Pendahuluan
Al-Quran dan al-Sunnah adalah
sumber utama penginstibatan hukum Islam. Sumber ini menjadi asas kepada
penginstinbatan hukum Islam kerana al-Quran merupakan wahyu daripada Allah
S.W.T, manakala al-Sunnah menerangkan dan menghuraikan apa yang terkandung
dalam al-Quran.
Di samping sumber utama ini,
terdapat sumber lain yang digunakan oleh para mujtahid bagi mengeluarkan
sesuatu hukum. Ulama fiqh telah membahagikan sumber ini kepada dua bahagian,
iaitu sumber yang disepakati oleh jumhur fuqaha seperti ijma’ dan qiyas dan
sumber yang diperselisihkan oleh mereka seperti istihsan, al-Masalih al-Mursalah, ‘urf, sadd al-dhara’i, istishab,
syar’ man qablana, qawl al-sahabiyy dan
al-istishab. Sumber-sumber ini dinamakan juga sebagai istidlal iaitu menggunakan dalil bukan daripada al-Quran atau
al-sunnah, bukan juga daripada ijma’
atau qiyas.
al-Masalih al-Mursalah adalah
salah satu cabang daripada istidlal
yang berperanan untuk memelihara maslahah
ummah dengan cara menolak segala perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan
menerima segala perkara yang mendatangkan manfaat. Penulisan ini cuba untuk
memberikan penjelasan terhadap konsep al-Masalih
al-Mursalah sebagai salah satu sumber dalam penginstinbatan hukum Islam dan
pandangan ulama terhadapnya.
Definisi Al-Masalih Al-Mursalah
Dari sudut etimologi, al-Masalih al-Mursalah berasal daripada
gabungan dua perkataan iaitu ‘masalih’
dan ‘mursalah’.
Masalih dari segi bahasa adalah kata
terbitan (masdar) yang bermakna al-salah
seperti perkataan al-manfa’ah yang
bermakna al-naf’(manfaat).
Dari sudut istilah pula, ulama
memberikan banyak takrifan, antaranya ialah :
a)
Nukilan
daripada Imam Ghazali. Maslahah pada dasarnya adalah suatu
gambaran daripada meraih manfaat atau menghindarkan mudarat iaitu ke arah
memelihara tujuan syarak. Oleh itu dapat difahami bahawa yang dimaksudkan
dengan al-maslahah adalah menolak mudarat dalam rangka memelihara tujuan
syarak yang meliputi lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal,
keturunan dan harta.
b) Pendapat Said Ramadan al-Buti. Menurut beliau, maslahah
adalah manfaat yang ditentukan oleh Maha Pencipta untuk kepentingan hamba-Nya,
dengan tujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Berdasarkan definisi-definisi
tersebut, dapat disimpulkan bahawa adanya persamaan persepsi antara satu sama
lain iaitu :
a) Maslahah secara terminalogi harus berada dalam ruang lingkup tujuan syarak,
tidak boleh disandarkan kepada keinginan hawa nafsu.
b) Maslahah haruslah mengandungi dua unsur penting iaitu meraih manfaat dan menolak
mudarat.
Mursalah pula bererti mutlak, iaitu
bebas, tidak diikat dengan dalil yang memperakukannya atau dengan dalil yang
menolaknya.
al-Masalih al-Mursalah dalam satu
istilah khusus pula diertikan sebagai satu method pengeluaran hukum yang tiada
dalil khusus mengenainya dan tidak pula diketahui penerimaan dan penolakan
syarak terhadapnya.
Pembahagian Maslahah
Ulama usul telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu maslahah dari sudut kekuatan zat, dari
sudut umum dan khusus dan dari sudut perakuan dan penolakan syarak.
i. Sudut kekuatan zat
Pembahagian maslahah dari sudut ini terbahagi kepada
tiga iaitu:
a) Maslahah daruriyyah iaitu maslahah utama dalam kehidupan manusia
dan tidak boleh diabaikan. Sekiranya ia diabaikan, tiada lagi keseimbangan
dalam kehidupan sama ada di dunia atau di akhirat. Maslahah ini dapat disimpulkan sebagai penjagaan terhadap lima
perkara asas iaitu agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta.
