My Home

Followers

Sabtu, 9 Mei 2015

Ringkasan Jurnal: Kesaksian Dalam Konteks Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Di Malaysia*: Analisis Dari Perspektif Mazhab Syafi’i



Pendahuluan
Ringkasan jurnal ini merujuk kepada kepada artikel Jurnal Fiqh nombor 5 (2008) bertajuk Kesaksian Dalam Konteks Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Di Malaysia*: Analisis Dari Perspektif Mazhab Syafi’i  yang ditulis oleh  Ruzman Md. Nor, Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Artikel ini membincangkan tentang dua aspek utama iaitu perutukan berkaitan kesaksian dalam undang-undang Mahkamah Syariah di Malaysia dengan rujukan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 dan juga kesaksian menurut Mazhab Syafie dengan merujuk kepada empat buah kitab utama mazhab. Artikel ini juga mengkaji sejauhmana pengaruh Mazhab Syafie atas peruntukan berkaitan kesaksian yang dimasukkan ke dalam undang-undang negeri di Malaysia. Penilaian dibuat dalam empat aspek iaitu konsep kesaksian, syarat kelayakan saksi, bilangan saksi dan kesaksian atas kesaksian.
Latarbelakang
Sedikit latarbelakang undang-undang keterangan Mahkamah Syariah. Ianya wujud untuk membantu pihak-pihak terlibat untuk menegakkan perkara yang didakwa atau dituntut. Antara fungsi undang-undang ini ialah menentukan fakta yang relevan yang boleh di bawa ke mahkamah, menentukan kaedah pembuktian, dan siapa dan bagaimana pembuktian dikemukakan dalam prosiding. Pada peringkat awal sejarah membuktikan undang-undang negeri melayu kebanyakannya diambil daripada undang-undang negeri Melaka contohnya Undang-undang Melayu. Selepas merdeka undang-undang pentadbiran agama Islam telah memasukkan peruntukan ringkas berkaitan keterangan Islam khususnya kesaksian secara umum dan perlu dirujuk Akta Keterangan 1950 sebagai undang-undang yang dibuat secara umum dan akhirnya dimansuhkan dengan kelulusan undang-undang khusus. Namun begitu pendekatan Mazhab Syafie dirujuk dalam semua hal berkaitan kesaksian dan Akta Keterangan 1950 dirujuk dalam hal bersifat teknikal. Negeri Kedah dan Pahang adalah yang paling awal meluluskan undang-undang khusus berkaitan keterangan Islam dan diikuti negeri-negeri lain. Sejak itu undang-undang ini melalui beberapa perubahan kecil dengan mengekalkan kerangka dan struktur yang sama.
Metodologi Penggubalan Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah Secara Umum.
Kaedah yang pertama iaitu kaedah pemansuhan (repugnancy method). Segala peruntukan yang bercanggah dengan hukum syarak akan dimansuhkan dan sebahagian yang tidak bercanggah dikekalkan. Contohnya seksyen 112 berkaitan ketaksahtarafan anak tidak dimasukkan ke dalam Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah. Tempoh minima dan maksima seorang anak disabitkan dengan bapanya telah diperuntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam. Kaedah kedua ialah al-istishab iaitu kedudukan asas sesuatu peruntukan. Berdasarkan prinsip asal setiap sesuatu adalah harus dan diizinkan. Setelah melalui proses penapisan hukum syarak ia diterima pakai setelah dipastikan tidak bercanggah dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah dan sebagainya. Hasilnya sebahagian besar peruntukan dalam Akta Keterangan diterima pakai dalam Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah. Kaedah ketiga ialah pemakaian pelbagai mazhab dan ulama. Kaedah ini dilakukan melalui pendekatan al-talfiq yang bermaksud gabungan dua atau beberapa pendapat ulama dalam satu masalah hingga melahirkan satu ketetapan hukum yang berbeza dari pendapat asal tadi. Pendekatan ini menajadi alternatif dalam usaha mencapai maqasid alsyariah dalam sesuatu urusan. Kaedah ini diguna pakai secara liberal dalam beberapa peruntukan contohnya seksyen 83-88 enakmen keterangan mahkamah syariah melaka berkaitan saksi.
