Followers

Khamis, 27 Ogos 2015

Chapter Review: Model dan Prinsip-prinsip Pengurusan Islam

Disediakan Oleh:Shakirah Abu Bakar




Judul Buku: Mengurus Secara Islam
Nama Penulis: Yusof Ismail
Penerbit: A.S.Noordeen
Tahun Terbitan: 1991
Tempat Diterbitkan: Kuala Lumpur
Jumlah Bab:16
Tajuk Bab: Model dan Prinsip-prinsip Pengurusan Islam
Perbincangan Topik
Terdapat 16 topik yang dibincangkan dalam buku ini, Saya telah memilih topik dalam bab ke-4, iaitu ‘Model dan Prinsip-prinsip Pengurusan Islam’. Terdapat tiga perkara pokok yang dibincangkan di dalam topik ini iaitu ‘Model Pengurusan Islam’, ‘Model Pemimpin’ dan ‘Prinsip-prinsip Pengurusan Islam’. Sebagai pengenalan, penulis telah memberi definisi pengurusan iaitu satu proses untuk mencapai matlamat di mana pelaksanaannya memerlukan kerjasama antara pihak pengurusan dan kakitangan awam. Unsur-unsur yang terlibat dalam pengurusan ialah matlamat (nilai), sistem, kaedah, pengurus, kakitangan dan teknologi (alat). Ketiadaan salah satu unsur tersebut akan mnggencatkan proses pengurusan untuk mencapai matlamat organisasi. Penulis menegaskan bahawa setiap organisasi mesti berpegang kepada nilai tertentu supaya pengurus tidak menggunakan cara yang salah untuk mencapai matlamat. Selain itu, penulis juga telah memperkenalkan satu model yang dinamakan ‘Model Pengurusan Islam’, untuk memahami bagaimana pengurusan secara Islam dapat memberi kesan di dalam pencapaian matlamat dalam sesebuah organisasi.
Di dalam bahagian ‘Model Pengurusan Islam’ pula penulis terlebih dahulu menerangkan tentang maksud model itu sendiri. Terdapat banyak tafsiran yang diketengahkan antara menurut W.S Stevenson, model merupakan ringkasan mengenai realiti (kenyataan). Melalui model ini penulis telah menerapkan beberapa prinsip Islam dalam proses pengurusan. Menurut penulis model hendaklah mencerminkan prinsip, ‘Model Pengurusan Islam’ akan mencerminkan prinsip Islam yang bersifat umum dan khusus. Penulis telah melakar rangka ‘Model Pengurusan Islam’ (sila rujuk rajah di bahagian lampiran) sebagai panduan.  
Unsur terpenting di dalam model ini ialah aqidah tauhid dan iman, di mana aqidah Islam akan menentukan matlamat organisasi, perhubungan antara majikan dan pekerja dan lain-lain lagi. Penulis mengatakan bahawa persekitaran organisasi juga boleh dipengaruhi oleh pengurus yang berautoriti, pengurus yang komited terhadap islam dapat mempengaruhi pekerja dan persekitaran dalaman secara Islamik, contohnya mengadakan ceramah agama di jabatannya. Majikan dan pekerja yang mengikut garis panduan yang lebih syarie dapat menatijahkan hasil atau output yang lebih cemerlang seterusnya memberi dorongan kepada pengguna awam untuk menggunakan output (perkhidmatan atau produk) tersebut kerana wujud ikatan aqidah yang kuat sesama mereka.
Penulis juga telah menekankan kepentingan konsep Syura dalam sesebuah organisasi dengan meletakkannya sebagai salah satu unsur  di dalam model tersebut. Syura berfungsi sebagai alat pengurusan yang telah dipraktikkan pada zaman Rasulullah dan para sahabat, Khulafa al Rasyidin. Syura di peringkat bawah mestilah mematuhi keputusan Syura di peringkat atasan bagi perkara yang tidak ada Nas. Dalam organisasi moden Syura mengambil dua bentuk, badan penasihat dan lembaga pengarah. Selain Syura, penulis memasukkan unsur organisasi di dalam model tersebut. Di dalam al-Quran, Allah menegaskan dalam ayat  ke 122 surah at-Taubah, pentingnya sebahagian umat Islam yang perlu dihantar untuk mendalami pengetahuan agama Islam untuk memberi peringatan kepada kaum mereka setelah kembali dan tidak patut semuanya hanya keluar berperang. Penulis juga banyak membawakan ayat-ayat dari al-quran yang  menyatakan tentang kepentingan berorganisasi dalam melaksanakan sesuatu sistem pengurusan secara berjemaah. Seperti memudahkan pengurusan zakat dan sebagainya.
