Mega-mega senja kelihatan kemerah-merahan di kaki langit, malam mula melabuhkan tirainya. Kelihatan wajah dunia sedikit kelam, namun masih terpalit warna-warna ceria menghiasi kanvas alam. Mentari perlahan-lahan membenamkan dirinya pada hamparan lautan. Sinarannya yang masih berbaki tampak indah sekali. Dihiasi suara Ombak mendesirkan zikir, burung-burung berterbangan pulang sambil berzikir, seluruh isi alam punya cara tersendiri membisikkan zikir pada sang Pencipta. Lantas hatiku juga turut berzikir. Subhanallah! indah nian panorama alam ini, sejenak aku terpaku pada kehalusan ciptaan Illahi. Kesempatan ini kuambil untuk bertafakur dan bersyukur di atas nikmat tuhanku.
"Sesungguhnya pada pergantian malam dan siang, dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, pasti terdapat tanda-tanda (kebesaranNya) bagi orang-orang yang bertakwa”. Yunus: 6
* * * * * *
Selesai solat maghrib, ahli bait Raudhah berkumpul bagi pengisian kuliah maghrib. Malam ini giliran uhkti Aini menyampaikan kuliah. Sekilas pandanganku tertumpu pada buku berwarna biru digenggamannya. ’ Jalan Menuju Syurga’ tertera di kulit buku tersebut. Menarik. Buku karangan Al-Habib Alwy Al-Haddad, merupakan antara karya yang menjadi koleksi peribadiku. Ulasannya ringkas dan mudah dihayati. Syukur menjadi tajuk pilihan. Ukhti Aini mengulas penuh penghayatan. Bait-bait kalimah disusun serapi mungkin, moga apa yang disampaikan terkesan dijiwa sahabiah arRaudhah.
"Erti syukur adalah pengakuan seorang hamba terhadap segala nikmat pemberian Tuhannya sama ada nikmat zahir atau batin, sebagai tanda hormat dan berterima kasih atas segala kurniaanNya. Sebagai hambaNya yang taat, mesti sentiasa ada rasa bersyukur. Tidak kira di mana jua kita berada, kita dianjurkan untuk menyanjungiNya dengan kalimah tauhid, meyemarakkan jiwa dengan kalimah syahadah. Menyirami hati yang tandus dengan siraman zikrullah. Raikan cinta kepada Rabb bersama kalimah hamdalah serta bertasbih dan bertahmid. Puncak syukur pula apabila seorang hamba menempatkan segala nikmat sesuai pada tempat yang dicintaiNya, yakni dengan memanfaatkan nikmat untuk taat beribadah, akan terasa betapa manisnya perjalanan ibadah tadi. Seandainya Allah uji kita dengan sakit mata misalnya, sudah tentu terasa perit dan berat pula sewaktu sujud. Waktu itu terasa betapa berharganya masa sihat. Boleh berlama-lama sujud pada Allah, kerana itulah saat hampirnya kita kepada Allah. Ibadah diwaktu sakit mungkin tidak dapat dihayati sepenuhnya lantaran terpaksa menanggung kesakitan pula. Jangan apabila musibah melanda, kita berpaling daripada Allah. Menafikan keadilan Allah serta tidak mahu berlapang dada dengan takdir Allah. Walau apa jua ujian yang Allah sandarkan pada kita, harus juga bersyukur. Kerana dengan ujian jugalah Allah mentarbiyyah Hambanya. Allah membuka seluas-luasnya jalan ke syurga bagi hamba yang sentiasa bersyukur dan berbaik sangka dengan takdir Allah.”
Terasa larut dengan penyampaian penuh hikmah Ukhti Aini. Kalbuku kembali disirami nur hikmah. Medan ilmu santai seperti ini ku harapkan akan berterusan. Walau sesibuk manapun kita bergelar pelajar. Santapan rohani perlu ada. Jika jasmani perlukan makan dan minum untuk meneruskan kehidupan. Jiwa kita juga begitu, perlu disuap dengan menu rohani. Barulah jiwa akan sentiasa hidup untuk menghadapi cabaran yang mendatang dan sentiasa kembali kepada Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Sejurus selepas kuliah maghrib berakhir, azan isya’ bersahut-sahutan dari masjid-masjid berdekatan. Saf diluruskan. Ukhti Aini mengimami solat isya’. Suria, saida, Ukhti nurul,jannah, hanan dan aku kembali bertaut bahu bersiap siaga untuk solat. Allahuakbar. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata hanya untuk Allah seru sekalian alam...
Followers
Isnin, 10 September 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam