My Home

Followers

Rabu, 6 Mei 2015

MEMAHAMI UNDANG-UNDANG KETERANGAN ISLAM



MEMAHAMI UNDANG-UNDANG KETERANGAN ISLAM

Zulkifli Hasan


1.0           Pendahuluan

Undang-undang keterangan Islam merupakan cabang ilmu yang perlu difahami secara mendalam terutamanya pengamal undang-undang seperti peguam, hakim, pendakwaraya, polis, penguatkuasa agama termasuk mufti dan penggubal undang-undang. Kesedaran masyarakat mengenai konsep undang-undang keterangan juga perlu diberi perhatian memandangkan kerap kali isu-isu berkaitan dengan pertuduhan di mahkamah disalah fahami dan akhirnya menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak sepatutnya berlaku. Kes penayangan, pengedaran dan penghebahan video seks misalnya melibatkan kekeliruan bukan sahaja dikalangan masyarakat umum malahan cerdik pandai berkenaan dengan beban bukti yang diterima pakai dalam Islam. Berdasarkan kekeliruan dan kurang fahaman ini, penulis ingin berkongsi sedikit pengetahuan berkaitan dengan konsep undang-undang keterangan di dalam konteks peruntukan undang-undang di Malaysia.

2.0           Sejarah Undang-Undang Keterangan Islam Di Malaysia

2.1           Sebelum Kemerdekaan

Pada awal abad ke limabelas pengaruh agama Islam mulai menguasai Tanah Melayu melalui aktiviti pedagang arab yang datang untuk berniaga dan menyebarkan Islam. Melaka pada masa itu menjadi pusat perdagangan terkemuka dan menjadi pusat kegiatan ekonomi antarabangsa. Oleh kerana faktor Melaka yang strategik itulah maka Islam dapat disebarkan dengan berkesan hinggakan dapat mengIslamkan seluruh tanah Melayu dalam masa yang amat singkat.

Merujuk kepada undang-undang keterangan sebelum kemerdekaan, mahu tidak mahu kita perlu merujuk kepada perkembangan undang-undang Melaka dan kanun-kanun negeri yang lain. Kewujudan undang-undang ini jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam khususnya Undang-undang keterangan Islam telah dilaksanakan lebih ratusan tahun yang lalu.

Undang-undang Melaka mengandungi 44 Bab yang terdiri daripada Undang-undang Melaka Tulen, Undang-undang Laut, Perkahwinan Orang Islam, undang-undang Jualan dan keterangan, undang-undang negeri dan undang-undang Johor. Undang-undang Pahang menggariskan beberapa peraturan berkaitan muamalat seperti urusniaga dan jaminan, undang-undang jenayah


dan denda, Obligasi Asasi Keagamaan., dan testimoni dan Pensaksian. Di Kedah peruntukan Undang-undang Datuk Seri Paduka Tuan menyebut bahawa pencuri, perompak, penyabung ayam, pengedar candu, penjudi, pemuja pokok dan batu, pemabuk, segala perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan perintah Allah dan mesti dilaporkan kepada penghulu. Undang-undang Syariah di Johor banyak terpengaruh dengan undang-undang Islam yang disusun di Turki dan Mesir di mana Majallah Ahkam telah dijadikan sebagai Majallah Ahkam Johor dan Hanafite Code of Qadri Pasha telah disesuaikan sebagai ahkam syariyah Johor.

Walaupun pada dasarnya undang-undang ini tidak secara langsung menyebut undang-undang keterangan tetapi secara tidak langsung dapat difahami bahawa perlu adanya satu undang-undang untuk membuktikan setiap kes yang didengari di hadapan hakim atau kadhi. Ini terbukti dengan adanya bahagian akhir undang-undang Melaka yang menyentuh rukun-rukun berkaitan dengan undang-undang keterangan. Bab 35 menyentuh mengenai pemberitahuan. Bab 37 rukun-rukun mengenai testimoni saksi dan kesahihannnya. Bab 38 rukun-rukun mengenai prosedur dan melakukan angkat al-yamin.

Kedatangan Portugis, Belanda dan pemerintahan Jepun tidak banyak mempengaruhi undang-undang di Malaysia. Pemerintahan British telah mempengaruhi sebahagian besar aplikasi undang-undang Islam. Undang-undang Inggeris telah mula masuk melalui Piagam Keadilan 1807 dan diikuti dengan beberapa undang-undang Inggeris yang diamalkan. British telah memisahkan bidang kuasa di dalam pentadbiran kerajaan di antara aspek kenegaraan dan keagamaan. Akibatnya undang-undang Islam hingga kini hanya merujuk kepada aspek perkahwinan, perceraian, harta pusaka dan pewarisan, amalan agama manakala aspek yang lain seperti undang-undang komersial, kontrak, diletakkan di bawah undang-undang sivil.

