My Home

Followers

Sabtu, 9 Mei 2015

Apakah yang dikatakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan (1997) A559



PENDAHULUAN
Sebagai pengenalan, jenayah adalah fenomena sosial dan ekonomi dalam masyarakat yang berlaku apabila individu gagal mematuhi pola sosial tingkah laku yang diterima oleh masyarakat.Undang-undang berkaitan dengan jenayah dikenali sebagai undang-undang jenayah. Istilah bahasa inggeris, crime, berasal daripada perkataan Greek krimos yang bermaksud peraturan sosial. Menurut Garafalo,  jenayah adalah ‘an immoral and harmful act that is regarded as criminal by public opinion’[1]. Ringkasnya, jenayah adalah tingkah laku antisosial yang merbahaya dan bertentangan dengan nilai  moral masyarakat. Ia adalah tingkah laku yang dianggap salah kerana melanggar kepentingan sosial dan hak awam. Menurut House of Lords dalam kes Board of Trade v. Owen (1957), jenayah adalah ‘an unlawful act or default which is an offence against the public and renders the person guilty of the act liable to legal punishment’[2]. Untuk melindungi hak awam, kerajaan melalui undang-undang jenayah akan membawa pesalah ke muka pengadilan. Kesalahan jenayah berbeza mengikut masyarakat.Sikap masyarakat mengenai persoalan moral mencerminkan perubahan pandangan masyarakat mengenai kesalahan jenayah.Jenayah dari perspektif undang-undang sivil sangat relatif kepada masa, tempat, keperluan, kehendak dan nilai-nilai dalam sesebuah masyarakat.
Manakala dari sudut pandangan Islam pula jenayah didefinisikan sebagai tingkah laku yang menyalahi hukum syarak dan hukumannya telah ditentukan. Klasifikasi kesalahan jenayah syariah ialah hudud.qisas dan takzir. Hudud adalah hukuman yang ditetapkan dalam quran. Contoh kesalahan yang dikenakan hukuman hudud ialah zina,tuduhan palsu berzina, minum arak, mencuri, rompakan berkumpulan dan bersenjata, murtad dan memberontak.Qisas juga merupakan hukuman ditetapkan dalam Quran.Contoh kesalahan yang dikenakan hukuman qisas ialah bunuh dengan sengaja, disyaki membunuh dengan sengaja, membunuh akibat kesilapan, mencederakan atau bertindak ganas dengan sengaja atau tidak sengaja. Manakala takzir merupakan kesalahan yang hukumannya tidak  ditetapkan dalam Quran. contoh kesalahan takzir ialah rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan, hukumannya terpulang kepada budi bicara hakim. misalnya hukuman penjara.Hukuman boleh jadi lebih ringan atau lebih berat daripada hukuman hudud atau qisas.
Mahkamah Syariah di Malaysia hanya  mempunyai bidang kuasa yang terhad.Mahkamah tidak boleh membicarakan kes jenayah hudud.Namun ada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri yang memperlihatkan kesungguhan pihak berwajib untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam dengan memasukkan kesalahan hudud di bawah kesalahan takzir.Kebanyakan Mahkamah Syariah negeri lebih  mengutamakan hukuman denda  daripada penjara atau sebat walaupun hukuman tersebut diperuntukkan.  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 1994 – Hakim boleh denda maksimum RM5000, penjara 3 tahun, sebat 6 kali. Hanya Kelantan yang telah menyediakan garis panduan mengenai bagaimana cara hukuman sebat dijalankan.Antara kesalahan yang termaktub di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 (A559) ialah Sumbang mahram, menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab.Mempersenda atau menghina ayat Al Quran atau hadis.Makan,minum, menghisap rokok di bulan ramadan.Berjudi atau berada di rumah judi.Lelaki yang berlagak seperti perempuan.Menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam[3].
Penulisan ini akan meninjau dengan lebih khusus tentangapakah yang dikatakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 (A559) meliputi sejarah awal,  pemakaian undang-undang jenayah islam serta  bahagian-bahagiannya.
SEJARAH AWAL
Sejarah Penubuhan Wilayah Persekutuan, Labuan Dan Putrajaya
Wilayah Persekutuan ialah wilayah yang ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan Malaysia dan ditadbir di bawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan.Tidak seperti negeri-negeri lain bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan tidak diperintah oleh kerajaan negeri, sebaliknya terletak di bawah pentadbiran Persekutuan dan diperintah oleh Yang di-Pertuan Agong.Terdapat tiga bahagian dalam Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Daripada ketiga-tiga bahagian ini, Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan, Labuan merupakan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (IBFC) manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran Persekutuan.
Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara Malaysia telah ditubuhkan menjadi Wilayah Persekutuan pada tanggal 1 Februari 1974. Bermula dari tarikh itu hingga kini pentadbiran Kuala Lumpur dipindahkan dari Negeri Selangor dan diletakkan terus di bawah Kerajaan Pusat serta diurus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku PBT tunggal yang mentadbir bandaraya itu. Kuala Lumpur merupakan pusat perundangan dan menempatkan Bangunan Parlimen. Pada 16 April 1984, Labuan yang dahulunya sebahagian daripada pentadbiran Sabah pula dibawa masuk kedalam Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Labuan. Pada 1 Februari 2001, Putrajaya yang dibangun untuk menjadi pusat pentadbiran yang baru telah mengikuti Kuala Lumpur dan Labuan dengan menjadi yang ketiga menyertai Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya.
Pembentukan Kabinet baru pada 27 Mac 2004 oleh Perdana Menteri Malaysia ke 5, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah disertakan dengan pembentukan sebuah Kementerian yang baru iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). DBKL, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya melapor terus kepada Kementerian ini berbanding sebelumnya ke Jabatan Perdana Menteri.Kementerian ini mengambil alih tugas dan bertanggungjawab memberi tumpuan khusus terhadap kemajuan diseluruh Wilayah Persekutuan.
Semasa Sukan Malaysia di Kedah pada tahun 2006, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah disatukan ke dalam satu kontinjen tunggal yang mewakili Wilayah Persekutuan seluruhnya.[4]
Perundangan Islam Di Malaysia : Era Kesultanan Melayu
Adapun Islam mula bertapak di rantau nusantara kira-kira pada abad 13 dan di Melaka lewat satu kurun kemudian. Di zaman pemerintahan Melaka, suatu undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka,telah diperkenalkan dan diterima pakai sebagai undang-undang Islam. Walaupun ia banyak merujuk kepada undang-undang adat dan bukannya semuanya Islam,namun ia sudah cukup untuk membuktikan undang-undang Islam berada di tahap tertinggi ketika itu. Sebenarnya Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka merupakan hasil rujukan daripada teks Abu Shuja’ at-Tariq danFath al-Qarib oleh Ibn Qasin al-Ghazzi. Malah undang-undang ini juga dikatakan mengandungi perundangan Islam dan ianya terdiri daripada Undang-undang Melaka Asal, Undang-undang Laut, Undang-undang Keluarga dan Undang-undang Jual Beli. Di Perak, terdapat Undang-undang 99 Perak. Bagi negeri Terengganu, undang-undang Islam telah ditadbir dengan berkesan di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin II.Bagi negeri Johor, Majallah Al-Ahkam dari Turki telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan dipakai di Johor. Malah pada akhir abad ke 19,Perlembagaan Johor melalui Artikel 2 menyatakan dengan jelas bahawa raja yang terpilih hendaklah bangsa Melayu berdarah raja,laki-laki dan beragama Islam.Malah agama Islam diiktiraf sebagai agama rasmi bagi Johor.
Boleh dinukilkan di sini bahawa sebelum penjajahan Inggeris, kuasa Sultan atau Raja adalah meliputi semua perkara termasuklah adat istiadat Melayu dan persoalan agama Islam.Didapati bahawa sebahagian kuasa pentadbiran ketika itu ditentukan melalui autoriti Sultan sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam di negeri masing-masing begitu juga dengan kuasa eksekutif juga ditangan mereka. Melihat kepada bukti-bukti sejarah,memang menjadi kenyataan bahawa undang-undang Islam merupakan undang-undang utama di Tanah Melayu. Ini dapat dibuktikan dalam satu kes iaitu Sheikh Abdul Latif & Others lwn Shaikh Elias Bux, mahkamah memutuskan undang-undang yang terpakai kepada orang Islam pada masa itu adalah undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat tempatan.Dalam satu kes terpenting, Ramah lawn Laton, mahkamah semasa penjajahan Inggeris menerima hakikat bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang tempatan Tanah Melayu, malah undang-undang Islam mestilah diberi pengiktirafan oleh mahkamah.Walaubagaimanapun, pada pandangan penulis, skop undang-undang Islam yang dimaksudkan hasil dari penghakiman tersebut bukannya meliputi keseluruhan undang-undang Islam tetapi hanya meliputi persoalan tertentu sahaja melibatkan undang-undang diri dan prosedural sahaja.
Sejarah juga telah membuktikan Perjanjian Pangkor 1874 menjadi titik bermulanya penasihat British di Tanah Melayu secara rasmi.Pengaruh undang-undang Inggeris mula menular selepas pihak Inggeris memperkenalkan sistem penasihat British atau Residen melalui perjanjian dengan Sultan atau Raja di negeri Tanah Melayu.Penasihat Inggeris telah campur tangan dalam semua urusan pentadbiran kecuali dalam urusan agama Islam dan adat Melayu.Ini menyebabkan skop undang-undang Islam disempitkan sehingga agama Islam hanya diterima pakai dan tertumpu dalam hal-hal berkaitan kekeluargaan yang melibatkan persoalan prosedur dan pentadbiran sahaja.
Kemasukan Perundangan Inggeris
Pada pandangan penulis, kemasukan undang-undang Inggeris ke Tanah Melayu berdasarkan kepada 3 cara utama. Pertama melalui statut Inggeris yang diperkenalkan di Tanah Melayu. Diantara undang-undang yang diterima pakai ialah Kanun Jenayah(Penal Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment). Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam yang berkaitan dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya. Kes yang berkaitan dengan masalah ini ialah seperti dalam kes PP lwn White. White asalnya adalah Kristian dan dia telah berkahwin dengan seorang perempuan Kristian.Kemudian semasa isterinya masih hidup,dia telah berkahwin dengan seorang Islam dan dia turut menganut Islam. Dia telah dituduh melakukan kesalahan bigami di bawah Kanun Keseksaan kerana dikatakan White masih terikat dengan syarat monogami perkahwinan yang pertama. Jika ditinjau berdasarkan kes ini, jelas menunjukkan undang-undang Islam telah diketepikan. Undang-undang Islam tidak melarang poligami tetapi mahkamah mengikut peruntukan berdasarkan Kanun Keseksaan walaupun White telah memeluk Islam ketika itu.
Konsep Duluan Mengikat
Cara kedua ialah melalui keputusan hakim atau secara lebih tepat melalui konsep duluan mengikat. Umum mengetahui bahawa dalam amalan Common Law, keputusan mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah bawahan dan keputusan sebelum mengikat keputusan mahkamah selepasnya.Namun apa yang hendak dibincangkan,hakim yang mendengar kes di Mahkamah Sivil berkelulusan England dan lazimnya akan merujuk kepada perundangan Inggeris sekiranya wujudnya masalah yang tidak boleh diselesaikan mengikut undang-undang bertulis.Pada satu ketika,usaha telah dibuat untuk meringankan bebanan hakim-hakim Mahkamah Sivil itu dengan diadakan undang-undang,Enakmen Penentuan Undnag-undang Islam 1930,yang membolehkan hakim-hakim Mahkamah Sivil merujuk soalan tentang undnag-undang Islam ke Majlis Kerajaan Negeri untuk pendapatnya dan kemudian memutuskan kes itu menurut pendapat itu. Akan tetapi Enakmen itu telah dimansuhkan apabila undang-undang pentadbiran undnag-undang Islam diadakan di negeri-negeri Melayu.
Pengenalan Enakmen Undang-Undang Sivil 1937, 1951 Dan Ordinan Undang-Undang Sivil 1956
Disamping itu, penggunaan undang-undang Inggeris menjadi rujukan utama setelah adanya Enakmen Undang-undang Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang Sivil 1956.Mengikut undang-undang Sivil, mahkamah di Tanah Melayu seharusnya menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang terpakai di England pada 7 April 1956 dan juga Common Law di England.Ordinan Undang-undang Sivil 1956 juga dipanjangkan pemakaiannya ke Sabah dan Sarawak pada tahun 1971. Dalam hal ini, seseorang hakim akan merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 untuk negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak.Penguatkuasaan itu menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip undang-undang Inggeris.
Enakmen tersebut secara jelas telah menyekat dan menyempitkan pemakaian hukum syarak serta bidang kuasa Mahkamah Syariah (Mahkamah Kadi ketika itu).Sebagai contoh dalam kes Myriam lwn Ariff. Dalam kes tersebut, seorang ibu telah menuntut hak jagaan anak lelaki yang berumur 3 tahun dan anak perempuan 8 tahun.Apabila perceraian berlaku, Mahkamah Syariah telah putuskan untuk memberi hak penjagaan kepada bapanya.Kemudian,ibu telah berkahwin dengan lelaki lain dan dia memohon hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi.Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendenagar kes tersebut.Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa di bawah undang-undang Sivil dan undnag-undang Islam, pertimbangan utama hendaklah diberi kepada kebajikan kanak-kanak itu dan dalam kes itu, Mahkamah Tinggi telah memberi hak penjagaan anak lelaki kepada ibunya dan anak perempuan kepada bapanya. Ini bertentangan dengan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agma Islam(ketika itu) yang menghalang hak penjagaan anak kepada ibunya sekiranya ibu tersebut telah berkahwin dengan lelaki lain.sayangnya di dalam kes ini,hakim telah mengatakan beliau tidak semestinya mengikut dengan tepat apa yang diperuntukkan di dalam agama Islam.
Hal yang sama juga berlaku dalam kes Ainan lwn Syed Abu Bakar apabila soal kesahtarafan seorang anak yang dilahirkan empat bulan selepas perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki ditimbulkan di Mahkamah Tinggi di Perak, rujukan telah dibuat oleh mahkamah itu kepada Seksyen 112 Enakmen Keterangan yang dikatakan dikenakan juga kepada orang-orang Islam.Oleh itu, undang-undang Islam tidak boleh dipakai. Walaubagaimanapun,terdapat juga kes yang mempunyai “double provision” ataudualisme iaitu yang mempunyai peruntukkan yang sama atau bertindan samaada di Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Harta pencarian sebagai contoh ialah perkara yang dulunya boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil dan di Mahkamah Syariah.Di Mahkamah Sivil, perkara harta sepencarian dianggap sebagai soal adat Melayu dan bukannya soal undang-undang Islam seperti yang disebutkan di dalam kes Roberts lwn Umi Kalthom, Mohamad lwn Commissioner of Lands dan Boto lwn Jaafar. Sebaliknya apabila Mahkamah Syariah memutuskan kes tuntutan harta sepencarian,ia merujuk kepada persoalan undang-undang Islam.
Walaubagaimanapun, pada masa sekarang, nampaknya tuntutan harta sepencarian hanya boleh dibawa di Mahkamah Syariah oleh kerana pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah dibawahnya tidak mempunyai bidangkuasa dalam mana-mana perkara yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini kerana Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri telah memberi bidang kuasa khusus kepada Negeri melalui Mahkamah Syariah bagi mendengar segala kes berkaitan harta sepencarian.Malah peruntukkan ini juga termaktub dalam Enakmen Keluarga Islam di setiap negeri yang memperuntukkan seksyen khusus tentang pembahagian harta sepencarian.
Sistem Majlis Negeri: Pengenalan Undang-Undang Diri
Selain itu, cara ketiga kemasukan perundangan Inggeris di Tanah Melayu ialah dengan penubuhan sistem Majlis Negeri oleh pihak Inggeris yang berperanan untuk membuat statut-statut bertulis dan bertindak sebagai satu badan eksekutif. Malah pemakaian Common Law dan Ekuiti melalui enakmen Undang-undang Sivil seperti yang telah dibincangkan sebelum ini telah mengukuhkan undang-undang Sivil dan menyempitkan lagi tafsiran undang-undang Islam yang sebenar.Pada pandangan penulis, penyempitan itu dikukuhkan lagi dengan pengenalan undang-undang khusus yang mentadbir hal ehwal orang Islam dalam perkara-perkara yang terhad.
Kesemua undang-undang ini diluluskan melalui Majlis Negeri yang mereka asaskan dan mereka menjadi penasihatnya. Sebagai contoh, pihak Inggeris lebih menumpukan kepada undang-undang diri yang diperkenalkan dan terbahagi kepada tiga undang-undang yang paling utama iaitu undang-undang keluarga,harta dan kesalahan terhadap agama. Pertama, kandungan undang-undang keluarga meliputi perkara yang berkaitan dengan pertunangan dan mungkir janji pertunangan, mahar, soal wali, perceraian misalnya talak biasa, khulu’ dan fasakh. Sementara undang-undang berkaitan dengan harta pula hanya tertumpu kepada soal harta pusaka, wasiat dan harta wakaf orang-orang Islam yang banyak berkaitan dengan undang-undang bertulis lain dan bukanya perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal Islam. Kemudian bagi perkara yang berkaitan dengan kesalahan terhadap agama seperti kesalahan tidak mendaftarkan perkahwinan dan perceraian,mengakadnikah tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang,kesalahan yang berkaitan dengan moral seperti berzina, berkhalwat, meminum arak serta hal-hal yang berkaitan dengan akidah misalnya tidak bersolat Jumaat, tidak membayar zakat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan sebagainya.
Pengasingan Urusan Agama Dan Adat Istiadat Melayu
Seperti mana diketahui, pihak Inggeris telah mengasingkan bidang kuasa dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu kepada Sultan atau Raja sesebuah negeri.Walaubagaimanapun, sebagai pihak eksekutif, mereka beranggapan perlu diwujudkan satu pentadbiran yang tersusun melalui pengenalan sistem perundangan menerusi Majlis Negeri yang bertindak sebagai badan pemutus dan pengesah sesuatu statut bertulis. Penubuhan Majlis Negeri ini telah dibincanagkan oleh penulis sebelum ini. Namun apa yang ingin ditumpukan penulis ialah walaupun bidang kuasa agama dan adat istiadat Melayu telah diasingkan, tetapi Inggeris masih melaksanakan perundangan yang meliputi soal agama Islam seperti pengenalan enakmen Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Orang Islam.
Begitu juga pentadbiran Mahkamah Kadhi melalui Enakmen Mahkamah Syariah. Mereka beranggapan bahawa mereka tidak mencampuri urusan agama tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa eksekutif yang mutlak,maka adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan awam tanpa mengira agama. Sebab itu, pihak Inggeris berjaya memperkenalkan undang-undang pentadbiran bagi tujuan penyelarasan semua undang-undang yang diperkenalkan. Bidang kuasa agama Islam yang diberi kepada Sultan oleh Inggeris pada
pandangan penulis hanyalah meliputi soal hukum syarak sahaja dan tidak meliputi soal pentadbiran agama Islam secara keseluruhannya.Perlu diingat bahawa pihak Inggeris hanya berbidang kuasa dalam aspek pentadbiran dan prosedural undang-undnag Islam sahaja tanpa campur tangan dalam persoalan asas hukum syarak yang sebenar.
Kesan Dan Implikasi Hingga Kini
Kesimpulan kesan daripada pengaruh Inggeris dalam pentadbiran hal ehwal Islam ini dan juga daripada kes-kes yang diputuskan yang melibatkan soal adat Melayu dan hukum syarak telah mempengaruhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang digubal kemudiannya dan juga memberi kesan kepada perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini. Pada pandangan penulis juga, kebanyakan penghakiman dibuat hanya mengambil kira aspek prosedur dan keterangan yang jika dipenuhi maka barulah ia mengambil kira hukum syarak atau perundangan Islam. Boleh juga diambil kira bahawa kebanyakan kes di Mahkamah Sivil yang ditafsirkan melibatkan undang-undang Islam ialah merupakan persoalan undang-undang diri yang melibatkan orang-orang Islam dan bukannya melibatkan undang-undang jenayah awam.Apa yang boleh dikatakan ialah kesalahan-kesalahan tersebut hanya ditafsirkan sebagai kesalahan agama atau kesalahan melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran agama.
Mungkin kerana itu, meskipun dalam sejarah penghakiman Inggeris di Tanah Melayu ada dicatatkan bahawa undang-undang Inggeris bukan merupakan undang-undang asing tetapi sebagai undang-undang negeri,sebenarnya ia hanyalah merujuk kepada undang-undang diri sahaja. Dan mungkin juga kerana semua pengalaman ini sejak zaman penjajahan British,pembentukkan Perlembagaan Persekutuan di bawah Suruhanjaya Reid telah memikirkan bentuk dan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya membentuk Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri yang memberi kuasa mutlak kepada negeri untuk menyusun pentadbiran agama Islam dan bukannya kepada persekutuan. Malah hingga kini, kebanyakan peruntukan tentang agama Islam juga hanya mengkhususukan kepada undang-undang diri sahaja.
Proses Penggubalan
Proses penggubalan sesuatu undang-undang di Malaysia adalah mengikut cara-cara dan peraturan tertentu seperti yang ditetapkan dalam Bab 5 Acara Perundangan Perlembagaan Persekutuan.
Permulaan Penggubalan Undang-undang adalah dengan perangkaan dasar-dasar yang berkaitan dengan sesuatu rang undang-undang yang hendak dibentangkan di Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dalam membuat rangka dasar rang undang-undang, Menteri atau pihak Kementerian berkenaan perlu berunding dengan Jabatan Peguam Negara, Perbendaharaan atau Kementerian-Kementerian lain yang ada kaitan dengan rang undang-undang berkenaan.
Setelah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit tadi, satu draf rang undang-undang perlu disediakan. Draf ini disediakan oleh Jabatan Peguam Negara dan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan badan tersebut. Setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri, notis pemberitahuan akan dihantar oleh Menteri berkenaan kepada kedua-dua Setiausaha Majlis Parlimen. Rang undang-undang tersebut akan dicetak oleh Jabatan Percetakan Negara untuk diedarkan kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Akhir sekali, rang undang-undang ini akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi mendapat kelulusan kedua-dua Majlis Parlimen tersebut. Di dalam tiap-tiap dewan yang disebutkan tadi rang undang-undang tersebut akan dibaca untuk kali pertama, kedua dan ketiga sebelum diluluskan.
Pertingkat Bacaan Dewan Rakyat
Peringkat bacaan Dewan Rakyat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu peringkat bacaan pertama, peringkat bacaan kedua dan peringkat bacaan ketiga. Di dalam peringkat bacaan pertama, Menteri yang terlibat dalam pembikinan draf akan mengemukakan rang undang-undang kepada semua ahli Dewan. Menteri berkenaan akan memberitahu Dewan mengenai masa untuk bacaan kedua dan ketiga sebelum diluluskan.
Pada bacaan kali kedua rang undang-undang yang telah dibentangkan dahulu akan dibahaskan secara mendalam oleh ahli Dewan. Ahli-ahli Dewan akan menimbangkan semula semua aspek kebaikan, keburukan, kesan dan pengaruhnya terhadap negara dan rakyat. Menteri yang terlibat dalam mengemukakan draf undang-undang berkenaan akan bertanggungjawab dalam memberi jawapan dan kemusykilan oleh ahli-ahli Dewan. Rang undang-undang tersebutnya kemudiannya akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa.
Apabila rang undang-undang selesai dibahaskan dan mendapat persetujuan Dewan Rakyat pada kali kedua, ia akan dibawa ke peringkat Jawatankuasa. Diperingkat ini, penelitian terperinci ke atas setiap fasal mengikut susunannya akan dilakukan. Pihak Jawatankuasa ini juga berupaya dan mempunyai hak untuk membuat pindaan ke atas rang undang-undang tersebut jika perlu.
Peringkat terakhir, iaitu bacaan kali ketiga akan dijalankan ke atas rang undang-undang yang telah diluluskan oleh pihak Jawatankuasa. Dalam peringkat ini, rang undang-undang tersebut akan dikemukan semula oleh Menteri berkenaan kepada Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan Dewan Rakyat. Setelah diluluskan, rang undang-undang tersebut akan di bawa ke Dewan Negara untuk dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan.
Peringkat Bacaan Dewan Negara
Pada peringkat bacaan Dewan Negara, rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat akan mengalami proses pembacaan kali pertama, kedua dan ketiga sepertimana yang berlaku di Dewan Rakyat sebelum diluluskan oleh pihak ahli Dewan Negara.
Pada peringkat bacaan kali pertama di Dewan Negara, rang undang-undang tersebut akan dibentangkan oleh Menteri yang berkenaan kepada semua ahli Dewan. Penbacaan ini dilakukan untuk diperdengarkan kepada ahli Dewan Negara yang akan kembali bersidang pada pembacaan yang kedua dan ketiga yang akan ditetapkan tarikhnya oleh pihak Dewan.
Pembacaan kali kedua akan membahaskan rang undang-undang tersebut secara mendalam oleh pihak Dewan Negara. Setelah diteliti segala aspek kebaikan dan keburukan serta kesan dan pengaruhnya ke atas negara dan rakyat, barulah rang undang-undang tersebut di bawa ke peringkat Jawatankuasa untuk diteliti secara terperinci. Pada peringkat ini penggubalan rang undang-undang akan mengambil masa yang panjang, ini bergantung kepada persetujuan ahli Dewan ke atas rang undang-undang yang dibahaskan. Soalan dan kemusykilan oleh ahli Dewan Negara perlu diberi jawapan dan penjelasan oleh pihak yang merangka dasar-dasar rang undang-undang tersebut.
Pada peringkat Jawatankuasa penelitian yang terperinci dibuat ke atas setiap fasal rang undang-undang tersebut. Jawatankuasa juga berhak membuat pindaan ke atas rang undang-undang tersebut jika difikirkan perlu. Pihak Jawatankuasa juga perlu mendapat persetujuan semua ahli Jawatankuasa sebelum meminda rang undang-undang tersebut.
Pada peringkat bacaan kali ketiga, rang undang-undang tersebut akan dikemukan semula kepada ahli Dewan Negara untuk mendapatkan kelulusan. Pada peringkat ini rang undang-undang tersebut telah melalui proses penggubalan yang terperinci di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Apabila rang undang-undang tersebut mendapat kelulusan daripada Dewan Negara, rang undang-undang tersebut perlulah dipersembahkan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk mendapat persetujuan Baginda dan diperkenankan untuk dijadikan undang-undang.
Daripada proses yang dihuraikan di atas nyata bahawa sesuatu proses penggubalan undang-undang itu dilakukan secara terperinci, adil dan saksama. Perbahasan dan perbincangan serta kesimpulan yang dilakukan menjamin rang undang-undang yang digubal memenuhi tuntutan hak semua warganegara di negara ini[5].
PEMAKAIAN
Kes jenayah bermula apabila ada permohonan daripada Ketua Pendakwa atau pengadu mengikut peruntukan seksyen 183 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1997.Kesalahan-kesalahan yang boleh didakwa di Mahkamah syariah adalah sepetrti yang diperuntukan dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, Akta 303 Akta Undang-undang Keluarga Islam (wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta 560 Akta Prosedur Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997[6]. Maka inilah diperbuat undang- undang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-PertuanAgong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya. Dalam bahagian 1, permulaan di bawah seksyen 1 (2) menyatakan Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi(a) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Labuan sahaja; dan (b) orang Islam sahaja. Negeri-negeri yang tidak disebutkan tertakluk kepada enakmen negeri masing-masing. Manakala (b) membawa maksud akta ini tidak terpakai kepada orang bukan Islam.
Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam

Undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang sesuai untuk semua masyarakat pada semua zaman. Ia juga undang-undang undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Apa yang lebih penting undang-undang jenayah Islam wajib diamalkan oleh mereka yang beriman. Antara dalil yang menunjukkan kewajipan tersebut adalah ayat-ayat Al-Quran berikut:

1)Dan hendaklah kamu berhukum antara manusia dengan hukum yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kamu, dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka kalau-kalau mereka menggelincirkan kamu daripada sebahagian dari apa yang telah Allah turunkan kepadamu. [1]
2)Sesungguhnya kami telah turunkan kepada kamu (ya Muhammad s.a.w.) akan kitab (al-Quran) dengan sebenarnya supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.[2]

Terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kewajipan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan takzir ini. Hukum ini berkekalan sampai hari kiamat. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Khulafa al-Rasyidin dan para khalifah berikutnya melaksanakan undang-undang ini, sehinggalah jatuhnya kerajaan atau khilafah Islam. Malah kerajaan empayar Melaka dan negeri-negeri lain juga pernah melaksanakan undang-undang jenayah Islam ini. Tiada siapa yang berhak memansuhkan hukuman ini. Ada yang mengatakan Sayyidina Umar pernah memansuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri pada tahun kelaparan. Dakwaan ini adalah satu fitnah yang besar ke atas sahabat yang dijamin syurga ini. Apa yang berlaku ialah pencuri tidak dihukum kerana tiada keterangan yang mencukupi untuk disabitkan bersalah.[3] Hadith-hadith yang mengatakan Sayyidina Umar menangguhkan pelaksanaan hukum potong tangan bagi pencuri pada tahun kelaparan adalah hadis daif.[4]

Ada yang mengatakan pelaksanaan hukum jenayah Islam perlu ditangguhkan untuk mengelakkan tekanan ekonomi akibat ketiadaan pelabur asing. Alasan ini tidak berasas kerana pelaksanaan hukum Islam dibuat secara adil mengikut kehendak Allah. Hasil dari pelaksanaan hukum Islam negara akan menjadi aman dan tenteram serta jenayah dapat dikurangkan pada tahap yang sangat minimum. Perkembangan ini tentunya akan menambahkan lagi tarikan pelabur untuk melabur di dalam negara pengamal undang-undang jenayah Islam ini. Tambahan pula pelabur yang datang tidak perlu takut kerana mereka datang bukan untuk melakukan jenayah tetapi untuk menanam modal.

Terdapat juga pihak yang ingin mengelakkan dari pelaksanaan undang-undang jenayah Islam dengan alasan bahawa keadaan rakyat yang belum menghayati Islam sepenuhnya serta banyaknya perkara munkar, menjadikan undang-undang Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan. Pelaksanaan undang-undang Islam tidak tertakluk kepada syarat bahawa semua rakyat telah menghayati Islam terlebih dahulu. Pelaksanaan undang-undang jenayah Islam adalah bertujuan untuk menghapuskan atau mengurangkan kadar jenayah. Ia sesuai dilaksanakan dalam semua keadaan. Undang-undang jenayah yang ada pada hari ini terbukti gagal untuk menghapuskan jenayah. Fakta menunjukkan bahawa purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia bermula dari tahun 1994-1998 telah menjangkau sebanyak 9.5% setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Polis DiRaja Malaysia. Keadaan ini jauh berbeza dengan kadar pertumbuhan penduduk Malaysia sekitar 2.53% sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Jika perkembangan ini dibiarkan berterusan, keselamatan rakyat dan keamanan negara semakin lama semakin terancam.  Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang jenayah Islam perlu kembali dikuatkuasakan sebagaimana yang pernah diamalkan oleh Empayar Melaka dan negeri-negeri Melayu. Sepatutnya situasi rakyat yang tidak menghayati Islam sepenuhnya dan banyaknya munkar menjadi faktor pendorong untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam, bukannya faktor untuk tidak melaksanakannya seperti yang didakwa oleh sesetengan pihak. Jika kita ingin menunggu seluruh masyarakat menjadi ‘baik’ semuanya tanpa pelaksanaan undang-undang jenayah Islam, sehingga kiamat pun kita tidak akan berjaya. Ini kerana undang-undang jenayah Islam adalah pelengkap kepada proses islah atau tajdid iaitu proses untuk merubah masyarakat ke arah kebaikan. Usaha pendidikan, pembangunan institusi keluarga, pembangunan sosial dan dakwah tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Di samping itu, terdapat juga suara-suara yang mengatakan bahawa undang-undang jenayah Islam tidak dapat dikuatkuasakan kerana rakyat masih jahil dengan undang-undang tersebut. Islam sebenarnya tidak mensyaratkan semua rakyat memahami sesuatu undang-undang sebelum pelaksanaannya. Bahkan dalam mana-mana sistem perundangan dalam dunia tidak terdapat Parlimen atau Badan Perundangan yang mensyaratkan kefahaman rakyat sebelum sesuatu undang-undang diluluskan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 600 akta dan beribu-ribu undang-undang kecil serta bermacam-macam peraturan. Tidak ramai rakyat memahami kesemua undang-undang tersebut. Parlimen tetap meluluskan semua undang-undang walau pun ia belum difahami sepenuhnya oleh rakyat. Undang-undang jenayah Islam seperti hudud, qisas dan takzir sebenarnya undang-undang yang sedia diketahui oleh rakyat terutamanya umat Islam kerana ia terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith yang menjadi bacaan harian umat Islam. Ia juga diajar di masjid-masjid dan surau-surau. Terdapat banyak buku dalam pelbagai bahasa yang menghuraikan tentang hukum jenayah Islam ini. Jika ada yang belum memahaminya sekali pun ia boleh diketahui dan difahami dengan mudah. Oleh yang demikian tiada sebab umat Islam menolak pelaksanaan undang-undang jenayah Islam kerana alasan kejahilan masyarakat.

Undang-undang jenayah Islam ini sesuai untuk semua masyarakat. Namun begitu ada yang menyatakan undang-undang ini tidak sesuai dijalankan di sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Sebenarnya ini bukan satu alasan yang kukuh kerana kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah juga adalah masyarakat berbilang kaum dan agama yang turut didiami oleh orang Yahudi di samping umat Islam. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat ulama berkaitan kedudukan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ke atas bukan Islam. Sebahagian ulama seperti Imam Malik dan al-Syafie berpendapat bahawa mereka diberi pilihan sama ada mahu dihukum dengan hukum jenayah Islam atau tidak.[5] Jika pandangan ini diambil, tidak timbul soal masyarakat berbilang kaum dan agama sebagai penghalang kepada pelaksanaan undang-undang jenayah Islam. Jika mereka tidak mahu memilih undang-undang jenayah Islam mereka boleh diadili dan dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan.