b) Maslahah hajiyah iaitu maslahah yang menjadi keperluan kepada
manusia bagi memudahkannya menjalani kehidupan dan mengelakkan kesulitan serta
kesukaran dalam kehidupan. Namun, ketiadaannya tidaklah membawa kepada
kepincangan seperti tiadanya maslahah
daruriyyah. Contohnya, diberikan rukhsah
kepada orang yang bermusafir untuk berbuka puasa dan melakukan jamak dan qasar.
c) Maslahah tahsiniyyah iaitu maslahah yang menyempurnakan kehidupan
manusia. Sekiranya maslahah ini
tiada, tidaklah membawa kepada ketidaktenteraman dan porak peranda, berbeza
jika tidak dijaga maslahah daruriyyah,
dan tidak juga membawa kesulitan dalam kehidupan manusia seperti ketiadaan maslahah hajiyah. Namun, ketiadaannya
akan membawa kepada ketidaksempurnaan dalam kehidupan. Antara contohnya ialah
menjaga adab ketika makan dan minum dan memakai pakaian yang cantik pada hari
raya.
ii. Sudut umum dan khusus
Selain itu, maslahah juga
boleh dilihat dari sudut ruang lingkup sama ada ia umum atau khusus iaitu maslahah ‘ammah, maslahah aghlabiyyah dan maslahah khassah.
a) Maslahah ‘ammah iaitu maslahah
yang merangkumi seluruh manusia. Contohnya pensyariatan membunuh ahli bid’ah
jika dibimbangi golongan ini akan mempengaruhi umat Islam dengan perbuatan
bid’ah yang mereka lakukan.
b) Maslahah aghlabiyyah
merupakan maslahah yang hanya
melibatkan sebahagian besar manusia sahaja. Contohnya jaminan yang dikenakan ke
atas pengilang terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana yang
berurusan dengan pengilang hanyalah sebahgaian besar manusia sahaja dan
bukannya keseluruhannya.
c) Maslahah khassah pula
adalah maslahah yang merujuk kepada kemaslahatan individu tertentu pada
situasi tertentu. Contohnya adanya kemaslahatan bagi seorang isteri agar hakim
menetapkan keputusan fasakh kerana suaminya hilang.
iii.
Sudut perakuan dan penolakan syarak
Maslahah juga boleh dibahagikan kepada
tiga bahagian jika dilihat dari sudut penerimaan oleh syarak (melalui al-Quran
dan al-Sunnah). Maslahah-maslahah tersebut adalah seperti berikut:-
a)
Maslahah mu’tabarah iaitu maslahah yang sabit
dengan nas atau ijmak. Dengan erti kata lain, maslahah tersebut
diperakui oleh syarak sama ada melalui nas atau ijmak. Contohnya pensyariatan
hukuman had ke atas penzina. Ia bertujuan menjaga keturunan dan nasab manusia
yang terdapat nas al-Quran yang memperakui hukuman tersebut. Firman Allah
S.W.T:
ٱلزَّانِيَةُ
وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬ۖ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat
tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.(Surah an-Nur, ayat 2)
Pada nas di atas, syarak
memperakui hukuman sebat ke atas penzina. Ia bertujuan untuk memelihara
kemaslahatan umat manusia dari segi menjaga keturunan dan ia bertepatan dengan
prinsip maqasid shar’iyyah.
b)
Maslahah mulghah pula adalah maslahah yang
tidak diperakui oleh syarak melalui nas-nas secara langsung. Contohnya
pembahagian sama rata antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta
pusaka. Walaupun pada awal kelihatan ia memberikan kesaksamaan pembahagian
harta pusaka kepada kedua-dua belah pihak, namun ia tidak diiktiraf oleh syarak
berdasarkan firman Allah S.W.T:
c)
يُوصِيكُمُ
ٱللَّهُ فِىٓ أَوۡلَـٰدِڪُمۡۖ لِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَيَيۡنِ
Maksudnya : Allah perintahkan kamu mengenai
(pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak
lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.(Surah an-Nisa', ayat 11)
Pada ayat di atas, Allah
telah menetapkan bahawa dalam pembahagian harta pusaka, lelaki mestilah
memperolehi bahagian yang lebih daripada perempuan dengan nisbah 2:1. Oleh itu,
pembahagian secara sama rata antara lelaki dan perempuan adalah terbatal.
d) Maslahah mursalah iaitu maslahah yang tiada dalil khusus
mengiktirafnya sama ada menerima atau menolak. Ia merupakan antara bentuk yang paling sesuai bagi menggambarkan
nilai fleksibiliti perundangan Islam. Ini kerana terdapat banyak contoh yang
menunjukkan kaedah ini begitu relevan untuk diaplikasikan. Antara contohnya
ialah pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf pada zaman Saidina Abu
Bakar, mengenakan cukai tanah (kharaj)
terhadap tanah pertanian yang dirampas oleh tentera Islam dan tidak
membahagikannya kepada tentera-tentera Islam pada zaman Saidina Umar
al-Khattab.
