“Aku ini orang Arab Badwi yang kasar,” kata seorang lelaki, memperkenalkan dirinya kepada Nabi s.a.w. Melihatkan wajahnya yang murung, Nabi tahu dia sedang hadapi masalah.
Nabi tenang saja, memberi peluang lelaki itu memberitahu masalahnya.
Badwi itu berkata lagi, “Aku biasa melakukan hal-hal yang tidak dibenarkan oleh agama tuan. Payah sungguh hendak meninggalkannya. Bolehkah orang macam aku ni memeluk Islam?”
Nabi s.a.w. tidak terus menjawab. Sebaliknya baginda bertanya dulu, “Mahukah engkau berjanji denganku tidak akan bercakap bohong?”
“Baiklah. Aku berjanji,” kata lelaki Arab Badwi itu.
“Kalau begitu, kau boleh masuk agama Islam,” balas Nabi semula.
Lalu lelaki Badwi itu pun diajarkan ucapan dua kalimah syahadah.
Kemudian dia pulang dengan wajah berseri-seri. Pada sangkaannya, dia masih boleh melakukan semua tabiat buruk yang dilakukannya dahulu, walaupun sesudah menjadi seorang muslim.
Menjelang tengah malam, dia keluar dari rumahnya dengan tujuan hendak pergi mencuri. Tetapi baru beberapa langkah tiba-tiba dia terfikir, esok kalau Nabi tanya ke mana aku pergi malam ini, apa aku nak jawab. Aku sudah berjanji tidak mahu bercakap dusta.
Tidak jadi dia meneruskan rancangan jahatnya itu. Pada hari yang lain, timbul lagi keinginannya untuk berbuat jahat. Tetapi cepat pula dia teringatkan janjinya dengan Nabi Muhammad s.a.w. Tak jadi dia hendak buat jahat.
Lama-kelamaan, dari sehari ke sehari lelaki Badwi itu sudah boleh meninggalkan semua tabiat buruknya dahulu.
Dia menjadi seorang muslim yang baik.
p/s: Betapa berhikmahnya cara nabi berdakwah, jika kita menghayati dan mempraktikkan kebijaksanaan Rasulullah ini, insya Allah akan dipermudahkan pula jalan dakwah kita..jangan kita cicirkan akal dan kebijaksanaan yang Allah kurniakan kepada kita..gunakan ia pada jalan kebaikan, semoga kelak Allah akan mengganjari kebaikan pada diri dan keluarga kita pula...insya Allah
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)