My Home

Followers

Jumaat, 11 April 2014

HAK PUSAKA ORANG YANG HILANG, MATI LEMAS DAN SEUMPAMANYA



PENGENALAN

Harta pusaka mempunyai definisi dan maksud yang tersendiri mengikut perspektif Islam. Ia amat penting untuk membezakan harta pusaka dengan harta-harta yang lain agar jelas dapat dibezakan. Perbincangan ini juga menjelaskan definisi dan konsep bagi hak orang yang mati lemas atau seumpamanya seperti tertimbus, terbakar dan juga hak bagi orang yang hilang. Disamping itu, terdapat beberapa kajian kes-kes sebenar yang dikemukakan sebagai contoh untuk mengetahui bagaimana hak pusaka bagi orang yang hilang dan orang yang mati lemas atau seumpamanya dibahagikan.

DEFINISI HARTA PUSAKA

Definisi Harta Pusaka Menurut Islam

Pusaka atau al-mirāth (المراث) dari segi bahasa pada makna al-masdar (المصدر) bermaksud al-baqā' (البقاء) iaitu kekal dan perpindahan suatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Al-mirāth (المراث) merupakan ism mafcul (إسم المفعول) yang bermaksud asal atau baki. Dari segi istilah pula pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta benda dan hak-hak yang akan diwarisi oleh ahli-ahli waris disebabkan kematian pewaris. Ada pendapat yang lain menyatakan bahawa pusaka atau al-mirāth pada istilah ialah perpindahan pemilikan daripada si mati kepada para warisnya yang masih hidup sama ada yang ditinggalkan itu berbentuk harta yang boleh dipindahkan, harta yang tidak boleh dipindahkan, ataupun sesuatu hak yang ditetapkan oleh syarak (seperti hak khiyār dalam jual beli dan hak qisās).

Menurut istilah ilmu farāid, harta pusaka juga dikenali sebagai al-tārikah. Dari segi bahasa, al-tārikah bermaksud segala apa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh si mati. Manakala definisi al-tārikah dari segi istilah syarak pula berlaku perselisihan dalam menentukan maknanya. Perselisihan tersebut dapat dilihat seperti berikut iaitu menurut jumhur fuqaha' (iaitu Al-Mālikiyyah, As-Syāficiyyah, dan Al-Hanābilah) mendefinisikan al-tārikah ialah segala sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati termasuklah harta benda atau hak-hak yang sunyi daripada kaitan hak-hak si mati. Kesemuanya ini akan diwarisi sama ada oleh waris atau bukan waris.

Mengikut mazhab hanafi pula telah mendefinisikan al-tārikah sebagai segala harta dan hak-hak kebendaan yang menjadi milik si mati. Harta itu termasuklah harta alih dan harta tak alih serta hutang-hutang yang belum dijelaskan oleh orang lain kepadanya. Namun terdapat sesetengah pendapat mengatakan bahawa al-tārikah ialah segala harta yang ditinggalkan oleh si mati setelah diselesaikan hutang dan wasiatnya. Oleh itu, al-tārikah menurut pendapat jumhur ulama ialah harta peninggalan si mati yang telah bersih dari hutang dan wasiat serta ia akan diwarisi oleh waris-warisnya yang masih hidup.

Menurut Imam Ar-Ramli iaitu ulama mazhab Syafie di dalam kitab penulisannya Nihayāt Al-Muhtaj telah mendefinisikan harta pusaka sebagai "apa-apa yang ditinggalkan (oleh si mati) untuk orang kemudian daripadanya sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan zina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil daripada pembunuhnya kerana diyat termasuk di dalam miliknya. Begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasangnya ketika di masa hidupnya".

Pensyariatan Pusaka Di Dalam Islam

Pensyariatan pusaka di dalam undang-undang pusaka Islam adalah terkandung di dalam Al-Quran. Ia dapat dilihat di dalam surah an-Nisa' ayat 11, 12, 176 yang dikenali sebagai ayat al-Mawārith. Ketiga-tiga ayat tersebut telah menjelaskan secara terperinci (yang juga dikenali sebagai ayat mufassal) tentang pusaka di dalam Islam termasuklah ahli waris, bahagian-bahagian mereka, dan sebab perwarisan. Contoh firman Allah di dalam ayat 11, 12, 176 surah an-Nisa' iaitu:
 

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.". (An-Nisaa 11)


"Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). Allah menetapkan wasiat itu (sebagai ketetapan dari Allah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyantun". (An-Nisaa 12)



"Mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalālah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalālah itu, Iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (An-Nisaa 176)

Menurut Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid telah memberikan pandangannya bahawa hukum asal dalam sistem faraid adalah seperti apa yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa' ayat 12. Menurut pandangan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Harussani bin Zakaria juga menegaskan bahawa pembahagian harta pusaka berdasarkan faraid adalah suatu keutamaan yang perlu dipatuhi tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah qat’ei. Malahan pula menurut Noh bin Abdullah berdasarkan penulisannya di dalam majalah Dewan Masyarakat telah mengambil pandangan Sheikh Mahmud bin Ahmad dalam buku Economic of Islam menyatakan bahawa pembahagian harta pusaka yang ditetapkan Allah adalah adil yang mana dapat membantu ekonomi Islam.