Tegasnya undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang dikurniakan kepada manusia sebagai rahmat dari Allah. Undang-undang ini sesuai dengan naluri manusia yang begitu kompleks dan sukar dijangkakan. Pelaksanaan undang-undang Islam akan membawa kejayaan bukan sahaja di dunia bahkan juga kejayaan di akhirat.

BIDANG KUASA
Di dalam sistem perundangan Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah disebut sebagai 'al-wilayah', yakni hak dan juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes. Sekiranya Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ini, maka mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana perbicaraan.
Disebabkan perundangan di Malaysia mengamalkan sistem dualisme, maka dengan adanya bidang kuasa ini secara dasarnya kita tidak mengalami konflik dalam menentukan kuasa mendengar dan memutus sebarang kes. Bidang kuasa yang tertentu juga dapat menentukan kes-kes yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Secara umumnya, bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah mengalami perkembangan yang positif dan lebih baik dari aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah itu sendiri dan infrastrukturnya. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan adalah sebahagian daripada perkembangan yang positif ini. Masyarakat Islam di negara ini khususnya perlu menghargai dan melihatnya sebagai suatu perkara yang positif sekalipun ia bukanlah perubahan yang sangat ketara.
Bidang Kuasa Jenayah
Tidaklah sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah adalah "dikurniakan" oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Iaitu memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.
Pada dasarnya undang-undang jenayah Islam di Malaysia hanya meliputi ruanglingkup takzir. Malahan bidang kuasa jenayah mahkamah Syariah juga amatlah terhad jika dibandingkan dengan mahkamah sivil. Sebelum adanya enakmen jenayah syariah negeri-negeri, undang-undang berkaitan dengan jenayah syariah kebanyakannya diperuntukkan di bawah enakmen pentadbiran undang-undang Islam negeri-negeri. Dari aspek bidangkuasa jenayah, hukum maksimun yang diperuntukkan di dalam enakmen-enakmen sebelum tahun 1965 hanya merangkumi denda sebanyak lima ribu atau penjara selama tempoh tidak melebihi 4 bulan atau kedua- duanya sekali. Had hukuman maksimum ini telah ditingkatkan pada tahun 1965 dengan denda seribu atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali[7].
Pindaan pada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) telah dibuat pada tahun 1984 dan setelah itu hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah ialah denda lima ribu atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman. Dengan itu, kebanyakan negeri telah memperkenalkan enakmen kesalahan jenayah syariah masing-masing.
Pada tahun 1988 telah berlaku perpindaan di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu artikel 121(1A) yang telah membawa kepada penambahan kewibawaan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah telah diberi kuasa ekslusif yang mana bidangkuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil. Dari era sebelum merdeka hingga hari ini, kita telah menyaksikan beberapa pembaharuan dan perkembangan terhadap ruanglingkup undang-undang jenayah Islam di Malaysia. Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah. Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia,kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukannya di dalam tiga tempat:
1) Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri,
2) Kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri, dan
3) Kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.
Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan perceraian dilakukan di luar mahkamah. Sehubungan dengan ini, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu:
1) Kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsu dan takfir.
2) Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat atau fitrah.
3) Berhubung dengan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.
4) Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal[8].
BAHAGIAN-BAHAGIAN DALAM AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN 1997
Terdapat 8 bahagian yang termaktub di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997. Huraian mengenai setiap bahagian adalah seperti berikut;
Bahagian I
Permulaan
Bahagian I merupakan bahagian Permulaan. Terdapat dua seksyen dalam bahagian ini, seksyen 1 menyebut tentang tajuk ringkas, mula berkuatkuasa dan pemakaian.
1.( 1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.
2) Akta ini hendaklah terpakai hanya bagi-
(a) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sahaja; dan (b) orang Islam sahaja.
Pesalah itu ialah tidak kira ia dari mana-mana bangsa atau ia datang dari mana-mana negara sekalipun, asalkan pesalah itu beragama islam maka ia tertakluk di bawah akta ini sekiranya didapati melakukan kesalahan jenayah di dalam negeri yang disebutkan seperti di dalam akta tersebut.
Manakala seksyen 2 menyebut tentang tafsiran.
2. (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-
"Akta Pentadbiran" ertinya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].;
"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut Hukum Syarak;
"Enakmen" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 [Sel. En. 3/52] .bagi Negeri Selangor-
(a) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagaimana yang diubahsuaikan oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Pentadbiran Enakmen Hukum Syarak) 1974 [P.U. (A) 44/74.], 1981 [P.U. (A) 390/81.], dan 1988 [P.U. (A) 263/88.] yang dibuat menurut subseksyen 6 (4) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206.] dan yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurut kuasa subseksyen 6 (1) Akta itu dan Akta Pentadbiran Hukum Syarak (Pindaan) 1984 [Akta A576.]; dan
(b) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, sebagaimana yang diubahsuaikan dan diperluaskan oleh Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pengubahsuaian dan Peluasan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1985 [P.U. (A) 352/85.] yang dibuat menurut seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585.];
"fatwa" ertinya mana-mana fatwa yang dibuat di bawah seksyen 34 Akta Pentadbiran;
"Hakim" ertinya hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik masing-masing di bawah seksyen 41, 42 dan 43 Akta Pentadbiran;
"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf;
"li'an" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Hukum Syarak bahawa isterinya telah melakukan zina;
"liwat" ertinya perhubungan seks sesama lelaki;
"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 40 Akta Pentadbiran;
"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4 (1) Akta Pentadbiran;
"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Wilayah Persekutuan di bawah seksyen 32 Akta Pentadbiran, dan termasuklah Timbalan Mufti;
"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Hukum Syarak;
"musahaqah" ertinya perhubungan seks sesama perempuan;
"pusat pemulihan diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;
"qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang;
"rumah diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 54;
"sumbang mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Hukum Syarak;
"takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam;
"Wilayah Persekutuan" ertinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan;
"zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah.
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 [Akta 388.] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.
(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang sifat atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.
Bahagian II
Kesalahan yang Berhubungan dengan ‘Aqidah
Seksyen 4-8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan seksyen 3-6 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan berhubungan dengan akidah yang merangkumi pemujaan[9], mendakwa orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan[10], takfir atau mengatakan mana-mana orang Islam adalah kafir[11], doktrin palsu[12] dan dakwaan palsu[13]. Terdapat beberapa kes yang dilaporkan di dalam jurnal hukum seperti Pendakwa Mahkamah Syariah Perak v Shah Pandak Othman (1991) 8 JH 99 dan Akbar Ali v Majlis Agama Islam (1996) 10 JH 197[14].
Peruntukan mengenai kesalahan yang berhubungan dengan ‘aqidah dibuat dalam berbagai bentuk. Ada yang nyata dan ada yang hanya dapat difahami setelah komposisi sebenar elemen kesalahan itu dihuraikan. Kesalahan berkaitan dengan ‘aqidah telah termaktub di bahagian II di bawah undang-undang negeri. Kesalahan pertama yang dikaitkan dengan ‘aqidah ialah pemujaan salah. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang tertulis di semua negeri dan Wilayah Persekutuan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan ungkapan ayat. Sebagai contoh, dinyatakan di bawah seksyen 3 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Tahun 1997 [Akta 559] tentang kesalahan pemujaan salah iaitu:
3. (1) Mana-mana orang yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat, atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya apa-apa peranti, barang atau benda yang digunakan dalam pelakuan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subsekyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu.
Kesalahan kedua yang dikaitkan dengan ‘aqidah ialah doktrin palsu. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang termaktub di semua negeri dan Wilayah Persekutuan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan ungkapan ayat. Sebagai contoh, dinyatakan di bawah seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Tahun 1997 [Akta 559] tentang kesalahan doktrin palsu iaitu:
4. (1) Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu berlawanan dengan Hukum Syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana dokumen atau benda yang digunakan dalam pelakuan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu.
Kesalahan ketiga yang dikaitkan dengan ‘aqidah ialah mengembangkan doktrin agama selain daripada agama Islam. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang termaktub di semua negeri dan Wilayah Persekutuan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan ungkapan ayat. Sebagai contoh, dinyatakan di bawah seksyen 5 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Tahun 1997 [Akta 559] tentang kesalahan mengembangkan doktrin agama selain daripada agama Islam iaitu:
5. Mana-mana orang yang mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain daripada doktrin atau kepercayaan agama Islam di kalangan orang yang beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Kesalahan terakhir yang dikaitkan dengan ‘aqidah ialah dakwaan palsu. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang termaktub di semua negeri dan Wilayah Persekutuan walaupun terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan ungkapan ayat. Sebagai contoh, dinyatakan di bawah seksyen 6 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Tahun 1997 [Akta 559] tentang dakwaan palsu iaitu:
6. Mana-mana orang yang— (a) mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahadi atau wali; atau (b)menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia,
sedangkan perisytiharan, pernyataan atau dakwaan itu adalah palsu dan berlawanan dengan ajaran Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bahagian III
Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya
Seksyen 7. Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam.
Mana-mana orang yang secara lisan atau secara bertulis atau dengan gambaran yang tampak atau dengan apa-apa cara lain-
(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau
(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan yang berhubungan dengan agama Islam.
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith.
Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat Al-Quran atau Hadith adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 9. Menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.
Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 10. Mengingkari perintah Mahkamah.
Mana-mana orang yang mengingkari, melanggar, mempertikaikan, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah Hakim atau Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 11. Mengajar agama tanpa tauliah.
(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi-
(a) mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 98 Akta Pentadbiran; atau
(b) mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.
Seksyen 12. Pendapat yang bertentangan dengan fatwa.
Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, Hukum Syarak atau apa-apa isu yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 13. Penerbitan agama yang bertentangan dengan Hukum Syarak.
(1) Mana-mana orang yang-
(a) mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan, mengedarkan atau dengan apa-apa cara lain menyebarkan apa-apa buku, risalah, dokumen atau apa-apa bentuk rakaman yang mengandungi apa-apa jua yang bertentangan dengan Hukum Syarak; atau
(b) ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau rakaman sedemikian,adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana buku, risalah, dokumen atau rakaman yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan berkaitan dengan buku, risalah, dokumen atau rakaman itu.
Seksyen 14. Tidak menunaikan sembahyang Jumaat.
Mana-mana orang lelaki, yang baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Seksyen 15. Tidak menghormati Ramadhan.
Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-
(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau
(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 16. Tidak membayar zakat atau fitrah.
Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi-
(a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau
(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana orang lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Seksyen 17. Menghasut supaya mengabaikan kewajipan agama.
(1) Mana-mana orang yang menghasut atau mendorong mana-mana orang Islam supaya tidak menghadiri masjid atau pengajaran agama atau apa-apa upacara agama adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang dengan apa-apa cara mencegah orang yang lain daripada membayar zakat atau fitrah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 18. Berjudi.
(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Dalam seksyen ini, "rumah judi" ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran kemahiran dan nasib, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapatkan wang atau nilai wang.
Seksyen 19. Minuman yang memabukkan.
(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Contoh Kes
Pada 18 Julai 2009 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang , Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Keterangan kes seperti berikut:
Tertuduh Kartika Sari Dewi binti Shukarno dalam kes Jenayah Bil: 06100-139-0010-2008 telah dituduh dibawah peruntukan seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan) 1987. Seksyen tersebut memperuntukkan:
Sek. 136. Sesiapa jua orang Islam dalam mana-mana kedai atau tempat awam, menjual, membeli atau meminum arak adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila sabit bolehlah dihukum denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan.
Dalam kes ini Tertuduh telah dituduh seperti berikut:
Bahawa kamu pada 11.07.2008 lebih kurang jam 11.40 malam di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, Pahang telah didapati meminum arak jenama Tiger Beer. Dengan itu, kamu telah melakukan kesalahan meminum arak dibawah Seksyen 136  Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan) 1987.
Pada 1 Disember 2008, pertuduhan telah dibacakan dan difahamkan kepada Tertuduh. Tertuduh tahu dan faham berkenaan pertuduhan yang dibacakan oleh Pendakwa Syarie dan mengakui fakta yang telah dikemukakan kepadanya serta mengaku bersalah (al-Iqrar). Tertuduh juga faham dan tahu kesan dan akibat daripada pengakuan bersalahnya itu.

