My Home

Followers

Sabtu, 9 Mei 2015

Prevention of Terrorism Act' (POTA) atau Akta Pencegahan Keganasan



'Prevention of Terrorism Act' (POTA) atau Akta Pencegahan Keganasan telah pun diluluskan pada 7/4/2015. Bincangkan peruntukan akta tersebut dengan membandingkannya dengan prinsip keadilan dalam Islam serta undang keterangan Islam yang meletakkan beban bukti yang berat terhadap mendakwa ..

Penularan elemen keganasan yang semakin merebak dan mengancam keselamatan negara mendorong kerajaan untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA 2015 bagi menangani aktiviti militan di negara ini. Pada 26 Nov 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan kertas putih bertajuk "Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)" di Parlimen sebagai memperakui ancaman keganasan berterusan di dalam dan luar negara. Kertas putih itu menegaskan komitmen kerajaan dalam membanteras ancaman yang ditimbulkan IS bersama masyarakat antarabangsa. Berdasarkan syor dalam perenggan 59 kertas putih itu, suatu undang-undang baru akan diperbuat untuk menangani secara khusus ancaman IS. Akta itu bertujuan sebagai Suatu undang-undang untuk mencegah perlakuan atau sokongan bagi perbuatan keganasan yang melibatkan organisasi pengganas dari sesuatu negara asing serta bagi kawalan terhadap orang yang terlibat dengan perbuatan sedemikian. Akta itu juga dibuat bagi Memastikan tiada individu terlepas daripada sebarang tindakan perundangan sekiranya mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan, serta memastikan rakyat dan keamanan negara tidak diganggu gugat oleh pihak yang terlibat dalam aktiviti militan.
Antara elemen kuasa yang digariskan dalam POTA ialah Seseorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana orang jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat alasan yang menjustifikasikan siasatan diadakan mengenai kes orang itu. Apabila seseorang ditangkap, kes hendaklah dirujuk oleh pegawai polis kepada Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan tidak lewat daripada tujuh hari dari tarikh penangkapan. Mana-mana orang yang ditangkap hendaklah, melainkan jika dilepaskan terlebih dahulu, dibawa di hadapan seorang Majistret dalam tempoh 24 jam. Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya. Akta ini dijelaskan sebagai akta yang mempunyai perbezaan dengan ISA, antara perbezaanya ialah kuasa-kuasa eksekutif menteri di dalam ISA akan diambil alih oleh Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik Yang di-Pertuan Agong. Selain itu, Orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing[1]. Selanjutnya, tidak ada peruntukan bagi pemakluman orang yang ditahan mengenai alasan penangkapan dan tidak ada apa-apa jaminan bahawa perwakilan guaman akan dibenarkan.  Ini kerana pihak polis cenderung untuk menggunakan pengecualian di bawah Seksyen 28A(8) Kanun Tatacara Jenayah untuk menafikan akses kepada peguam.  Ini merupakan seperkara lagi yang serius kerana akses kepada perwakilan guaman tidak harus dinafikan bagi orang yang menghadapi pertuduhan serius mengenai keganasan dan kemungkinan kehilangan kebebasan[2].
POTA juga memberi kuasa drakonian kepada Pegawai Siasatan — yang tidak ditakrifkan dengan jelas di dalam POTA — yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan terhadap si tertuduh dan menyampaikan bukti kepada Lembaga Pencegahan Keganasan (Prevention of Terrorism Board; “POTB”).  Langkah ini mengecualikan peraturan-peraturan keterangan dan tatacara jenayah yang lazim, dan Pegawai Siasatan boleh mendapatkan keterangan dengan apa jua cara.  Pegawai Siasatan kemudiannya menyampaikan laporannya kepada POTB, dan tiada peruntukan untuk POTB supaya menyiasat laporan itu atau mendapatkan siasatan lanjut.  POTB mempunyai kuasa yang luas — ia boleh memberi perintah tahanan selama sehingga dua tahun, atau perintah kediaman terhad sehingga lima tahun.  Tempoh tahanan atau kediaman terhad ini boleh diperbaharui bagi tempoh yang tidak ditentukan.  Arahan-arahan ini dibuat oleh POTB tanpa mengikut proses pengadilan yang adil memandangkan hakikat bahawa si tertuduh dinafikan hak untuk membuat sebarang perwakilan guaman di hadapan POTB.