Di samping itu, terdapat beberapa ayat lain yang menjelaskan tentang pensyariatan pusaka, tetapi tidak menyatakan secara terperinci dan hanya berbentuk umum (yang dikenali juga sebagai ayat mujmal). Antaranya ialah firman Allah yang berbunyi:



 

"Bagi orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan (ditentukan oleh Allah)". (An-Nisaa 7)

Selain daripada nas-nas Al-Quran di atas, terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang menerangkan tentang waris-waris dan bahagian masing-masing. Antaranya hadis daripada Abdullah Ibnu Mascūd, Rasulullah S.A.W bersabda:

للإبنة النصف ولإبنة الإبن السدس وما بقي فللأخت

Maksudnya:

"Bagi seseorang anak perempuan 1/2, seseorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) 1/6 dan baki (casabah) itu untuk seorang saudara perempuan".

Hadis yang diriwayatkan daripada cAbdullah Ibnu Abbas, sabda Rasulullah S.A.W:

ألحقوا الفرائض بأهلهما فما بقي فهو لأولى رجل ذكر

Maksudnya:

"Berikanlah harta pusaka kepada orang-orang yang berhak, sesudah itu bakinya adalah untuk waris lelaki yang lebih utama".

Di samping itu juga, ijma’ ulama saling bersepakat mengenai pensyariatan pusaka. Jika terdapat masalah pembahagian pusaka yang tidak jelas di dalam Al-Qur'an dan As-sunnah, maka ia akan dapat diselesaikan melalui ijma’ ulama dan ijtihad mereka. Contohnya seperti kedudukan saudara-saudara yang mewarisi bersama datuk. Hal ini tidak jelas di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah. Oleh itu, kebanyakan sahabat-sahabat dan imam-imam madhhab berpendapat bahawa saudara-saudara itu mendapat harta pusaka secara muqasamah (bersama-sama mewarisi) dengan datuk. Ini adalah mengikut pendapat Zayd bin Thābit, Umar Al-Khattāb, Alī bin Abī Talib, dan Ibnu Mas’ud. Pendapat tersebut diikuti oleh Imam Malik, Al-Auzaei, Abū Yūsuf, As-Syafie, dan Ahmad bin Hanbal.

Terdapat juga ulama yang sepakat mengatakan bahawa anak lelaki kepada anak lelaki (iaitu cucu lelaki) adalah seperti anak lelaki tatkala ketiadaan ayahnya (anak lelaki) dan anak perempuan kepada anak lelaki (iaitu cucu perempuan) seperti anak perempuan ketika ketiadaannya.

HAK PUSAKA BAGI ORANG YANG MATI LEMAS ATAU SEUMPAMANYA.

Jika dua orang atau lebih mati dalam suatu insiden seperti lemas, tertimbus, terbakar, perang atau sebagainya tanpa diketahui siapa yang mati terlebih dahulu, mereka tidak boleh saling mewarisi. Mereka akan dianggap sebagai orang-orang  asing yang tiada langsung hubungan kekeluargaan. Pusaka mereka hanya diwarisi oleh pewaris lain kerana antara syarat mewarisi harta ialah pewaris dipastikan masih hidup ketika kematian orang yang diwarisi. Namun syarat ini tidak dapat dipenuhi oleh orang-orang yang mati dalam nahas yang sama.

Jika dua orang adik beradik lelaki seibu sebapa mati lemas atau tertimbus tanpa dikatahui siapa yag mati terlebih dahulu, salah seorang meninggalkan isteri, seorang anak perempuan dan adik beradik lelaki bapa, sementara seorang lagi meninggalkan dua orang nak perempuan dan seorang bapa saudara sebelah bapa iaitu orang yang sama dengan kes di atas.

Mereka berdua tidak boleh menerima pusaka  antara mereka. Dalam keluarga pertama pusaka akan dibahagikan kepada pewarisnya. Isteri  menerima 1/8, anak perempuannya 1/2 dan baki untuk adik beradik lelaki bapa.

Bagi keluarga kedua pula pusaka akan dibahagikan kepada pewarisnya. Dua orang anak perempuan menerima 2/3 dan baki untuk adik beradik lelaki bapa.

Hukum ini dilaksanakan sekiranya tidak diketahui siapa yang mati terlebih dahulu atau diketahui mereka mati serentak.

Jika diketahui siapa yang mati terlebih dahulu tetapi kemudiannya terlupa, harta mereka perlu dibekukan terlebih dahulu sehinggalah dapat diingat semula siapa yang mati terlebih dahulu.

Langkah ini perlu kerana ia masih boleh diingat semula. Ataupun harta tersebut dibekukan sehingga tercapai persetujuan di antara pewaris.

Ar-Rahabi berkata:

Jika sekumpulan manusia mati tertimbus, atau lemas, atau sesuatu insiden yang membabitkan ramai orang seperti  kebakaran. Tanpa diketahui siapa yang dahulu maka tiada waris mewarisi diantara mereka. Mereka dianggap sebagai orang asing. Demikian menurut pandangan yang betul dan tepat.

KAJIAN KES: ORANG MATI LEMAS

Kes Pertama

Petikan Akhbar Utusan 17 September 2012

Pegawai PTD mati lemas ketika jalani latihan

PEKAN - Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini hari ini. Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan. Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.

"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Yahya berkata Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 Sept ini. Difahamkan mangsa sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan). Arwah meninggalkan seorang balu dan sepasang anak kembar lelaki, Al Malik Fahreen dan Al Mikhail Fareeq

"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.

Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian. Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.

"Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudah berbuih," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform. Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang. Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.

"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya. – Bernama/17 Sep 2012

Rumusan Kes

Si mati, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35 tahun disahkan meninggal dunia akibat mati lemas ketika menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang. Simati merupakan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, Pekan, Pahang. Simati meninggalkan seorang Isteri dan dua orang anak lelaki.

Pembahagian harta pusaka si mati:

Dalam kes ini, si mati meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak lelaki. Isteri dan dua orang anak lelaki tersebut merupakan ahli waris dan berhak menerima bahagian harta pusaka si mati.

Bahagian daripada setiap seorang mereka adalah seperti berikut:

Isteri menerima 1/8 harta pusaka si mati. Manakala dua orang anak lelakinya menerima asobah atau 7/8.

Maka keseluruhan harta itu dibahagikan kepada 8 bahagian. 1/8 bahagian untuk isteri si mati. 7/8 untuk kedua-dua anak lelaki si mati.



Cara pembahagian:

Katakan seluruh harta si mati dijual dengan harga RM18,000,000. Jumlah RM18,000,000 itu dibahagikan dengan 8. Maka, setiap bahagian bernilai RM2,250,000.



Kes Kedua

Petikan Akhbar Utusan 5 Ogos 2013

2 Anak Pengasas Vida Beauty Mati Kebakaran

IPOH 4 Ogos - Seorang pekerja syarikat produk kecantikan Vida Beauty yang terselamat dengan nekad terjun dari balkoni mendakwa melihat api marak di pekarangan luar sebelum rumah itu terbakar sehingga meragut tiga nyawa di Meru Hill, Bandar Meru Raya di sini malam tadi. Khairul Anuar Abu Bakar, 32, pereka dan jurugambar syarikat tersebut turut mendakwa, ada mendengar bunyi satu letupan yang dipercayai dari sebuah kereta mewah jenis Bentley yang diletakkan di pekarangan rumah ketika turun untuk memeriksa. Beliau bagaimanapun naik semula ke tingkat atas untuk memaklumkan kepada seorang lagi pekerja syarikat itu, Mohd. Nor Syamil Zaidi dan dua anak Datuk Dr. Hasmiza Othman (atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida) iaitu Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan adiknya, Edrie Zikri, 10.

"Namun, apabila saya naik, tiba-tiba sahaja suis utama meletup dan 'black out' manakala api marak. Dalam keadaan gelap, saya memimpin tangan mereka (Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri) diikuti Mohd. Nor Syamil turun, namun asap terlalu tebal, maka kami terpaksa naik semula," katanya di sini hari ini.

Khairul Anuar memberitahu, dalam keadaan panik, beliau mengambil keputusan untuk terjun melalui balkoni di belakang rumah, namun, Mohd. Nor Syamil yang berada di belakangnya, tiba-tiba berundur ke belakang lalu berlari masuk ke dalam tandas diikuti Eddie Zuhdi dan Edrie Zikri.

"Mereka (anak-anak Dr. Vida) meronta-ronta untuk dilepaskan daripada pegangan tangan saya. Saya tiada pilihan lain selain melompat daripada balkoni, namun begitu, saya bernasib baik kerana terjatuh di atas sebuah kanopi di belakang rumah.

"Seorang lagi pekerja iaitu Ropie Ismail, 31, juga berjaya menyelamatkan diri dengan terjun di belakang rumah, namun, dia patah kaki akibat terjatuh di atas tanah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, tiga termasuk dua anak kepada pengasas produk kecantikan Vida Beauty meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat berkenaan di sini yang turut memusnahkan sebuah kereta mewah jenis Bentley, sebuah Perodua Kancil dan beberapa buah motosikal.

Dr. Vida yang sudah berpisah dengan suaminya mempunyai empat orang anak iaitu Eddie Zuhdi, Edrie Zikri, Edlin Zamilin, 8, dan Eric Zaquan, 6. Ketika kejadian beliau berada di Pulau Pinang dan bergegas ke Ipoh sebaik sahaja mendapat tahu berita itu. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran kemungkinan disebabkan oleh berlakunya litar pintas.

Beliau bagaimanapun berkata, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut.

Rumusan Kes

Dua anak Datuk Dr. Hasmiza Othman (atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida) iaitu Eddie Zuhdi Mohd. Amin, 11, dan adiknya, Edrie Zikri, 10 telah dijumpai mati dalam kebakaran di salah sebuah rumah mereka yang dijadikan asrama pekerja di Meru Hills, Taman Meru. Dr. Vida yang sudah berpisah dengan suaminya mempunyai empat orang anak iaitu Eddie Zuhdi, Edrie Zikri, Edlin Zamilin, 8, dan Eric Zaquan, 6. Kebakaran itu berpunca daripada litar pintas. Dalam kes ini, polis telah menklafikasikan sebagai mati mengejut dan tidak dapat dipastikan siapa yang mati terlebih dahulu.

Pembahagian Harta Pusaka Simati

Mereka berdua tidak boleh menerima pusaka  antara mereka dan harta pusaka akan dibahagikan kepada pewaris yang lain. Kedua-dua simati meninggalkan ibu, seorang adik beradik lelaki dan seorang adik beradik perempuan. Ibu menerima 1/6 kerana simati mempunyai 2 adik beradik seibu sebapa. Adik beradik lelaki dan adik beradik perempuan menerima asobah bilghair, pembahagian seperti jadual di bawah.