Peruntukan Berkaitan Kesaksian Dalam Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Di Malaysia Dan Analisis Menurut Mazhab Syafi’i
Peruntukan berkaitan dengan kesaksian adalah merupakan peruntukan yang terbesar yang membentuk imej Undang-undang Keterangan di Mahkamah Syariah. Untuk tujuan tersebut terdapat dua konsep yang mesti difahami dengan jelas iaitu konsep al-bayyinah dan al-syahadah serta kedudukannya dalam undang-undang berkenaan. Analisis yang dibuat ini adalah bedasarkan 4 sub-topik di bawah dan digabungkan antara peruntukan undang-undang yang terpakai dan pandangan Mazhab Syafi‘i. Dalam konteks mazhab Syafi‘i, rujukan dibuat kepada rujukan utama mazhab iaitu al-Umm, Mughni al-Muhtaj, Nihayah al-Muhtaj dan al-Iqna‘.
Konsep Kesaksian (Bayyinah dan Syahadah)
Perkataan al-bayyinah berasal daripada perkataan arab ba-ya-na yang membawa maksud nyata dan terang. Dari sudut bahasa perkatan al-bayyinah juga membawa erti dalil atau hujah. Kamus Besar Arab-Melayu DBP menjelaskan perkataan al-bayyinah dengan maksud hujah keterangan. Dari sudut istilah, perkataan al-bayyinah sama ertinya dengan keterangan (evidence). Perkataan al-bayyinah ini adalah umum dan ianya merangkumi semua bentuk keterangan yang digunakan untuk membuktikan kebenaran sesuatu perkara termasuklah al-syahadah, al-iqrar, al-yamin dan al-qarinah.
Perkataan syahadah dan saksi ditafsirkan oleh sekyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 seperti berikut: “Syahadah” ertinya apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz “asyhadu” untuk membuktikan sesuatu hak atau kepentingan “saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh. Walaupun perkataan bayyinah ini umum, pemakaiannya di Malaysia adalah tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti antara lain syarat saksi, sifat saksi dan bilangan saksi. Ini bermaksud, samada seseorang saksi memberikan keterangan secara bayyinah atau syahadah, ia masih terikat dengan syarat- syarat tertentu yang digariskan oleh undang-undang. Berdasarkan pendekatan ini, saksi-saksi yang mempunyai hubungan yang diragui atau ditohmah samada kerana hubungan baik atau tidak dengan pihak-pihak dalam perbicaraan masih diterima keterangan mereka atas dasar bayyinah dan terpulang kepada pihak Mahkamah bagi menentukan status keterangan berkenaan.
Menurut Mazhab Syafi‘i - Konsep Kesaksian
Al-Syahadah dari sudut bahasa bermakna hadir. Ia juga bermaksud perkhabaran yang pasti (khabar qat‘i). Perkatan ini sama maknanya dengan al-bayyinah kerana melalui keterangan ini, sesuatu kebenaran dapat diperjelaskan.Perkatan al-bayyinat adalah kata jam‘ kepada al-bayyinah yang bermakna saksi kerana dengannya sesuatu hak dapat dijelaskan. Dari sudut istilah ia bermaksud suatu perkhabaran tentang sesuatu dengan lafaz yang khusus iaitu lafaz asyhadu (aku bersaksi atau aku naik saksi). Pensabitan kesaksian ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang sahih.
Menurut Undang-undang - Syarat-syarat Kelayakan saksi
Syarat-syarat saksi dijelaskan dalam Seksyen 83(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 seperti berikut, Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah kompeten untuk memberikan syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka. Sementara itu subseksyen 83(2) hingga (7) menyebut bahawa orang yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas yakni syarat- syarat untuk memberikan syahadah adalah boleh memberikan keterangan sebagai saksi atas dasar bayyinah dan bukan syahadah. Seksyen 84 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 membenarkan keterangan saksi bisu atas dasar bayyinah dengan syarat keterangan ini hendaklah diberikan dalam mahkamah terbuka. Sementara seksyen 85 menghuraikan bahawa keterangan suami dan keterangan anak terhadap (menentang) isteri dan ibubapanya (atau sebaliknya) adalah diterima sebagai syahadah dan bayyinah mengikut mana yang sesuai. Akan tetapi keterangan pihak-pihak tersebut untuk faedah pihak yang satu lagi adalah diterima sebagai bayyinah sahaja. Ini adalah kerana suami isteri , anak dan ibubapa adalah dianggap mempunyai hubungan baik dan ada tohmahan jika keterangan diberikan untuk faedah dan kebaikan pihak yang satu lagi, maka dengan sebab itu ia tidak memenuhi kehendak dan syarat syahadah.