'Prevention of Terrorism Act' (POTA) atau Akta Pencegahan Keganasan telah pun diluluskan pada 7 April 2015 tanpa pindaan. Walaupun sebelum itu, rang undang-undang yang dibahaskan lancar di peringkat dasar kemudian melalui waktu sukar di peringkat jawatankuasa apabila pelbagai pindaan dicadangkan oleh anggota Parlimen pembangkang. Perbahasan hangat selama 12 jam itu berlangsung di Dewan Rakyat.
Antara cadangan pindaan  ialah berkaitan pangkat pegawai polis dalam penangkapan suspek hendaklah tidak rendah daripada Superitendan, selain berhubung tempoh tahanan reman yang digesa tidak melebihi 14 hari berbanding cadangan rang undang-undang itu yang membolehkan suspek ditahan sehingga 21 hari. Anggota Parlimen pembangkang turut mengusulkan supaya beberapa peruntukan termasuk di bawah Perkara 13 hingga 28 yang menyentuh mengenai perintah tahanan dan sekatan dibatalkan kerana disifatkan berniat jahat. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, berkata kerajaan tidak melihat pindaan yang diusulkan itu perlu dibuat pada masa ini.
Menurutnya POTA harus dilihat dengan 'mata hati' untuk memahami tujuan sebenar kerajaan memperkenalkan undang-undang itu, selain tidak harus dibandingkan dengan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar, berkata elemen pemulihan menjadi keutamaan dalam pelaksanaan POTA. Tegas Ahmad Zahid, ini kerana POTA tidak boleh dilihat hanya dari sudut perundangan semata-mata sebaliknya ia bersifat pencegahan.
"Elemen pemulihan terhadap tahanan menjadi keutamaan. Rekod tahanan ISA setakat sehingga undang-undang itu ditiadakan iaitu daripada seramai 10,800 tahanan ISA, 90 peratus berjaya dipulihkan," katanya[3].
Ahmad Zahid juga memberi jaminan POTA tidak akan disalah guna dan tiada sesiapa pun yang mempunyai perbezaan politik atau pendapat, akan ditahan di bawah undang-undang itu.
Seterusnya, hujah bahawa POTA tidak boleh dibandingkan dengan ISA kerana bukan lagi Menteri Dalam Negeri yang memutuskan perintah tahanan atau sekatan itu, seolah-olah ada kebenarannya.  Ahli POTB dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (atas nasihat Kerajaan, mengikut amalan biasa) dan boleh dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa.  Ketiadaan jaminan tempoh jawatan ini menjejaskan sebarang kebebasan yang kononnya dimiliki POTB.  Hanya Pengerusi Lembaga dikehendaki mempunyai pengalaman undang-undang, dan tidak ada peruntukan bahawa dia mesti, atau mesti mempunyai kelayakan, seorang Hakim.
Kita dapat perhatikan daripada pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 bahawa nama ahli Lembaga Pencegahan Jenayah tidak diumumkan.  Besar kemungkinan begitu juga amalannya bagi ahli POTB.  Hakikat bahawa pendengaran POTB tidak akan diadakan di khalayak umum bermaksud bahawa POTA akan membenarkan perbicaraan rahsia oleh panel rahsia.  Ketelusan tidak akan wujud.
Elemen penahanan tanpa bicara tersebut secara jelasnya melanggar prinsip keadilan dalam Islam apabila seseorang yang ditahan itu dinafikan hak untuk dibicarakan. Seseorang yang ditahan sepatutnya diberi ruang dan peluang untuk dihadapkan ke mahkamah untuk membela diri. Antaranya kuasa yang diberi kepada penyiasat yang berpangkat pegawai polis biasa untuk dikemukakan kepada majistret untuk penahanan seseorang yang disyaki. Bagi prosedur tahanan reman, majistret akan menerima sahaja dan hal ini akan menyebabkan orang yang ditahan reman tidak ada peluang untuk mempertahankan diri dan peguam juga tidak boleh mewakili suspek yang ditahan. Perkara ini dikhuatiri tidak ada keadilan ke atas orang yang dituduh atau disuspek sebagai pengganas. Menurut Bar Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak juga gusar dengan pencerobohan terhadap budi bicara kehakiman dalam kes jenayah.  Di bawah POTA, seseorang boleh direman pada awalnya untuk penahanan siasatan bagi tempoh maksimum 60 hari.  Seseorang Majistret tidak mempunyai budi bicara untuk menolak permohanan reman, dan tugasnya kini sekadar “cop getah” yang meluluskan permohonan polis dan Pendakwa Raya.  Begitu juga dengan Hakim Mahkamah Sesyen. Beliau tidak mempunyai budi bicara untuk menolak apa-apa permohonan oleh Pendakwa Raya untuk mengarahkan supaya si tertuduh memakai peranti pengawasan elektronik.  Kuasa budi bicara yang wujud untuk membolehkan Badan Kehakiman menangani tindakan pihak Eksekutif yang keterlaluan kini dilenyapkan.  Pencerobohan terhadap budi bicara kehakiman ini yang dibenarkan POTA adalah serius kerana ia seperti meletakkan kuasa kehakiman di pihak Eksekutif. 
