My Home

Followers

Memaparkan catatan dengan label Mudkhaol Al-Hadith. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mudkhaol Al-Hadith. Papar semua catatan

Jumaat, 11 April 2014

Biografi Imam Ahmad Bin Hanbal



Terima kasih Kepada Pemilik Penulisan Ini, Saya Upload sebagai Rujukan..Maaf saya lupa ambil dari mana..

Pendahuluan
Imam Ahmad bin Hanbal merupakan imam yang terakhir daripada rangkaian fuqaha pengasas empat mazhab yang masyhur. Beliau lahir lebih lewat daripada ketiga tiga rakannya iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, dan Imam Syafie. Ketika kelahiran beliau,  mazhab mazhab lain sudah pun tersebar ke pelusuk dunia. Hasil usaha dan kegigihan beliau, beliau berjaya menyebarkan mazhabnya sendiri kepada seluruh masyarakat dunia khususnya masyarakat di tanah Arab. 
Namun begitu, bukanlah niat Imam Ahmad bin Hanbal untuk melawan atau mengalahkan mazhab mazhab lain yang sedia ada,  tetapi kerana keyakinan beliau bahawa ijtihad nya lebih tepat dan lebih hampir kepada apa yang dikehendaki oleh Allah dan rasul, maka beliau berusaha menyebarkan pendirian beliau itu. Selain daripada pengasas mazhab Hanbali, beliau juga berperanan sebagai imam Darul Salam, mufti di Iraq, dan juga ahli hadis yang zuhud, soleh serta sabar dalam menghadapi pelbagai dugaan.
Ahmad bin Hanbal hidup dalam zaman pemerintahan bani Abbasiyah. Pada ketika ini, pengaruh Parsi masih berleluasa dan perebutan kuasa sering terjadi. Dan pada masa itu juga lah golongan Muktazilah giat memperkembangkan ideologi mereka yang aneh. Maka dengan sebab itu, perkembangan ilmu islam berlaku dengan begitu pesat sekali. Dan pada ketika inilah Imam Ahmad bin Hanbal giat mempelajari ilmu hadis. Beliau sanggup mengembara ke seluruh pelosok negeri di timur, barat, utara, dan selatan negeri semenanjung bumi Arab demi untuk mendalami ilmu agama terutamanya untuk mendapatkan hadis hadis nabi yang sahih yang tersebar di serata tanah Arab.
Berkat dari kesungguhannya itu, diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal telah menghafal berjuta juta hadis sepanjang hidupnya. Ini menunjukkan betapa bersungguhnya beliau dalam mencari kebenaran dengan daya usahanya sendiri. Bahkan dengan keilmuan beliau juga, mazhab Hanbali telah diletakkan sebaris dengan mazhab-mazhab masyhur yang lain seperti mazhab Syafie, Maliki, dan Hanafi. Beliau juga dianggap sebagai seorang mujaddid, setaraf dengan Imam Syafie dan Nasa’i

Kelahiran Dan Keturunan Imam Ahmad Bin Hanbal
Nama penuh beliau adalah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Habban bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Mazin bin Syaiban bin Zahal bin Tha’labah bin Akasyah bin Sha’ab bin Ali bin Bakar bin Wail bin Qasyid bin Hanab bin Aqsi bin Da’mi bin Jadilah bin Asad bin Rabiah bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan. Keturunan Imam Ahmad bertemu dengan keturunan Rasulullah s.a.w pada Mazin bin Ma’ad bin Adnan.
Beliau dilahirkan di Baghdad setelah ibu bapanya berpindah dari Kota Murwa. Tarikh kelahiran beliau ialah pada 20 Rabiul Awal tahun 164 Hijrah bersamaan dengan tahun 780 Masihi. Pada ketika itu, Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi telah pun meninggal dunia kira kira 14 tahun yang lalu. Imam Malik pada ketika itu berusia 71 tahun manakala Imam Syafie baru berusia 14 tahun.
Imam Ahmad lebih dikenali dengan nama datuknya, Hanbal, kerana datuknya adalah seorang gabenor yang amat masyhur di Khurasan ketika pemerintahan kerajaan Bani Umayyah. Manakala ayah kandung Imam Ahmad iaitu Muhammad pula adalah adalah seorang tentera Bani Hasyim. Beliau meninggal dunia pada usia yang masih muda iaitu 30 tahun. Oleh itu, Imam Ahmad dipelihara oleh ibunya yang bernama Safiyyah binti Maimunah binti Abdul Malik bin Sawadah bin Hindun Assyaibani. Kedua ibu dan bapanya merupakan arab asli dari suku Syaiban. Kebanyakan suku Syaiban menetap di Basrah. Oleh sebab itulah, Imam Ahmad juga digelar Al-Basri.
Oleh kerana beliau dibesarkan oleh ibunya sahaja, Imam Ahmad  sangat memuliakan dan menghormati ibunya. Pernah suatu ketika, beliau diserang demam panas ketika dalam perjalanan menuju ke Kufah untuk menuntut ilmu. Lalu beliau pulang dengan segera ke Baghdad untuk memohon maaf dan meminta izin daripada ibunya. Menurutnya, beliau terlupa untuk meminta izin daripada ibunya ketika keluar. Demikianlah peribadi Imam Ahmad, beliau percaya bahawa restu daripada seorang ibu itu amatlah penting sebelum melakukan apa apa pekerjaan.        