Penulis juga menyatakan di dalam model pemimpin, seorang pengurus dan pekerja harus bersifat persaudaraan dan bukan keras seperti organisasi kontemporari yang mempunyai hubungan terlalu formal dan dibatasi autoriti (kuasa). Contoh terbaik pemimpin dalam Islam Ialah Rasulullah s.a.w. Pemimpin yang mempunyai akhlak yang baik dapat menjadi ikutan kepada orang bawahannya.
Di dalam bahagian ‘Prinsip-prinsip Pengurusan Islam’, penulis menyatakan pelbagai pengertian mengenai prinsip. Penulis telah menyimpulkan  prinsip ialah kebenaran asas yang tidak boleh berubah. Sedangkan teknik boleh berubah mengikut suasana dan diwujudkan untuk mendokong prinsip. Penulis juga memberikan beberapa contoh prinsip Islam iaitu mencari keredhaan Allah, melaksanakan makruf dan mencegah kemungkaran, menjaga kesejahteraan masyarakat, membangunkan individu semaksimum mungkin, melaksanakan Syura, mewujudkan jamaah, berlaku adil, berlaku ihsan dan membuat keputusan sesuai dengan prinsip Islam. Penulis juga menegaskan Prinsip pengurusan Fayol dalam Industrial and General Administration (1916) dan Koontz dan O’Donnell dalam Principle Of Management: An Analysis Of Managerial Functions (1955) merupakan suatu teknik dan tidak boleh dianggap prinsip, dan harus digunakan oleh umat Islam kerana tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Contoh prinsip yang dikemukakan oleh kedua-dua kumpulan itu ialah perancangan, pengorganisasian, pengambilan kakitangan, pengarahan dan pengawalan.
Di akhir bab penulis juga telah menyenaraikan syarat-syarat tertentu untuk melaksanakan ‘Model Pengurusan Islam’. Antaranya ialah pengurus harus memahami model tersebut secara keseluruhan dan mestilah ikhlas melaksanakannya kerana Allah. Pengurus juga harus mendapat bimbingan dari pebimbing yang layak dari segi ilmu dan amalan sekiranya mereka tidak mempunyai persediaan yang cukup. Sebagai penutup, penulis menyatakan bahawa cara pengurusan yang sistematik amat dituntut dalam Islam. ‘Model Pengurusan Islam’ menyarankan agar Islam mempengaruhi persekitaran dalaman dan luaran. Sekiranya salah satu unsur di dalam model tersebut tidak dicorakkan oleh Islam, organisasi akan menghadapi pelbagai masalah atau pembangunan kakitangan tidak seimbang. Semua bentuk kelonggaran dalam memperaktikkan model ini hendaklah dianggap bersifat sementara kerana Allah memerintah kita supaya bersegera menuju kepadanya untuk mencari keredhaan-Nya.
Alasan Pemilihan Topik
Topik  ini dipilih kerana perbincangannya berkaitan dengan pengurusan Islam dalam sesebuah organisasi, selain itu ‘Model Pengurusan Islam’ yang telah dibuat oleh penulis menarik minat saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana model tersebut dapat memenuhi kriteria pengurusan secara islam. Dalam sesebuah organisasi yang berjaya, mereka mestilah mengamalkan rangka kerja yang sistematik untuk membolehkan matlamat yang telah ditetapkan dapat dicapai. Namun dengan pengurusan secara Islam, sesebuah organisasi Islam bukan sahaja dapat melicinkan  perjalanan pengurusan dari luar dan dalam, malah dapat dianggap sebagai satu ibadah yang akan diganjari pahala oleh Allah s.w.t.