Kami mengingatkan Kerajaan bahawa di bawah kerangka perlembagaan kita, kuasa kehakiman terletak pada badan kehakiman, dan peletakan kuasa kehakiman di mana-mana badan lain adalah bercanggah dengan perlembagaan”[4].
Sementara itu lembaga pencegahan keganasan berkuasa untuk menentukan hukuman yang dikenakan kepada tertuduh sebagai langkah pencegahan selama dua tahun. Terdapat nilai-nilai seseorang itu boleh ditahan tanpa bicara. Jika dibandingkan dengan ISA suatu ketika dahulu, kuasa itu tertakluk kepada menteri namun POTA kuasa itu tertakluk  kepada lembaga pengerusi. Lembaga pengerusi berhak menentukan ke atas penilaiannya itu samada seseorang suspek layak ditahan dua tahun.
Islam adalah agama persamaan dan keadilan. Allah SWT bersifat adil dan cintakan keadilan dan kasihkan orang yang bersifat adil. Antara asas yang sangat ditekankan dalam syariat Islam adalah prinsip keadilan kepada semua manusia. Keadilan merupakan salah satu daripada tiga asas pegangan hidup Islam, seiring dengan tauhid dan khilafah.
Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan bahawa syariat dibina atas asas kemaslahatan hidup manusia di dunia dan akhirat. Kemaslahatan tersebut merangkumi prinsip keadilan, rahmah, maslahah, hikmah dan segala yang bertentangan dari empat prinsip tersebut bukan datang dari syariat[5]. Ibnu Farhun dalam menjelaskan maksud siyasah ‘adilah telah mmebezakannya dengan siyasah zalimah. Maksudnya keadilan dari segi istilahnya lawan kepada kezaliman. Beliau menegaskan siyasah ‘adilah atau pemerintahan dan pentadbiran yang adil akan mengembalikan hak pihak yang dizalimi di samping menghapuskan segala bentuk kezaliman, membanteras kerosakan bagi mencapai maksud syariat atau maqasid shariah. Ini kerana syariah akan sentiasa memelihara hak-hak manusia dan menutup pintu-pintu kezaliman dan kerosakan[6]. Mohammad Hashim Kamali telah merumuskan bahawa objektif syariah boleh dibahagi kepada tiga iaitu mendidik individu, menegakkan keadilan dan memelihara kepentingan umum (al-maslahah). Matlamat yang ketiga itu yang sebenarnya merangkumi objektif atau matlamat yang pertama (mendidik individu) dan kedua (keadilan) dan gabungan semuaya sangat berkaitan dengan kemaslahatan manusia dunia dan akhirat[7].