Diputuskan
1.         Tertuduh dihukum dengan denda sebanyak RM 5000.00 dan penjara 3 tahun jika gagal membayar denda.
2.         Tertuduh disebat sebanyak enam kali sebatan.[15]
Bahagian IV
Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan
Seksyen 20. Perbuatan sumbang mahram.
Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 21. Pelacuran.
(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mana-mana orang yang-
                        (a) melacurkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya; atau
(b) menyebabkan atau membenarkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya melacurkan diri,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 22. Muncikari.
Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.
(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana hukuman itu.
(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.
(4) Bagi maksud subseksyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.
Seksyen 24. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 25. Liwat.
Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 26. Musahaqah.
Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Seksyen 27. Khalwat.
Mana-mana-
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,
di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 28. Orang lelaki berlagak seperti perempuan.
Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 29. Perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Bahagian V
Kesalahan Pelbagai
Seksyen 30. Memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu.
(1) Mana-mana orang yang memberikan keterangan palsu atau memalsukan keterangan bagi maksud ia digunakan dalam apa-apa peringkat dalam sesuatu prosiding kehakiman di Mahkamah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain berhubungan dengan agama Islam, memberikan apa-apa maklumat berhubungan dengan kesalahan itu yang diketahuinya atau dipercayainya sebagai palsu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 31. Takfir.
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), mana-mana orang yang mengatakan atau menohmahkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau dengan isyarat atau gambaran tampak, atau dengan apa-apa perbuatan, aktiviti atau pelakuan, atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang yang menganut agama Islam-
                        (a) adalah kafir;
                        (b) tidak lagi menganut agama Islam;
(c) tidak sepatutnya diterima, atau tidak boleh diterima, sebagai menganuti agama Islam; atau
(d) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam, agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi-
(a) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana Mahkamah atau pihak berkuasa agama yang ditubuhkan, dibentuk atau dilantik oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan yang diberi kuasa untuk membuat atau mengeluarkan apa-apa keputusan mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan
(b) apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana orang menurut atau mengikut apa-apa keputusan yang dibuat atau dikeluarkan oleh Mahkamah atau pihak berkuasa sedemikian, sama ada atau tidak keputusan itu adalah secara bertulis atau, jika bertulis, sama ada atau tidak ia disiarkan dalam Warta.
Seksyen 32. Memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau, dsb.
Mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 33. Pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa.
Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberikuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya pungutan itu dirampas dan dibayar ke dalam Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 60 Akta Pentadbiran.
Seksyen 34. Pembayaran tak sah akan zakat atau fitrah.
Mana-mana orang yang membayar atau menyebabkan supaya dibayar zakat atau fitrah kepada mana-mana orang yang tidak diberikuasa secara sah untuk memunggut zakat atau fitrah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Seksyen 35. Menggalakkan maksiat.
Mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 36. Memujuk lari perempuan bersuami.
Mana-mana orang yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.
Seksyen 37. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.
Seksyen 38. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 39. Memujuk lari orang perempuan.
Mana-mana orang yang memujuk lari atau mendorong atau memujuk mana-mana orang perempuan supaya lari daripada jagaan ibu bapanya atau penjaganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya sesuai berkenaan dengan orang perempuan itu.
Seksyen 40. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam.
Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada mana-mana orang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya sesuai berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu.
Seksyen 41. Qazaf.
Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksyen 42. Penyalahgunaan tanda halal.
Mana-mana orang yang mempamerkan pada atau berkenaan dengan mana-mana makanan atau minuman yang tidak halal, apa-apa tanda yang menunjukkan bahawa makanan atau minuman itu adalah halal adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bahagian VI
Penyubahatan Dan Percubaan
Seksyen 43. Penyubahatan.
Seseorang menyubahati pelakuan sesuatu perkara jika dia-
                        (a) menghasut mana-mana orang supaya melakukan perkara itu;
(b) mengambil bahagian bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lain dalam apa-apa pakatan jahat untuk melakukan perkara itu, jika sesuatu perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang berlaku ekoran daripada pakatan jahat itu, dan dengan tujuan hendak melakukan perkara itu; atau
(c) dengan sengaja membantu, dengan apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang, pelakuan perkara itu.
Huraian 1- Seseorang yang, dengan penyataan salah sengaja, atau penyembunyian sengaja suatu fakta material yang dia terikat mendedahkannya, dengan sengaja menyebabkan atau mendapatkan, atau cuba untuk menyebabkan atau mendapatkan, supaya sesuatu perkara dilakukan adalah dikatakan menghasut supaya perkara itu dilakukan.
Huraian 2- Mana-mana orang, sama ada sebelum atau pada masa pelakuan sesuatu perbuatan, melakukan apa-apa jua dengan tujuan memudahkan pelakuan perbuatan itu, dan dengan itu memudahkan pelakuan itu, adalah dikatakan membantu dalam melakukan perbuatan itu.
Seksyen 44. Menyubahati di dalam Wilayah Persekutuan kesalahan di luar Wilayah Persekutuan.
Seseorang adalah menyuhabati sesuatu kesalahan mengikut pengertian Akta ini jika di dalam Wilayah Persekutuan dia menyubahati pelakuan suatu perbuatan di luar Wilayah Persekutuan yang akan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan di Wilayah Persekutuan.
Seksyen 45. Hukuman bagi penyubahatan.
Mana-mana orang yang menyubahati apa-apa kesalahan hendaklah, jika perbuatan yang disubahati itu dilakukan menurut penyubahatan itu, dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
Seksyen 46. Tanggungan penyubahat jika perbuatan yang berlainan dilakukan.
Jika sesuatu perbuatan disubahati dan suatu perbuatan yang berlainan dilakukan, penyubahat itu bertanggungan bagi perbuatan yang dilakukan mengikut cara yang sama dan sehingga takat yang sama seolah-olah dia telah menyubahati perbuatan yang dilakukan jika perbuatan yang dilakukan-
                        (a) adalah akibat barangkali daripada penyubahatan itu; dan
(b) telah dilakukan dengan pengaruh hasutan itu, atau dengan bantuan atau kerana menurut pakatan jahat yang mewujudkan penyubahatan itu.
Seksyen 47. Percubaan.
(1) Mana-mana orang yang cuba-
(a) melakukan sesuatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan Hukum Syarak; atau
                         (b) menyebabkan kesalahan itu dilakukan,
dan dalam percubaan itu melakukan apa-apa perbuatan ke arah pelakuan kesalahan itu hendaklah, jika tiada peruntukan nyata dibuat oleh Akta ini atau undang-undang bertulis lain itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi hukuman percubaan itu, dihukum dengan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
(2) Apa-apa tempoh pemenjaraan yang dikenakan sebagai hukuman bagi suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan atau untuk menyebabkan suatu kesalahan dilakukan tidak boleh melebihi satu perdua daripada tempoh maksimum pemenjaraan yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.
Bahagian VII
Kecualian Am
Seksyen 48. Perbuatan Hakim apabila bertindak secara kehakiman.
Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seorang Hakim apabila bertindak secara kehakiman pada menjalankan apa-apa kuasa yang yang diberikan kepadanya, atau yang dia dengan suci hati percaya telah diberikan kepadanya, oleh undang-undang.
Seksyen 49. Perbuatan yang dilakukan menurut penghakiman atau perintah Mahkamah.
Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan menurut, atau yang diwajarkan oleh, penghakiman atau perintah Mahkamah, jika dilakukan semasa penghakiman atau perintah itu masih berkuatkuasa, walaupun Mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat penghakiman atau perintah itu jika orang yang melakukan perbuatan itu percaya dengan suci hati bahawa Mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk membuat penghakiman atau perintah itu.
Seksyen 50. Perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-undang.
Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-undang, atau yang oleh sebab kesilapan fakta dan bukan kesilapan undang-undang dengan suci hati percaya bahawa dia mempunyai justifikasi di sisi undang-undang untuk melakukan yang demikian.
Seksyen 51. Perbuatan kanak-kanak yang belum baligh.
Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh kanak-kanak yang belum baligh.
Seksyen 52. Perbuatan seseorang yang tak sempurna akal.
(1) Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang pada masa melakukan perbuatan itu, oleh sebab ketaksempurnaan akalnya, tak berupaya mengetahui sifat sebenar perbuatan itu, atau bahawa apa yang dilakukannya adalah salah dan berlawanan dengan undang-undang.
(2) Bagi maksud seksyen ini, jika seseorang berada dalam keadaan mabuk pada masa perbuatan atau ketinggalan yang diadukan itu dan-
(a) keadaan mabuk itu adalah sedemikian rupa sehingga dia tidak tahu bahawa perbuatan atau ketinggalan itu adalah salah atau dia tidak tahu apa yang dilakukannya; dan
(b) keadaan mabuk itu telah terjadi tanpa persetujuannya dan akibat perbuatan niat jahat atau kecuaian seorang yang lain,
maka dia hendaklah disifatkan sebagai orang yang tak sempurna akal.
(3) Dalam seksyen ini, "mabuk" hendaklah disifatkan termasuk keadaan yang dihasilkan oleh dadah.
Seksyen 53. Perbuatan orang yang terpaksa oleh sebab ugutan.
(1) Tidaklah menjadi kesalahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang yang terpaksa melakukannya oleh sebab ugutan yang sedemikian sifatnya sehingga menyebabkan orang itu semunasabahnya percaya, pada masa dia melakukan perbuatan itu, bahawa jika dia tidak melakukannya dia akan mati pada masa itu juga.
(2) Kecualian di bawah subseksyen (1) tidaklah terpakai jika orang yang melakukan perbuatan itu telah meletakkan dirinya, dengan kerelaannya sendiri, dalam keadaan yang menjadikannya tertakluk kepada paksaan itu.
Bahagian VIII
Perkara Am
Seksyen 54. Penetapan pusat pemulihan atau rumah diluluskan.
Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, menetapkan mana-mana tempat atau institusi, menjadi pusat pemulihan diluluskan atau rumah diluluskan bagi maksud Akta ini.
Seksyen 56. Kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan pesalah perempuan ke rumah diluluskan.
Jika Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang perempuan atas suatu kesalahan di bawah Bahagian IV, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti atau sebagai tambahan bagi apa-apa hukuman yang ditentukan bagi kesalahan itu, memerintahkan orang perempuan sedemikian dikomitkan ke suatu rumah diluluskan selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; tetapi jika apa-apa tempoh pemenjaraan dikenakan sekali dengan komital itu, tempohnya tidaklah boleh melebihi agregat tiga tahun.
Seksyen 57. Pemansuhan.
(1) Bahagian IX Enakmen, selain daripada seksyen 164 dan 165, hendaklah terhenti terpakai bagi Wilayah Persekutuan dan setakat itu hendaklah disifatkan telah dimansuhkan.
(2) Walaupun Bahagian IX Enakmen dimansuhkan ("Bahagian termansuh") segala prosiding di bawah Bahagian termansuh itu, termasuk apa-apa rayuan daripada mana-mana Mahkamah di bawah Bahagian termansuh itu, hendaklah diteruskan seolah-olah Akta ini tidak diluluskan.
Seksyen 58. Pindaan seksyen 164 Enakmen.
Seksyen 164 Enakmen dalam pemakaiannya bagi Wilayah Persekutuan adalah dipinda dengan menggantikan perkataan "34 of this Enactment" dengan perkataan "28 of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993"[16].
ISU-ISU SEMASA BERKAITAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA
Ketidakseragaman Dan Konflik Undang-Undang
Walaupun negara kita sudah mencapai kemerdekaan hampir 50 tahun, hingga kini masih terdapat ketidakseragaman dan beberapa perbezaan peruntukan yang terkandung di dalam enakmen-enakmen atau akta undang-undang jenayah Syariah negeri-negeri di Malaysia. Isu  penyelarasan  undang-undang syariah  bagi  negeri  seluruh  Malaysia  bukannya satu perkara baru dan banyak usaha telah dilaksanakan untuk menyeragamkan undang-undang syariah, namun sehingga kini ia masih belum dapat mencapai matlamatnya.

Sebagai ilustrasi, kita boleh merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. Bagi kesalahan mendakwa bukan Islam untuk mengelakkan tindakan di dalam seksyen 5 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, peruntukan ini tiada di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Manakala kesalahan mengembangkan doktrin agama berlaku sebaliknya. Terdapat juga ketidakseragaman dari aspek hukuman yang dikenakan. Sebagai contoh di dalam  kes  melibatkan  kesalahan  menghina  atau  menyebabkan  dipandang hina agama Islam, seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya   manakala   seksyen   7   Akta   Jenayah   Syariah   (Wilayah   Persekutuan)   1997 menyatakan hukuman denda yang sama tetapi penjara hanya tidak melebihi dua tahun atau   kedua-duanya.   Isu   ketidakseragaman   undang-undang   ini   sepatutnya   dapat diselesaikan.  Ini  memandangkan  ianya  boleh  menimbulkan  pelbagai  permasalahan undang-undang dan juga reaksi negatif masyarakat kepada pentadbiran undang-undang Islam.

Dari aspek konflik bidang kuasa mahkamah syariah dengan mahkamah sivil sepatutnya sudah  lama  telah  diselesaikan  melalui  artikel  121  (1A)  Perlembagaan  Persekutuan. Namun  begitu,  ianya  tidak  berlaku   secara  menyeluruh.   Buktinya   masih  terdapat pertikaian  mengenai  bidang  kuasa  mahkamah  syariah  seperti  di  dalam  kes  Mohamed Habibullah b Mahmood v Faridah Dato’ Talib (1992) 2 MLJ 793, Dalip Kaur v Pegawai Polis Bukit Mertajam (1992) 1 MLJ 7 dan Md. Hakim Lee v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1998) 1 MLJ 681. Malahan jika diteliti terdapat beberapa peruntukan di dalam  enakmen  jenayah  syariah  yang  bertindih  iaitu  juga  terdapat  di  dalam  Kanun
Keseksaan  seperti  berlaku  di  dalam  kes  Sukma Dermawan  Sasmitaat Madja  v Ketua Pengarah Penjara Malaysia (1999) 1 MLJ 266.

Berdasarkan    perkara atas    dapatlah disimpulkan bahawa masih terdapat ketidakseragaman dan konflik bidang kuasa yang berlaku berkaitan dengan peruntukan undang-undang   jenayah  syariah   di   Malaysia.  Seharusnya   usaha-usaha   ke  arah menyelesaikan isu ini dilipatgandakan dan matlamatnya dicapai sepenuhnya dalam masa terdekat.

Kesalahan Murtad

Gejala  kerosakan   akidah   semakin   menular  di   negara  kita  lebih-lebih   lagi   ianya membabitkan  pertukaran  agama  atau  murtad.  Isu  ini  lebih  menarik  perhatian  ramai apabila Mufti Perak, Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria pada Julai 2006 telah membuat kenyataan  bahawa  berdasarkan  laporan  kajian  dari  sekumpulan  Melayu  professional didapati  bahawa  seramai  100,000  umat  Islam  di  Malaysia  telah  bertukar  agama. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa isu keluar agama atau murtad telah lama berlaku seperti di dalam kes ayah Pin, Nor Aishah Bokhari, Nyonya Tahir dan Lina Joy. Namun begitu, kita menyaksikan bahawa tidak terdapat peruntukan yang jelas di dalam mana-mana enakmen jenayah syariah di Malaysia mengenai kesalahan murtad.

Pada  dasarnya,  boleh  dirumuskan  bahawa  tidak  terdapat  undang-undang  yang  jelas mengenai   murtad   termasuk   hukumannnya.   Namun   demikian,   terdapat   peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di beberapa buah negeri. Sebagai contoh, Melaka   telah   memperuntukkan   kesalahan   keluar   dari   agama   Islam   sebagai   satu kesalahan23.  Seksyen  66(1)  Enakmen  Kesalahan  Syariah  (Melaka)  1991  menyatakan bahawa apabila seseorang Islam dengan sengaja mengaku hendak keluar dari Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah boleh memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut
hukum syarak. Jika seseorang telah bertaubat, maka taubatnya itu mestilah disahkan di Mahkamah dan kemudian barulah dia boleh dibebaskan. Jika pula seseorang itu bertaubat semasa  dalam  tahanan,  Pegawai  Penjaga  hendaklah  melaporkan  perkara  itu  kepada mahkamah  dan  taubatnya  juga  perlu  disahkan  oleh  Mahkamah.  Seksyen  6  (1)  pula memperuntukkan  seseorang  yang bersyubahat  dibawah  seksyen  66  adalah  merupakan suatu  kesalahan  dan  apabila  disabitkan  kesalahan  tersebut  boleh  dikenakan  hukuman denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-dua nya sekali.

Jika ditinjau sememangnya terdapat enakmen yang memperuntukkan undang-undang dan hukuman murtad secara khusus iaitu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan kerana faktor-faktor tertentu. Kedua-dua enakmen  ini  ada  menyebut  sesiapa  yang  disabitkan  melakukan  kesalahan  irtidad, hendaklah  sebelum  dijatuhkan  hukuman  supaya  bertaubat  dalam  tempoh  yang  tidak kurang  daripada  tiga  hari  setelah  dia  didapati  bersalah  dan  sekiranya  dia  enggan bertaubat, maka mahkamah boleh memenjarakannya selama lima tahun dan jika tidak
bertaubat juga boleh mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya.

Isu murtad ini semakin hangat timbul apabila melibatkan kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam  Wilayah  Persekutuan  &  Ors[2005]  6  MLJ  193    seorang  Melayu  yang  telah menukar agamanya kepada Kristian. Mahkamah Tinggi dan Rayuan telah memberikan penghakiman  bahawa  bidang  kuasa  di  dalam  kes  seumpama  ini  adalah  mahkamah syariah. Saat ini, semua pihak masih menanti-nantikan keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia. Jelasnya di sini ialah sepatutnya plaintif di dalam kes ini boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah syariah kerana melibatkan kesalahan murtad. Oleh kerana tiadanya peruntukan yang jelas mengenai kesalahan ini, pelbagai permasalahan akan timbul dari masa ke semasa. Di Perlis, satu Rang Undang-undang Perlindungan Aqidah Islam (Perlis) 2000 mengenakan hukuman rehabilitasi selama tidak lebih satu tahun sekiranya didapati cuba menukar agama Islam.

Ajaran Sesat

Antara isu ajaran sesat yang berlaku ialah mengenai dakwaan ajaran salah yang  dibuat  oleh  Jabatan  Agama  Islam  Selangor  terhadap  Rufaqa  Corporation  yang dikatakan  mempunyai  kesinambungan  dengan  ajaran  yang  pernah  diharamkan  oleh kerajaan Malaysia iaitu   al-Arqam. Selain daripada itu terdapat juga ajaran salah atau doktrin  palsu  lain  seperti  Black  Metal,  Tarikat  Naqsyabandiyyah,  Ajaran  Ayah  Pin, Golongan Anti Hadis, Ajaran Martabat Tujuh.

Pada hakikatnya mereka yang terlibat dengan ajaran salah ini boleh didakwa di bawah pelbagai  peruntukan  enakmen  jenayah  syariah   seperti  seksyen  4(1),  7(1),  8(a)(b),  9, 13(1), 14(1), 16(1)(a) dan 20 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Namun begitu,  jika diteliti,  terdapat  kelemahan  dari  aspek  undang-undang di  mana hukuman yang  diperuntukkan  bagi  kesalahan kesalahan  ini  adalah  terlalu  ringan  berbanding dengan kemudaratannya kepada orang Islam. Oleh itu, bagi membendung fenomena ajaran salah ini, seharusnya tindakan segera dan pendakwaan  dilipatgandakan  kepada  pihak  yang  terlibat.  Selain  daripada  itu,  bidang kuasa mahkamah syariah dari aspek hukuman juga perlu ditingkatkan bersesuaian dengan seriusnya ancaman ajaran seumpama ini kepada akidah umat Islam[17].

Undang-Undang Islam Hendaklah Mengikut Kehendak Peredaran Zaman

Antara isu yang ditimbulkan lagi, adakah semua hukum-hakam syariat boleh diperbaharui dan dikembangkan? Dan bolehkan hukum hakam Islam disesuaikan mengikut peredaran zaman serta terikat dengan Akta-Akta, Enakmen-Enakmen, dan kepentingan hak asasi manusia? Untuk membincangkan isu ini terutamanya apabila melibatkan hukum murtad, kita perlu membahagikan semua hukum-hakam perundangan ini kepada tiga bahagian

(1) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima perubahan
Semua dasar dan kaedah yang berkait dengan pengurusan harta, penentuan hukum, system ekonomi dan pentadbiran serta perlembagaan. Syariat dalam masalah ini hanya menetapkan kaedah serta skop yang umum, sementara tugas melakukan serta menghuraikan pelaksanaannya diserahkan kepada eksekutif serta penggubal undang-undang agar sesuai dengan zaman serta suasana setempat dengan syarat tidak bercanggah dengan nas sahih, tidak terkeluar dari kaedah umum atau melampaui dari skop yang dibenarkan.

(2) Masalah-masalah perundangan yang boleh menerima pengembangan
Masalah yang tidak ada nas yang terang adalah tertakluk kepada ijtihad semasa. Masalah-masalah ini seperti menerangkan hukum Islam tentang jaminan pencen pekerja, ganti rugi pemberhentian kerja dan lain-lain lagi. Ulama muktabar, warak, bertakwa, berkebolehan dalam berijtihad perlu menentukan hukum Islam berasaskan kemaslahatan, perkembangan, sesuai dengan perkembangan tamadun serta kemajuan ilmu. Kaedah fiqh : ‘tidak dinafikan hukum-hakam itu berubah mengikut perubahan zaman’.