Menurut Mazhab Syafi‘i – Syarat Kelayakan Saksi
Secara umumnya, syarat-syarat saksi menurut Imam al-Nawawi ialah beragama Islam, merdeka, mukallaf, adil menjaga maruah dan tidak ada tohmahan. Syarat beragama Islam, dewasa dan berakal dikatakan sebagai telah diterima secara Ijma‘ oleh ulama.
Menurut Undang-undang – Bilangan Saksi
Bilangan saksi diperuntukkan dalam seksyen 86 dan 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002 yang boleh dirumuskan seperti berikut, Keterangan oleh tiga orang saksi lelaki diperlukan untuk membuktikan dakwaan seseorang yang dikenali sebagai kaya bahawa dia telah menjadi papa.Keterangan oleh seorang saksi lelaki yang adil mencukupidalam hal melihat anak bulan. Keterangan seorang lelaki adalah mencukupi dalam kes-kes seorang guru yang melibatkan murid sekolah, keterangan pakar dalam menilai barang rosak, keterangan mengenai penerimaan dan penolakan saksi, pemberitahuan mengenai pemecatan wakil serta keterangan tentang kecacatan dalam mana-mana barang jualan. Keterangan seorang perempuan adalah mencukupi untuk buktikan fakta yang biasanya dilihat oleh atau dalam pengetahuan seorang perempuan. Dalam kes mal, jika plaintif hanya berjaya kemukakan seorang saksi, maka keterangan saksi itu hanya boleh diterima jika disertakan dengan sumpah plaintif berkenaan. Selain daripada bilangan saksi di atas, keterangan hendaklah diberikan oleh dua orang saksi lelaki atau oleh seorang lelaki dan dua orang saksi perempuan.
Menurut Mazhab Syafi‘i – Bilangan Saksi
Bilangan saksi menurut mazhab Syafi‘i adalah seperti berikut, seorang saksi lelaki yang melihat anak bulan boleh diterima dalam mensabitkan masuk bulan Ramadhan menurut pendapat yang azhar. Tetapi Al-Imam al-Syafi‘imensyaratkan kesaksian dua orang saksi.Empat orang lelaki disyaratkan dalam kes zina-sepakat dalam mazhab.Dalam hal-hal lain dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki bersama dua orang wanita adalah diterima. Bagi kes-kes yang biasanya dilihat oleh wanita, al-Nawawi mensyaratkan dua lelaki atau empat wanita. Imam alSyafi‘i menerima kesaksian wanita dalam hal-hal yang berkaitan aurat wanita atau yang biasanya hanya dilihat oleh wanita dengan syarat ia hendaklah disaksikan oleh empat orang wanita berdasarkan metode qiyas kepada arahan Allah bahawa seorang lelaki bersamaan dengan dua wanita. Menurut al-Syafi‘i lagi, dalam isu-isu lain wanita tidak boleh menjadi saksi tanpa bersama-sama mereka saksi lelaki.Kes-kes yang boleh menerima saksi seorang lelaki dan dua wanita boleh diganti dengan seorang saksi lelaki bersama sumpah.
Keterangan Dengar cakap (Kesaksian atas kesaksian orang lain)
Menurut Undang-undang
keterangan lisan yang diberikan oleh saksi mestilah secara langsung. Peruntukan berkaitan keterangan langsung disebut dalam seksyen 47(1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Melaka 2002. Keterangan langsung bermaksud jika fakta itu boleh dilihat maka keterangan saksi mengatakan bahawa ia telah melihat fakta itu. Demikian juga bagi fakta yang boleh didengar atau ditanggapi dengan lain-lain pancaindera, maka keterangan perlulah diberikan oleh orang yang mendengar atau orang yang menanggapi fakta itu.Namun begitu terdapat kekecualian terhadap prinsip ini seperti yang dinyatakan antara lain dalam seksyen 20 dan peruntukan itu adalah sama dengan seksyen 32 Akta Keterangan1950 kecuali tambahan-tambahan yang dimasukkan bagi memenuhi keperluan Hukum Syarak berkaitan kesaksian.