Oleh kerana Islam merangkumi kesemua aspek kehidupan, keadilan juga seharusnya mencakupi semua bidang termasuk undang-undang, ekonomi, sosial, politik, budaya dan lain-lain. Menegakkan keadilan akan menciptakan kebaikan kepada sesiapapun, manakala pelanggaran terhadapnya akan mengakibatkan mala petaka. Keadilan juga termasuk dalam akhlak Islam yang mesti diamalkan di dalam semua aspek kehidupan dan kepada semua manusia meliputi sahabat dan musuh. Sekiranya ia dipinggirkan, maka ia dianggap satu dosa dan kesalahan di sisi Allah SWT. Tidak ada subjek yang lebih berkait rapat dengan konsep keadilan kecuali hak asasi manusia. Ini bermakna keadilan tidak akan menjadi kenyataan jika hak asasi manusia tidak diiktiraf oleh masyarakat.  Ia juga adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat dalam Islam. Apabila keadilan ditegakkan dalam semua aspek, maka terjaminlah keamanan dan ketenteraman di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Sifat dan tabiat yang adil mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak yang menjanjikan kebahagiaan hakiki. Kedudukan adil bagi seorang manusia menurut pandangan Islam ditentukan bukan oleh ketinggian darjat keturunan atau kekayaan mahupun kekuasaan, tetapi oleh ketakwaannya yang merupakan hasil dari ketinggian ilmu dan akhlaknya. Al-Quran menyatakan dengan jelas akan kedudukan sifat orang-orang yang zalim dan balasan kepada orang-orang zalim ialah neraka. Justeru Allah SWT telah mengulang-ulang perkataan zalim sebanyak 226 kali di dalam al-Quran. Al-Quran tidak hanya menghubungkan adil sebagai sesuatu yang hanya diperkatakan di mahkamah sahaja, tetapi ia lebih merujuk kepada integriti dan kejujuran di dalam semua urusan hidup manusia.  Justeru apabila undang-undang dan keadilan dalam Islam terpesong angkara segelintir umatnya, kegemilangan Islam mula merosot.
Rasulullah SAW di dalam pemerintahan baginda tidak pernah menindas mana-mana pihak. Bahkan baginda SAW didekati dan dikasihi oleh semua pengikutnya tanpa mengira bangsa dan agama. Ini kerana dalam memutuskan apa-apa hukuman, baginda SAW tidak sekali-kali terpengaruh oleh keadaan orang yang dihukumi, sama ada daripada kalangan keluarga, sahabat handai ataupun orang lain yang berbeza bangsa dan agama. Ini amat bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sifat adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (al-Maaidah: 8)
Sehubungan dengan itu, undang-undang keterangan Islam, telah meletakkan beban bukti yang berat terhadap pihak yang mendakwa. Sebelum penghakiman dibuat, hakim terlebih dahulu perlu yakin dengan bukti yang telah dikemukakan di hadapannya. Keyakinan ini diperoleh melalui pengamatannya berdasarkan keterangan yang dikemukakan.[8] Beban bukti ialah tanggungjawab yang terletak pada pihak yang berkaitan dengan sesuatu fakta yang menjadi isu yang mesti ditunaikan jika pihak tersebut ingin memenangi isu yang dipertikaikan[9].
Dalam kes mal (sivil), beban bukti adalah terletak kepada orang yang membuat tuntutan. Ini selaras dengan prinsip yang berasaskan hadis Rasulullah SAW:

البينة على المدعي واليمين على من انكر
“Keterangan dikenakan ke atas pihak yang menuntut atau mendakwa, sementara sumpah dikenakan ke atas pihak yang ingkar”.

Prinsip ini bermaksud pihak yang menuntut bertanggungjawab untuk mengemukakan bukti atau keterangan (bayyinah) dan pihak yang kena tuntut dikehendaki bersumpah untuk menafikan tuntutan tersebut[10].  Beban bukti (burden of proof) merujuk kaedah umum dalam prosiding sama ada jenayah atau sivil, yang memerlukan seseorang itu perlu membuktikan kes atau sebarang fakta yang ditegaskannya. Apabila seseorang itu terikat untuk membuktikan kewujudan atau ketidakwujudan sesuatu fakta atau membuktikan keseluruhan kes, maka orang tersebut dikatakan menanggung beban bukti. Sementara itu, boleh berlaku perpindahan beban bukti jika terdapat dakwaan dari pihak orang yang dituduh atau pihak defendan dalam hal-hal tertentu. Perpindahan ini memberi impak kepada darjah pembuktian dan tanggungjawab kedua-dua pihak untuk membuktikan kes masing-masing. Sementara itu, darjah pembuktian ialah tahap yang mesti dicapai untuk melepaskan tanggungan beban bukti ke atas pihak yang menanggung beban  bukti. Jika tahap ini tidak dicapai, maka pihak  berkenaan tidak akan berjaya mendapat perkara yang dituntut, yang dimohon atau yang didakwa. Manakala dalam kes Aishah Abd. Rauf  lwn. Wan Mohd Yusof berkaitan permohonan poligami, Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa beban bukti kemampuan berpoligami terletak atas pemohon (si suami). Sumpah penafian tuntutan yang dilakukan oleh pihak yang kena tuntut adalah merupakan contoh perpindahan beban bukti dalam kes mal.