(3) Masalah-masalah perundangan tetap yang tidak boleh menerima pembaharuan dan pengembangan
Ijtihad tidak dibenarkan dalam masalah yang terdapat nas yang qat’i, seperti masalah aqidah, rukun iman, hukum-hakam ibadah, haramnya zina, riba, arak, judi, membunuh jiwa, membataskan bahagian harta warisan, menghadkan iddah talak dan kematian, larangan membuka aurat, percampuran lelaki dan perempuan dan sebagainya. Ini untuk menjamin tidak berlaku perubahan hukum yang boleh menghancurkan syariat dan ajaran Islam. Ulama’ usul mengatakan : ‘berijtihad tidak dibolehkan terhadap masalah ada nas’.

Orang-orang bukan Islam hendaklah diberi hak kebebasan untuk menegur, memberi pandangan, mengkritik ajaran dan undang-undang Islam

Ini adalah satu isu yang dibangkitkan oleh salah seorang aktivis muslimah dalam sebuah NGO yang memperjuangkan hak kebebasan beragama menurut perspektif dan kefahamannya. Beliau mengatakan `We cannot discuss race relations because it is sensitive. We cannot discuss religion because it is sensitive. Then who do we give the space to discuss these issues? Where religion is concerned, the people who do not recognize freedom of religion also do not recognize tolerance, understanding, equality, do not have any compunction about other people’s sensitivities… why is it that we, who want to promote freedom of religion, freedom of expression, dialogue, understanding and tolerance must shut up because of the sensitivities of others? To do this is to then hand over this one exclusive group of people, exclusive rights and the monopoly to decide on what is Islam, what is right and what is wrong. The rest of the citizens of this country who will be affected by such pronouncements and by such law making are told to shut up and accept it. This tantamount to nothing more then theocratic dictatorship. The role and right of non-Muslims to talk about Islam is questioned. What right do they have to talk about Islam? Every time they want to say something about Islam, they are told to shut up because ‘you are a non-Muslim and you do not know anything about the religion and you therefore do not have the right to talk about the religion’. When religion is part of public life, when you want to use religion to govern public life, to make laws in the name of religion, then in a democratic society, every citizen has the right to talk about religion because it affects your life, your well-being and it affects your rights as a citizen of this country’.

Jika sekiranya, orang Islam sendiri merelakan agamanya dikritik dan menganjurkan agar dibenarkan Islam dikritik oleh orang-orang bukan Islam, apakah pula pandangan orang-orang bukan Islam? Sedangkan, umat Islam dianjurkan agar menghormati agama lain. Mengapa pula, penganut agama lain tidak boleh dianjur supaya menghormati agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi/persekutuan? Tambahan, undang-undang syariah hanyalah meliputi orang-orang Islam sahaja. Maka, apakah wujud kerisauan dihati orang-orang bukan Islam bahawa mereka juga akan dihukum jika melakukan kesalahan? Hal ehwal agama hendaklah dibincangkan oleh pakar agama sahaja. Orang-orang Islam yang awam yang tidak memahami konsep perundangan Islam, ilmu fiqh, usul fiqh dan sebagainya tidak mungkin atau amat sukar untuk memahami undang-undang syariah, apatah lagi orang-orang bukan Islam yang diajak untuk berbincang tentang ajaran Islam. Bahkan, umat Islam sendiri tidak pernah menyentuh, mengkritik, atau apa-apa sahaja berkaitan agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Itu bukanlah adab beragama! Contohnya, seseorang yang memerlukan pembedahan koronari, apakah akan diajak seorang doktor gigi untuk melakukan pembedahan tersebut, ataupun dipanggil seorang mekanik, atau seorang peguam untuk melakukan tugasan tersebut? Walaupun, doktor gigi berada dalam aliran atau bidang `kedoktoran’ yang sama tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran dalam perkara pembedahan koronari[18].



KAJIAN KES

Kes Judi

Pertuduhan dibuat Pendakwa syarie Tuan Haji Hairuddin Bin Abd. Samad terhadap Ariffin bin Mohd Kassim (no. k/p: 510409-08-5813). Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang, Selangor Darul Ehsan (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh Pada 13 hb Mei 2004. Tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam syarie. Isu kes melibatkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, kesalahan di bawah Seksyen 17  iaitu berjudi serta tertuduh Membeli Nombor Ramalan. Sabitan Bersalah dibuat di atas Pengakuan Salah Tertuduh. Mahkamah telah memutuskan bahawa tertuduh Ariffin Bin Mohd Kassim No. Kad Pengenalan: 510409-08-5813 disabitkan kesalahan di bawah seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu Berjudi. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2900.00 atau 4 bulan penjara dan Pesalah ini dipenjarakan selama 10 hari. Surah Al-Quran yang dirujuk semasa perbicaraan kes tersebut ialah Surah An-Nisa’, ayat 135, Surah An-Nisa’, ayat 59 dan Surah An-Isra’, ayat 32. Antara hadis yang dirujuk ialah:

إنما الأعمال بالنيت.

Kitab yang dirujuk ialah Kitab Khosiah I’annatut Talibin, Juzu’ 3 dan Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2. Undang –Undang yang dirujuk ialah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 (Seksyen 17 (1) ). Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Seksyen 62 (2) (a)). Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 (Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Seksyen 96). Manakala kes-kes yang dirujuk ialah kes Aishah Binti Abdul Raof lawan Wan Mohd Yusof Bin Wan Othman dan juga kes Mohd. Ibrahim bin Mohd. Shariff lawan Pendakwa Syarie Pulau Pinang. Alasan penghakiman adalah seperti berikut, sebelum mahkamah memberikan keputusan mahkamah perlu meneliti samada mempunyai bidangkuasa mendengar kes ini dan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di atas pengakuan salahnya. Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1/2003 ada menyatakan bahawa:-

62. (2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah

(a) dalam bidangkuasa Jenayah, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi RM 3,000.00, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan itu; dan begitu juga dengan Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995 telah diperuntukan tentang hukuman mengenai kesalahan sepertimana yang telah dilakukan oleh Tertuduh. Seksyen tersebut memperuntukan bahawa:-
17. (1) Mana – Mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Tiada seorang pun boleh disabitkan atas kesalahan di bawah seksyen ini kerana didapati berada di tempat yang merupakan rumah judi jika dia memuaskan hati Mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa tempat itu ialah rumah judi.

(3) Dalam seksyen ini, “rumah jadi” ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, samada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, samada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Setelah mahkamah meneliti kesemua seksyen-seksyen yang disebutkan di atas, mahkamah berpuashati bahawa ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan seterusnya menjatuhkan hukuman kepada tertuduh setelah mahkamah mendengar pengakuan bersalah dan setelah mahkamah berpuashati dengan pengakuan salah tertuduh itu. Oleh yang demikian, mahkamah telah mensabitkan tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan pihak pendakwa dan setelah mahkamah mendapati bahawa pihak Pendakwa telah mengemukakan keterangan-keterangan yang jelas dan kukuh serta membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti dinyatakan di atas berdasarkan fakta-fakta seperti di bawah:-

Pertuduhan

Ariffin Bin Mohd Kassim (NO. K/P: 510409-08-5813) ;
Bahawa kamu pada 27.09.2003, lebih kurang jam 5.35 petang di dalam kedai Pan Malaysian Pool, No. 29, Jalan Kem, Pelabuhan Klang, Daerah Klang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan dituduh berjudi iaitu membeli tiket nombor judi 1 + 3 D. Maka dengan itu kamu dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 tahun 1995.

Ulasan Mahkamah

Pada pendapat mahkamah pihak pendakwa berjaya membuktikan fakta-fakta tersebut dengan jayanya dan berjaya membuktikan tertuduh berkhalwat yang mana pembuktian dakwaan tersebut adalah menjadi tanggungjawab Pendakwa selari dengan kaedah fiqh yang berbunyi:-
على من انكر واليمين المدعى على البينة

Maksudnya: Keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar
dan juga telah memenuhi kehendak dan keperluan yang disyaratkan dalam Seksyen 3, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77 Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 yang mana kesemua seksyen-seksyen itu menyebut seperti Seksyen 3 Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyebut:-
3. “ keterangan” termasuklah –

a. bayyinah dan syahadah;
b. segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut lisan;
c. segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah: dokumen-dokumen sedemikian disebut keterangan dokumentar.
Seksyen 48 Enakmen yang sama
48. Kandungan dokumen boleh dibuktikan samada dengan keterangan primer atau melalui sekunder.
Seksyen 49
49. Keterangan primer ertinya dokumen itu sendiri yang dikemukakan untuk pemeriksaan mahkamah.
Seksyen 50
50. Keterangan Sekunder termasuklah –

a. salinan diperakui yang diberikan menurut peruntukan-peruntukan yang terkandung kemudian daripada itu;
b. salinan yang dibuat daripada naskhah asal melalui proses mekanikal, yang sendirinya memastikan ketepatan salinan itu, dan juga salinan yang dibandingkan dengan salinan itu.
Seksyen 73
73. (1) sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberi penghakiman tentang apa-apa hak atau liabiliti di sisi undang-undang dengan bergantung atas kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2) Apabila seseorang terikat membuktikan kewujudan sesuatu fakta, maka beban membuktikan terletak pada orang itu.
Seksyen 74
74. Beban membuktikan dalam sesuatu guaman atau prosiding adalah terletak pada orang itu yang mungkin gagal sekiranya tiada apa-apa keterangan jua pun diberikan oleh mana-mana pihak.
Seksyen 75
75. Beban membuktikan ssesuatu fakta tertentu adalah terletak pada orang yang berkehendakkan mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.
Seksyen 76
76. Beban membuktikan mana-mana fakta yang perlu dibuktikan untuk membolehkan seseorang memberi keterangan mengenai mana-mana fakta lain adalah terletak pada orang yang hendak memberikan keterangan itu.
Seksyen 77
77. Apabila seseorang dituduh atas sesuatu kesalahan, maka beban membuktikan kewujudan hal keadaan yang menjadikan kes itu termasuk dalam mana-mana kecualian am yang diperuntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor 1995 adalah terletak padanya dan mahkamah hendaklah menganggapkan hal keadaan tersebut sebagai tidak ada.

Dalam kes ini, Sabitan bersalah tertuduh juga disabitkan oleh mahkamah berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh sebanyak tiga kali, secara sukarela, tanpa sebarang paksaan atau pujukan mana-mana pihak terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada tertuduh dan di atas kebenaran fakta kes serta dokumen yang dikemukakan pihak pendakwa. Tertuduh juga memahami kesan akibat pengakuan salah tersebut ketika disoal oleh mahkamah.Pengakuan salah oleh tertuduh pada pandangan mahkamah sudah mencukupi untuk mahkamah mensabitkan kesalahan tertuduh iaitu berjudi. Pada mahkamah pengakuan tertuduh tersebut adalah mengikat diri tertuduh sendiri selari dengan kaedah yang menyebut :-

بإقراره مؤخذ المرءُ
yang bermaksud: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya”

Selain itu, pada pendapat Mahkamah pengakuan salah tertuduh itu juga merupakan satu iqrar tertuduh terhadap fakta pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan iqrar tertuduh itu telahpun memenuhi kehendak seperti yang disyaratkan oleh Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang yang sedia ada di Selangor ini. Dalam hal ini, mahkamah merujuk Kitab Khosiah I’anat Talibin, juzu’ 3 muka surat 382 yang berbunyi:

الإقرار لغة الإثبات وشرعا إلحق بحق عليه
أيضا بحق عليه يسمى اعتراف
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang ke atas dirinya. Iqrar juga disebut sebagai iktiraf.

Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2 muka surat 238 ada disebut yang bererti:-

Rukun iqrar itu ada 4 perkara iaitu muqirrun (orang yang beriqrar), muqarrun lahu (orang yang diberikan iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar), sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”

Selain itu, Surah An-Nisaa ayat 135 ada menyebut :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ.....
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri....”

Secara jelas, ayat ini menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan kesaksian ke atas diri kamu sendiri itu ialah iqrar, iaitu pengakuan dengan hak yang didakwa ke atas diri sendiri. Sebagai contoh misalan Rasulullah SAW menerima iqrar melakukan zina daripada Maiz dan Ghamidiyyah dan Baginda memerintahkan had zina dijatuhkan ke atas mereka membuktikan keesahan pembuktian secara iqrar dalam hukum syarak. Manakala dari sudut perundangan, mahkamah merujuk Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 yang menyebut:-
17.(1) Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.

Seterusnya Seksyen 17 (2) Enakmen yang sama juga menyebut:-
17.(2) sesuatu Iqrar hendaklah dibuat –

a. dalam mahkamah, di hadapan hakim; atau
b. di luar mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.

Dalam kes ini rukun iqrar telah dipenuhi sepenuhnya. Orang yang berikrar ialah Tertuduh sendiri, orang yang diberikan iqrar ialah Hakim, pengakuan bersalah merupakan sighah, dan hak yang diiqrarkan ialah melakukan kesalahan di bawah sub seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/ 1995. Pada pendapat Mahkamah, kedua-dua seksyen di atas juga telah memenuhi kehendak Seksyen 96 (a) dan (b) Bahagian X Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Selangor 1991 yang menyatakan:-

96. Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:
(a) apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dibentuk, dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya samada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan;

Dalam kes ini, Mahkamah telah mendapatkan pengakuan bersalah tertuduh sebanyak tiga kali yang mana tertuduh mengakui mendengar dan faham akan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, dan bersetuju dengan pertuduhan yang dibacakan oleh Pembantu Pendaftar mahkamah. Selain itu, tertuduh juga mengakui bahawa fakta kes yang dibentangkan oleh Pendakwa Syarie adalah benar dan bersetuju akan kebenaran segala fakta tersebut. Selain itu, berdasarkan iqrar tertuduh bahawa tertuduh faham akibat daripada pengakuan salahnya dan pengakuan bersalah yang dibuat adalah secara sukarela, tiada paksaan dan tidak bersyarat. Oleh itu, dengan akuan tertuduh tersebut, mahkamah berpuashati bahawa pengakuan bersalah tertuduh hendaklah diterima dan bolehlah direkodkan oleh Mahkamah. Ianya bersesuaian dengan kehendak undang-undang seperti yang dinyatakan oleh Seksyen 96 (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi:-
96. (b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan sama ada pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu;
Dengan syarat bahawa sebelum sesuatu akuan bersalah direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu;

Berdasarkan seksyen di atas, setelah akuan atau pengakuan bersalah tertuduh diambil dan direkodkan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di atas sabitan bersalah tersebut. Bagi kesalahan kes ini iaitu pelanggaran terhadap Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah menyatakan dengan jelas tentang hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen ini seperti kes tertuduh pada hari ini. Seksyen tersebut menyatakan seperti berikut:-

17. (1) Mana – Mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah mendapati bahawa berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas, sekiranya seseorang itu telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dengan salah satu daripada tiga (3) bentuk hukuman yang diperuntukan iaitu samada menjatuhkan hukuman denda tidak lebih RM 3,000.00 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Persoalan juga timbul berdasarkan peruntukan di atas, apakah Mahkamah mempunyai kuasa budibicara yang luas dalam membuat keputusan untuk menjatuh hukuman?

Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah berpendapat bahawa hukuman yang boleh dijatuhkan kepada tertuduh boleh dikenakan secara khusus dan tidak perlu bagi mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut turutan bentuk hukuman yang dinyatakan seperti peruntukan Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995 tersebut. Pendapat mahkamah dalam peruntukan itu jelas dinyatakan bahawa Mahkamah mempunyai budibicara yang luas dalam menjatuhkan hukuman kerana peruntukan itu menggunakan perkataan “boleh dihukum” yang mana ia tidak mengikat mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mengikut turutan hukuman yang dinyatakan dalam peruntukan tersebut. Apatah lagi, berdasarkan peruntukan Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995 tersebut menggunakan perkataan “atau” sebagai perantaraan di setiap hukuman yang diperuntukan.
Mahkamah merujuk Kamus Besar Bahasa Melayu Susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, terbitan Utusan Publications Distributions Sdn. Bhd., terbitan Pertama 1995 dalam muka surat 93 dinyatakan bahawa perkataan “atau” diertikan sebagai “pilihan”. Manakala di dalam Kamus Dewan Edisi Baru, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1993 dalam muka surat 64, perkataan “atau” membawa maksud (1. kata yang digunakan untuk menunjukkan atau menyatakan) 2. salah satu di antara beberapa hal (barang, perbuatan dll).

Perkara utama yang perlu mahkamah mengambil kira dalam menentukan sesuatu hukuman adalah sebarang hukuman mahkamah kepada tertuduh boleh menjadi iktibar, inzar, pengajaran, peringatan dan balasan bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada semua masyarakat Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh. Dalam menentukan apa-apa hukuman terhadap tertuduh dan pesalah bagi kesalahan ini tidak dapat lari daripada hukuman yang dinyatakan di atas. Namun dalam pada masa yang sama mahkamah perlu pastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal dan bertujuan untuk mencegah pesalah mengulanginya dan orang lain dari melakukannya. Dalam pada itu, mahkamah berpendapat dalam kes hukuman ta’zir ini, kuasa mahkamah dalam menentukan hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang agak luas dan boleh membuat pelbagai pilihan dalam menentukannya.