HAK PUSAKA BAGI ORANG YANG HILANG.

Definisi Hilang

Dari segi  bahasa arab hilang (maqfud) bermaksud tiada. Dari segi istilah feqah pula ialah Orang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui mengenainya, tidak diketahui samada masih hidup ataupun telah mati.

Hukum-Hakam Berkenaan Orang Yang Hilang

Orang yang hilang mempunyai beberapa hukum yang berbeza berdasarkan pihak yang mempunyai hubungan dengannya:

1.      Isteri

Berkenaan Isteri, Isterinya tidak dibenarkan bernikah dengan orang lain shingga disahkan mati, kerana pada asasnya dia masih dianggap hidup dan asas ini tidak berubah kecuali dengan sesuatu yang meyakinkan. Menurut Imam Syafie, yang diriwayatkan daripada Ali katanya: Isteri yang kehilangan suami sebenarnya diuji. Dia hendaklah bersabar dan janganlah bernikah lain sehingga datang berita kematiannya.



2.      Hak milik mutlaknya

Berkenaan hak miliknya sebelum dia didapati hilang ataupun harta yang diperolehi dalam tempoh kehilangannya. Hukumnya hartanya tidak boleh dibahagi-bahagikan melainkan setelah disahkan kematiannya atau berlangsung satu tempoh sememangnya diketahui atau pada kebiasaannya orang yang hilang ini tidak akan hidup melebihi tempoh tersebut. Tempoh tidak ditentukan mengikut jarak masa tertentu tetapi mengikut ijtihad hakim yang akan mengesahkan kematiannya. Sebelum pengesahan hakim tersebut adalah tidak sah sebarang berlaku ke atas harta tersebut kerana dianggap masih hidup. Hartanya juga tidak boleh diwarisi melainkan dengan meyakinkan. Setelah hakim mengesahkan kematiannya hartanya diserahkan kepada orang yang layak menerimanya ketika kematiannya dibuktikan atau ketika kematiannya disahkan oleh hakim. Kaum kerabatnya yang meninggal dunia sebelum pengesahan ini walaupun sesaat tidak boleh mewarisi apa-apa kerana ada kemungkinan yang hilang benar-benar mati ketika itu.

3.      Hak mewarisi harta



Berkenaan haknya mewarisi harta sanak saudaranya yang mati ketika dia hilang ialah seperti berikut:

Hukum-hakam orang yang hilang dalam mewarisi pusaka:

Orang yang hilang dianggap masih hidup selagi tiada bukti dan hakim tidak mengesahkan kematiannya berdasarkan kepada asas ini dia berhak mewarisi harta sehingga wujud bukti sebaliknya. Banyak persamaan diantara hukum orang hilang dengan hukum khunsa musykil.



1.      Pewaris tetap berhak mewarisi harta samada orang yang hilang itu dikira masih hidup atau sudah mati akan diberi haknya sepenuhnya tanpa mengira kedudukan orang yang hilang.

2.      Jika ada pewaris yang tidak akan menerima pusaka dalam salah satu andaian, pewaris ini belum boleh mewarisi pusaka kerana ada kemungkinan yang hilang masih hidup.

3.      Pewaris yang menerima bahagian yang berbeza bergantung kepada hudup atau mati orang yang hilang akan diberikan bahagian terkecil sebagai langkah waspada.

Ar-Rahabi menyebut dalam nazamnya:

Hukumlah orang yang hilang seumpama khunsa samada lelaki mahupun perempuan.







KONSEP AL MAFQUD



Menyentuh persoalan al-Mafqud (  الـمفقود ) atau orang yang hilang, di dalam kitab Al-Fiqhul Manhaji, karangan Dr. Mustaffa al-Khan, Dr. Mustafa al-Bugha dan Ali al-Syarbaji, jilid kedua, cetakan keenam 1426H/2005, Percetakan Darul Qalam, Damsyek, Syria, pada muka surat 331, menyebut :

الاصطلاح : من غاب عن وطنه، وطالت غيبه، وانقطع خبره، وجهل حاله، فلا يُعرف أحيُّ هو، أو ميِّت ؟



Yang bererti :

`Dari segi istilahnya al-Mafqud (الـمفقود  ) bererti orang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak ada orang yang mengetahui mengenainya dan tidak diketahui juga sama dia masih hidup atau pun telah meninggal dunia.’



Di dalam kitab Al-Fiqhul Islaamiy wa Adillatuhu, karangan Dr. Wahbah al-Zuhailiy, juzuk yang kelima, cetakan kedua, tahun 1405/1985, percetakan Darul Fikri, Damsyek, Syria, pada muka surat 784, pula memberi makna al-Mafqud ( الـمفقود  ) sebagai :

هو الشخص الذى غاب عن بلده بحيث لا يعرف اثر، ومضى على فقده زمان بحيث لا  يعرف أنه حي أو ميت.



Bermaksud :

` Al-Mafqud ( الـمفقود ) ialah seseorang yang hilang daripada tempat asalnya dalam tempoh yang lama hingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui mengenainya dan tidak diketahui juga sama dia masih hidup atau pun telah meninggal dunia.’