Semua perkara ini tidak
dinyatakan secara jelas oleh Allah S.W.T melalui nas-nas Al-Quran mahupun hadis
sama ada diperakui atau ditolak.
Kehujahan
Al-Masalih
Al-Mursalah
al-Masalih al-Mursalah
merupakan salah satu dalil yang tidak disepakati di kalangan ahli-ahli usul.
Oleh itu, kehujahan al-Masalih al-Mursalah boleh
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pendapat yang menerima dan pendapat yang
menolak.
1)
Pendapat Yang Menerima
Terdapat beberapa ulama
yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad
bin Hanbal dan juga Imam al-Ghazali. Namun begitu, hanya Imam Malik sahaja yang
menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai
hujah mutlak. Walaupun demikian, golongan yang menerima al-Masalih
al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum amat berhati-hati agar tidak berlaku
pembentukan hukum berdasarkan keinginan dan nafsu.
- Golongan yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum berhujah bahawa seandainya secara tersirat diperakui al-Masalih al-Mursalah tetapi ia tidak diambil kira, maka setiap mukallaf akan mengalami kesulitan sedangkan Allah berfirman:
وَمَا
جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬ۚ
Maksudnya: Dan Dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam agama
suatu kesempitan
(Surah al-Hajj, ayat 78)
Berdasarkan ayat di atas,
dapat dilihat bahawa Allah tidak akan menjadikan kesulitan kepada hambaNya.
Oleh itu, pengeluaran hukum berdasarkan al-Masalih al-Mursalah bertepatan dengan tujuan pensyariatan iaitu untuk menjaga kemaslahatan.
Ini kerana hukum berkaitan permasalahan manusia sering berubah mengikut masa
dan keadaan.
- al-Masalih al-Mursalah telah menjadi amalan para Sahabat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Permasalahan tersebut juga turut merangkumi hak individu. Contohnya isu pengumpulan al-Quran oleh khalifah Abu Bakar. Tujuannya ialah bagi menjaga kemaslahatan umat Islam. Selain itu, khalifah Umar juga telah menjatuhkan hukuman buang daerah ke atas seorang lelaki kerana kerana memiliki rupa paras yang menawan. Ini bertujuan bagi mengelakkan timbulnya fitnah dalam kalangan masyarakat.
- Masalah manusia dan cara merealisasikannya berubah mengikut perubahan masa dan keadaan. Ini kerana nas terhad sedangkan masalah yang dihadapi oleh manusia sentiasa berubah dan berkembang. Permasalahan tersebut memerlukan kepada hukum yang baru apabila menemui sesuatu perkara yang belum pernah dihukumkan sebelumnya. Oleh itu, keperluan kepada al-Masalih al-Mursalah dilihat amat perlu bagi menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia.
- Sekiranya pendekatan al-Masalih al-Mursalah tidak digunakan dalam perkara yang berkaitan menjaga kemaslahatan manusia, maka tujuan disyariatkan perundangan itu tidak akan tercapai kerana perundangan Islam disyariatkan bagi menjaga kemaslahatan dan menyempurnakan hidup manusia. Ini kerana manusia memerlukan panduan dalam kehidupan terutamanya bagi perkara yang baru. Sekiranya al-Masalih al-Mursalah tidak diambil dalam perundangan yang terdapat ruang padanya bagi menjaga kemaslahatan manusia, sudah pasti akan berlakulah kerosakan.
2)
Pendapat Yang Menolak
Selain golongan yang menerima, terdapat juga golongan yang menolak al-Masalih
al-Mursalah sebagai salah satu sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Abu
Hanifah dan juga Imam Syafie. Mereka mempunyai hujah yang tersendiri untuk
menolak al-Masalih al-Mursalah.
- Golongan ini menolak al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum kerana ia akan membuka ruang kepada seseorang untuk mengeluarkan hukum tanpa berpandu kepada nas tetapi berdasarkan hawa nafsu. Ini kerana perkara tersebut tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Oleh itu, seseorang itu tidak terikat dengan nas dalam pengeluaran hukum dan boleh mengeluarkan hukum menurut hawa nafsu.