Oleh kerana hukuman dalam kes ini adalah hukuman ta’zir, Mahkamah merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah dalam muka surat 205 karangan Al-Mawardi menyebut yang maksudnya:-
Ta’zir juga suatu istilah yang kalau disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan-kesalahan ta’zir. Sebagai suatu hukuman para fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan samada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas.” Manakala di dalam Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh, Juzu’ 6 halaman 197 pula menyebut “takzir merupakan hukuman yang dikenakan ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah.”

Hukuman ini termasuklah samada jenayah tersebut terhadap hak Allah seperti makan disiang hari dalam bulan Ramadhan tanpa uzur dan meninggalkan solat atau terhadap hak manusia. Hukuman takzir ini boleh dilakukan dalam bentuk pukulan/sebatan, tahanan/penjara dan memberi malu (tawbikh). Para imam mazhab tidak mengharuskan takzir dengan cara mengambil harta pesalah kerana ianya merupakan kezaliman. Manakala Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim menentukan bahawa takzir dengan mengambil harta boleh dilakukan dengan kesalahan-kesalahan tertentu dalam mazhab Maliki, Hambali dan salah satu qaul dalam mazhab Shafi’i.

Dalam kitab yang sama juga di halaman 202 dijelaskan bahawa telah diriwayatkan dari Abi Yusuf bahawa harus bagi pemerintah melaksanakan takzir dengan cara mengambil harta pesalah ialah dengan menahan harta pesalah dalam jangka masa tertentu dengan tujuan memberi pengajaran kepadanya kemudian dipulangkan kembali harta tersebut. Penahanan harta tersebut hendaklah bukan untuk kepentingan pemerintah atau Baitul Mal. Di dalam Kitab At-Ta’zir Fi Al-Syariah Al- Islamiah oleh Dr. Aziz Aamir dalam muka surat 52 menyebut maksudnya:

Fuqaha’ mentakrifkan (takzir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan samada sebagai hak Allah atau hak manusia, di dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan yang sama seperti pembalasan had (hudud), iaitu memberikan pengajaran (ta’dib, mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr)”
Tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah untuk mengajar, (ta’dib), pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Disebabkan pencegahan merupakan tujuan utama hukuman ta’zir maka apa-apa hukuman mestilah mencapai tujuan dan objektif yang telah ditetapkan tersebut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab mahkamah memastikan setiap hukuman yang dijatuhkan terhadap seseorang pesalah atau tertuduh adalah hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan memastikan hukuman yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada tertuduh dan masyarakat Islam awam lain dan mendidik tertuduh dan masyarakat kita supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan Pemimpin kita sendiri yang mana kita telah memilih mereka. Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 yang berbunyi:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ ....
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemimpin-pemimpin di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah).

Dalam syariat Islam, Pemerintah mempunyai kuasa mengarah dan menyuruh ke atas rakyatnya yang mana arahan itu menjadi kewajipan yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh rakyat selagi tidak bercanggah dengan hukum Islam. Dalam hal ini, Pemerintah telah membuat satu undang-undang yang menyatakan bahawa melakukan perbuatan berjudi adalah suatu kesalahan di sisi Undang-undang. Selain itu, mahkamah juga harus meneliti dan menghalusi, menilai, meneliti perkara – perkara yang boleh dijadikan asas pertimbangan dalam menentukan sesuatu hukuman antaranya:-
1. Besar atau kecil kesalahan yang dilakukan
2. Rayuan pihak-pihak
Pada pendapat mahkamah dalam hal menentukan samada besar atau kecil kesalahan yang dilakukan adalah sesuatu yang subjektif. Namun bagi Mahkamah samada besar atau kecil kesalahan ini bergantung kepada kesan yang ditinggalkan akibat daripada kesalahan ini kepada masyarakat awam. Selain itu, mana-mana prinsip am jenayah sekalipun ianya bergantung kepada dua keadaan ini iaitu:-
Pertama, kesalahan tertuduh itu telah menyebabkan suatu kejadian atau tanggungjawab di letakkan ke atas bahunya kerana tertuduh telah menyebabkan wujudnya satu keadaan yang di larang undang-undang atau dikenali sebagai Actus-rea ataupun dalam bahasa mudah perbuatan tertuduh adalah salah dan berlawanan dengan peraturan dan undang-undang malahan hukum syarak. Kedua, bahawa tertuduh berada dalam keadaan fikiran yang jelas berhubung dengan sebab kejadian ataupun wujudnya keadaan dan kejadian tersebut ataupun dikenali sebagai mens-rea ataupun bahasa lebih mudah adalah dengan niat melakukan kesalahan tersebut. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-

إنما الأعمال بالنيت
Maksudnya: Sesungguhnya segala perbuatan itu dimulakan dengan niat..

Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat actus-rea tersebut perlu dibuktikan disamping elemen mens-rea atau niat itu secara bersama memandangkan kedua-duanya berkait rapat dalam terjadinya sesuatu perlakuan yang bersalahan dengan peraturan dan undang-undang. Setelah berpuashati bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa bagi mendengar dan memutuskan kes ini dan setelah yakin bahawa mahkamah mempunyai budibicara yang luas dalam membuat keputusan dengan matlamat menghukum tertuduh sesuai dengan kesalahan yang telah dilanggar di bawah seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995.

Mahkamah dengan ini, berpendapat bahawa tertuduh dengan melakukan kesalahan ini telah dengan sendirinya telah melanggar larangan dalam agama Islam iaitu berjudi. Sesungguhnya Al-Quran dengan jelas melarang umat Islam daripada berjudi melalui Firman Allah surah Al-Maidah ayat 90;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (90)
Yang membawa maksud:
Wahai Orang-Orang yang beriman! sesungguhnya (meminum) Arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhila perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh kejayaan.”

Sesungguhnya apabila agama Islam melarang sesuatu perbuatan maka Islam juga turut melarang apa jua usaha yang boleh membawa kepada berlakunya sesuatu kesalahan tersebut. Oleh itu, perbuatan tertuduh yang membeli nombor ramalan atau berjudi merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral di sisi Agama Islam. Perkara ini juga boleh menjadikan tertuduh dipandang serong oleh ahli keluarganya sendiri samada anak-anaknya mahupun adik beradiknya yang lain. Akibat dari itu tertuduh dengan sendirinya telah menunjukkan contoh teladan yang negatif kepada ahli keluarganya.

Mahkamah juga berharap agar hukuman yang dikenakan bukan sahaja menginsafkan tertuduh agar tidak mengulangi lagi kesalahannya. Mahkamah juga berharap pengajaran kepada tertuduh juga dirasai oleh masyarakat awam yang lain di masa kebanyakan manusia di kawasan ini suka kepada acara pergaulan d antara lelaki dan perempuan tanpa batas ini mahkamah sepatutnya menghukum dengan hukuman yang berat kepada tertuduh. Walaubagaimanapun mahkamah perlu mematuhi had kuasa yang diberikan oleh Undang-undang negara ini dalam melaksanakan sesuatu undang-undang.

Dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah iaitu ;-
Resit Judi 1+3D sebanyak 11 keping yang bernilai RM 30.00

Kesimpulan kes

Mahkamah ingin menjelaskan tujuan hukuman terhadap tertuduh adalah bagi memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan merupakan hukuman yang dapat menyedarkan, memberi pengajaran dan menginsafkan tertuduh di samping boleh dijadikan pengajaran bahkan juga kepada orang awam lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Apatah lagi semasa mengemukakan rayuan, tertuduh hanya meminta diringankan hukuman denda dan penjara tanpa menzahirkan rasa insaf dan akujanji tidak akan melakkan lagi kesalahan ini. Jauh sekali tertuduh menunjukkan penyesalan atau keinsafan tertuduh di atas kesalahan yang sememangnya dirancang samada melalui perkataan mahupun tingkahlaku tertuduh. Bagi mahkamah, tertuduh langsung tidak insaf, tidak menyesal mahupun meminta maaf di atas kesalahan tertuduh. Jadi bagaimana rayuan tertuduh itu harus dipertimbangkan? Sekiranya tertuduh tidak mengetahui cara bagaimana mengemukakan rayuan seharusnya tertuduh melantik Peguam Syarie bagi membantunya dalam kes ini.

Mengulas rayuan tertuduh, Mahkamah berasa amat dukacita kerana tertuduh tidak menggunakan peluang ini bagi meyakinkan Mahkamah apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum hukuman dijatuhkan. Secara tidak langsung mahkamah beranggapan bahawa tertuduh ini seorang yang ego dan seolah-olah tidak menyesali perbuatannya apabila langsung tidak merayu terhadap hukuman yang akan dijatuhkan. Oleh itu, Mahkamah ini tidak nampak bagaimana mahkamah perlu mengambilkira rayuan tersebut berdasarkan pendapat Mahkamah seperti berikut:-
a. Tertuduh semasa melakukan kesalahan ini mengetahui bahawa tindakannya adalah salah dan mengetahui risiko dan bahaya yang akan menimpanya jika melakukan kesalahan itu.
b. Tertuduh telah menyedari bahawa perbuatan berjudi ini merupakan kesalahan sejak tahun lebih 10 tahun lalu. Sebagai seorang Islam, Mahkamah merasakan tertuduh memang sengaja membelakangkan perundangan Syariah di negeri ini dan hukum syarak kerana sanggup melanggarnya sehingga ke sekian kalinya.

Mahkamah bersetuju dengan hujjah pendakwa supaya hukuman yang hendak dijatuhkan perlulah hukuman yang setimpal dengan kesalahannya yang telah tertuduh lakukan. Namun pada pendapat mahkamah apakah hukuman yang wajar, setimpal dan boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh ataupun seluruh masyarakat. Mahkamah mengharapkan dengan hukuman yang akan mahkamah jatuhkan memberi pengajaran dan peringatan kepada tertuduh dan semua masyarakat termasuk Hakim Bicara sendiri supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Keputusan Kes

Setelah mahkamah sabitkan tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen Seksyen 17 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 dan setelah mahkamah mendengar rayuan dan pendapat kedua-dua belah pihak tertuduh dan pihak pendakwa. Berdasarkan alasan-alasan di atas dengan ini mahkamah memerintahkan seperti berikut:-
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2900.00 atau 4 bulan penjara dan Pesalah ini dipenjarakan selama 10 hari mulai hari ini[19] .

Kes Khalwat

Pertuduhan dibuat oleh pendakwa Syarie Tuan Haji Hairuddin Bin Abd. Samad terhadap Sukree bin Masuyu, nombor passport 328358 yang tidak diwakili peguambela, dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang, Selangor Darul Ehsan (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh Pada 12 hb Ogos 2004. Isu melibatkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 di bawah Seksyen 29 iaitu kesalahan berkhalwat. Tertuduh berkhalwat dengan wanita yang bukan mahram. Sabitan bersalah dibuat di atas pengakuan salah tertuduh. Diputuskan bahawa mahkamah ini mensabitkan tertuduh seperti berikut, atas sabitan bersalah terhadap tertuduh Sukree Bin Masuyu No. Passport: 3283585595 di bawah Seksyen 29(1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu berkhalwat:-

Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2900.00 atau 4 bulan penjara dan Pesalah ini dipenjarakan selama 30 hari. Surah-surah dari al-Quran yang dirujuk ialah surah An-Nisa’, ayat 135, surah An-Nisa’, ayat 59, surah An-Isra’, ayat 32. Manakala hadis yang dirujuk ialah;

إنما الأعمال بالنيت
Kitab yang dirujuk ialah kitab Khosiah I’annatut Talibin, Juzu’ 3, dan kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2. Manakala undang –undang yang dirujuk ialah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, (Seksyen 29 (1) (a)). Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Seksyen 62 (2) (a)). Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 (Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77). Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Seksyen 96). Kes –kes yang dirujuk ialah Aishah Binti Abdul Raof lawan Wan Mohd Yusof Bin Wan Othman Mohd. Ibrahim bin Mohd. Shariff lawan Pendakwa Syarie Pulau Pinang.

Alasan penghakiman ialah sebelum mahkamah memberikan keputusan, mahkamah perlu meneliti samada mempunyai bidangkuasa mendengar kes ini dan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di atas pengakuan salahnya. Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1/2003 ada menyatakan bahawa:-
62. (2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah

(a) dalam bidangkuasa Jenayah, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi RM 3,000.00, atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukan itu; dan
Begitu juga dengan Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9/1995 telah diperuntukan tentang hukuman mengenai kesalahan sepertimana yang telah dilakukan oleh Tertuduh. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa
29.(1)(a) Mana – Mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau mahramnya;
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Setelah mahkamah meneliti kesemua seksyen-seksyen yang disebutkan di atas, mahkamah berpuashati bahawa ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan seterusnya menjatuhkan hukuman kepada tertuduh setelah mahkamah mendengar pengakuan bersalah dan setelah mahkamah berpuashati dengan pengakuan salah tertuduh itu. Oleh yang demikian, mahkamah telah mensabitkan tertuduh melakukan kesalahan di bawa Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan pihak pendakwa dan setelah mahkamah mendapati bahawa pihak Pendakwa telah mengemukakan keterangan-keterangan yang jelas dan kukuh serta membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti dinyatakan di atas berdasarkan fakta-fakta seperti di bawah:-

Pertuduhan

Sukree bin Masuyu (no. Passport: 328358);
Bahawa kamu pada 13.05.2004 lebih kurang jam 03.15pagi di dalam rumah sewa di alamat No. 42, Jalan 9, Bandar Baru Sultan Sulaiman 42000 Pelabuhan Klang, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan dituduh berada bersama (khalwat) dengan dua (2) orang perempuan bernama Nor Azimah Binti Mohamed (No. K/P: 850921-03-6288) dan Zaharah Binti Ab. Satar (No. K/P: 850527-11-5746) sedangkan dia bukan isteri atau muhrim kamu, dalam keadaan yang menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Maka dengan itu kamu dituduh melakukan kesalahan berkhalwat yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 tahun 1995.

Ulasan Mahkamah

Pada pendapat mahkamah pihak pendakwa berjaya membuktikan fakta-fakta tersebut dengan jayanya dan berjaya membuktikan tertuduh berkhalwat yang mana pembuktian dakwaan tersebut adalah menjadi tanggungjawab Pendakwa selari dengan kaedah fiqh yang berbunyi:-

على من انكر واليمين المدعى على البينة
Maksudnya: Keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar
dan juga telah memenuhi kehendak dan keperluan yang disyaratkan dalam Seksyen 3, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77 Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 yang mana kesemua seksyen-seksyen itu menyebut seperti berikut:-
Seksyen 3 Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyebut:-
5. “ keterangan” termasuklah –
(a) bayyinah dan syahadah;
(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubungan dengan perkara-perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut lisan;
(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah: dokumen-dokumen sedemikian disebut keterangan dokumentar.
Seksyen 48 Enakmen yang sama
48. Kandungan dokumen boleh dibuktikan sama ada dengan keterangan primer atau melalui sekunder.
Seksyen 49
49. Keterangan primer ertinya dokumen itu sendiri yang dikemukakan untuk pemeriksaan mahkamah
Seksyen 50
50. Keterangan Sekunder termasuklah –
a. salinan diperakui yang diberikan menurut peruntukan-peruntukan yang terkandung kemudian daripada itu;
b. salinan yang dibuat daripada naskhah asal melalui proses mekanikal, yang sendirinya memastikan ketepatan salinan itu, dan juga salinan yang dibandingkan dengan salinan itu.
Seksyen 73
73. (1) sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberi penghakiman tentang apa-apa hak atau liabiliti di sisi undang-undang dengan bergantung atas kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2) Apabila seseorang terikat membuktikan kewujudan sesuatu fakta, maka beban membuktikan terletak pada orang itu.
Seksyen 74
74. Beban membuktikan dalam sesuatu guaman atau prosiding adalah terletak pada orang itu yang mungkin gagal sekiranya tiada apa-apa keterangan jua pun diberikan oleh mana-mana pihak.
Seksyen 75
75. Beban membuktikan ssesuatu fakta tertentu adalah terletak pada orang yang berkehendakkan mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.
Seksyen 76
76. Beban membuktikan mana-mana fakta yang perlu dibuktikan untuk membolehkan seseorang memberi keterangan mengenai mana-mana fakta lain adalah terletak pada orang yang hendak memberikan keterangan itu.
Seksyen 77
77. Apabila seseorang dituduh atas sesuatu kesalahan, maka beban membuktikan kewujudan hal keadaan yang menjadikan kes itu termasuk dalam mana-mana kecualian am yang diperuntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor 1995 adalah terletak padanya dan mahkamah hendaklah menganggapkan hal keadaan tersebut sebagai tidak ada.
Dalam kes ini, Sabitan bersalah tertuduh juga disabitkan oleh mahkamah berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh sebanyak tiga kali, secara sukarela, tanpa sebarang paksaan atau pujukan mana-mana pihak terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada tertuduh dan di atas kebenaran fakta kes serta dokumen yang dikemukakan pihak pendakwa. Tertuduh juga memahami kesan akibat pengakuan salah tersebut ketika di soal oleh mahkamah. Pengakuan salah oleh tertuduh pada pandangan mahkamah sudah mencukupi untuk mahkamah mensabitkan kesalahan tertuduh berkhalwat atau berdua-duan di tempat terselindung yang boleh menimbulkan syak. Pada mahkamah pengakuan tertuduh tersebut adalah mengikat diri tertuduh sendiri selari dengan kaedah yang menyebut :-

بإقراره مؤخذ المرءُ
yang bermaksud: “Seseorang itu di pegang berdasarkan pengakuannya”
Selain itu, pada pendapat Mahkamah pengakuan salah tertuduh itu juga merupakan satu iqrar tertuduh terhadap fakta pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan iqrar tertuduh itu telahpun memenuhi kehendak seperti yang disyaratkan oleh Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang yang sedia ada di Selangor ini. Dalam hal ini, mahkamah merujuk Kitab Khosiah I’anat Talibin, juzu’ 3 mukasurat 382 yang berbunyi:

الإقرار لغة الإثبات وشرعا إلحق بحق عليه
أيضا بحق عليه يسمى اعتراف
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang ke atas dirinya. Iqrar juga disebut sebagai iktiraf.
Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 2 muka surat 238 ada disebut yang bererti:-
“Rukun iqrar itu ada 4 perkara iaitu muqirrun (orang yang beriqrar), muqarrun lahu (orang yang diberikan iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar), sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”
Selain itu, Surah An-Nisaa ayat 135 ada menyebut :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ.....
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri....”
Secara jelas, ayat ini menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan kesaksian ke atas diri kamu sendiri itu ialah iqrar, iaitu pengakuan dengan hak yang didakwa ke atas diri sendiri. Sebagai contoh misalan Rasulullah SAW menerima iqrar melakukan zina daripada Maiz dan Ghamidiyyah dan Baginda memerintahkan had zina dijatuhkan ke atas mereka membuktikan keesahan pembuktian secara iqrar dalam hukum syarak. Manakala dari sudut perundangan, mahkamah merujuk Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 yang menyebut:-
17.(1) Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.
Seterusnya Seksyen 17 (2) Enakmen yang sama juga menyebut:-
17.(2) sesuatu Iqrar hendaklah dibuat –
(e) dalam mahkamah, di hadapan hakim; atau
(f) di luar mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.