Mengikut peruntukan Hukum Syara’ sebagaimana yang saya nyatakan di atas, dan mengikut peruntukan undang-undang sebagai mana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri, dan peruntukan subseksyen 11(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, yang antara lain memperuntukkan kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dalam pembahagian atau pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat dan penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak.



 Mengenai fakta persoalan di dalam Permohonan ini, di dalam kitab Al-Fiqhul Manhaji, karangan Dr. Mustaffa al-Khan, Dr. Mustafa al-Bugha dan Ali al-Syarbaji, jilid kedua, cetakan keenam 1426H/2005, Percetakan Darul Qalam, Damsyek, Syria, pada muka surat 331 hingga muka surat 332, menyebut;



فالحكم أنه لا يُقسم شيء من مالـه حتى تقوم بينه بـموته، أو تمضي مدة، يُعلَم أو يغلب على الظن أن المفقود لا يعيش فوقها، وهي مدة ليست مقدّرة بأمد معين، وعندها بـجتهد القاضى، ويـحكم بـموته اجتهادًا.



أما قبل ذلك، فلا يصحّ التصرّف بشيء من ماله، لأن الأصل بقاء الحياة، فلا يورث إلا بيقين.

فإذا حكم القاضي بـموته، فأنه يُعطي ماله إلى مَن يررثه عند إقامة البيِّنة بـموته، أو عند الحكم بـموته، فمن مات من أقربائه قبل ذلك، ولو بلحظة لم يرث منه شيئاً، لجواز موته في تلك اللحظة.



Yang bererti;

`Harta al-Mafqud (الـمفقود  ), orang yang hilang, tidak boleh dibahagi-bahagikan, melainkan setelah disahkan kematiannya atau berlangsung suatu tempoh sememangnya diketahui atau pada kebiasaannya orang yang hilang tidak akan hidup melebihi tempoh tersebut. Tempoh ini tidak ditentukan mengikut jarak masa tertentu tetapi mengikut ijtihad hakim yang akan mengesahkan kematiannya.

Sebelum pengesahan hakim sedemikian, sebarang pengurusan ke atas hartanya adalah tidak sah dilakukan kerana asasnya dia masih dianggap hidup. Hartanya itu juga tidak boleh diwarisi melainkan adanya asas yang meyakinkan.

Setelah Hakim membuat sabitan bahawa al-mafqud  telah meninggal dunia, maka hendaklah harta al-mafqud itu dibahagikan kepada orang-orang yang berhak ke atas hartanya mengikut bahagian masing-masing pada ketika Hakim mensabitkan al-mafqud itu meninggal dunia, atau pada masa sabitan dihukumkan al-mafqud itu meninggal dunia. Mana-mana ahli waris al-mafqud yang telah meninggal dunia, sebelum tarikh  Hakim membuat sabitan bahawa al-mafqud  telah meninggal dunia atau sebelum tarikh Hakim membuat sabitan al-mafqud itu dihukumkan telah meninggal dunia, walau pun sekadar satu saat, ahli waris berkenaan itu tidak layak mempusakai harta pusaka al-mafqud berkenaan itu, kerana ada ruang ketidak tentuan matinya al-mafqud  pada saat itu.’

Di dalam kitab Al-Fiqhul Islaamiy wa Adillatuhu, karangan Dr. Wahbah al-Zuhailiy, juzuk yang kelima, cetakan kedua, tahun 1405/1985, percetakan Darul Fikri, Damsyek, Syria, pada muka surat 785, pula menyebut;

متى يحكم بموت المفقود وما أثر ذلك ؟

إذا مضت مدة طويلة على الـمفقود  من وقت ولادتـه، بحيث لا يعيش مثله إلى تلك  المدة يفينًا أوغالبًا، يحكم بموته، وتقع الفرقة بينه وبين نسائه، ويقسم ما له بين ورثته الأحيأ ، ولا يرث هو من أحد.

Yang bererti;

`Persoalan mengenai bilakah orang yang hilang dihukumkan meninggal dunia, dan apakah kesannya ? Jika berlalu masa yang lama dari tarikh lahir seseorang yang hilang itu, sekadar-kadarnya tidak mungkin ada orang yang sebayanya boleh hidup lagi, secara yakin atau mengikut kebiasaan, maka orang yang hilang itu dikira sudah meninggal dunia. Dengan sabitan yang sedemikian maka orang yang hilang dan disabitkan mati itu hendaklah terpisah daripada isterinya, hartanya pula hendaklah dibahagikan antara ahli warisnya yang hidup, mana kala dia pula tidak berhak menerima pusaka daripada mana-mana orang.’

KAJIAN KES: ORANG HILANG

Kes Pertama

Petikan Akhbar Snar Harian 26 Disember 2013

Mangsa Hilang di Laut Belum Jumpa.

DUNGUN – Usaha pihak berkuasa untuk menjejaki Ghapar Abdul Manaf, 32, yang masih hilang ketika mandi-manda bersama ahli keluarga di Pantai Sura, petang kelmarin, sedikit sukar akibat ombak besar sehingga 1.5 meter serta arus terlalu deras. Komander Operasinya, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk menurunkan anggota skuba kerana bot penyelamat sukar digerakkan ke lokasi kejadian berikutan ombak terlalu besar.