- Seseorang itu akan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Menurut mereka perkara ini akan mengakibatkan terbinanya hukum yang tidak sepatutnya dalam perundangan kerana tidak terdapat sekatan dalam mengeluarkan hukum berdasarkan al-Masalih al-Mursalah.
iii.
Allah Yang Maha Bijaksana menurunkan syariat yang datang dalam bentuk
nas untuk merealisasikan kemaslahatan kepada manusia. Oleh itu, pembinaan hukum
melalui al-Masalih al-Mursalah menunjukkan bahawa Allah S.W.T meninggalkan sebahagian daripada maslahah
dalam syariat yang diturunkan kepada manusia. Ini menunjukkan bahawa
perundangan yang diturunkan oleh Allah sama ada al-Quran atau al-Sunnah tidak
lengkap.
iv.
Golongan ini juga berhujah bahawa beramal dengan al-Masalih
al-Mursalah akan membawa hukum yang berbeza pada zaman yang berbeza. Perkara ini
akan menafikan sifat umum perundangan yang diturunkan oleh Allah S.W.T
yang ia bersesuaian pada setiap masa dan tempat.
Syarat-Syarat Beramal Dengan Al-Masalih Al-Mursalah
Para ulama telah menetapkan beberapa syarat penggunaan al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum yang tidak disepakati. Namun begitu, terdapat dua perbezaan dalam hal tersebut. Pertamanya, syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama yang menerima dan yang kedua pula bagi ulama yang menolak.
Para ulama telah menetapkan beberapa syarat penggunaan al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum yang tidak disepakati. Namun begitu, terdapat dua perbezaan dalam hal tersebut. Pertamanya, syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama yang menerima dan yang kedua pula bagi ulama yang menolak.
Syarat-syarat ulama yang menerima
Terdapat beberapa syarat yang
ditetapkan oleh ulama yang menggunapakai al-Masalih
al-Mursalah sebagai sumber hukum. Antaranya :
1. Maslahah itu dipastikan wujudnya dan bukan sangkaan (waham) sahaja.
2. Tidak
terdapat dalil yang membatalkannya. Hal ini kerana tidak boleh berijtihad dalam
masalah yang ada nas walaupun tidak ternyata hikmahnya.
3. Maslahah tersebut hendaklah umum bukan khusus kepada sesuatu kelompok sahaja.
4. Maslahah tersebut boleh diterima oleh akal jika diterangkan kepada orang yang
berakal.
5. Digunakan
untuk menjaga keperluan manusia dan menolak kepayahan.
Sebagai contoh, pengumpulan
al-Quran oleh Khalifah Abu Bakar r.a. Perkara ini tidak pernah dilakukan semasa
zaman Rasulullah SAW. Saidina Umar r.a telah mencadangkan kepada Saidina Abu
Bakar r.a supaya nas-nas al-Quran ini dikumpul dan dibukukan di dalam satu mushaf.
Kemudiannya Saidina Abu Bakar telah mengambil kira keadaan semasa iaitu
kebanyakan para penghafal al-Quran telah syahid di medan perang dan
faktor-faktor lain lagi. Maka dengan itu, Zaid bin Thabit r.a telah dilantik
sebagai untuk menulis semula ayat-ayat al-Quran di dalam satu mushaf.
Peristiwa ini menjadi
contoh bahawa maslahah itu wujud dan bukan sangkaan. Sekiranya tidak
dikumpulkan al-Quran dalam satu mushaf kemungkinan besar akan
mendatangkan kepayahan apabila hendak merujuk ayat-ayat al-Quran. Selain itu,
pengumpulan al-Quran itu tidak mempunyai dalil yang menyuruh dan dalil yang
membatalkan. Ia bertujuan untuk memelihara agama Islam.
Di samping itu, pengumpulan
al-Quran merupakan maslahah yang umum dan bukan khusus kepada sesuatu
kelompok. Ini kerana usaha pengumpulan al-Quran bertujuan menjaga kemaslahatan
umat Islam dan bukannya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Dalam kata lain,
usaha tersebut untuk menjaga keperluan umat Islam dan kemulian agama Islam
serta menolak kepayahan.
Oleh itu, jelaslah bahawa
ulama yang mengunapakai maslahah mursalah sebagai sumber hukum bertujuan
untuk menjaga kemaslahatan manusia yang tidak disebut di dalam nas al-Quran dan
al-Sunnah.