Dalam kes ini rukun iqrar telah dipenuhi sepenuhnya. Orang yang berikrar ialah Tertuduh sendiri, orang yang diberikan iqrar ialah Hakim, pengakuan bersalah merupakan sighah, dan hak yang diiqrarkan ialah melakukan kesalahan di bawah sub seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/ 1995. Pada pendapat Mahkamah, kedua-dua seksyen di atas juga telah memenuhi kehendak Seksyen 96 (a) dan (b) Bahagian X Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Selangor 1991 yang menyatakan:-
96. Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:
(a) apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dibentuk, dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan;

Dalam kes ini, Mahkamah telah mendapatkan pengakuan bersalah tertuduh sebanyak tiga kali yang mana tertuduh mengakui mendengar dan faham akan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, dan bersetuju dengan pertuduhan yang dibacakan oleh Pembantu Pendaftar mahkamah. Selain itu, tertuduh juga mengakui bahawa fakta kes yang dibentangkan oleh Pendakwa Syarie adalah benar dan bersetuju akan kebenaran segala fakta tersebut.

Selain itu, berdasarkan iqrar tertuduh bahawa tertuduh faham akibat daripada pengakuan salahnya dan pengakuan bersalah yang dibuat adalah secara sukarela, tiada paksaan dan tidak bersyarat. Oleh itu, dengan akuan tertuduh tersebut, mahkamah berpuashati bahawa pengakuan bersalah tertuduh hendaklah diterima dan bolehlah direkodkan oleh Mahkamah. Ianya bersesuaian dengan kehendak undang-undang seperti yang dinyatakan oleh Seksyen 96 (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang berbunyi:-
96. (b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan samada pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh disabitkan atas kesalahan itu;
Dengan syarat bahawa sebelum sesuatu akuan bersalah direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat, kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu;

Berdasarkan seksyen di atas, setelah akuan atau pengakuan bersalah tertuduh diambil dan direkodkan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh di atas sabitan bersalah tersebut. Bagi kesalahan kes ini iaitu pelanggaran terhadap Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 telah menyatakan dengan jelas tentang hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen ini seperti kes tertuduh pada hari ini. Seksyen tersebut menyatakan seperti berikut:-
29. (1) Mana – Mana
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau mahramnya; di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik fdalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah mendapati bahawa berdasarkan peruntukan tersebut adalah jelas, sekiranya seseorang itu telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dengan salah satu daripada tiga (3) bentuk hukuman yang diperuntukan iaitu samada menjatuhkan hukuman denda tidak lebih RM 3,000.00 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Persoalan juga timbul berdasarkan peruntukan di atas, apakah Mahkamah mempunyai kuasa budibicara yang luas dalam membuat keputusan untuk menjatuh hukuman? Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah berpendapat bahawa hukuman yang boleh dijatuhkan kepada tertuduh boleh dikenakan secara khusus dan tidak perlu bagi mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut turutan bentuk hukuman yang dinyatakan seperti peruntukan Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995 tersebut. Pendapat mahkamah dalam peruntukan itu jelas dinyatakan bahawa Mahkamah mempunyai budibicara yang luas dalam menjatuhkan hukuman kerana peruntukan itu menggunakan perkataan “boleh dihukum” yang mana ia tidak mengikat mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mengikut turutan hukuman yang dinyatakan dalam peruntukan tersebut. Apatah lagi, berdasarkan peruntukan Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9/1995 tersebut menggunakan perkataan “atau” sebagai perantaraan di setiap hukuman yang diperuntukan.

Mahkamah merujuk Kamus Besar Bahasa Melayu Susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, terbitan Utusan Publications Distributions Sdn. Bhd., terbitan Pertama 1995 dalam muka surat 93 dinyatakan bahawa perkataan “atau” diertikan sebagai “pilihan”. Manakala di dalam Kamus Dewan Edisi Baru, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1993 dalam muka surat 64, perkataan “atau” membawa maksud (1. kata yang digunakan untuk menunjukkan atau menyatakan) 2. salah satu di antara beberapa hal (barang, perbuatan dan lain-lain).

Perkara utama yang perlu mahkamah mengambil kira dalam menentukan sesuatu hukuman adalah sebarang hukuman mahkamah kepada tertuduh boleh menjadi iktibar, inzar, pengajaran, peringatan dan balasan bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada semua masyarakat Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh. Dalam menentukan apa-apa hukuman terhadap tertuduh dan pesalah bagi kesalahan ini tidak dapat lari daripada hukuman yang dinyatakan di atas. Namun dalam pada masa yang sama mahkamah perlu pastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal dan bertujuan untuk mencegah pesalah mengulanginya dan orang lain dari melakukannya. Dalam pada itu, mahkamah berpendapat dalam kes hukuman ta’zir ini, kuasa mahkamah dalam menentukan hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang agak luas dan boleh membuat pelbagai pilihan dalam menentukannya.

Oleh kerana hukuman dalam kes ini adalah hukuman ta’zir, Mahkamah merujuk kitab Al Ahkam As Sultaniyyah dalam muka surat 205 karangan Al-Mawardi menyebut yang maksudnya:-
“Ta’zir juga suatu istilah yang kalau disebut secara tunggal akan bermaksud hukuman atau keseksaan. Bagi maksud kesalahan ia perlu disebut kesalahan-kesalahan ta’zir. Sebagai suatu hukuman para fuqaha mendefinisikannya sebagai hukuman atau keseksaan yang tidak ditentukan secara terperinci oleh syarak dan dilaksanakan samada untuk kepentingan individu atau masyarakat dalam semua kes selain kes hudud dan qisas.”

Manakala di dalam Kitab Al-Fiqh al-Islami waadillatuh, Juzu’ 6 halaman 197 pula menyebut “takzir merupakan hukuman yang dikenakan ke atas jenayah atau maksiat yang tidak ditentukan hukuman had atau kaffarah.” Hukuman ini termasuklah samada jenayah tersebut terhadap hak Allah seperti makan di siang hari dalam bulan Ramadhan tanpa uzur dan meninggalkan solat atau terhadap hak manusia. Hukuman takzir ini boleh dilakukan dalam bentuk pukulan/sebatan, tahanan/penjara dan memberi malu (tawbikh). Para imam mazhab tidak mengharuskan takzir dengan cara mengambil harta pesalah kerana ianya merupakan kezaliman. Manakala Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim menentukan bahawa takzir dengan mengambil harta boleh dilakukan dengan kesalahan-kesalahan tertentu dalam mazhab Maliki, Hambali dan salah satu qaul dalam mazhab Shafi’i.

Dalam kitab yang sama juga di halaman 202 dijelaskan bahawa telah diriwayatkan dari Abi Yusuf bahawa harus bagi pemerintah melaksanakan takzir dengan cara mengambil harta pesalah ialah dengan menahan harta pesalah dalam jangka masa tertentu dengan tujuan memberi pengajaran kepadany kemudian dipulangkan kembali harta tersebut. Penahanan harta tersebut hendaklah bukan untuk kepentingan pemerintah atau Baitul Mal. Di dalam Kitab At-Ta’zir Fi Al-Syariah Al- Islamiah oleh Dr. Aziz Aamir dalam muka surat 52 menyebut maksudnya:
“Fuqaha’ mentakrifkan (takzir) sebagai satu pembalasan yang ditetapkan kadarnya, diwajibkan samada sebagai hak Allah atau hak manusia, di dalam setiap maksiat yang tiada pembalasan had atau kaffarah, mempunyai tujuan yang sama seperti pembalasan had (hudud), iaitu memberikan pengajaran (ta’dib, mengadakan pemulihan (islah) dan mewujudkan ingatan yang menakutkan (zajr)”. Tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah untuk mengajar, (ta’dib), pencegahan dan pengajaran di samping pemulihan dan pendidikan. Pencegahan ertinya mencegah pesalah dari mengulangi kesalahannya di samping mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama.
Disebabkan pencegahan merupakan tujuan utama hukuman ta’zir maka apa-apa hukuman mestilah mencapai tujuan dan objektif yang telah ditetapkan tersebut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab mahkamah memastikan setiap hukuman yang dijatuhkan terhadap seseorang pesalah atau tertuduh adalah hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan memastikan hukuman yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada tertuduh dan masyarakat Islam awam lain dan mendidik tertuduh dan masyarakat kita supaya patuh kepada perintah Allah, Rasul dan Pemimpin kita sendiri yang mana kita telah memilih mereka. Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 yang berbunyi:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ ....
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemimpin-pemimpin diantara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu maka hendaklah kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah).

Dalam syariat Islam, Pemerintah mempunyai kuasa mengarah dan menyuruh ke atas rakyatnya yang mana arahan itu menjadi kewajipan yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh rakyat selagi tidak bercanggah dengan hukum Islam. Dalam hal ini, Pemerintah telah membuat satu undang-undang yang menyatakan bahawa makukan perebuatan khalwat adalah suatu kesalahan di sisi Undang-undang. Selain itu, mahkamah juga harus meneliti dan menghalusi, menilai, meneliti perkara – perkara yang boleh dijadikan asas pertimbangan dalam menentukan sesuatu hukuman antaranya:-
1. Besar atau kecil kesalahan yang dilakukan
2. Rayuan pihak-pihak

Pada pendapat mahkamah dalam hal menentukan samada besar atau kecil kesalahan yang dilakukan adalah sesuatu yang subjektif. Namun bagi Mahkamah samada besar atau kecil kesalahan ini bergantung kepada kesan yang ditinggalkan akibat daripada kesalahan ini kepada masyarakat awam. Selain itu, mana-mana prinsip am jenayah sekalipun ianya bergantung kepada dua keadaan ini iaitu:-
Pertama, kesalahan tertuduh itu telah menyebabkan suatu kejadian atau tanggungjawab di letakkan ke atas bahunya kerana tertuduh telah menyebabkan wujudnya satu keadaan yang di larang undang-undang atau dikenali sebagai Actus-rea ataupun dalam bahasa mudah perbuatan tertuduh adalah salah dan berlawanan dengan peraturan dan undang-undang malahan hukum syarak.
Kedua, bahawa tertuduh berada dalam keadaan fikiran yang jelas berhubung dengan sebab kejadian ataupun wujudnya keadaan dan kejadian tersebut ataupun dikenali sebagai mens-rea ataupun bahasa lebih mudah adalah dengan niat melakukan kesalahan tersebut. Ia sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-

إنما الأعمال بالنيت
Maksudnya: Sesungguhnya segala perbuatan itu dimulakan dengan niat……
Oleh yang demikian, mahkamah berpendapat actus-rea tersebut perlu dibuktikan di samping elemen mens-rea atau niat itu secara bersama memandangkan kedua-duanya berkait rapat dalam terjadinya sesuatu perlakuan yang bersalahan dengan peraturan dan undang-undang. Setelah berpuashati bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa bagi mendengar dan memutuskan kes ini dan setelah yakin bahawa mahkamah mempunyai budibicara yang luas dalam membuat keputusan dengan matlamat menghukum tertuduh sesuai dengan kesalahan yang telah dilanggar di bawah seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995.

Mahkamah dengan ini, berpendapat bahawa tertuduh dengan melakukan kesalahan ini telah dengan sendirinya telah melanggar larangan dalam agama Islam (dan melakukan maksiat kepada Allah) yang mana kesalahan ini mempunyai merit yang hampir sama dengan kesalahan muqaddimah zina. Sesungguhnya Al-Quran dengan jelas melarang ummat Islam menghampiri zina melalui Firman Allah surah Al-Isra’ ayat 32

وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا
Yang membawa maksud: Dan janganlah kamu menghampiri perbuatan zina kerana zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Sesungguhnya apabila agama Islam melarang sesuatu perbuatan maka Islam juga turut melarang apa jua usaha yang boleh membawa kepada berlakunya sesuatu kesalahan tersebut. Oleh itu, perbuatan tertuduh dan pasangannya yang bukan mahramnya berada di dalam rumah yang disewa oleh pasangannya boleh menimbulkan syak bahawa satu perbuatan yang tidak bermoral telah dilakukan oleh Tertuduh dan pasangannya. Apatah lagi, semasa tangkapan dibuat oleh pihak Penguatkuasa Agama, Tertuduh berada di dalam salah satu bilik di dalam rumah tersebut menunjukkan niat tertuduh berada di situ bersama kerana dari segi rasionalnya apakah tujuan Tertuduh dan pasangannya pergi dan menyewa hotel dan berdua-duan dalam satu bilik jika bukan dengan tujuan melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi Hukum Syarak.

Apatah lagi, Tertuduh merupakan seorang suami yang mempunyai dua orang isteri yang mana kedua-duanya ditinggalkan di negara asalnya yang mana ia menimbulkan tanggapan serong masyarakat awam berkaitan tindakannya berkurung di dalam rumah pasangannya yang tiada hubungan mahram dengannya. Alasan tertuduh bahawa semasa kejadian tertuduh hanya ingin menumpang untuk membuang air kecil di rumah tersebut adalah sukar dipercayai memandangkan pada waktu itu jam menunjukkan 3.15 pagi. Malah mahkamah juga berpendapat perbuatan Tertuduh tersebut dan pasangannya dengan sendirinya boleh mendorong tertuduh melakukan perzinaan. Perkara ini juga boleh menjadikan tertuduh dipandang serong oleh ahli keluaganya sendiri samada anak-anaknya mahupun adik beradiknya yang lain. Akibat dari itu, tertuduh dengan sendirinya telah menunjukkan contoh teladan yang negatif kepada ahli keluarganya, Mahkamah juga berharap agar hukuman yang dikenakan bukan sahaja menginsafkan tertuduh agar tidak mengulangi lagi kesalahannya. Mahkamah juga berharap pengajaran kepada tertuduh juga dirasai olejh masyarakat awam yang lain di masa kebanyak manusia di kawasan ini suka kepada acara pergaulan di antara lelaki dan perempuan tanpa batas ini mahkamah sepatutnya menghukum dengan hukuman yang berat kepada tertuduh. Walaubagaimanapun, mahkamah perlu mematuhi had kuasa yang diberikan oleh Undang-undang negara ini dalam melaksanakan sesuatu undang-undang.

Dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah iaitu ;-
-Tiada-

Kesimpulan

Mahkamah ingin menjelaskan tujuan hukuman terhadap tertuduh adalah bagi memastikan bahawa hukuman yang dijatuhkan merupakan hukuman yang dapat menyedarkan, memberi pengajaran dan menginsafkan tertuduh di samping boleh dijadikan pengajaran bahkan juga kepada orang awam lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Apatah lagi semasa mengemukakan rayuan, tertuduh hanya meminta diringankan hukuman denda dan penjara tanpa menzahirkan rasa insaf dan akujanji tidak akan melakkan lagi kesalahan ini.Jauh sekali tertuduh menunjukkan penyesalan atau keinsafan tertuduh di atas kesalahan yang sememangnya dirancang samada melalui perkataan mahupun tingkahlaku tertuduh. Bagi mahkamah, tertuduh langsung tidak insaf, tidak menyesal mahupun meminta maaf di atas kesalahan tertuduh. Jadi bagaimana rayuan tertuduh itu harus dipertimbangkan? Sekiranya tertuduh tidak mengetahui cara bagaimana mengemukakan rayuan seharusnya tertuduh melantik Peguam Syarie bagi membantunya dalam kes ini.

Mengulas rayuan tertuduh, Mahkamah berasa amat dukacita kerana tertuduh tidak menggunakan peluang ini bagi meyakinkan Mahkamah apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan dirinya sebelum hukuman dijatuhkan. Secara tidak langsung, mahkamah beranggapan bahawa tertuduh ini seorang yang ego dan seolah-olah tidak menyesali perbuatannya apabila langsung tidak merayu terhadap hukuman yang akan dijatuhkan. Oleh itu, Mahkamah ini tidak nampak bagaimana mahkamah perlu mengambilkira rayuan tersebut berdasarkan pendapat Mahkamah seperti berikut:-
a. Tertuduh semasa melakukan kesalahan ini mengetahui bahawa tindakannya adalah salah dan mengetahui risiko dan bahaya yang akan menimpanya jika melakukan kesalahan itu.
b. Tertuduh telah menyedari bahawa perbuatan khalwat ini merupakan kesalahan sejak tahun lebih 10 tahun lalu. Sebagai seorang Islam Mahkamah merasakan tertuduh memang sengaja membelakangkan perundangan Syariah dinegeri ini kerana sanggup melanggarnya sehingga ke sekian kalinya.
c. Tindakan tertuduh ini melanggar dan mencabar keputusan mahkamah adalah satu tindakan yang boleh mengaibkan Institusi perundangan Syaiah di negeri Selangor, institusi Mahkamah Syariah dan boleh menyebabkan orang awam yang lain memperlekehkan Mahkamah ini.
d. Tertuduh merupakan seorang yang yang telah berkahwin dan telah pun bergelar suami kepada dua (2) isteri yang jauh ditinggalkan di negara asalnya di Thailand tidak seharusnya melakukan perbuatan ini yang menunjukkan bahawa tertuduh tidak menghormati amanah Allah dan ikatan perkahwinan itu sendiri. Tindakan tertuduh ini boleh memudharatkan kehidupan berkeluarga yang harmoni dan menimbulkan banyak masalah sosial yang lain. Apatah lagi, pasangan tertuduh dalam kes ini merupakan seorang anak dara yang masih di bawah tanggungan bapanya.

Mahkamah bersetuju dengan hujjah pendakwa supaya hukuman yang hendak dijatuhkan perlulah hukuman yang setimpal dengan kesalahannya yang telah tertuduh lakukan. Namun pada pendapat mahkamah apakah hukuman yang wajar, setimpal dan boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh ataupun seluruh masyarakat. Mahkamah mengharapkan dengan hukuman yang akan mahkamah jatuhkan memberi pengajaran dan peringatan kepada tertuduh dan semua masyarakat termasuk Hakim Bicara sendiri supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Keputusan

Setelah mahkamah sabitkan tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 dan setelah mahkamah mendengar rayuan dan pendapat kedua-dua belah pihak tertuduh dan pihak pendakwa. Berdasarkan alasan-alasan di atas dengan ini mahkamah memerintahkan seperti berikut:-
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 2900.00 atau 4 bulan penjara dan Pesalah ini dipenjarakan selama 30 hari mulai hari ini.

PENUTUP

Sebagai kesimpulan, undang-undang jenayah Islam mempunyai kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang kebanyakannya datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang jenayah kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diceduk dari Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya, Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan akta-akta berkaitan mahkamah.

Oleh kerana sumber kedua-dua undang-undang ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil adalah:

Undang-undang Islam adalah dari Allah sedangkan undang-undang sivil adalah ciptaan manusia. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan tentunya membuat undang-undang yang terbaik dan paling sesuai untuk manusia. Bahkan manusia ini adalah ciptaan Allah, maka Allah tentu Maha Mengetahui apakah undang-undang jenayah yang sesuai dengan fitrah manusia. Undang-undang ciptaan manusia terdedah dengan seribu satu kelemahan kerana ilmu dan kebolehan manusia adalah terhad. Tambahan pula manusia sentiasa terpengaruh dengan keadaan persekitaran, latar belakang keluarga, pendidikan, dorongan nafsu dan hasutan syaitan. Kerana itulah undang-undang manusia sentasa berubah umpamanya dahulu homoseksual dianggap sebagai satu jenayah, tetapi hari ini ia tidak lagi dianggap satu kesalahan, bahkan ia diangkat sebagai satu amalan yang sah melalui perkahwinan seperti yang diamalkan di negara-negara tertentu.

Undang-undang jenayah Islam tidak terpisah dengan aspek aqidah iaitu keimanan kepada perkara ghaib. Beriman dengan kebenaran dan kehebatan undang-undang jenayah Islam adalah wajib kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah. Demikian juga undang-undang Islam tidak memisahkan soal pembalasan di dunia dengan pembalasan di akhirat. Unsur kepatuhan kepada Allah, konsep pembalasan di akhirat, serta konsep dosa dan pahala mendorong rakyat menjauhi jenayah. Ini kerana mereka bukan sahaja takut kepada hukuman di dunia bahkan mereka lebih takut hukuman di akhirat yang lebih dahsyat dan lebih lama. Oleh yang demikian mereka akan mengelakkan diri dari melakukan jenayah dengan bersungguh-sungguh walau pun jenayah itu boleh dilakukan di luar pengetahuan penguatkuasa undang-undang. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar jenayah. Begitu juga bagi yang terlanjur melakukan jenayah, mereka akan lebih bersedia untuk tampil menyerahkan diri mereka untuk dihukum dengan undang-undang Islam demi untuk mengelakkan hukuman di akhirat. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah, dan Khulafa’ al-Rasyidin. Berbeza dengan undang-undang sivil yang langsung tidak ada hubungan dengan iman atau aqidah. Keberkesanan undang-undang sivi bergantung sepenuhnya kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.

Ruang lingkup jenayah atau kesalahan dalam Islam adalah lebih luas iaitu mencakupi kesalahan yang bersabit hak Allah, hak manusia serta hak Allah bersama-sama hak manusia. Ini bermakna ia meliputi berbagai bentuk kesalahan seperti yang berkaitan dengan kepercayaan atau keimanan, umpamanya hukuman ke atas mereka yang murtad. Undang-undang Islam juga menyentuh hukuman ke atas kesalahan berkaitan ibadat seperti mereka yang meninggalkan solat, solat Jumaat, puasa pada bulan Ramadhan dan haji. Undang-undang jenayah Islam juga amat menitik beratkan soal akhlak seperti hukuman kepada mereka yang berzina, berkhalwat, berjudi dan minum arak. Berbeza dengan hukuman jenayah sivil yang tidak menganggap sesetengah jenayah seperti murtad, zina, meninggalkan solat, minum arak dan judi sebagai satu jenayah. Ini kerana soal unsur-unsur iman, ibadat dan akhlak tidak menjadi perkiraan yang penting bagi penggubal undang-undang ini.

Undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Contohnya hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak. Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman adalah amat ketat. Umpamanya ia memerlukan empat saksi leleki yang tidak fasik yang melihat secara jelas apa yang berlaku. Ini menjadikan jumlah sebenar yang dikenakan hukuman yang dianggap berat ini adalah sedikit. Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan. Bahkah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin, hukuman hudud seperti zina kebanyakannya disabitkan melalui iqrar atau pengakuan bukan melalui empat orang saksi kesaksian. Begitu juga dalam Islam terdapat hukum yang berbentuk pencegahan umpamanya pengharaman berdua-duaan bagi lelaki dan wanita ajnabi bertujuan untuk mengelakkan zina, pengharaman arak untuk mengelakkan jenayah yang lebih besar seperti membunuh dan lain-lain. Konsep pencegahan begini tidak diambil berat oleh undang-undang jenayah sivil, kerana ia lebih menumpukan kepada kepada aspek menghukum dan membalas.

Undang-undang jenayah Islam tidak dapat dipisahkan dari konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan munkar (al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar). Konsep ini banyak membantu mengurangkan jenayah. Islam bukan sahaja mengarahkan kejahatan diperangi bahkan menyeru agar kebaikan disebarluaskan. Mereka yang biasa dengan amalan kebaikan dan ibadat akan terhindar dari melakukan kemunkaran dan jenayah. Umpannya ibadat solat yang disebut oleh Allah sebagai ibadat yang dapat mencegah munkar. Ibadah puasa pula disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai amalan yang dapat mengekang hawa nafsu syahwat. Begitu juga dengan amalan makruf yang lain. Konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini mengajak seluruh rakyat terutamanya umat Islam untuk bersama-sama membenteras jenayah. Bahkan, mereka juga dibenarkan untuk membuat tangkapan jika mempunyai asas kukuh. Kewujudan Badan Hisbah selaku badan rasmi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan konsep al-amr bil makruf wa al nahyi anil munkar ini juga dapat membantu mengurangkan jenayah. Dengan cara ini para penjenayah akan lebih berhati-hati dalam segala tindakan mereka. Konsep ini tidak ada dalam undang-undang jenayah sivil. Pihak penguatkuasa seperti polis biasanya akan hanya mengambil tindakan selepas terdapat laporan berkaitan jenayah dibuat.

Undang-undang jenayah Islam amat berhati-hati dalam soal mensabitkan seseorang dengan hukuman jenayah. Umpamanya dalam kes hudud, pensabitannya adalah amat berat. Contohnya, bagi kes kecurian, harta yang dicuri itu mesti disimpan ditempat yang sesuai, dan tidak berlaku masalah yang mendesak seperti perang, kebuluran dan mala petaka. Begitu juga dalam kes zina yang disabitkan dengan iqrar atu kesaksian oleh emapat lelaki yang melihat kejadian secara jelas ibarat melihat timba masuk ke dalam perigi. Jika gagal membawa empat saksi, orang yang yang membuat tuduhan itu pula akan didakwa melakukan kesalahan qazaf. Syarat saksi dalam undang-undang Islam pula amat ketat. Seseorang saksi mestilah adil iaitu tidak fasik. Terdapat proses penapisan saksi yang disebut sebagai ‘tazkiyah al-syuhud’. Jika didapati saksi itu pernah melakukan dosa besar selalu melakukan kejahatan mempunyai akhlak yang keji, maka kesaksiannya boleh dipertikai. Dalam undang-undang jenayah sivil, soal akhlak dan perangai saksi tidak diambil kira dalam menentukan kesahihan keterangannya.

Undang-undang jenayah Islam tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dibawa kemuka pengadilan dan didakwa menurut prosedur yang sah. Islam menjunjung tinggi konsep bahawa ‘pada asalnya seseorang itu tidak bersalah’ (al-aslu bara’ah al-zimmah). Tahanan tanpa bicara dianggap satu kezaliman dalam Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Jika seseorang itu dikatakan melakukan jenayah, maka perkara jenayah itu perlu dibuktikan oleh pendakwa di hadapan hakim di mahkamah. Beban bukti terletak pada pendakwa. Jika tiada bukti bahawa tertuduh itu melakukan jenayah, maka tertuduh itu perlu dilepaskan dan dia bebas dari tuduhan itu. Dalam undang-undang jenayah sivi, terdapat peruntukan yang membenarkan tahanan tanpa bicara yang disebut sebagai tahanan pencegahan atau preventive detention. Contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri membenarkan seseorang yang disyakki menjejaskan keselamatan awam ditahan selama 60 hari tanpa bicara untuk siasatan. Seseorang yang pada pendapat Menteri Dalam Negeri boleh menjejaskan keselamatan awam pula boleh ditahan selama dua tahun. Mereka boleh ditahan tanpa dibicara di mana-mana tribunal atau mahkamah.

Undang-undang Islam memperuntukkan pelbagai bentuk hukuman yang mempunyai kesan yang mendalam. Bagi hukuman hudud terdapat hukuman rejam sampai mati, sebatan, hukuman mati, potong tangan. Potong kaki, salib, dan buang negeri. Bagi kesalahan qisas, terdapat hukuman qisas iaitu balasan yang sama dengan jenayah iaitu nyawa dengan nyawa, mata dengan mata, telinga dengan telinga dan seterusnya, serta hukuman diat iaitu gantirugi dengan kadar yang berbeza. Hukuman takzir pula amat luas dan boleh dikenakan mengikut maslahah, keperluan dan kebijaksanaan pemerintah, badan perundangan serta hakim. Sementara dalam undang-undang sivil, hukumannya yang utama hanyalah hukuman mati, penjara, sebat dan denda. Walau pun terdapat hukuman lain seperi jaminan perkelakuan baik, gantirugi, dan arahan untuk remaja, hukuman yang utama adalah hukuman mati, penjara, denda dan rotan. Di antara keempat-empat hukuman ini pula hukuman yang paling banyak adalah hukuman penjara. Boleh dikatakan hampir semua bentuk kesalahan jenayah boleh dihukum dengan hukuman penjara. Kesalahan-kesalahan utama dan berat seperti membunuh, rogol, menculik, merompak dan seumpamanya boleh dihukum dengan hukuman penjara. Begitu juga dengan kesalahan kecil seperti kesalahan lalu-lintas, kesalahan berkaitan pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.  Sedangkan penjara boleh membawa kepada berbagai keburukan seperti ia boleh menjadi tempat latihan jenayah di samping pusat pengedaran dadah dan perbuatan tidak bermoral. Penjara juga menyebabkan isteri, anak-anak dan keluarga terpaksa menanggung malu dan beban ekonomi akibat dari kesalahan penjenayah. Mereka yang keluar dari penjara biasanya disisihkan oleh masyarakat dan ada yang kembali melakukan jenayah.

Perbezaan terakhir iailah dari sudut keberkatan. Keberkatan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera tetapi ia terbukti melalui janji Allah dan Rasulnya serta peristiwa yang berlaku. Allah menjamin keberkatan dengan pelaksanaan hukum Islam termasuk undang-undang jenayah. Pelaksanaan undang-undang Islam pasti dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat. Berbeza dengan undang-undang sivil ciptaan manusia yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam. Ia gagal menimbulkan rasa takut dan gerun walau pun hukuman yang dikenakan adalah berat. Umpamanya hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah tidak berjaya mengurangkan jenayah berkenaan. Begitu juga dengan kesalahan jenayah yang lain.



[1]Raffaele Garofalo ,The Natural Crime,  Criminology, Cambrigde U.S.A, 1914, hlm 33.
[2]House Of Lords,‘Board Of Trade, Appellants;And Owen And Another, Respondents’. Diakses dari http://www.uniset.ca/other/cs5/1957AC602.html. Pada 3 april 2015, jam 10.47.

[3] Dr. Saodah Ahmad, ‘ Polisi Sosial dan undang-undang’, Undang-undang Jenayah. Diakses dari http://www.vodppl.upm.edu.my/uploads/docs/fem3106_1299036747.ppt.pada 3 april 2015, jam 10.26 am.

[4] Wikipedia, “Wilayah Persekutuan”, diakses dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Wilayah_Persekutuan, pada 26 Mac 2015, jam9.20 a.m.
[5]Abd. Jalil Borham,Pengantar perundangan Islam,  UTM, 2002, hlm 1-147
[6] Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
[7] Zulkifli Hassan,” Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia Dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya”, artikel diterbitkan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
[8] Siti Shamsiah, 2011, "Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Di Malaysia: Satu Pengenalan Ringkas" diakses dari http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7185-bidang-kuasa-mahkamah-syariah-di-malaysia-satu-pengenalan-ringkas, pada 18 April 2015, jam 8.07 pm.
[9] Boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
[10] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
[11] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
[12] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak
melebihi enam rotan atau kombinasi mana-mana hukuman.
[13] Boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
[14] Zulkifli Hassan,” Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia Dan Sejauh Manakah Perlaksanaannya”, artikel diterbitkan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
[15] http://www.esyariah.gov.my/JurnalHukumSearch/htdocs/jurnalhukumsearch/JurnalHukumSearchDetailsPageBM.jsp
[16]http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Original.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/3734ed672e1938574825707c0004ad82?OpenDocument, pada 26 April 2015, jam 7.29 pm.
[17] Zulkifli Hasan, Isu Undang-undang Jenyah Islam di Malaysia, Dan Sejauhmanakah Pelaksanaannya. Artikel untuk Fakulti Undang-undang Syariah, USIM.
[18] Diakses dari http://suriaterang.blogspot.com/2008/02/murtad-isu-isu-berkaitan-hukuman-serta.html, pada 26 April 2015, jam 8 am.
[19]  http://jakess.blogspot.com/2006/03/kes-judi.html, diakses pada 27 April 2015, jam 7 pm.



 

Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

2 ulasan:

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)