Menurut Mazhab Syafi‘i
Kesaksian dengar cakap atau al-syahadah ‘ala al-syahadah secara umumnya diterima dalam kes-kes kehartaan dan dalam kes-kes jenayah tertentu menurut Mazhab Syafi‘i.48 Kesaksian atas kesaksian bermakna saksi yang hadir ke mahkamah bukan saksi yang mendapat maklumat itu secara langsung tetapi diperolehi melalui saksi asal yang sebenarnya menyaksikan apa yang berlaku. Pada prinsipnya kesaksian jenis ini tidak diterima kerana tidak wujud keterangan langsung.kesaksian ini boleh berlaku dalam keadaan-keadaan berikut, saksi asal berkata kepada saksi ganti " aku telah menyaksi kes tertentu maka jadilah kamu saksi bagi pihakku". Saksi ganti mendengar kesaksian ini diberikan saksi asal dalam mahkamah. Saksi ganti mendengar kesaksian saksi asal yang lengkap dan jelas dengan syarat diberi izin oleh saksi asal. Manakala syarat-syarat penerimaan kesaksian jenis ini ialah,Seorang saksi asal perlu digantikan oleh dua orang saksi lelaki. Oleh itu jika saksi asalnya dua orang lelaki, maka saksi gantinya adalah empat orang lelaki. Al-Imam al-Syafi‘i walaupun mengharuskan al-syahadah ‘ala al-syahadah, tetap menolak kesaksian ganti daripada kalangan wanita meskipun terdapat saksi wanita di kalangan saksi asal. Saksi asal tidak berkeupayaan memberikan kesaksian di majlis penghakiman dengan sebab sakit, mati, menjadi buta atau berada pada jarak yang jauh. Nama saksi asal mesti dijelaskan dalam memberi keterangan[1].
Ulasan
Konsep Kesaksian
Syahadah boleh didefinisikan sebagai suatu pemberitahuan yang benar bagi mensabitkan sesuatu hak dengan lafaz asyhadu dalam Mahkamah. Cara pembuktian ini juga disepakati oleh para ulama’ sebagai satu cara pembuktian dalam undang-undang keterangan Islam. Bahkan tiada pendapat ulama’ yang menolak atau menafikan kedudukan syahadah dalam Islam. Para fuqaha tidak sependapat dalam menjelaskan perbezaan terma bagi konsep keterangan dalam Islam iaitu al-bayyinah  dan al-syahadah. Al-syahadah mempunyai pelbagai maksud antaranya mu’ayyanah, yakni memberi kesaksian terhadap perkara yang benar dan tertentu, ada di tempat tertentu, dan juga kehadiran. Sesetengah fuqaha menyamakan konsep al-bayyinah dengan konsep al-syahadah. Ini berasaskan terma lain yang digunakan bagi merujuk kedua-dua konsep ini iaitu burhan, dilalah, ayat, tabsirat, ‘alamah dan ‘ammarah yang mempunyai maksud yang hampir sama. Ini disokong dengan firman Allah Taala yang menggunakan kalimah al-syahahadah  bagi merujuk maksud al-bayyinah :
“dan orang-orang Yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan Yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang Yang fasik;” Surah an-Nur (24) : 4
Bahkan terdapat juga firman Allah Taala yang lain yang merujuk kepada penggunaan kalimah al-bayyinah yang membawa maksud al-syahadah. Menurut al-Hurri,  kedua-duanya adalah berbeza dan tidak sama maksudnya. Bahkan al-syahadah merupakan sebahagian dari konsep al-bayyinah kerana al-bayyinah adalah satu bukti menyeluruh yang menjelaskan kebenaran suatu fakta. Ini dikuatkan lagi dengan penulisan Abdul Muin Abdul Rahman yang menyatakan Ibn Qayyim menganggap siapa yang mengehadkan konsep bayyinah kepada bilangan saksi, maka dia tidak menjelaskan maksud sebenar konsep al-bayyinah. Dalam kitab I’lam al-Muwwaqi’in, ada menukilkan kata-kata Ibn Qayyim ini[2].
Syarat-syarat Kelayakan saksi
Seorang saksi boleh mempunyai kelayakan untuk diterima pendapatnya jika dia adalah seorang pakar dari sudut pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta pernah melakukan kajian berkaitan. Majallah al-Ahkam al-Adliyyah juga mengiktiraf keterangan pakar sebagai kesaksian yang asli dan tulen sungguhpun pakar tersebut tidak melafazkan lafaz syahadah sebagai saksi. Namun, keterangan pakar seperti doktor dan ahli perubatan, atau jika terdapat percanggahan antara keterangan pakar, tidak boleh membawa kepada hukuman hudud, sebaliknya hukuman ta’zir sahaja boleh dikenakan[3].