Kehidupan dan Pendidikan Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal dibesarkan dalam keadaan yang serba kekurangan. Beliau telah kehilangan seorang ayah sejak kecil lagi.  Ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan sebidang tanah. Oleh itu beliau terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara dirinya dan membeli peralatan untuk menuntut ilmu. Di antara pekerjaan yang pernah dilakukan oleh Imam Ahmad adalah seperti tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain serta membawa barang-barang. Beliau amat mementingkan usaha sendiri serta rezeki yang halal.
Diceritakan bahawa, ketika dalam perjalanan menuju ke Yaman untuk menuntut ilmu, beliau terpaksa mengambil upah mengangkut barang barang bersama hamba hamba suruhan. Dengan sedikit wang yang diperoleh itulah beliau berjaya sampai ke Yaman tanpa menerima sebarang pertolongan daripada orang lain. Imam Ahmad juga dikenali sebagai seorang yang zuhud. Beliau sanggup berada di dalam kesempitan wang demi untuk memberi sepenuh tumpuan dalam mencari ilmu.
Perjalanan Dalam Menuntut Ilmu
Kota Baghdad, iaitu tempat kelahiran dan tempat tinggalnya Imam Ahmad sememangnya sebuah kota yang agung. Ianya muncul sebagai sebuah kota ilmu pengetahuan dan kota tamadun yang termaju di dunia, mengalahkan negara-negara Eropah pada ketika itu. Pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid di bawah kerajaan Bani Abbasiyah telah menjadikan kota Baghdad semakin meningkat maju dan makmur terutamanya di dalam medan pembangunan infrastruktur dan kemajuan ilmu pengetahuan. Kitab-kitab terkenal yang dikarang oleh bangsa-bangsa yang telah maju seperti Yunani, India, Parsi dan Mesir telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh pakar-pakar penterjemah.
Dengan perkembangan ilmu yang berlaku ini, Imam Ahmad tidak melepaskan peluang untuk mendalami ilmu agama. Bermula pada umur 14 tahun, Imam Ahmad mula mempelajari ilmu nahu dan juga ilmu mengarang. Pada masa yang sama juga, beliau mula menghafal Al-Quran. Setelah mahir di dalam ilmu bahasa dan menghafal keseluruhan Al-Quran, beliau mula menghadiri majlis-majlis para ulama di sekitar kota Baghdad.
Pada awal pengajiannya, Imam Ahmad beliau menuntut ilmu daripada Imam Abu Yusuf, seorang ulama’ yang hebat daripada aliran ahli akal. Setelah seketika, beliau berpindah dan belajar pula dengan Imam Husyaim bin Basyir Al-Wasiti, ulama’ dari aliran ahli hadis. Beliau menumpukan pengajiannya dengan Imam Husyaim. Imam Ahmad lebih terpengaruh kepada aliran ahli hadis berbanding dengan ahli akal. Pada tahun 179 H, iaitu ketika masih berumur 15 tahun, beliau sudah mula mengumpul hadis sedikit demi sedikit. Setelah umurnya melonjak kepada 16 tahun, beliau mula menghadiri majlis-majlis ilmu para ulama’ hadis di sekitar kota Baghdad. Beliau menghafal hadis-hadis yang diperolehnya serta mencatat semua hadis terseut di dalam buku catatannya.
Imam Ahmad merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu. Di samping ilmu hadis, beliau juga menuntut ilmu-ilmu seperti qiraat, ilmu nahu dan sorof, ilmu balaghah, ilmu fikah, ilmu tasawuf, ilmu sirah nabi dan para sahabat, ilmu ijma’ para sahabat dan tabi’in dan bermacam-macam ilmu lagi. Kesemua ilmu-ilmu ini dipelajari Imam Ahmad daripada ulama’-ulama’ di kawasan Iraq bermula dari tahun 179 H sehinggalah tahun 183 H.
Setelah kematian gurunya, iaitu Imam Husyaim bin Busyair al-Wasiti, Imam Ahmad memutuskan untuk menuntut ilmu di luar kota Baghdad pula. Beliau bercita-cita untuk mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis baginda S.A.W daripada ulama’-ulama’ muktabar di luar sana. Tempat pertama yang ditujui oleh Imam Ahmad ialah Kufah. Beliau berada di sana selama 3 tahun iaitu sehingga tahun 186 H. Selepas itu, beliau berhijrah pula ke kota Basrah dan menetap di sana selama setahun. Ketika umurnya mencecah 23 tahun, Imam Ahmad menuju pula ke kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Disinilah beliau bertemu dengan Imam Syafie. Ketika itu Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram.
Imam Ahmad mengembara ke seluruh tanah arab dalam jangka masa 21 tahun, iaitu bermula dari 183 H, sehinggalah tahun 201 H, iaitu setelah beliau berusia 40 tahun. Banyak lagi tempat yang telah dikunjungi oleh Imam Ahmad untuk menimba ilmu seperti Madinah, Yaman, Farsi dan lain-lain. Kesemua destinasi ini menjadi tempat tujuan Imam Ahmad demi untuk mengumpul hadis-hadis Nabi S.A.W yang banyak tersebar di serata dunia.


Guru-Guru Imam Ahmad
Dengan menjadikan kaedah pengembaraan sebagai salah satu cara untuk menimba ilmu, tidak dapat dinafikan lagi, Imam Ahmad berguru dengan ramai ulama’-ulama’ yang terkemuka. Daripada kota Baghdad sehinggalah ke seluruh tanah arab beliau mengembara demi minatnya untut mendalami dalam bidang agama.
Di antara guru Imam Ahmad yang masyhur ialah Imam Abu Yusuf. Imam Abu Yusuf merupakan salah seorang daripada murid Imam Hanafi. Beliau merupakan seorang yang ahli di dalam bidang fikah dan hadis.
Seterusnya, Imam Ahmad berguru dengan Imam Husyaim bin Basyir. Imam Husyaim merupakan seorang seorang ulama’ dari generasi tabi’ tabi’in yang sangat berpengaruh di Kota Baghdad. Beliau juga merupakan ulama’ hadis seperti Imam Abu Yusuf. Ramai orang meriwayatkan hadis dari beliau oleh sebab ketokohannya dan ingatannya yang sangat hebat. Imam Ahmad sempat berguru dengan beliau selama 4 tahun dan meriwayatkan lebih dari tiga ribu hadis daripadanya. Ini ialah tempoh paling lama Imam Ahmad berguru dengan seseorang ulama’.
Imam Syafie merupakan salah seorang guru Imam Ahmad yang masyhur. Beliau bertemu dengan Imam Syafie ketika musim haji pada tahun 187 H, di mana Imam Syafie menyampaikan kuliah-kuliahnya di Masjidil Haram. Pada ketika itu umur Imam Ahmad berusia 23 tahun. Kali kedua Imam Ahmad bertemu dengan Imam Syafie adalah ketika Imam Syafie berkunjung ke Baghdad untuk menyampaikan ilmu di sana.
Imam Ahmad pernah bercita-cita untuk menuntut ilmu daripada Imam Malik, namun tidak kesampaian kerana Imam Malik telah meninggal dunia sebelum Imam Ahmad mula menuntut ilmu. Sebagai gantinya, beliau menuntut ilmu hadis di Makkah daripada salah seorang tokoh besar dalam bidang ini iaitu Imam Sufyan bin Uyainah.
Selain daripada tokoh-tokoh yang telah disebutkan, Imam Ahmad juga menuntut ilmu daripada Imam Umair bin Abdullah, Imam Abdur Rahman bin Mahdi, Imam Abu Bakar ‘Iyasi, Imam Ismail bin Aliyyah, Imam Hammad bin Khalid, Imam Mansur bin Salamah, Imam Waqi’ bin Jarrah, Imam Musa bin Tariq, Imam Yazid bin Harun, Imam Abudul Razzaq bin Humman, Imam Yahya bin Qattan, Imam Abdullah bin Nuwaimir, Imam Muhammad bin Adi, Imam Muhammad bin Yazid, Imam Abu Usamah, Imam Yahya bin Salim, Imam Yahya bin Zaidah, Imam Mu’tamar bin Imam Sulaiman, Imam Abdul Rahman bin Mahdi, Imam Basyar bin Al-Fadhal, Imam Muzaffar bin Mudrik, Imam Uthman bin Umar, Imam Wallid bin Sulaiman, Imam Abi Masyar Al-Dimasyqi, Imam Ibnul Yaman, Imam Ruh bin Ubaidah, Imam Mu’awiyah Al-Aziz, Imam Muhammad bin Bakar, dan Imam Abu daud Al-Sajalisi.
Daripada Seorang Murid Menjadi Seorang Imam
Setelah mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai ulama’-ulama’ yang terkemuka, Imam Ahmad mula menyampaikan ilmu pada umur 40 tahun. Beliau mula mengajar di Masjid Jami’ yang terletak di kota Baghdad. Maka berduyun-duyunlah orang ramai datang ke majlis ilmu beliau untuk mempelajari ilmu hadis dan fikah mengikut mazhab Hanbali. Majlis pengajian beliau dibahagikan kepada dua; umum dan khusus.  Majlis ilmu umumi diadakan selepas asar di masjid yang dihadiri oleh ramai para penuntut ilmu. Manakala pengajian khusus diadakan di rumahnya sendiri.
Kebanyakan murid-muridnya datang kepada beliau untuk tujuan menuntut ilmu, ada yang meminta nasihat darinya, ada juga yang hendak mempelajari adab dan akhlak beliau, bahkan ada juga yang hadir untuk mengambil berkat sahaja. Imam Ahmad merupakan seorang yang tegas. Beliau tidak pernah bergurau senda kerana beliau kurang gemar akan perkara itu.
Murid-Murid Imam Ahmad
Oleh sebab ketokohan dan keilmuan yang ada pada Imam Ahmad, maka ramailah para pencinta ilmu datang dan menuntut ilmu daripadanya. Ada di antara murid-murid Imam Ahmad yang akhirnya menjadi tokoh-tokoh Islam yang terkenal juga. Di antara murid-murid Imam Ahmad ialah; Yahya bin Adam, Abdul Rahman bin Mahdi, Yazid bin Harun, Ali bin Al-Madini, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Abu Zar’ah, Ar-Razi, Ibrahim Al-Harbi, Abu Bakar Ahmad bin Hani’, Al-Atram, Muhammad bin Ishaq Al-Saghani, Abu Hatim Al-Razi, Ahmad bin Al-Huwari, Musa bin Harun, Hanbal bin Ishaq, Usman bin Said, Al-Darami, Hujaj bin Al-Syair, Abdul Malik bin Abdul Hamid Al-Maimuni, Bakyi bin Makhlid Al-Andalusi, Ya’kub bin Syaibah dan ramai lagi. Anaknya, Salih dan Abdullah juga menurut jejak langkah ayahnya dalam menguasai bidang hadis.
Ramai murid-muridnya menuntut ilmu fikah daripadanya serta membantu mengembang dan menyebarkan mazhab Hanbali keseluruh pelosok dunia. Jasa-jasa mereka cukup besar di dalam membantu mazhab Imam Ahmad bin Hanbal berdiri sebaris dengan mazhab-mazhab yang terdahulu.
Sumber-Sumber Asas Mazhab Hanbali
Terdapat 6 sumber asas yang digunakan oleh Imam Ahmad di dalam mengistinbat hukum di dalam mazhabnya iaitu :
1.    Al-Quran
2.    Hadis Sahih dan Hadis Hasan
3.    Fatwa para sahabat yang disepakati
4.    Fatwa para sahabat yang tidak disepakati, di mana beliau memilih yang hampir kepada kehendak Al-Quran dan Sunah mengikut pemahaman beliau
5.    Hadis Mursal dan Hadis Da’if
6.    Qias

Kitab-Kitab Karangan Imam Ahmad
Karya Imam Ahmad yang paling masyhur ialah Kitab Al-Musnad. Kitab ini merupakan himpunan hadis-hadis Rasulullah sejumlah 40000 hadis. Imam Ahmad juga turut menghasilkan karya-karya lain seperti Kitab Tafsir Al-Quran, Kitab Nasikh wa Mansuh, Kitab Al-Muqaddam wal Muakhar fil Quran, Kitab Jawabatul Quran, Kitab al-Tarikh, Kitab Al-Manasikhul Kabir, Kitab Al-Manasikus Saghir, Kitab at-Taatur Rasul, Kitab Al-Zuhd, Kitab Al-Masa’il, Kitab Al-Fadhil, Kitab Al-Faraidh, Kitab Al-Manasik, Kitab Al-Iman. Kitab Al-Asyribah, Kitab Al-Ra’du alal Jahmiyyah, Kitab Al-Ilal, Kitab Al-Wara’I, Kitab Al-Salah, dan banyak lagi kitab-kitab lain.
Perkembangan Mazhab Hanbali
Mazhab ini tidak begitu pesat pada awal pertumbuhannya. Hanya terbatas di kawasan Baghdad. Pada awal abad ke 4 Hijrah, pengaruh mazhab mula tersebar ke Iraq. Pada akhir abad ke 6 Hijrah pula, mazhab Hanbali mula tersebar ke Mesir. Perkembangannya semakin pesat apabila pendokongnya adalah Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim. Perkembangan ini dilanjutkan oleh Muhammad Abduh di Mesir dan Muhammad Abdul Wahab di Hijaz. Muhammad Abdul Wahab telah mendapat perhatian Raja Abdul Aziz yang telah menguasai Najd pada abad ke 12 Hijrah dan diterima sebagai mazhab rasmi bagi kerajaan Saudi sehingga hari ini. Selain itu, mazhab ini juga berpengaruh di kawasan lain seperti Syam dan Palestin. Beliau banyak menumpukan masanya dalam penyebaran ilmu dan pemikiran melalui pengajaran dan penulisan. Antara anak muridnya yang terkenal ialah anaknya Salleh dan Abdullah yang merupakan periwayat Musnad Imam Ahmad. Murid-muridnya yang lain ialah Ahmad bin Muhammad, Abdul Malik bin Abdul Hamid dan Ahmad bin Muhammad bin Harun dan Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj. Dalam bidang penulisan, Imam Ahmad telah dapat menghasilkan karya yang bernilai dalam bidang Hadis yang dikenali sebagai Musnad.
Antara tokoh-tokoh dalam mazhab Hanbali ialah Al-Athram Abu Bakar Ahmad ibn Hani Al-Khurassi, pengarang as-Sunnah (wafat 273H).  Ahmad ibn Muhammad ibn Al Hajjaj Al Marwazi (wafat 275H). Ibn Ishaq Al Harbi ( wafat 285H). Al Qasim Umar ibn Abi ‘Ali Al Husai Al Khiraqi ( wafat 334 H). Abdul Aziz Ibn Jaafar ( wafat 363 H). Kemudian usaha-usaha beliau ini diteruskan oleh, Muwaffaquddin Ibn Qudamah - pengarang Al Mughni ( wafat 620H ). Syamsuddin Ibn Qudamah Al Maqdisi - pengarang As Syarhul Kabir ( wafat 682 H ). Syeikhul Islam Taqiuddin Ahmad Ibn Taimiyyah ( wafat 728H). Al-Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah - pengarang kitab I’lamul Muwaqqi’in, At-Thuruqul Hukmiyah fi Siyasatisy Syar’iyah ( wafat 751H).
Karya Agung : Kitab Al-Musnad
Kitab Al-Musnad merupakan kitab hadis yang paling besar yang telah dikarang oleh Imam Ahmad. Beliau mula mengarang kitab ini setelah beliau mengembara ke seluruh pelosok negara arab. Beliau telah berjaya mengumpulkan sejumlah hadis, iaitu kira-kira lebih dari sejuta hadis sepanjang pengembaraannya itu.
Selepas melakukan proses penyaringan oleh beliau sendiri, hanya 40000 buah hadis sahaja yang dimasukkan ke dalam kitabnya itu daripada 750000 buah hadis yang telah dihafalnya. Di dalam 40000 buah hadis yang dimasukkan, terdapat kira-kira 10000 hadis yang berulang-ulang. Kitab inilah yang menjadi sumber rujukan Imam Ahmad di dalam membina hukum di dalam mazhab yang diasaskan beliau, iaitu mazhab Hanbali.
Cara Imam Ahmad menyusun hadis-hadis di dalam kitab ini ialah dengan mengikut nama-nama para sahabat bermula daripada hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Abu Bakar, kemudian diikuti pula dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar, Uthman dan Ali. Hadis-hadis ini turut disusun mengikut bab. Akhirnya, siaplah kitabnya yang sehingga berpuluh-puluh jilid tebalnya.
Tribulasi Imam Ahmad
Ketika Khalifah Al-Ma’mun menghantar suratnya kepada pegawainya yang bertugas di Baghdad,beliau telah meminta di dalam surat tersebut agar dikumpulkan segala ulama’ dan qadhi serta imam-imam agar ditanyakan kepada mereka tentang Al-Quran itu makhluq atau bukan makhluq,jika sesiapa diantara mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu bukan makhluq maka dia akan dilucutkan daripada jawatan tersebut,dan barangsiapa yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq maka dia akan dikekalkan dengan jawatan yang disandangnya,dan sesungguhnya para fuqaha’ semuanya telah sebulat suara (melainkan para ulama’ Al-Mu’tazilah) mengatakan bahawa Al-Quran itu bukanlah makhluq,namun disebabkan kelemahan diri seorang manusia,dan perasaan takut untuk dilucutkan dari jawatan itu timbul,telah menyebabkan sebahagian daripada mereka mengiyakan kata-kata pemerintah ketika itu,tetapi terdapat juga sebahagian daripada mereka yang telah menentang keras perkara tersebut diantaranya ialah Imam Ahmad Bin Hanbal,beliau telah digari dengan rantai besi yang berat dan telah dipenjarakan disebabkan perbuatan beliau itu…
Dan ketikamana Khalifah Al-Ma’mun mendengar bahawa Imam Ahmad tetap juga berkeras dengan pendirianya walaupun telah diseksa dengan begitu teruk sekali,beliau telah diarahkan agar dihantar ke pihak khalifah di Khurasan dalam keadaan digari dan dirantai dengan rantai besi,tetapi Khalifah Al-Ma’mun telah mangkat sebelum sempat Imam Ahmad dihantar kepadanya.