Syarat-syarat Ulama Yang
Menolak
Terdapat juga ulama yang tidak
mengambil al-Masalih al-Mursalah sebagai
sumber hukum. Walaupun begitu, terdapat pendapat daripada golongan tersebut
yang menetapkan beberapa syarat yang harus dipenuhi sekiranya dalil ini ingin
digunakan. Antaranya :
1.
Hendaklah maslahah itu di tahap darurat bukan sekadar hajat
sahaja.
2. Kulliyyah bukan juziyyah.
2.
Ketetapan hukum yang boleh dilaksanakan menerusi dalil ini adalah semata-mata
dalam bahagian muamalah bukan perkara ibadah.
3.
Maslahah-maslahah tersebut
tidak berlawanan dengan salah satu daripada tujuan perundangan Islam yang asas.
5. Sesuatu maslahah
itu hendaklah ada dan diyakini di sisi syarak yang boleh memberi manfaat dan
mencegah mudarat.
Misalnya apabila orang kafir
menjadikan tawanan Islam sebagai perisai mereka. Maka, tentera Islam harus
memerangi mereka walaupun terpaksa membunuh dan mengorbankan tawanan Islam bagi
menegakkan kebenaran dan menghancurkan kekufuran. Ini jelas menunjukkan bahawa maslahah
itu di tahap darurat bukan lagi sekadar hajat.
Selain itu, maslahah
tersebut adalah kulliyah dan juziyyah. Ini kerana, sekiranya
tidak dikorbankan tawanan Islam yang dijadikan perisai oleh tentera musuh, berkemungkinan
musuh akan menyerang tentera Islam dan merampas negara Islam. Oleh itu, lebih
banyak kerosakan akan berlaku terhadap agama Islam dan umatnya. Di samping itu,
terpaksa mengorbankan tawanan Islam ini juga bertujuan menjaga asas-asas
perundangan Islam seperti menjaga agama dan nyawa . Hal ini kerana, jika
tidak berbuat demikian dikhuatiri akan mengancam nyawa penduduk Islam yang lain
serta agama Islam tu sendiri.
Dalam kata lain, dengan
mengorbankan tentera Islam yang dijadikan perisai, diyakini di sisi syarak akan
memberi manfaat kepada semua umat Islam yang lain dan mencegah kemudaratan.
Oleh itu, hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di atas, sekiranya
ingin menggunapakai dalil ini sebagai sumber hukum.
Contoh Penggunaan Al-Masalih Al-Mursalah
Contoh-contoh pengunaan al-Masalih
al-Mursalah dalam dilihat dalam beberapa perkara. Antaranya ialah:
1. Pengumpulan
al-Quran yang dilakukan pada era pemerintahan khulafa’ al-rāshidin yang
pertama, Saidina Abu Bakar r.a. Pengumpulan al-Quran ini tidak pernah berlaku
pada zaman Rasulullah s.a.w. Namun begitu, Saidina Umar al-Khattab yang melihat
keperluan terhadap pengumpulan dan pembukuan al-Quran dalam satu mūshaf telah
mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar r.a, melihat kepada perlunya menjaga
al-Quran kerana ia merupakan kalam Allah yang merupakan panduan kepada umat
Islam, Saidina Abu Bakar r.a telah memerintahkan Zaid Ibn. Thabit r.a untuk
menulis semula ayat-ayat al-Quran dalam satu mūshaf. Peristiwa
pembukuan al-Quran ini adalah bagi menjaga kemuliaan al-Quran itu sendiri dari
hilang di samping dapat menjaga kedaulatan agama Islam.
2. al-Masalih al-Mursalah turut digunakan dalam penambahan hukuman terhadap peminum arak. Dalam hadis
Rasulullah s.a.w ada disebut berkenaan hukuman terhadap peminum arak. Contohnya
:
إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن
شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah
mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika
mereka minum lagi, sebatlah mereka
( Riwayat Abu
Daud)
أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر ,
فجلده بجريدتين نحو أربعين
Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum
arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali
(Riwayat Muslim)
Hadis pertama menerangkan
hukuman minum arak iaitu disebat manakala hadis kedua pula menerangkan mengenai
jumlah sebatan yang dikenakan ke atas peminum arak iaitu sebanyak 40 kali
sebatan. Walau bagaimanapun, semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab,
beliau telah menggandakan hukuman terhadap peminum arak kepada 80 kali sebatan.
