpah: Demi Allah bahawa angin itu bukan keluar dari dirinya tetapi dari anda.
Maka saya tinggalkan keyakinan tentang tidurnya orang yang duduk dan menjaga sampai tertidur atau kacaunya kesedaran hati. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani,Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 111.
[10]             Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 24-25.
[11]             Ini merupakan penjelasan beliau dalam kitab Fathul Baari, jilid 2, ms. 256.
[12]             Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 201-202.
[13]             Rujuk Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 201-202.

 Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

4 ulasan:

  1. tapi bagaimana pula jika hanya baring tetapi tidak tidur? contohnya sementara menunggu isyak sy bermain fon sambil baring? adalah batal wudhu saya? mohon sangat pencerahan kerana persoalan ini sudah lama bermain di fikiran saya

    BalasPadam
  2. tidak batal wuduk sbb tidak tidur.

    BalasPadam
  3. tidak batal wuduk sbb tidak tidur.

    BalasPadam

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)