Setelah kemangkatan Khalifah Al-Ma’mun,Khalifah Al-Mu’tasim pula menggantikanya dengan menaiki takhta pemerintahan,dan khalifah tersebut juga bersamaan dengan khalifah sebelumnya dengan mengatakan bahawa Al-Quran itu ialah makhluq,maka tinggallah Imam Ahmad meringkuk di dalam penjara dengan penuh penderitaan,walaupun didalam keadaan yang digari dan dibelenggu dengan rantai besi beliau tetap juga memperbanyakkan ibadah beliau kepada Allah dengan penuh tekun sekali,dan bersolat bersama-sama ahli penjara yang lain.
Dan Khalifah Al-Mu’tasim telah meminta para ulama’nya untuk berdebat dengan Imam Ahmad berkenaan dengan mengatakan Al-Quran itu makhluq,tetapi Imam Ahmad telah berjaya menutup mulut para ulama’ duniawi tersebut dengan satu soalan sahaja dengan mengatakan : “Bawakanlah kepadaku satu dalil daripada kitabullah dan sunnah nabiNya yang mengatakan Al-Quran itu makhluq!!”
Beliau tetap teguh kemas dengan pendirianya itu walaupun pihak khalifah telah mencuba memujuknya dengan berbagai-bagai cara samada secara lembut ataupun kasar,beliau telah ditawarkan dengan berbagai pangkat dan hadiah-hadiah,begitu juga beliau telah dikenakan dengan seksa yang berat,tetapi pendirian beliau tidak sedikit pun berganjak walau seinci.
Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim tidak berdaya lagi untuk memujuk beliau,maka baginda pun mengarahkan agar disiapkan suatu alat penyeksaan untuk menyeksa beliau,mereka juga telah memukul beliau sehingga terkehel bahunya dan terpercik darah di belakang badanya,tetapi beliau tetap juga tidak berganjak dari perkataanya walau sedikit pun.
Sesungguhnya Al-Maruzi (5) iaitu salah seorang dari ulama’ duniawi yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq telah berkata kepada beliau : “Bukankah Allah Taala telah berkata : (( Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri [An-Nisa’ : 29] ))??”  lalu Imam Ahmad pun berkata kepadanya : “Bunuhlah diriku ini dan aku tidak mahu sesat seperti kesemua mereka itu”
Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim berasa khuatir yang Imam Ahmad akan mati disebabkan begitu banyaknya penyeksaan yang telah dikenakan ke atas beliau dan juga akan menyebabkan rakyat bangkit membela beliau,baginda pun mengarahkan agar beliau dilepaskan dan dihantar ke keluarga beliau semula,beliau telah meringkuk di dalam penjara selama 28 bulan.
Selepas kejadian tersebut,Imam Ahmad pun menghilangkan dirinya daripada pandangan masyarakat dalam beberapa ketika sehinggalah tampuk pemerintahan bertukar daripada Al-Mu’tasim dan Al-Muwatsiq kepada Khalifah Al-Mutawakkil yang telah menghentikan terus segala fitnah tersebut barulah beliau memunculkan diri beliau semula,baginda pun membersihkan kembali nama beliau dan telah mengangkat kembali ketinggian ilmunya sehingga melonjak naik melebihi para ulama’ lain yang sezaman denganya.
Berkeperibadian Mulia
Imam Ahmad merupakan seorang yang amat suka kepada kebersihan. Beliau gemar memakai pakaian putih. Wajah beliau selalu manis  apabila bertemu dengan orang.  Beliau juga seorang yang peramah dan sangat lemah lembut.
Sebagai seorang yang arif dalam hal-hal agama, beliau amat menjaga dirinya daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Ini dapat dilihat ketika mana beliau berjalan, beliau akan menundukkan sedikit kepala. Imam Ahmad juga merupakan seorang yang pendiam, tidak banyak berkata-kata. Beliau gemar menyendiri dan menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang melalaikan. Satu perbuatan yang paling tidak digemari oleh Imam Ahmad ialah bergurau senda. Beliau juga benci melihat orang bergurau. Oleh itu, para pelajarnya ­­­ akan bergurau senda sekiranya berada di samping Imam Ahmad.
Imam Ahmad seorang yang sangat merendah diri, beliau tidak suka jika ada orang berjalan di belakangnya, sebaliknya, beliau akan berhenti dan mengajak orang itu berjalan bersama-samanya. Beliau juga tidak suka duduk di hadapan ketika di dalam majlis majlis keramaian. Beliau suka bergaul dengan orang-orang yang susah. Beliau akan makan dan minum bersama-sama fakir miskin, anak-anak yatim. Beliau tidak suka hidup di dalam kemewahan.
Imam Ahmad dan Keluarganya
Imam Ahmad telah mengahwini seorang hamba yang bernama Husan. Beliau mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W yang mengahwini hamba yang bernama Mariam Al-Qibtiyyah. Dengan perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan beberapa orang anak iaitu Said, Muhammad Al-Hasan, Zainab, Fatimah dan dua orang kembar; Hasan dan Husain yang meninggal beberapa hari selepas dilahirkan.
Beliau juga mengahwini Al-Abasah Binti Al-Fadhl. Imam Ahmad dikurniakan dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak lelakinya, Salih pernah menjadi seorang haki di Asbahan. Beliau jugalah yang menulis riwayat hidup ayahnya. Seorang lagi anaknya ialah Abdullah. Abdullah pernah menjadi pimpinan majlis ilmu hadis.
Pandangan Ulama Terhadap Ahmad
Al-Imam al-Syafi’i :
Waktu aku       meninggalkan Baghdad,aku tidak akan tinggalkan kepada seorang lelaki yang lebih afdhal, alim, faqih dan lebih taqwa selain dari Ahmad bin Hambal.
Al-Imam al-Zahabi :
Ahmad bin Hanbal adalah memang seorang imam dan syaikh al-Islam.
Al-Nasa’iy :
Ahmad telah berjaya menghimpun pengetahuan tentang hadith dan fiqh, wara’, zuhud dan sabar.
Ishaq bin Rahawayh :
Imam Ahmad bin Hambal merupakan hujah di antara Allah dan makhluknya.
Abdullah bin Ahmad :
Bapaku sentiasa sembahyang 300 rakaat pada setiap hari dan malam. Apabila jatuh sakit akibat sebatan yang dikenakan ke atasnya sehingga melemahkannya, beliau sembahyang sebanyak 150 rakaat sahaja setiap hari dan malam.
Yahya bin Mu’in :
Aku tidak pernah melihat orang seperti Ahmad yang menjadi sahabatku selama 50 tahun, tidak pernah dia berbangga-bangga ke atas kami dengan apa pun.