Menurutnya yang juga Ketua Polis Daerah Dungun, lebih 30 anggota termasuk bomba, JPAM serta Rela membuat tinjauan di sepanjang pantai, berhampiran tempat mangsa dikhuatiri lemas.“Jika keadaan mengizinkan, anggota skuba akan melakukan gerakan mencari melalui kaedah selam di dasar laut. Namun setakat ini, risiko untuk melakukan tugas sedemikian amat tinggi berikutan keadaan ombak yang terlalu besar disusuli arus kuat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang kelmarin, mangsa yang tinggal di Masai Johor mandi-manda di tepi pantai bersama adik iparnya, Fairus Ibrahim, 24.Bagaimanapun, arus deras kemudiannya membawa Ghapar ke tengah laut sebelum hilang.Ketika kejadian, isteri mangsa, Amizah Mohd Zain, 25, berada di tepi pantai tidak jauh dari lokasi Ghapar dilaporkan lemas.

Usaha orang ramai yang berada di kawasan berdekatan untuk menyelamatkan mangsa, tidak dapat dilakukan kerana risiko ombak terlalu besar.Sebelum itu, mangsa difahamkan mengajak isteri dan empat adik-beradik iparnya untuk berkelah di pantai berkenaan.

Mangsa dikatakan baru sehari tiba di Dungun untuk menziarahi bapa mentuanya yang sakit dan dalam proses untuk mencari kerja di sini, memandangkan isterinya yang berasal dari Nibong Stesen Dungun, kini mereka mempunyai seorang anak perempuan selepas mendirikan rumah tangga.

Rumusan Kes:

Punca kematian Ghapar Abdul Manaf disebabkan oleh keadaan ombak yang terlalu besar disusuli arus deras menyebabkan Ghapar dibawa ke tengah laut sebelum ianya hilang.

Pembahagian Harta Pusaka Simati

Status Ghapar Abdul Manaf, ialah mafqud. Dia telah hilang dan meninggalkan seorang isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Apabila hakim memutuskan Ghapar Abdul Manaf mati, maka  Isteri mendapat 1/8, anak perempuan 1/2.

Penyelesaian Pengiraan :

NO
  

AHLI WARIS
  

BAHAGIAN
  

8

1.
  

Isteri ( Si mati ada Furu’ waris )
  

1/8
  

1

2.
  

Anak perempuan ( Tunggal, tidak ada adik beradik lelaki yang mengasobahkannya )
  

1/2
  

4

Jumlah
  

5

Baki
  

3





Kes Kedua

Tempat Perbicaaraan Kes: Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu, Terengganu.  

Jenis Permohonan: Dalam Perkara Permohonan Anggapan Mati (Permohonan no: 41-017-1-2000)                                    

Pemohon: Kelthom Binti Mohd Amin  (KP: 391016-11-5242)

Kes yang telah didaftarkan di dalam Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu  pada 4 Disember 2000 ini adalah Permohonan yang dibuat oleh Pemohon supaya Mahkamah ini mengisytiharkan bahawa seseorang yang bernama Talib bin Saari, kad pengenalan no: 0529808, yang didakwa sebagai suami Pemohon, adalah seorang mafqud yang telah pun meninggal dunia. Permohonan ini dibuat oleh Pemohon, antara lain untuk membuat pembahagian harta pusaka anak pasangan Pemohon dengan Talib bin Saari, kp no: 0529808, yang bernama Abdul bin Talib, kp no: T 1075038, yang telah meninggal dunia pada 8 Mac 2000, sebagai mana Sijil Kematian yang didaftar dengan No. Daftar C 412399.

Pemohon, Kelthom binti Mohd Amin, kp no: 391016-11-5242, mempunyai alamat penyampaian di No. 110-A Kampung Surau Haji Daud, Atas Tol, 21070 Kuala Terengganu. Manakala suami Pemohon Talib bin Saari, kp no: 0529808, tidak dapat dikesan alamat penyampaiannya.

Isu

Dari huraian Hukum Syarak sebagai mana yang diambil petikannya di atas, saya berpendapat timbul beberapa isu yang menjadi persoalan mengenai fakta di dalam Permohonan ini. Isu-isu yang berkenaan itu perlu dijelaskan di dalam Permohonan ini.

i)   Isu yang pertama ialah bolehkah Talib bin Saari, kad pengenalan no: 0529808, yang didakwa sebagai suami Pemohon, disabitkan sebagai al-Mafqud (الـمفقود)?  dan

ii)  Isu kedua ialah setelah Talib bin Saari disabitkan sebagai al-Mafqud (الـمفقود  ), bolehkah Mahkamah ini membuat pula sabitan bahawa dia telah meninggal dunia berdasarkan telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah tidak mungkin orang sebayanya masih lagi hidup biasanya atau secara pastinya?

iii) Isu ketiga ialah, terdapat maklumat bahawa sebelum berkahwin dengan pemohon, mahkamah mendapati bahawa Talib bin Saari pernah berkahwin dengan seorang wanita di Selangor sebelum berkahwin dengan pemohon. Maklumat berkenaan isteri pertama dan ahli waris tidak diketahui.