Bilangan Saksi
Bilangan saksi yang digariskan dalam Islam adalah seperti empat saksi untuk jenayah zina, tiga saksi lelaki (Imam Ahmad dan Mazhab Syafie) bagi masalah pembuktian pembayaran zakat, dua saksi lelaki yang terpakai dalam semua kes kecuali jenayah zina (pendapat Imam Malik, Syafie, Abu Ubayd dan Abu Thawr), satu saksi lelaki bersamaan dua saksi wanita dalam kes kehartaan (Hanafiyyah berpendapat selain kes hudud, manakala Zahiriyyah pula selain kes zina), satu saksi bersama sumpah hanya dalam kes kehartaan sahaja (pendapat Khulafa’ al-Rasyidun, Umar Abd al-Azizi, Shurayh, Malik, Ibn Abi Layla, Abi al-Zinad, al-Syafi’e dan Imam Ahmad) dan satu saksi lelaki dalam semua kes kecuali dalam hal penentuan bulan Ramadhan (Qadi Shurayh, Zaharah Ibn Abi Aufah dan Ibn Qayyim)[4].
Undang-undang sivil tidak mementingkan bilangan saksi. Sedangkan adalah bahaya untuk berpegang kepada bukti yang tidak selari (uncorroborated testimony), sebagaimana yang dijelaskan Sarkas dalam kes saksi ‘Brooks’ yang menuduh 2 orang lelaki mencederakan mangsa. Mereka dihukum 10 tahun penjara dan dua tahun sebelum kematian, Brooks mengaku kesalahannya membuat tuduhan palsu dan mereka dibebaskan[5].
Bahkan dalam undang-undang sivil, jantina bukan satu penghalang kepada kesaksian. Perbezaan pendapat dari kalangan fuqaha’ tentang penerimaan kesaksian wanita wujud bukan kerana diskriminasi gender sebaliknya lebih menjurus kepada kaedah kesaksian yang adil dan ketepatan dalam mengemukakan keterangan. Wan Nor Ainon pula menegaskan bahawa tiada prejudis terhadap kesaksian wanita dalam Islam selagimana mereka berpegang teguh sumber perundangan hukum syarak[6].
Manakala tiada perselisihan pendapat tentang kesaksian wanita (tanpa saksi lelaki) mengikut Mazhab Hanbali dalam kes penyusuan (Hanafiyyah menolak penyaksian wanita dalam kes ini), wiladah (beranak), tangisan bayi ketika lahir atau istihlal, kecacatan pada kemaluan wanita dan habis iddah. Kesimpulan yang dibuat oleh Dr. Mohd Daud Bakar menunjukkan bahawa kesaksian wanita boleh diterimapakai dalam semua kes jika terdapat darurat yakni tidak wujud saksi lelaki, atau saksi wanita itu ramai dan tidak bercanggah keterangan antara mereka berasaskan perumpamaan yang diberikan oleh Ibn Qayyim dan kedudukan yang serupa bagi saksi bukan islam atau kanak-kanak[7].
English Law juga mengiktiraf agama adalah pra-syarat dalam memberi kesaksian dalam undang-undang mereka kerana perbezaan kepercayaan.  Contoh dalam kes Bowmen v Secular Society Limited[8] Lord Summer menjelaskan :
“ours is and always has been a Christian state. The English Family is built on Christian idea, and if the national si not religion there is none. English law may be called Christian law, but we apply many of rules and most of its principles with equally good government, in heathen communities and its sections, even in courts of conscience they are material and not spiritual”
Keterangan Dengar cakap (Kesaksian atas kesaksian orang lain)
Keterangan dengar cakap adalah bertentangan dengan keterangan langsung mahupun yang dikemukakan secara langsung. Secara asasnya, keterangan ini tidak diterima sebagai salah satu bentuk keterangan di Mahkamah. Namun terdapat beberapa pengecualian yang diberikan dalam Akta Keterangan 1950 seperti seksyen 32, seksyen 33 dan seksyen 73A berkenaan dengan keterangan yang dikemukan pada prosiding terdahulu oleh seorang saksi yang tidak boleh dijumpai atau dipanggil untuk mengemukakan keterangan di Mahkamah akibat keuzuran, sakit atau mati[9].  Ini sebagaimana diperjelaskan oleh Hamid Ibrahim seperti berikut :
“Under this section, hearsay evidence as a general rule, is excluded from legal evidence. However, there are a few important exceptions and these have been dealt with under sections 13, 18 to 24, and sections 32-38.”[10]
Penutup
Kesimpulannnya undang-undang jenayah Islam mempunyai kelebihan tersendiri berbanding undang-undang jenayah sivil yang kebanyakannya datang dari negara Barat. Di Malaysia umpamanya undang-undang jenayah kebanyakannya diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) yang diceduk dari Kanun Keseksaan India. Kanun Keseksaan India ini adalah sebenarnya berasal dari kaedah-kaedah perundangan Common Law England yang dikumpulkan dan ditulis dalam bentuk akta atau Kanun. Selain Kanun Keseksaan, undang-undang jenayah juga terdapat dalam akta-akta tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya, Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan Rasuah 1997, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1957, Akta Rahsia Rasmi 1983 dan lain-lain. Sementara prosedur jenayah pula diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (NMB. Bab 6), Akta Keterangan dan akta-akta berkaitan mahkamah.