Kewafatan Imam Ahmad
Pada awal bulan Rabiul Awal tahun 240 H, beliau diserang demam panas sehingga tidak mampu berjalan. Ketika hampir ajalnya, beliau masih dengan ketegasan beliau. Beliau mengarahkan supaya anak-anaknya tidak memasak kepadanya kerana anak-anaknya pernah mengambil harta daripada pemerintah.
Saat hampir bertemu ajal, Imam Ahmad mewasiatkan kepada keluarga dan sanak saudaranya supaya tetap menyembah Allah S.W.T, memujiNya, dan hendaklah selalu memberi nasihat sesama kaum Muslimin.
Imam Ahmad meninggal dunia pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal tahun 241 H. Puluhan ribu rakyat menghantar mayat beliau ke tempat pengkebumian beliau di Baghdad. Semoga Allah mengurniakan kepada Imam Ahmad ganjaran yang besar di sana kelak kerana pengorbanan yang dilakukan olehnya untuk agama Islam.




Rujukan
1.    Dr. Ahmad Asy-Syurbasi, Biografi Imam-Imam Mazhab, Penerbitan Mutiara, Jakarta, 1979.
2.    Tarikuddin bin Haji Hassan, Siri 4 Imam Mazhab : Imam Ahmad bin Hanbal, Perniagaan 
Jahabersa, 2004.


 




Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Al-Masalih Al-Mursalah




Pendahuluan

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber utama penginstibatan hukum Islam. Sumber ini menjadi asas kepada penginstinbatan hukum Islam kerana al-Quran merupakan wahyu daripada Allah S.W.T, manakala al-Sunnah menerangkan dan menghuraikan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Di samping sumber utama ini, terdapat sumber lain yang digunakan oleh para mujtahid bagi mengeluarkan sesuatu hukum. Ulama fiqh telah membahagikan sumber ini kepada dua bahagian, iaitu sumber yang disepakati oleh jumhur fuqaha seperti ijma’ dan qiyas dan sumber yang diperselisihkan oleh mereka seperti istihsan, al-Masalih al-Mursalah, ‘urf, sadd al-dhara’i, istishab, syar’ man qablana, qawl al-sahabiyy dan al-istishab. Sumber-sumber ini dinamakan juga sebagai istidlal iaitu menggunakan dalil bukan daripada al-Quran atau al-sunnah, bukan juga daripada ijma’ atau qiyas.

al-Masalih al-Mursalah adalah salah satu cabang daripada istidlal yang berperanan untuk memelihara maslahah ummah dengan cara menolak segala perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan menerima segala perkara yang mendatangkan manfaat. Penulisan ini cuba untuk memberikan penjelasan terhadap konsep al-Masalih al-Mursalah sebagai salah satu sumber dalam penginstinbatan hukum Islam dan pandangan ulama terhadapnya.

Definisi Al-Masalih Al-Mursalah

Dari sudut etimologi, al-Masalih al-Mursalah berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘masalih’ dan ‘mursalah’.

Masalih dari segi bahasa adalah kata terbitan (masdar) yang bermakna al-salah seperti perkataan al-manfa’ah yang bermakna al-naf’(manfaat).

Dari sudut istilah pula, ulama memberikan banyak takrifan, antaranya ialah :

a)      Nukilan daripada Imam Ghazali. Maslahah pada dasarnya adalah suatu gambaran daripada meraih manfaat atau menghindarkan mudarat iaitu ke arah memelihara tujuan syarak. Oleh itu dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan al-maslahah adalah menolak mudarat dalam rangka memelihara tujuan syarak yang meliputi lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

b)      Pendapat Said Ramadan al-Buti. Menurut beliau, maslahah adalah manfaat yang ditentukan oleh Maha Pencipta untuk kepentingan hamba-Nya, dengan tujuan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Berdasarkan definisi-definisi tersebut, dapat disimpulkan bahawa adanya persamaan persepsi antara satu sama lain iaitu :

a)      Maslahah secara terminalogi harus berada dalam ruang lingkup tujuan syarak, tidak boleh disandarkan kepada keinginan hawa nafsu.

b)      Maslahah haruslah mengandungi dua unsur penting iaitu meraih manfaat dan menolak mudarat.

Mursalah pula bererti mutlak, iaitu bebas, tidak diikat dengan dalil yang memperakukannya atau dengan dalil yang menolaknya.

al-Masalih al-Mursalah dalam satu istilah khusus pula diertikan sebagai satu method pengeluaran hukum yang tiada dalil khusus mengenainya dan tidak pula diketahui penerimaan dan penolakan syarak terhadapnya.

Pembahagian Maslahah

Ulama usul telah membahagikan maslahah kepada tiga bahagian iaitu maslahah dari sudut kekuatan zat, dari sudut umum dan khusus dan dari sudut perakuan dan penolakan syarak.

 i.             Sudut kekuatan zat
Pembahagian maslahah dari sudut ini terbahagi kepada tiga iaitu:

a)                 Maslahah daruriyyah iaitu maslahah utama dalam kehidupan manusia dan tidak boleh diabaikan. Sekiranya ia diabaikan, tiada lagi keseimbangan dalam kehidupan sama ada di dunia atau di akhirat. Maslahah ini dapat disimpulkan sebagai penjagaan terhadap lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta.

b)                 Maslahah hajiyah iaitu maslahah yang menjadi keperluan kepada manusia bagi memudahkannya menjalani kehidupan dan mengelakkan kesulitan serta kesukaran dalam kehidupan. Namun, ketiadaannya tidaklah membawa kepada kepincangan seperti tiadanya maslahah daruriyyah. Contohnya, diberikan rukhsah kepada orang yang bermusafir untuk berbuka puasa dan melakukan jamak dan qasar.

c)                 Maslahah tahsiniyyah iaitu maslahah yang menyempurnakan kehidupan manusia. Sekiranya maslahah ini tiada, tidaklah membawa kepada ketidaktenteraman dan porak peranda, berbeza jika tidak dijaga maslahah daruriyyah, dan tidak juga membawa kesulitan dalam kehidupan manusia seperti ketiadaan maslahah hajiyah. Namun, ketiadaannya akan membawa kepada ketidaksempurnaan dalam kehidupan. Antara contohnya ialah menjaga adab ketika makan dan minum dan memakai pakaian yang cantik pada hari raya.

ii.            Sudut umum dan khusus

Selain itu, maslahah juga boleh dilihat dari sudut ruang lingkup sama ada ia umum atau khusus iaitu maslahah ‘ammah, maslahah aghlabiyyah dan maslahah khassah.

a)                Maslahah ‘ammah iaitu maslahah yang merangkumi seluruh manusia. Contohnya pensyariatan membunuh ahli bid’ah jika dibimbangi golongan ini akan mempengaruhi umat Islam dengan perbuatan bid’ah yang mereka lakukan.

b)                 Maslahah aghlabiyyah merupakan maslahah yang hanya melibatkan sebahagian besar manusia sahaja. Contohnya jaminan yang dikenakan ke atas pengilang terhadap produk yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana yang berurusan dengan pengilang hanyalah sebahgaian besar manusia sahaja dan bukannya keseluruhannya.

c)                 Maslahah khassah pula adalah maslahah yang merujuk kepada kemaslahatan individu tertentu pada situasi tertentu. Contohnya adanya kemaslahatan bagi seorang isteri agar hakim menetapkan keputusan fasakh kerana suaminya hilang.