Mahkamah berpuas hati bahawa pasangan Kelthom binti Mohd Amin, kp no: 391016-11-5242, Pemohon, dengan Talib bin Saari, kp no: 0529808, telah dikurniakan dengan tiga orang anak; iaitu :

  i)   Abdul bin Talib (K/P: T 1075038/ A 0782999)

 ii)  Mohd Ali bin Talib (K/P: 700917-11-5131)

iii) Shamsuddin bin Talib (K/P: 720506-11-5135)

Mengikut syahadah Saksi Kedua Pemohon dan keterangan dokumentar mengenai kelahiran anak-anak sebagai mana dinyatakan di atas, Mahkamah berpuas hati bahawa Kelthom binti Mohd Amin, kp no: 391016-11-5242, Pemohon, pernah berkahwin dengan Talib bin Saari, kp no: 0529808.

Punca

Mengenai isu ini, mengikut keterangan dakwaan Pemohon,  Talib bin Saari, kp no: 0529808, telah keluar dari rumah perkahwinan dalam tahun 1972, untuk pergi bekerja di Hospital Kuala Terengganu, sebagai ‘Tukang Masak’. Semasa itu Pemohon sedang mengandung anak ketiga   mereka. Pada masa Permohonan ini didengar, umur anak ketiga itu telah menjangkau 32 tahun. Menguatkan lagi keterangan dakwaannya, Pemohon telah membuat semakan di Pejabat Pendaftaran Negara, Kuala Terengganu dan jelas bahawa Talib bin Saari,KP:0529808 sehingga 28  Jun 2000, telah tidak pernah membuat sebarang pertukaran alamat tempat tinggal dengan mana-mana Jabatan Pendaftaran Negara dalam negara ini. Keterangan dakwaan ini dibuktikan melalui surat yang ditanda tangani oleh Penolong Pengarah 2, Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Terengganu, bertarikh 28 Jun 2000, dengan nombor, Bil.(30)dlm. JPN.T.KP:163/792/Klt.18, yang  ditanda sebagai ‘Ekshibit P4’.

Mengikut keterangan dakwaan Pemohon, tarikh kelahiran anak ketiga pasangan ini dan keterangan dokumentari, iaitu surat daripada Penolong Pengarah 2, Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Terengganu, saya berpuas hati bahawa Persoalan yang menjadi isu, iaitu, bilakah Talib bin Saari, kp no: 0529808, hilang telah boleh dijawab; iaitu mulai tahun 1972.

Isu berikutnya pula ialah; bolehkah tatakala hilangnya Talib bin Saari, kp no: 0529808 mulai tahun 1972 itu disabitkan, disabitkan juga Talib bin Saari, kp no: 0529808 sebagai al-Mafqud mengikut Hukum Syarak? Mengikut keterangan sebagai mana yang telah dianalisa, dan berpandukan ambilan nas Hukum Syarak yang  dinyatakan di atas, saya berpuas hati bahawa Talib bin Saari, kp no: 0529808, adalah al-Mafqud ( الـمفقود  ). Talib bin Saari disabitkan sebagai al-Mafqud (الـمفقود  ), bolehkah Mahkamah ini membuat sabitan bahawa dia telah meninggal dunia berdasarkan telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah tidak mungkin orang sebayanya masih lagi hidup biasanya atau secara pastinya?

Bagi menjawab isu ini, Mahkamah melihat kepada peruntukan Hukum Syara’. Di dalam kitab Al-Fiqhul Islaamiy wa Adillatuhu, karangan Dr. Wahbah al-Zuhailiy, juzuk yang kelima, cetakan kedua, tahun 1405/1985, percetakan Darul Fikri, Damsyek, Syria, pada muka surat 785, pula menyebut;

متى يحكم بموت المفقود وما أثر ذلك ؟

إذا مضت مدة طويلة على الـمفقود  من وقت ولادتـه، بحيث لا يعيش مثله إلى تلك  المدة يفينًا أوغالبًا، يحكم بموته، وتقع الفرقة بينه وبين نسائه، ويقسم ما له بين ورثته الأحيأ ، ولا يرث هو من أحد.

Yang bererti;

`Persoalan mengenai bilakah orang yang hilang dihukumkan meninggal dunia, dan apakah kesannya ? Jika berlalu masa yang lama dari tarikh lahir seseorang yang hilang itu, sekadar-kadarnya tidak mungkin ada orang yang sebayanya boleh hidup lagi, secara yakin atau mengikut kebiasaan, maka orang yang hilang itu dikira sudah meninggal dunia. Dengan sabitan yang sedemikian maka oyang yang hilang dan disabitkan mati itu hendaklah terpisah daripada isterinya, hartanya pula hendaklah dibahagikan antara ahli warisnya yang hidup, mana kala dia pula tidak berhak menerima pusaka daripada mana-mana orang.’

Keputusan Mahkamah

Talib bin Saari, kp no: 0529808, di dalam Permohonan ini telah disabitkan hilang dan disabitkan sebagai al-Mafqud (الـمفقود  ) mulai tahun 1972. Permohonan ini tamat didengar di hadapan saya pada 28 Januari 2004. Tempoh disabitkan hilang dan disabitkan sebagai al-Mafqud (الـمفقود  ) nya hingga tarikh pendengaran adalah selama kira-kira 32 tahun. Berdasarkan fakta-fakta yang dibuktikan ini, saya berpendapat, jikalah Talib bin bin Saari, kp no: 0529808, masih lagi hidup, umurnya dalam tahun 2004, adalah sekitar 73 atau 74 tahun. Pada umur 73 tahun, tidak hairan seseorang itu telah meninggal dunia. Mengikut pembuktian fakta yang telah dikemukakan di dalam Mahkamah ini dan ambilan nas sandaran di atas, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini boleh membuat sabitan bahawa Talib bin Saari, kp no: 0529808,  telah meninggal dunia, berdasarkan telah berlalunya suatu tempoh yang lama ke atas al-mafqud dari tarikh ianya dilahirkan, yang mana tempoh itu adalah memungkin orang sebayanya telah meninggal dunia. Oleh yang demikian saya sabitkan bahawa Talib bin bin Saari, kp no: 0529808,  telah meninggal dunia pada hari Permohonan ini didengar iaitu pada 28 Januari 2004. Mahkamah memutuskan untuk membekukan sementara perwarisan harta Talib Bin Saari kp no: 0529808 sehingga maklumat mengenai keseluruhan ahli waris diketahui.