Persekitaran luaran yang kuat akan mempengaruhi pengurus dan kakitangannya agar memberi ruang penerapan nilai-nilai Islam dalam organisasi. Persekitaran juga amat penting dalam mengukuhkan ideologi yang ingin dibawa oleh organisasi, maka ia harus diberi perhatian yang khusus. Selain itu, di dalam pengajian, subjek pengurusan hanya banyak mengetengahkan teori-teori barat, sedangkan Islam terlebih dahulu merangka teori pengurusan yang lebih sistematik untuk melicinkan perjalanan sesebuah organisasi.
Pendirian penulis mengatakan prinsip yang dibawa Fayol dalam Industrial and General Administration (1916) dan Koontz dan O’Donnell dalam Principle Of Management: An Analysis, juga menarik minat saya untuk memilih tajuk ini. Sebelum ini ramai yang menganggap prinsip ini merupakan satu prinsip yang harus diterapkan dalam pengurusan organisasi, namun penulis mengatakan ianya bukan satu prinsip tetapi ianya boleh diterima sebagai satu teknik untuk mendokong prinsip yang sebenar. Prinsip yang sebenar mestilah bersifat sebagai satu kebenaran asas yang tidak boleh berubah kerana di atasnya bergantung lain-lain kebenaran. Sedangkan teknik dikatakan boleh berubah mengikut suasana. Prinsip dan teknik adalah berkaitan tetapi tidak setaraf.  
Kaitan Topik dengan Kursus
Topik yang dipilih ini amat berkait rapat dengan Kursus Kepimpinan Pengurusan. Topik ini mengupas tentang pengurusan individu dan organisasi menurut perspektif Islam. Bagaimana sesebuah organisasi dapat menguruskan sumber yang ada dengan baik. Sumber-sumber yang dimaksudkan ialah modal, dana, bahan mentah, kelengkapan dan lain-lain.
Selain itu, antara kandungan kursus ialah berkaitan dengan persekitaran organisasi. Topik ini membahaskan betapa pentingnya persekitaran yang berteraskan aqidah tauhid atau aqidah Islam dapat memberi impak yang begitu besar dalam pengurusan sesebuah organisasi.
Antara bab lain yang dibincangkan di dalam kursus ialah berkaitan dengan kepimpinan. Topic yang dipilih ini amat berkaitan dengan tajuk kursus yang dipelajari. Penulis telah mengeaskan bahawa model kepimpinan terbaik ialah Rasulullah s.a.w, dimana setiap pengurus perlu mencontohi akhlak baginda dan dapat menjadi ikutan oleh pekerja bawahan. Selain itu pemimpin haruslah menitikberatkan persaudaraan antara dia dan orang bawahan bukan seperti kontemporari yang lebih bersifat autiriti dan hubungan yang lebih formal.
Selain itu, bab membuat keputusan yang dibincangkan dalam kursus juga ada dibincangkan dalam topic ini. Penulis menegaskan konsep syura wajib diamalkan oleh sesebuah organisasi, dimana Syura bawahan mestilah menghormati keputusan yang dibuat oleh Syura di peringkat atasan. Dalam Syura kita dapat melihat betapa Islam mementingkan kesepaduan dalam mencapai kata sepakat atau keputusan agar matlamat organisasi dapat dicapai dengan baik.
Sebab Topik Ditulis Oleh Penulis
Antara sebab topik ini ditulis adalah sebagai bahan rujukan dan bacaan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi, kerana terdapat tenaga pengajar yang gigih untuk menyerapkan nilai-nilai Islam dalam matapelajaran pengurusan ini. Di samping itu, buku ini dapat menjadi bahan bacaan berfaedah bukan sahaja dikalangan ilmuan tetapi juga dikalangan ahli-ahli perniagaan, pentadbir awam, peserta kursus pengurusan, motivasi, malahan setiap Muslim kerana pengurusan merupakan aktiviti harian. Selain itu, buku ini ditulis adalah untuk menyediakan bahan rujukan pengurusan kontemporari dan komparatif antara prinsip dan amalan pengurusan Islam serta konvensional dalam bahasa melayu, sedangkan pengurusan adalah subjek wajib dalam program perniagaan.  Harapan penulis juga, agar buku ini akan merintis jalan kepada cendekiawan dan amilin Muslim untuk menghasilkan karya-karya mengenai tema pengurusan Islam yang lebih asli dan terperinci.