iii.                    Sudut perakuan dan penolakan syarak

Maslahah juga boleh dibahagikan kepada tiga bahagian jika dilihat dari sudut penerimaan oleh syarak (melalui al-Quran dan al-Sunnah). Maslahah-maslahah tersebut adalah seperti berikut:-

a)                  Maslahah mu’tabarah iaitu maslahah yang sabit dengan nas atau ijmak. Dengan erti kata lain, maslahah tersebut diperakui oleh syarak sama ada melalui nas atau ijmak. Contohnya pensyariatan hukuman had ke atas penzina. Ia bertujuan menjaga keturunan dan nasab manusia yang terdapat nas al-Quran yang memperakui hukuman tersebut. Firman Allah S.W.T:


   ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٲحِدٍ۬ مِّنۡہُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٍ۬‌ۖ                                         
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.(Surah an-Nur, ayat 2)
   
Pada nas di atas, syarak memperakui hukuman sebat ke atas penzina. Ia bertujuan untuk memelihara kemaslahatan umat manusia dari segi menjaga keturunan dan ia bertepatan dengan prinsip maqasid shar’iyyah.

b)                  Maslahah mulghah pula adalah maslahah yang tidak diperakui oleh syarak melalui nas-nas secara langsung. Contohnya pembahagian sama rata antara lelaki dan perempuan dalam pembahagian harta pusaka. Walaupun pada awal kelihatan ia memberikan kesaksamaan pembahagian harta pusaka kepada kedua-dua belah pihak, namun ia tidak diiktiraf oleh syarak berdasarkan firman Allah S.W.T:
c)                   

    يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوۡلَـٰدِڪُمۡ‌ۖ لِلذَّكَرِ مِثۡلُ حَظِّ ٱلۡأُنثَيَيۡنِ‌
Maksudnya : Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.(Surah an-Nisa', ayat 11)

Pada ayat di atas, Allah telah menetapkan bahawa dalam pembahagian harta pusaka, lelaki mestilah memperolehi bahagian yang lebih daripada perempuan dengan nisbah 2:1. Oleh itu, pembahagian secara sama rata antara lelaki dan perempuan adalah terbatal.


d)                Maslahah mursalah iaitu maslahah yang tiada dalil khusus mengiktirafnya sama ada menerima atau menolak. Ia merupakan antara bentuk yang paling sesuai bagi menggambarkan nilai fleksibiliti perundangan Islam. Ini kerana terdapat banyak contoh yang menunjukkan kaedah ini begitu relevan untuk diaplikasikan. Antara contohnya ialah pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf pada zaman Saidina Abu Bakar, mengenakan cukai tanah (kharaj) terhadap tanah pertanian yang dirampas oleh tentera Islam dan tidak membahagikannya kepada tentera-tentera Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab.

Semua perkara ini tidak dinyatakan secara jelas oleh Allah S.W.T melalui nas-nas Al-Quran mahupun hadis sama ada diperakui atau ditolak.

Kehujahan Al-Masalih Al-Mursalah

al-Masalih al-Mursalah merupakan salah satu dalil yang tidak disepakati di kalangan ahli-ahli usul. Oleh itu, kehujahan al-Masalih al-Mursalah boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pendapat yang menerima dan pendapat yang menolak.

1)      Pendapat Yang Menerima

Terdapat beberapa ulama yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal dan juga Imam al-Ghazali. Namun begitu, hanya Imam Malik sahaja yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai hujah mutlak. Walaupun demikian, golongan yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum amat berhati-hati agar tidak berlaku pembentukan hukum berdasarkan keinginan dan nafsu.

  1. Golongan yang menerima al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber pengeluaran hukum berhujah bahawa seandainya secara tersirat diperakui al-Masalih al-Mursalah tetapi ia tidak diambil kira, maka setiap mukallaf akan mengalami kesulitan sedangkan Allah berfirman:



 وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِى ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٍ۬‌ۚ
Maksudnya: Dan Dia tidak sekali-kali menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan
  (Surah al-Hajj, ayat 78)


Berdasarkan ayat di atas, dapat dilihat bahawa Allah tidak akan menjadikan kesulitan kepada hambaNya. Oleh itu, pengeluaran hukum berdasarkan al-Masalih al-Mursalah bertepatan dengan tujuan pensyariatan iaitu untuk menjaga kemaslahatan. Ini kerana hukum berkaitan permasalahan manusia sering berubah mengikut masa dan keadaan.

  1. al-Masalih al-Mursalah telah menjadi amalan para Sahabat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Permasalahan tersebut juga turut merangkumi hak individu. Contohnya isu pengumpulan al-Quran oleh khalifah Abu Bakar. Tujuannya ialah bagi menjaga kemaslahatan umat Islam. Selain itu, khalifah Umar juga telah menjatuhkan hukuman buang daerah ke atas seorang lelaki kerana kerana memiliki rupa paras yang menawan. Ini bertujuan bagi mengelakkan timbulnya fitnah dalam kalangan masyarakat.

  1. Masalah manusia dan cara merealisasikannya berubah mengikut perubahan masa   dan keadaan. Ini kerana nas terhad sedangkan masalah yang dihadapi oleh manusia sentiasa berubah dan berkembang. Permasalahan tersebut memerlukan kepada  hukum yang baru apabila menemui sesuatu perkara yang belum pernah dihukumkan sebelumnya. Oleh itu, keperluan kepada al-Masalih al-Mursalah dilihat amat perlu bagi menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia.

  1. Sekiranya pendekatan al-Masalih al-Mursalah tidak digunakan dalam perkara yang berkaitan menjaga kemaslahatan manusia, maka tujuan disyariatkan perundangan itu tidak akan tercapai kerana perundangan Islam disyariatkan bagi menjaga kemaslahatan dan menyempurnakan hidup manusia. Ini kerana manusia memerlukan panduan dalam kehidupan terutamanya bagi perkara yang baru. Sekiranya al-Masalih al-Mursalah tidak diambil dalam perundangan yang terdapat ruang padanya bagi menjaga kemaslahatan manusia, sudah pasti akan berlakulah kerosakan.  

2)      Pendapat Yang Menolak

Selain golongan yang menerima, terdapat juga golongan yang menolak al-Masalih al-Mursalah sebagai salah satu sumber pengeluaran hukum. Antaranya ialah Imam Abu Hanifah dan juga Imam Syafie. Mereka mempunyai hujah yang tersendiri untuk menolak al-Masalih al-Mursalah.     
  1. Golongan ini menolak al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum kerana ia akan membuka ruang kepada seseorang untuk mengeluarkan hukum tanpa berpandu kepada nas tetapi berdasarkan hawa nafsu. Ini kerana perkara tersebut tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah. Oleh itu, seseorang itu tidak terikat dengan nas dalam pengeluaran hukum dan boleh mengeluarkan hukum menurut hawa nafsu.

  1. Seseorang itu akan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Menurut mereka perkara ini akan mengakibatkan terbinanya hukum yang tidak sepatutnya dalam perundangan kerana tidak terdapat sekatan dalam mengeluarkan hukum berdasarkan al-Masalih al-Mursalah.

    iii.            Allah Yang Maha Bijaksana menurunkan syariat yang datang dalam bentuk nas untuk merealisasikan kemaslahatan kepada manusia. Oleh itu, pembinaan hukum melalui al-Masalih al-Mursalah menunjukkan bahawa Allah S.W.T meninggalkan sebahagian daripada maslahah dalam syariat yang diturunkan kepada manusia. Ini menunjukkan bahawa perundangan yang diturunkan oleh Allah sama ada al-Quran atau al-Sunnah tidak lengkap.

    iv.            Golongan ini juga berhujah bahawa beramal dengan al-Masalih al-Mursalah akan membawa hukum yang berbeza pada zaman yang berbeza. Perkara ini akan menafikan sifat umum perundangan yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang  ia bersesuaian pada setiap masa dan tempat.