KESIMPULAN

Faedah ilmu faraidh adalah untuk mengetahui bahwa harta pusaka itu benar-benar diberikan kepada yang berhak menerimanya. Dengan demikian akan terhindar pengambilan hak orang lain dengan jalan yang tidak halal. Faraidh ini mempunyai hikmah dan nilai-nilai objektif yang luhur yang berkembang di masyarakat, diantaranya ialah, dapat memelihara dari timbulnya fitnah, karena salah satu penyebab timbulnya fitnah adalah pembagian harta warisan yang tidak sesuai dengan ketentuan sumber hukum Islam. Faraidh dapat menjunjung tinggi sunah Rasul. Pelaksanaan ilmu faraidh sebenarnya menjadi ilmu pengetahuan. Nabi Muhammad SAW bersabda :

اَلْعِلْمُ ثَلَثٌ وَمَاسِوَاى ذٰلِكَ فَضْلُ اٰيَةٍ مُحْكَمَلةٌ اَوْسُنَّةٌ مُتَّبَعَةٌ اَوْفَرِيْضَةٌ عَادِلَةٌ

(رواه ابوداود وابن ماجه )

“Ilmu itu ada tiga asalnya, yang selainnya hanya pelengkap saja, iaitu ;(Al-Qur’an) yang muhkamad (dijadikan pedoman dalam hukum). Sunah Nabi yang sahih, yang menjadi dasar ikatan hidup, dan pembagian harta pusaka yang adil”. ( H.R. Abu Dawud dan Ibnu Majah )

Faraidh berpijak dari kenyataan hidup, yaitu bahagian anak lelaki adalah dua kali ganda bahagian anak perempuan, ini kerana menurut hukum Islam tanggung jawab anak lelaki jauh lebih berat dibandingkan dengan anak perempuan. Selain itu, Faraidh juga dapat mewujudkan ketenteraman keluarga dan masyarakat. Dengan pemahaman ini orang yang beriman dapat mendidik jiwa tidak mencintai harta dunia tetapi yang utama adalah kehidupan akhirat. Faraidh juga dapat mewujudkan manusia yang gagah dan berani, karena Islam tidak menghendaki keturunan yang lemah.

RUJUKAN

Alamsyah, Mhd Jabal. Ringkasan Praktis Al-Mawarits. Brunei: Majelis Al-Mawarits, 2013.

Harun, Dr. Musa Fathullah. "Pusaka Aset Tetap." Al-Ustaz Mar. 2012: 54-55.

Harun, Dr. Musa Fathullah. "Terima Hibah Dapat Pusaka Juga." Al-Ustaz Mar. 2013: 54-55.

Osman, Mazlan. "Soal Jawab Faraidh." Fardhu Ain July 2012: 44-45.

Wan Abd Wahab, Wan Mohd Nasir. "Hak Berkaitan Harta Pusaka." Al-Ustaz Mar. 2013: 42-43.

Wan Harun, Wan Abd Halim. "Apakah Hibah, Wasiat Dan Pusaka." Q&A Oct. 2012: 86-87.

Wan Harun, Wan Abd Halim. "Bolehkah Serahkan Bahagian Kepada Orang Lain." Q&A Oct. 2012: 74-75.

Wan Harun, Wan Abd Halim. "Mengapa Saya Dikehendaki Hadir." Q&A Oct. 2012: 54-56.

Wan Harun, Wan Abd Halim. "Pengiraan Kes Kematian Munasakhat." Q&A Oct. 2012: 54-55.

"Pelatih PTD Mati Lemas Semasa Jalani Latihan." Utusan Malaysia. Utusan, 17 Sept. 2012. Web. 11 Feb. 2014.

 Raffik, Nik Muhammad. "Mangsa Hilang Di Laut Belum Jumpa." Sinar Harian 26 Dec. 2013

"Terbakar Kerana Letupan Kereta Bentley?" Utusan Malaysia 5 Aug. 2013

Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket


Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

6 ulasan:

  1. wahh..pjg lebar penjelasan..da leh buat satu projek paper nih..

    BalasPadam
  2. salam,,, mohon penjelasan... sebagai contoh hakim masih belum memutuskan lagi status kematiannya. adakah harta itu boleh diambil alih oleh pihak berwajib seperti amanah raya atau pejabat tanah dan pusaka??

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  5. wslm, apa yg saya faham, harta itu hendaklah di tahan dulu..hatta dia disahkan meninggal sekalipun, terus buat faraidh, bagi pada ahli waris yang berhak sehingga habis, kalau ada baki lagi, bagi pada ahli waris yg ada dan zawil arham..

    BalasPadam

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)