Sehubungan dengan itu juga, undang-undang keterangan Islam di Malaysia semakin tidak diaplikasikan. Terdapat kes-kes di mana undang-undang keterangan Islam diketepikan dan prinsip-prinsip undang-undang Inggeris digunapakai. British telah membawa masuk Akta Keterangan 1950 untuk dilaksanakan di Malaysia. Akta Keterangan 1950 ini adalah bermodelkan Akta Keterangan India 1872 yang telah digubal oleh Sir James Stephen. Akta Keterangan ini merupakan usaha beliau untuk mengkodifikasikan prinsip-prinsip undang-undang Common Law di dalam satu Akta. Setelah itu, undang-undang keterangan Islam semakin dilupakan dan tidak diamalkan dalam erti kata yang sebenarnya. Ianya diletakkan di dalam kes-kes tertentu meliputi hal ehwal kekeluargaan dan pentadbiran harta Islam.


2.2           Selepas Kemerdekaan

Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Namun demikian undang- undang Islam hanya berkaitan mengenai keluarga, warisan dan terhad kepada orang-orang Islam. Jika kita merujuk kepada kes-kes yang diputuskan di Mahkamah di Malaysia ada terdapat beberapa kes lama yang merujuk kepada undang-undang keterangan Islam. Namun begitu ianya tidak menjadi rujukan wajib Mahkamah dalam menentukan sesuatu kes. Mahkamah sivil akan mengggunakan Akta Keterangan 1950 manakala Mahkamah Syariah melaksanakan undang-undang keterangan Islam yang diperuntukkan di bawah enakmen keterangan syariah negeri masing-masing.

Pada tahun 1988, Perkara 121 perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menyebut di fasal (1A) maksudnya Mahkamah Tinggi Sivil tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Sebelum pindaan dibuat terdapat banyak kes di mana Mahkamah Sivil telah membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan adakalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah.

Kesan daripada itu juga, penyusunan semula hal ehwal pentadbiran agama Islam di negeri-negeri telah diasingkan di antara kuasa majlis Agama Islam, Mufti dan mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah diadakan di tiga peringkat Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Rayuan boleh dibuat dari Mahkamah Rendah Syariah kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan dari Mahkamah Tinggi Syariah ke Mahkamah Rayuan Syariah.

Bidang kuasa Mahkamah Syariah sangat terbatas dan hanya terpakai kepada orang Islam. Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, pindaan 1984 memperuntukkan Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih RM5000.00 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu. Jika dilihat, bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Magistret Kelas 1 yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda $10,000 atau sebat dua belas pukulan atau gabungannya.

Secara ringkasnya, kini di Malaysia terdapat dua undang-undang keterangan iaitu Akta Keterangan 1950 dan Enakmen atau Akta Keterangan Mahkamah Syariah negeri-negeri. Akta Keterangan 1950 digunapakai di Mahkamah Sivil. Ianya diambil keseluruhannya dari Akta Keterangan India 1872 yang telah


digubal oleh Sir James Stephen. Manakala undang-undang keterangan Islam digubal berlandaskan sumber-sumber perundangan Islam seperti al-Quran, al-Sunnah, Ijma, Qiyas, Kitab Fiqh dan pandangan para fuqaha dengan mengambil kira keadaan semasa di Malaysia.

3.0           Pembuktian Di dalam Undang-undang Keterangan Islam

Secara umumnya undang-undang keterangan berfungsi sebagai kaedah untuk menentukan fakta dan bukti yang boleh dikemukakan di dalam mahkamah. Undang-undang keterangan Islam di Malaysia diperuntukkan di dalam enakmen keterangan Mahkamah Syariah negeri-negeri. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 misalnya mempunyai 131 seksyen. Seksyen ini dibahagikan kepada beberapa Bahagian iaitu Bahagian 1 Kerelevenan, Bahagian 2 Pembuktian, Bahagian 3 Pengemukaan dan Kesan Keterangan dan Bahagian 4 Peruntukan Am. Enakmen ini juga dibahagikan kepada beberapa Bab iaitu di bawah Bahagian 1 terdapat Bab Permulaan, Qarinah. Di Bahagian 2 terdapat Bab Fakta yang Tidak Perlu Dibuktikan dan Bab Keterangan Lisan, Dokumentar dan dokumen awam. Di Bahagian 3 terdapat Bab Beban Membuktikan, Saksi, Pemeriksaan Saksi dan peruntukan Khas Berhubungan dengan Testimoni Saksi.

Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 mempunyai 132 seksyen. Seksyen ini dibahagikan kepada beberapa Bahagian iaitu Bahagian 1 Kerelevenan, Bahagian 2 Pembuktian, Bahagian 3 Pengemukaan dan Kesan Keterangan dan Bahagian 4 Peruntukan Am. Enakmen ini juga dibahagikan kepada beberapa Bab iaitu di bawah Bahagian 1 terdapat Bab Qarinah. Di Bahagian 2 terdapat Bab Fakta yang Tidak Perlu Dibuktikan dan Bab Keterangan Lisan, Dokumentar dan dokumen awam. Di Bahagian 3 terdapat Bab Beban Membuktikan, Saksi, Pemeriksaan Saksi dan peruntukan Khas Berhubungan dengan Testimoni Saksi. Kesemua peruntukan Akta ini hampir sama dengan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003 termasuk susunan seksyennya. Cuma kelainannya ialah pada seksyen 131 di mana Akta ini menyebut bahawa Akta Keterangan 1950 yang digunapakai di Mahkamah Sivil tidak terpakai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Bagi menjelaskan konsep dan aplikasi undang-undang keterangan Islam, bahagian 3.1 di bawah akan membincangkan secara ringkas konsep al-Bayyinah, al-Iqrar, al-Shahadah. al-Yamin dan al-Qarinah. Artikel ini akan menerangkan kedudukan kaedah-kaedah pembuktian tersebut berdasarkan hukum syarak dan peruntukan serta amalannya di Mahkamah Syariah. Konsep-konsep undang-undang keterangan ini menjadi asas kepada kaedah pembuktian demi menegakkan keadilan dan dalam masa yang sama hak dan digniti individu dipertahankan.


3.1           Konsep al-Bayyinah (Keterangan) dan Kategori Pembuktian

Bagi memahami undang-undang keterangan Islam, konsep al-Bayyinah wajib difahami terlebih dahulu. Al-Bayyinah atau keterangan membawa maksud yang sangat luas dan ini merangkumi pelbagai bentuk pembuktian. Ibn Qayyim telah menjelaskan konsep al-Bayyinah dengan merujuk segala sesuatu yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran dan ini termasuk al-Shahadah, al-Iqrar, al-Yamin dan al-Qarinah. Konsep ini merupakan intipati daripada ayat 25 Surah al-Hadid yang bermaksud ““Demi sesungguhnya kami telah utuskan rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan (al-bayyinat) yang nyata”. Bertepatan dengan takrifan di atas, enakmen keterangan Mahkamah Syariah juga menjelaskan al-Bayyinah’ sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah al-qarinah. Dari sudut aspek kategori pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah, al-Yamin dan al-Qarinah.

Pembuktian Melalui al-Iqrar (Pengakuan)

Al-Iqrar merupakan pembuktian yang mendapat kedudukan tertinggi dalam undang-undang keterangan Islam. Ianya merujuk kepada pengakuan seseorang dengan kerelaannya sendiri tanpa ada paksaan atau pengaruh pihak lain. Di dalam enakmen keterangan Mahkamah Syariah al-Iqrar merujuk kepada suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap mana-mana orang lain berkenaan dengan sesuatu hak. Pembuktian al-Iqrar hanya boleh diterima pakai sebagai sabitan sekiranya ia dibuat di dalam Mahkamah, dihadapan Hakim atau di luar mahkamah di hadapan dua orang saksi yg aqil, baligh dan ‘adil. Sekiranya ada bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa terdapat elemen paksaan atau ugutan pada al-Iqrar, ianya akan tertolak dan tidak diterima sebagai sabitan.