Syarat-Syarat Beramal Dengan Al-Masalih Al-Mursalah

Para ulama telah menetapkan beberapa syarat penggunaan al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum yang tidak disepakati. Namun begitu, terdapat dua perbezaan dalam hal tersebut. Pertamanya, syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama yang menerima dan yang kedua  pula bagi ulama yang menolak.

Syarat-syarat ulama yang menerima

Terdapat beberapa syarat yang ditetapkan oleh ulama yang menggunapakai al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum. Antaranya :

1.      Maslahah itu dipastikan wujudnya dan bukan sangkaan (waham) sahaja.

2.      Tidak terdapat dalil yang membatalkannya. Hal ini kerana tidak boleh berijtihad dalam masalah yang ada nas walaupun tidak ternyata hikmahnya.

3.      Maslahah tersebut hendaklah umum bukan khusus kepada sesuatu kelompok sahaja.

4.      Maslahah tersebut boleh diterima oleh akal jika diterangkan kepada orang yang berakal.

5.      Digunakan untuk menjaga keperluan manusia dan menolak kepayahan.

Sebagai contoh, pengumpulan al-Quran oleh Khalifah Abu Bakar r.a. Perkara ini tidak pernah dilakukan semasa zaman Rasulullah SAW. Saidina Umar r.a telah mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar r.a supaya nas-nas al-Quran ini dikumpul dan dibukukan di dalam satu mushaf. Kemudiannya Saidina Abu Bakar telah mengambil kira keadaan semasa iaitu kebanyakan para penghafal al-Quran telah syahid di medan perang dan faktor-faktor lain lagi. Maka dengan itu, Zaid bin Thabit r.a telah dilantik sebagai untuk menulis semula ayat-ayat al-Quran di dalam satu mushaf.

Peristiwa ini menjadi  contoh bahawa maslahah itu wujud dan bukan sangkaan. Sekiranya tidak dikumpulkan al-Quran dalam satu mushaf kemungkinan besar akan mendatangkan kepayahan apabila hendak merujuk ayat-ayat al-Quran. Selain itu, pengumpulan al-Quran itu tidak mempunyai dalil yang menyuruh dan dalil yang membatalkan. Ia bertujuan untuk memelihara agama Islam.

Di samping itu, pengumpulan al-Quran merupakan maslahah yang umum dan bukan khusus kepada sesuatu kelompok. Ini kerana usaha pengumpulan al-Quran bertujuan menjaga kemaslahatan umat Islam dan bukannya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Dalam kata lain, usaha tersebut untuk menjaga keperluan umat Islam dan kemulian agama Islam serta menolak kepayahan. 

Oleh itu, jelaslah bahawa ulama yang mengunapakai maslahah mursalah sebagai sumber hukum bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia yang tidak disebut di dalam nas al-Quran dan al-Sunnah.

Syarat-syarat Ulama Yang Menolak

Terdapat juga ulama yang tidak mengambil al-Masalih al-Mursalah sebagai sumber hukum. Walaupun begitu, terdapat pendapat daripada golongan tersebut yang menetapkan beberapa syarat yang harus dipenuhi sekiranya dalil ini ingin digunakan.  Antaranya :

1.      Hendaklah maslahah itu di tahap darurat bukan sekadar hajat sahaja.

2.      Kulliyyah bukan juziyyah.

2.      Ketetapan hukum yang boleh dilaksanakan menerusi dalil ini adalah semata-mata dalam bahagian muamalah bukan perkara ibadah.

3.      Maslahah-maslahah tersebut tidak berlawanan dengan salah satu daripada tujuan perundangan Islam yang asas.

5.      Sesuatu maslahah itu hendaklah ada dan diyakini di sisi syarak yang boleh memberi manfaat dan mencegah mudarat.

Misalnya apabila orang kafir menjadikan tawanan Islam sebagai perisai mereka. Maka, tentera Islam harus memerangi mereka walaupun terpaksa membunuh dan mengorbankan tawanan Islam bagi menegakkan kebenaran dan menghancurkan kekufuran. Ini jelas menunjukkan bahawa maslahah itu di tahap darurat bukan lagi sekadar hajat.

Selain itu, maslahah tersebut adalah kulliyah dan juziyyah. Ini kerana, sekiranya tidak dikorbankan tawanan Islam yang dijadikan perisai oleh tentera musuh, berkemungkinan musuh akan menyerang tentera Islam dan merampas negara Islam. Oleh itu, lebih banyak kerosakan akan berlaku terhadap agama Islam dan umatnya. Di samping itu, terpaksa mengorbankan tawanan Islam ini juga bertujuan menjaga asas-asas perundangan Islam seperti menjaga agama dan nyawa . Hal ini kerana,  jika tidak berbuat demikian dikhuatiri akan mengancam nyawa penduduk Islam yang lain serta agama Islam tu sendiri. 

Dalam kata lain, dengan mengorbankan tentera Islam yang dijadikan perisai, diyakini di sisi syarak akan memberi manfaat kepada semua umat Islam yang lain dan mencegah kemudaratan. Oleh itu, hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di atas, sekiranya ingin menggunapakai dalil ini sebagai sumber hukum.

Contoh Penggunaan Al-Masalih Al-Mursalah

Contoh-contoh pengunaan al-Masalih al-Mursalah dalam dilihat dalam beberapa perkara. Antaranya ialah:
1.      Pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada era pemerintahan khulafa’ al-rāshidin yang pertama, Saidina Abu Bakar r.a. Pengumpulan al-Quran ini tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Namun begitu, Saidina Umar al-Khattab yang melihat keperluan terhadap pengumpulan dan pembukuan al-Quran dalam satu mūshaf telah mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar r.a, melihat kepada perlunya menjaga al-Quran kerana ia merupakan kalam Allah yang merupakan panduan kepada umat Islam, Saidina Abu Bakar r.a telah memerintahkan Zaid Ibn. Thabit r.a untuk menulis semula ayat-ayat  al-Quran dalam satu mūshaf. Peristiwa pembukuan al-Quran ini adalah bagi menjaga kemuliaan al-Quran itu sendiri dari hilang di samping dapat menjaga kedaulatan agama Islam.

2.      al-Masalih al-Mursalah turut digunakan dalam penambahan hukuman terhadap peminum arak. Dalam hadis Rasulullah s.a.w ada disebut berkenaan hukuman terhadap peminum arak. Contohnya :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka 
   ( Riwayat Abu Daud)


أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali
 (Riwayat Muslim)


Hadis pertama menerangkan hukuman minum arak iaitu disebat manakala hadis kedua pula menerangkan mengenai jumlah sebatan yang dikenakan ke atas peminum arak iaitu sebanyak 40 kali sebatan. Walau bagaimanapun, semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah menggandakan hukuman terhadap peminum arak kepada 80 kali sebatan. Ini berdasarkan konsep maslahah bagi menjaga akal. Ini kerana, apa seseorang itu meminum arak, ia akan kehilangan kewarasan akal.