Oleh kerana sumber kedua-dua undang-undang ini adalah berbeza maka terdapat beberapa perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil. Antara perbezaan di antara undang-undang jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil dari sudut kesaksian adalah, undang-undang jenayah Islam tidak terpisah dengan aspek aqidah iaitu keimanan kepada perkara ghaib. Beriman dengan kebenaran dan kehebatan undang-undang jenayah Islam adalah wajib kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah. Demikian juga undang-undang Islam tidak memisahkan soal pembalasan di dunia dengan pembalasan di akhirat. Unsur kepatuhan kepada Allah, konsep pembalasan di akhirat, serta konsep dosa dan pahala mendorong rakyat menjauhi jenayah. Ini kerana mereka bukan sahaja takut kepada hukuman di dunia bahkan mereka lebih takut hukuman di akhirat yang lebih dahsyat dan lebih lama. Oleh yang demikian mereka akan mengelakkan diri dari melakukan jenayah dengan bersungguh-sungguh walau pun jenayah itu boleh dilakukan di luar pengetahuan penguatkuasa undang-undang. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kadar jenayah. Begitu juga bagi yang terlanjur melakukan jenayah, mereka akan lebih bersedia untuk tampil menyerahkan diri mereka untuk dihukum dengan undang-undang Islam demi untuk mengelakkan hukuman di akhirat. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah, dan Khulafa’ al-Rasyidin. Berbeza dengan undang-undang sivil yang langsung tidak ada hubungan dengan iman atau aqidah. Keberkesanan undang-undang sivil bergantung sepenuhnya kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.
Undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Contohnya hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak. Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman adalah amat ketat. Umpamanya ia memerlukan empat saksi leleki yang tidak fasik yang melihat secara jelas apa yang berlaku. Ini menjadikan jumlah sebenar yang dikenakan hukuman yang dianggap berat ini adalah sedikit. Jika zina tidak dapat dibuktikan, mereka mungkin dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan. Bahkah pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa al-Rasyidin, hukuman hudud seperti zina kebanyakannya disabitkan melalui iqrar atau pengakuan bukan melalui empat orang saksi kesaksian. Begitu juga dalam Islam terdapat hukum yang berbentuk pencegahan umpamanya pengharaman berdua-duaan bagi lelaki dan wanita ajnabi bertujuan untuk mengelakkan zina, pengharaman arak untuk mengelakkan jenayah yang lebih besar seperti membunuh dan lain-lain. Konsep pencegahan begini tidak diambil berat oleh undang-undang jenayah sivil, kerana ia lebih menumpukan kepada kepada aspek menghukum dan membalas.
Undang-undang jenayah Islam amat berhati-hati dalam soal mensabitkan seseorang dengan hukuman jenayah. Umpamanya dalam kes hudud, pensabitannya adalah amat berat. Contohnya, bagi kes kecurian, harta yang dicuri itu mesti disimpan ditempat yang sesuai, dan tidak berlaku masalah yang mendesak seperti perang, kebuluran dan mala petaka. Begitu juga dalam kes zina yang disabitkan dengan iqrar atu kesaksian oleh emapat lelaki yang melihat kejadian secara jelas ibarat melihat timba masuk ke dalam perigi. Jika gagal membawa empat saksi, orang yang yang membuat tuduhan itu pula akan didakwa melakukan kesalahan qazaf. Syarat saksi dalam undang-undang Islam pula amat ketat. Seseorang saksi mestilah adil iaitu tidak fasik. Terdapat proses penapisan saksi yang disebut sebagai ‘tazkiyah al-syuhud’. Jika didapati saksi itu pernah melakukan dosa besar selalu melakukan kejahatan mempunyai akhlak yang keji, maka kesaksiannya boleh dipertikai. Dalam undang-undang jenayah sivil, soal akhlak dan perangai saksi tidak diambil kira dalam menentukan kesahihan keterangannya[11].