Ini berdasarkan konsep maslahah bagi menjaga akal. Ini kerana, apa
seseorang itu meminum arak, ia akan kehilangan kewarasan akal.
3. Pendapat
Ibn Abi Laila yang membolehkan kanak-kanak menjadi saksi dalam kes yang
melibatkan kecederaan yang terjadi antara mereka di tempat mereka bermain
seperti padang permainan dan lain-lain. Kanak-kanak dibolehkan menjadi saksi
pada masa ini kerana mereka biasa ke tempat ini dan jarang bercampur dengan
orang yang layak menjadi saksi. Maka, dengan menggunakan al-Masalih
al-Mursalah ini, iaitu bagi menjaga kemaslahatan terhadap nyawa, kanak-kanak
diberikan kelayakan untuk menjadi saksi dalam masalah ini agar ia selaras
dengan maqāsid shari’ah bagi memenuhi jaminan orang ramai tidak mengira
peringkat umur. Walaupun pada asalnya pembawaan saksi hanyalah terhad terhadap
mereka yang telah mencapai umur baligh dan berakal, namun, bagi mengelakkan
kesalahan dan kecederaan yang dilakukan oleh kanak-kanak terbabit dilepaskan
begitu sahaja, penyaksian kanak-kanak perlu diambil kira. Ini perlu agar
perbicaraan dapat dilaksanakan dan hukuman yang setimpal dapat diambil.
Tindakan menerima penyaksian ini bertepatan dengan tujuan menjaga kemaslahatan
jiwa, di samping dapat mengelakkan individu yang bersalah mengulangi kesalahan
yang dilakukannya kerana merasakan tidak akan dikenakan tindakan.
4.
Pengumpulan hadis dan ilmu yang berkaitan
dengan hadis dibukukan. Menurut Ibn ‘Asākir apabila dilihat pada akal,
pengumpulan ini seolah-olah merosakkan adab sebagai orang Islam kerana
melakukan perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi. Namun tujuan pengumpulan
hadis ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan hadis-hadis yang amat berguna ini
hilang begitu sahaja. Oleh itu, mereka bertekad untuk mengumpulkannya agar ia
dapat dijadikan bukti ataupun panduan dalam mengistinbat sesuatu hukum. Maka,
mereka mula membukukan hadis Nabi ini dengan menyusun ilmu-ilmu berkaitan
dengan hadis ini mengikut bab bagi memudahkan orang ramai mempelajarinya dan
dapat juga mengelakkan manusia daripada mengambil hadis yang tidak benar.
Pengumpulan hadis ini sama seperti pengumpulan al-Quran yang pada asasnya
adalah untuk kemaslahatan agama agar sumber perundangan ini tidak hilang begitu
sahaja dan ia juga memudahkan manusia untuk mengistinbat hukum berdasarkan
dalil-dalil yang sahih. Namun begitu, pengumpulan hadis ini pada zahirnya
dilihat bercangah dengan sabda baginda.
لا تكتبوا عني ومن كتب عني القرأن
فليمحه
Maksudnya: Jangan kamu tulis sesuatu yg telah kamu terima dariku selain Al-Quran. Barang siapa menulis sesuatu dariku selain Al-Quran hendaklah ia memadamnya.
Berdasarkan hadis di atas,
Baginda Rasulullah s.a.w melarang penulisan hadis apatah lagi untuk
mengumpulkannya. Namun begitu, ulama menyatakan bahawa, larangan penulisan
hadis ini hanyalah ketika era permulaan Islam. Pada ketika itu, iman umat Islam
masih lemah dan dikhuatiri akan tertukar dengan ayat-ayat al-Quran. Namun
begitu, selepas berlalunya zaman Sahabat, para tabiin melihat keperluan untuk
mengumpulkan hadis ini dalam sebuah kitab. Di mana, ia bagi menjaga agama
daripada diporakperandakan oleh golongan-golongan yang suka mencipta hadis
palsu dan mereka yang tidak mempercayai hadis.
5.