3.      Pendapat Ibn Abi Laila yang membolehkan kanak-kanak menjadi saksi dalam kes yang melibatkan kecederaan yang terjadi antara mereka di tempat mereka bermain seperti padang permainan dan lain-lain. Kanak-kanak dibolehkan menjadi saksi pada masa ini kerana mereka biasa ke tempat ini dan jarang bercampur dengan orang yang layak menjadi saksi. Maka, dengan menggunakan al-Masalih al-Mursalah ini, iaitu bagi menjaga kemaslahatan terhadap nyawa, kanak-kanak diberikan kelayakan untuk menjadi saksi dalam masalah ini agar ia selaras dengan maqāsid shari’ah bagi memenuhi jaminan orang ramai tidak mengira peringkat umur. Walaupun pada asalnya pembawaan saksi hanyalah terhad terhadap mereka yang telah mencapai umur baligh dan berakal, namun, bagi mengelakkan kesalahan dan kecederaan yang dilakukan oleh kanak-kanak terbabit dilepaskan begitu sahaja, penyaksian kanak-kanak perlu diambil kira. Ini perlu agar perbicaraan dapat dilaksanakan dan hukuman yang setimpal dapat diambil. Tindakan menerima penyaksian ini bertepatan dengan tujuan menjaga kemaslahatan jiwa, di samping dapat mengelakkan individu yang bersalah mengulangi kesalahan yang dilakukannya kerana merasakan tidak akan dikenakan tindakan.

4.      Pengumpulan hadis dan ilmu yang berkaitan dengan hadis dibukukan. Menurut Ibn ‘Asākir apabila dilihat pada akal, pengumpulan ini seolah-olah merosakkan adab sebagai orang Islam kerana melakukan perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi. Namun tujuan pengumpulan hadis ini sebenarnya adalah untuk mengelakkan hadis-hadis yang amat berguna ini hilang begitu sahaja. Oleh itu, mereka bertekad untuk mengumpulkannya agar ia dapat dijadikan bukti ataupun panduan dalam mengistinbat sesuatu hukum. Maka, mereka mula membukukan hadis Nabi ini dengan menyusun ilmu-ilmu berkaitan dengan hadis ini mengikut bab bagi memudahkan orang ramai mempelajarinya dan dapat juga mengelakkan manusia daripada mengambil hadis yang tidak benar. Pengumpulan hadis ini sama seperti pengumpulan al-Quran yang pada asasnya adalah untuk kemaslahatan agama agar sumber perundangan ini tidak hilang begitu sahaja dan ia juga memudahkan manusia untuk mengistinbat hukum berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Namun begitu, pengumpulan hadis ini pada zahirnya dilihat bercangah dengan sabda baginda.

لا تكتبوا عني ومن كتب عني القرأن فليمحه

Maksudnya: Jangan kamu tulis sesuatu yg telah kamu terima dariku selain Al-Quran. Barang siapa menulis sesuatu dariku selain Al-Quran hendaklah ia memadamnya.

Berdasarkan hadis di atas, Baginda Rasulullah s.a.w melarang penulisan hadis apatah lagi untuk mengumpulkannya. Namun begitu, ulama menyatakan bahawa, larangan penulisan hadis ini hanyalah ketika era permulaan Islam. Pada ketika itu, iman umat Islam masih lemah dan dikhuatiri akan tertukar dengan ayat-ayat al-Quran. Namun begitu, selepas berlalunya zaman Sahabat, para tabiin melihat keperluan untuk mengumpulkan hadis ini dalam sebuah kitab. Di mana, ia bagi menjaga agama daripada diporakperandakan oleh golongan-golongan yang suka mencipta hadis palsu dan mereka yang tidak mempercayai hadis.

5.      Antara fatwa kontemporari pada hari ini yang menggunakan al-Masalih al-Mursalah adalah berkenaan dengan hukum merokok. Dalam bab merokok, tiada sebarang nas yang membolehkan atau melarang perbuatan itu. Oleh yang demikian, bagi mereka yang mengharuskan menghisap rokok, telah menggunakan dalil bahawa asal sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang menyatakan sebaliknya. Namun begitu, melihat kepada kemudharatan yang dibawa oleh rokok itu, ramai ulama yang memfatwakan haram menghisap rokok. Ini kerana, merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan diri sendiri, malah turut memudaratkan kesihatan mereka yang berada disekeliling perokok tersebut disamping turut melakukan pembaziran wang dengan menyalurkannya ke jalan yang sia-sia. Dalam kes ini, jelas penggunaan al-Masalih al-Mursalah sebagai dalil pengeluaran hukum haram merokok dengan matlamat untuk menjaga nyawa, diri dan harta.

Kesimpulan

Kesimpulannya al-Masalih al-Mursalah merupakan sumber hukum yang tidak disepakati dan berperanan dalam menetapkan hukum-hukum yang tidak ada peruntukan nas al-Quran dan Hadis. Hal ini kerana wujudnya permasalahan baru yang memerlukan kepada penetapan hukum. al-Masalih al-Mursalah ini juga tidak ada nas yang menolak dan nas yang menerima. Melaluinya hukum dapat ditetapkan mengikut piawaian semasa dalam konteks masyarakat hari ini. Di samping itu, kesepakatan jumhur dalam menerima kaedah ini sebagai salah satu dalil untuk menetapkan hukum berkenaan maslahah tertentu kecuali perkara ibadat. Hal ini kerana perkara ibadat telah diperuntukkan nas baginya. Tambahan lagi, dalil ini bertujuan menjaga lima perkara utama dalam agama iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan maruah. Hal ini kerana dengan terjaga lima perkara utama tersebut manusia akan hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Oleh itu, al-Masalih al-Mursalah merupakan salah satu dalil sumber hukum tidak disepakati yang sesuai diamalkan pada masa kini supaya hukum-hukum yang ditetapkan selari dengan maslahah dan suasana masyarakat Islam pada hari ini serta tidak bertentangan dengan hukum syarak.



















Rujukan

Al-Quran

Abd Karim Zaydan. 2009. al-Wajiz fi Usul Fiqh. Beirut: Resalah Publisher

Al-Buti Muhammad Said Ramadhan. 2000. Dawabit al-Maslahah fi shari’ah al- Islamiyyah. Beirut: Resalah Publisher.

Badran Abu Ainin Badran. 1965. Usul al-Fiqh. Mesir,: Dar al- Maarif.
Dr. Wahbah Zuhailli. 1998. Usul al-Fiqh al-Islami. Jilid 2. Damsyik: Dar al-Fikr.

Dr. Wahbah Zuhaili. 2000. Usul al-Taqrib Baima al-Mazahib al-Islamiyyah. Damsyik: Dar al-Maktabi.
H.Said Agil Husin al-Munawar. 1998. Konsep al-Maslahah Sebagai Salah Satu Sumber Perundangan Islam Dalam Jurnal Islamiyyat. Jilid 18&19. Bangi: Ukm.
Ibn Manzur. t.t. Lisan al-Arab. Beirut : Dar al-Fikr.

Mohd Amin al-Jarumi. 2005.  Pembuktian Dalam Syariat Islam. Shah Alam, Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti teknologi Mara.
Mohd. Saleh Ahmad. 1999.  Pengantar Syariat Islam. Kuala Lumpur:  Pustaka Abdul Majid.
Muhammad Ahmad Burkab. 2002. Al-Masalih al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Dubai: Dar al-Buhuth.

Prof. Madya Dr. Abdullah Ishak. 1997. Sumber Perundangan Islam dan Tanggungjawab Muslim. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Ramadhan Abdul Wadud. 1987. Al-Ta’lil bi al-Maslahah ‘Inda al-Usuliyyin. Kaherah: Dar al-Huda Li al-Taba’ah.

Zakiyy al-Din Sha’ban, Usul al-Fiqh Islami, Beirut, Lubnan, Matobi’ Dar al-Kutub.
Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Muhammad Ahmad Burkab. 1994. Al-Masalih al-Mursalah wa Atharuha fi Murunah al-Fiqh Islami. Beirut, Lubnan: Kuliyyah al-Imam al-Auzai’ li Dirasa tal-Islamiyyah.
 

Terima kasih kepada pemilik penulisan ini, saya upload sebagai rujukan..maaf dah lupa ambil dari mana..





Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)