Undang-undang jenayah Islam tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dibawa kemuka pengadilan dan didakwa menurut prosedur yang sah. Islam menjunjung tinggi konsep bahawa ‘pada asalnya seseorang itu tidak bersalah’ (al-aslu bara’ah al-zimmah). Tahanan tanpa bicara dianggap satu kezaliman dalam Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Jika seseorang itu dikatakan melakukan jenayah, maka perkara jenayah itu perlu dibuktikan oleh pendakwa di hadapan hakim di mahkamah. Beban bukti terletak pada pendakwa. Jika tiada bukti bahawa tertuduh itu melakukan jenayah, maka tertuduh itu perlu dilepaskan dan dia bebas dari tuduhan itu. Dalam undang-undang jenayah sivil, terdapat peruntukan yang membenarkan tahanan tanpa bicara yang disebut sebagai tahanan pencegahan atau preventive detention. Contohnya Akta Keselamatan Dalam Negeri membenarkan seseorang yang disyaki menjejaskan keselamatan awam ditahan selama 60 hari tanpa bicara untuk siasatan. Seseorang yang pada pendapat Menteri Dalam Negeri boleh menjejaskan keselamatan awam pula boleh ditahan selama dua tahun. Mereka boleh ditahan tanpa dibicara di mana-mana tribunal atau mahkamah. Bagaimanapun akta ini telah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, dan terbaru Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) yang memasukkan elemen yang sama iaitu penahanan tanpa bicara.


[1] Ruzman Md. Noor (2008), Kesaksian Dalam Konteks Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah Di Malaysia*: Analisis Dari Perspektif Mazhab Syafi’i . Jurnal Fiqh, h 1-26.
[2] Naufal Tarmizi, "Aspek-Aspek Klasikal Dalam Undang-Undang Keterangan Islam dan Kesesuaiannya Dalam Masyarakat Global Masa Kini", diakses dari http://peguam-syarie-wannabe.blogspot.com/2012/12/esei-artikel-aspek-aspek-klasikal-dalam.html, pada 18 April 2015, Jam 9.19 am.
[3] Naufal Tarmizi, "Aspek-Aspek Klasikal Dalam Undang-Undang Keterangan Islam dan Kesesuaiannya Dalam Masyarakat Global Masa Kini", diakses dari http://peguam-syarie-wannabe.blogspot.com/2012/12/esei-artikel-aspek-aspek-klasikal-dalam.html, pada 18 April 2015, Jam 9.19 am.
[4] Syeikh Muhammad b. Abdul Rahman Ad-Dimasyqi (2014), Fiqh Empat Mazhab, Selangor: Jasmin publications, h 583.
[5] Sarkar’s, Law of Evidence, Edisi ke-13, (t.t.p.), (t.p.). h. 13027
[6] Wan Nor Ainon Bt Wan Abdullah (2004), Konsep Kesaksian Wanita Dalam Undang-Undang Keterangan : Perbandingan Antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Kota Bharu, Kelantan, Dissertation. Universiti Malaya.
[7] Dr. Mohd Daud Bakar (1997), Kedudukan Wanita Dalam Undang-Undang, dlm. Al-Ahkam : Penghakiman dan Kepeguaman, Ahmad Ibrahim et. al. j.. 5. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 162 - 165
[8] (1917) Appeal Case 406
[9] S. Augustine Paul. 1994. Evidence : Practice & Procedure. Selangor : Pelanduk Publications. hlm. 227.
[10] Hamid Ibrahim. 1993. Law of Evidence. Kuala Lumpur : CLBC. hlm. 279.
[11] Farhah Rushida, 2002, “9 perbezaan antara undang-undang Jenayah Islam dan undang-undang jenayah sivil”, diakses dan diolah dari, http://www.tranungkite.net/lama/b07/farhah8.htm, pada 18 April 2015, jam 12.15 pm.
 


Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)