My Home

Selasa, 29 November 2016

Gabungan selendang panjang, tudung bawal

Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my

Teruja melihat ramai rakan menggayakan selendang panjang, dia cuba untuk melaram sama. Namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan kerana wajahnya tampak pelik dan memaksanya terus setia dengan tudung bawal.
Namun keterujaan Shakirah Abu Bakar, 30, tidak terhenti di situ, sebaliknya ia menjadi pencetus inspirasi untuk menghasilkan rekaan gabungan selendang panjang dan tudung bawal.
Hasilnya, lahirlah selendang bersengkuap lembut Qirmumtaz, tidak terselak di sisi, mesra solat, tidak memerlukan pin dan paling penting memenuhi permintaan terhadap selendang segera yang labuh. Apabila disarungkan, kelihatan seperti mengenakan tudung bawal tetapi
lebih kemas dan tidak perlukan sebarang pin kecuali pin hiasan bagi yang ingin tampak lebih menyerlah.
Bermula dengan koleksi Ahna, kini Shakirah yang berasal dari Pulau Pinang memberi nafas yang lebih segar kepada koleksi Dheeya & Safiya dan yang terbaru, Shakira. Semuanya didatangkan dalam tiga saiz - L, XL dan XXL yang dijual pada harga RM45 hingga RM55.
Memulakan perniagaan pada 2014, Shakirah memberitahu semua tudungnya dijahit sendiri tetapi kini menggunakan khidmat tukang jahit lain bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan.
“Saya suka melihat orang memakai selendang tetapi ia tidak bersesuaian dengan bentuk muka saya. Selepas melalui pelbagai eksperimen dan penilaian yang memakan masa hampir setahun, terciptalah selendang segera versi saya.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan ini menandakan semakin ramai mahukan tudung labuh,” katanya yang memasarkan ciptaannya itu melalui Facebook dan Instagram.
Semua tudungnya menggunakan fabrik bubble yang menjadi kegemaran ramai. Antara kelebihannya, ia tidak jarang, senang dikendalikan dan tidak mudah berkedut. Selain selendang polos, ada juga yang bercorak bagi memberikan kelainan gaya.
Menurut Shakirah, semua koleksinya boleh dibeli secara dalam talian. Memang ada butik vendor yang mahu menjual dan membeli produknya dengan harga borong tetapi memikirkan ada pemborong yang ‘bermain harga’, dia mengambil keputusan menjualnya sendiri dan melantik ejen dropship untuk dijual secara dalam talian.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:02 AM





Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)