Pendapat dan Pandangan Tentang Topik
Saya berpendapat buku ini amat bagus untuk dijadikan bahan rujukan kepada para pelajar dan pensyarah dalam menambahbaik pengetahuan mengenai pengurusan yang menerapkan  nilai-nilai Islam di dalam pelaksanaanya. Terdapat Model Pengurusan Islam (MPI) yang telah dibina dan diketengahkan untuk kita lebih memahami bagaimana pengurusan Islam itu memberi kesan yang baik kepada persekitaran luaran dan dalaman. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh majikan dan pekerja yang mengikut garis panduan yang lebih syarie dapat menatijahkan hasil atau output yang lebih cemerlang seterusnya memberi dorongan kepada pengguna awam untuk menggunakan output (perkhidmatan atau produk) tersebut kerana wujud ikatan aqidah yang kuat sesama mereka.
Selain itu, penulis juga membandingkan prinsip konvensional dan prinsip Islam, dimana prinsip konvensional hanya boleh diterima sebagai satu teknik dan bukannya prinsip sebenar. Prinsip Islamlah yang lebih memenuhi maksud sebenar prinsip itu sendiri.
Di samping itu konsep tauhid yang diterapkan dalam pengurusan semestinya unsur terpenting dalam sesebuah organisasi. Pada pandangan saya, penulis boleh memperjelaskan lagi konsep tauhid dalam bab ini. Menurut Wan Liz Ozman Wan Omar dalam bukunya Pengurusan Islam Abad Ke-21, dalam bab 4, konsep tauhid ini mencerminkan pandangan dunia dan alam yang bersepadu. Allah Taala sebagai Tuhan sekalian alam dan Maha Berkuasa ke atas sekalian mahluk-Nya. Oleh itu sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam hendaklah berteraskan tauhid tersebut.
Sekiranya semangat tauhid ini dijiwai oleh individu muslim dengan sepenuhnya maka ia akan memberikan implikasi atau kesan yang mendalam dalam kehidupan sehariannya. Implikasi yang dapat dihubungkaitkan dengan pentadbiran ialah pertama, individu muslim akan bersifat terbuka, tidak jumud dan sempit pemikirannya. Kedua, konsep tauhid melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang paling tinggi. Ketiga, semangat tauhid menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri. Keempat, pegangan konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang soleh, berani bertindak dan berdiri tegak dengan kebenaran. Kelima, orang yang beriman tidak mudah putus asa apabila ditimpa kegagalan. Keenam, semangat tauhid membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman, dan kesungguhan yang tinggi. Ketujuh, semangat tauhid mewujudkan sikap aman, reda dan menghakis sikap tamak, haloba dan dengki. Kelapan, konsep tauhid membuatkan manusia patuh kepada peraturan-peraturan Allah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, banyak perkara baru yang dapat saya pelajari dan dapat saya kaitkan antara topik yang dikaji dengan kandungan kursus yang dipelajari. Penerapan nilai-nilai Islam dalam pengurusan sesebuah organisasi sebenarnya memberi kesan yang positif di dalam perjalanan sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Prinsip-prinsip yang dibuat mestilah berdasarkan prinsip-prinsip Islam, dan menjadikan prinsip yang diketengahkan oleh golongan barat sebagai satu teknik untuk mendokong prinsip yang telah ditetapkan tersebut. Semoga dengan pemahaman pengurusan secara Islam dapatlah memberi gambaran kepada kita bahawa Islam terlebih dahulu mempunyai teori yang lebih baik dalam aspek pengurusan sesebuah organisasi dan mampu menatijahkan hasil yang terbaik.


Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)