Pembuktian Melalui al-Shahadah (Kesaksian)

Selepas al-Iqrar, al-Shahadah merupakan pembuktian yang tinggi kedudukannya dalam undang-undang keterangan Islam. Al-Shahadah secara umumnya bermaksud perkhabaran tentang sesuatu dengan lafaz yang khusus iaitu lafaz asyhadu (aku bersaksi). Enakmen keterangan Mahkamah Syariah menerima apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz “asyhadu” untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan sebagai al-Shahadah. Al-Shahadah dalam kes zina memerlukan empat orang saksi lelaki yang adil dan di dalam kes hudud yang lain 2 saksi lelaki yang adil sudah memadai. Manakala di dalam kes taazir, bilangan saksi yang diterima pakai sebagai pembuktian terpulang mengikut peruntukan


undang-undang yang telah digubal. Saksi yang tidak memenuhi syarat al-Shahadah seperti aqil, adil, baligh, bilangan saksi, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka walaupun tidak diiktiraf sebagai al-Shahadah bagi maksud sabitan kes masih boleh diterima keterangan mereka atas dasar al-Bayyinah.

Pembuktian Melalui Al-Yamin (Sumpah)

Al-yamīn ditakrifkan sebagai suatu lafaz yang digunakan untuk menyatakan (mensabitkan) haknya terhadap sesuatu perkara atau menafikan sesuatu perkara di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah S.W.T atau sifat-sifatNya. Perlu ditekankan di sini al-yamīn hanya terpakai dalam kes mal (sivil) dan tidak boleh dilaksanakan di dalam kes jenayah seperti zina dan qazaf. Enakmen keterangan Mahkamah Syariah memperuntukkan bahawa keterangan hendaklah diberikan oleh plaintif terlebih dahulu dan jika defendan menafikan tuntutan terhadapnya barulah al-Yamin boleh dilaksanakan bersesuaian dengan hukum syarak. Jika defendan melaksanakan al-Yamin tuntutan yang dibuat oleh plaintif hendaklah ditolak dan jika defendan enggan berbuat demikian maka Mahkamah bolehlah meminta plaintif bersumpah al-Yamin dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.


Pembuktian Melalui Al-Qarinah (Keterangan Keadaan)

Abdul Karim Zaydan menafsirkan qarinah sebagai salah satu bukti yang boleh enentukan kewujudan atau ketakwujudan sesuatu isu. Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah menjelaskan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan ini termasuk dokumen-dokumen, fakta-fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari.

Penerimaan pembuktian melalui kaedah saintifik adalah selari dengan roh prinsip Islam yang terdapat di dalam beberapa ayat al-Qur'an. Sebagai contoh kaedah pembuktian melalui teknologi cap jari telah dirakamkan oleh Allah Subhanahuwataala di dalam Surah al-Qiyamah, ayat 3-4 yang bermaksud "Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-belulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya) segala tulang jari-jemarinya dengan sempurna". Ini disokong di dalam ayat 7 Surah al-Anbiya' yang menyeru untuk merujuk kepada orang yang lebih berpengetahuan dalam bidang tertentu. Rasulullah SAW juga menerima al-


qarinah sebagai salah satu metod pembuktian di dalam kes penentuan nasab keturunan.

4.0           Kesimpulan

Memahami konsep al-Bayyinah dalam konteks undang-undang keterangan Islam merupakan satu kewajipan kepada pengamal undang-undang. Masyarakat pula sekurang-kurangnya perlu mempunyai kesedaran dan kefahaman mengenai konsep asas undang-undang keterangan Islam bagi mengelakkan perselisihan dan adu domba yang boleh memporak-porandakan keadaan.



Di dalam Islam pembuktian yang diterima pakai sebagai sabitan ialah al-Iqrar dan al-Shahadah. Kedua-dua bentuk pembuktian ini mempunyai kedudukan yang paling tinggi berbanding dengan kaedah lain sama ada al-Yamin dan al-Qarinah. Al-Yamin hanya diterima sebagai sabitan dalam kes sivil dan ditolak dalam kes jenayah. Manakala al-Qarinah atau pembuktian melalui fakta dan keadaan keterangan seperti bukti forensik, DNA, cap jari memerlukan bukti sampingan yang menyokong satu sama lain untuk sabitan. Sabitan kes melalui pembuktian al-Qarinah tidak diterima pakai dalam kes hudud dan qisas tetapi ianya boleh diterima di dalam kes taazir.

Perlu diingatkan bahawa walaupun al-Qarinah melalui keterangan forensik sama ada ujian DNA, ketulenan video atau gambar, cap jari dan sebagainya boleh diterima pakai sebagai bukti sempingan ianya hanya menjadi sebahagian daripada al-Bayyinah. Kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah adalah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin. Namun demikian, ianya masih boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan (beyond reasonable doubt) dalam kes taazir.




Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)