Antara fatwa kontemporari pada hari ini yang
menggunakan al-Masalih al-Mursalah adalah berkenaan dengan hukum merokok. Dalam bab merokok, tiada sebarang
nas yang membolehkan atau melarang perbuatan itu. Oleh yang demikian, bagi
mereka yang mengharuskan menghisap rokok, telah menggunakan dalil bahawa asal
sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang menyatakan sebaliknya. Namun
begitu, melihat kepada kemudharatan yang dibawa oleh rokok itu, ramai ulama
yang memfatwakan haram menghisap rokok. Ini kerana, merokok bukan sahaja
membahayakan kesihatan diri sendiri, malah turut memudaratkan kesihatan mereka
yang berada disekeliling perokok tersebut disamping turut melakukan pembaziran
wang dengan menyalurkannya ke jalan yang sia-sia. Dalam kes ini, jelas
penggunaan al-Masalih al-Mursalah sebagai dalil pengeluaran hukum haram merokok dengan matlamat untuk
menjaga nyawa, diri dan harta.
Kesimpulan
Kesimpulannya al-Masalih
al-Mursalah merupakan sumber hukum yang tidak disepakati dan berperanan dalam
menetapkan hukum-hukum yang tidak ada peruntukan nas al-Quran dan Hadis. Hal
ini kerana wujudnya permasalahan baru yang memerlukan kepada penetapan hukum. al-Masalih
al-Mursalah ini juga tidak ada nas yang menolak dan nas yang menerima. Melaluinya hukum dapat ditetapkan mengikut piawaian
semasa dalam konteks masyarakat hari ini. Di samping
itu, kesepakatan jumhur dalam menerima kaedah ini sebagai salah satu dalil
untuk menetapkan hukum berkenaan maslahah tertentu kecuali perkara ibadat. Hal
ini kerana perkara ibadat telah diperuntukkan nas baginya. Tambahan lagi, dalil
ini bertujuan menjaga lima perkara utama dalam agama iaitu menjaga agama, akal,
nyawa, harta dan maruah. Hal ini kerana dengan terjaga lima perkara utama
tersebut manusia akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Oleh itu, al-Masalih al-Mursalah merupakan salah
satu dalil sumber hukum tidak disepakati yang sesuai diamalkan pada masa kini
supaya hukum-hukum yang ditetapkan selari dengan maslahah dan suasana
masyarakat Islam pada hari ini serta tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Rujukan
Al-Quran
Abd Karim Zaydan. 2009. al-Wajiz fi Usul Fiqh. Beirut: Resalah
Publisher
Al-Buti
Muhammad Said Ramadhan. 2000. Dawabit
al-Maslahah fi shari’ah al- Islamiyyah. Beirut: Resalah Publisher.
Badran Abu Ainin Badran. 1965.
Usul al-Fiqh. Mesir,: Dar al- Maarif.
Dr. Wahbah Zuhailli. 1998.
Usul al-Fiqh al-Islami. Jilid 2. Damsyik: Dar al-Fikr.
Dr. Wahbah
Zuhaili. 2000. Usul al-Taqrib Baima al-Mazahib al-Islamiyyah. Damsyik:
Dar al-Maktabi.
H.Said Agil
Husin al-Munawar. 1998. Konsep al-Maslahah Sebagai Salah Satu Sumber
Perundangan Islam Dalam Jurnal Islamiyyat. Jilid 18&19. Bangi: Ukm.
Ibn Manzur. t.t. Lisan al-Arab. Beirut : Dar al-Fikr.
Mohd Amin al-Jarumi. 2005. Pembuktian Dalam Syariat
Islam. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti
teknologi Mara.
Mohd. Saleh Ahmad.
1999. Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Abdul
Majid.
Muhammad
Ahmad Burkab. 2002. Al-Masalih
al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Dubai: Dar al-Buhuth.
Prof. Madya Dr. Abdullah Ishak. 1997. Sumber Perundangan Islam dan
Tanggungjawab Muslim. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan
Perdana Menteri.
Ramadhan
Abdul Wadud. 1987. Al-Ta’lil bi
al-Maslahah ‘Inda al-Usuliyyin. Kaherah: Dar al-Huda Li al-Taba’ah.
Zakiyy al-Din Sha’ban, Usul
al-Fiqh Islami, Beirut, Lubnan, Matobi’ Dar al-Kutub.
Rosmawati Ali. 1997. Pengantar
Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Muhammad
Ahmad Burkab. 1994. Al-Masalih
al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Beirut, Lubnan: Kuliyyah
al-Imam al-Auzai’ li Dirasa tal-Islamiyyah.
Terima kasih kepada pemilik penulisan ini, saya upload sebagai rujukan..maaf dah lupa ambil dari mana..
Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)