Manakala dalam kes jenayah, beban bukti terletak atas bahu pihak Pendakwa sehingga mencapai tahap kes prima facie. Selepas tahap prima facie, maka pihak tertuduh akan dikehendaki untuk membela diri. Prosedur pembelaan ini menyaksikan kewujudan perpindahan beban bukti daripada Pendakwa kepada tertuduh untuk menafikan fakta yang telah dikemukakan oleh Pendakwa sebelum ini. Jika perbicaraan ke atas mereka sukar disabitkan kerana masalah untuk dikemukakan keterangan dan bukti apa yang perlu dilakukan bukan menahan mereka tanpa bicara sebaliknya undang undang keterangan bagi pengemukaaan bukti bagi kes berat boleh dikaji semula tanpa kompromi perbicaraan yang adil. Sebagai satu contoh amat sukar untuk membuktikan pengedaran dadah dalam perbicaraan kes dadah. Sebab itulah undang undang dadah dipinda dengan memperkenalkan pembuktiaan melalui anggapan atau pembuktian melalui agen provokator (polis yang menyamar). Ini dilakukan tanpa melenyapkan hak orang yang ditahan untuk dibicarakan.
Kesimpulannya pembuktian di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak banyak bezanya. Ini kerana kerangka statut yang menjadi rujukan asas kedua-dua Mahkamah adalah hasi adaptasi dari sumber yang sama. Namun statut rujukan bagai Mahkamah Syariah dilestarikan dengan undang-undang keterangan Islam, maka terdapat beberapa istilah dan terma yang ditukarkan sesuai dengan konsep yang digunakan.  Elemen-elemen keterangan dan pembuktian ini masih berkesan dalam memastikan kewujudan sesuatu hak atau sebaliknya. Maka dengan wujudnya statut dan undand-undang khusus berkaitan keterangan, pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan sebarang bukti berkaitan untuk mengangkat haknya.
Walaupum fuqaha’ sudah lama menetapkan kaedah pembuktian dalam Islam, ia tidak bermakna bentuk bukti yang baru tidak boleh diterima dalam Islam. Bahkan menurut Sidi Ahmad Abdullah, Islam menerima apa jua kaedah dan prinsip yang dapat menyampaikan kepada matlamat keadilan termasuklah bukti saintifik berasaskan kaedah fiqh `sesuatu perkara itu dinilai pada matlamatnya’.[11] Ini menunjukkan aspek keterangan Islam adalah sesuai sepanjang zaman.


[1] Bernama, “Apa Itu POTA?”, Astro Awani, diakses dari http://www.astroawani.com/berita-malaysia/apa-itu-pota-2015-57308, pada 15 Mei 2015, jam 10.48 pm.
[3] Bernama, “Dewan Rakyat lulus POTA selepas lebih 12 jam dibahas”, Astro Awani, diakses dari http://www.astroawani.com/berita-malaysia/dewan-rakyat-lulus-pota-selepas-lebih-12-jam-dibahas-57300, pada 15 Mei 2015, jam 10.30 pm.
[5] Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah, I’lam al-Muwaqi’in, Jilid 2 (Kaherah:Dar al-Hadith, 2004), hlm 5.
[6] Ibnu Farhun, Tabsirah al-Hukkam Fi Usul al-Aqdiyah wa Manahij al-Ahkam, Jilid 1 (Beirut : Dar al-Kutub al-
‘Ilmiyyah, 1995), hlm 115.
[7] Mohammad Hashim Kamali, Principles of Islamic Jurisprudence, (Selangor: Ilmiah Publishers Sdn Bhd. 2009), hlm 397.
[8] Mohamad Saedon ( 1990 ), Undang-Undang Keterangan Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. H.16, pada 17 Mei 2015, jam 3.45 pm.
[9] Siti Zulikhah Haji Md Nor ( 2006 ), Beberapa Aspek Dalam Undang-Undang Keterangan Islam, Dlm Al-Syariah : Undang-UndangKeterangan Islam, J.3, Siti Zulikhah Haji Md Nor Et. Al. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka. H.4, pada 17 Mei 2015, jam 3.45 pm.
[10] Al-Kasaniy ( 1998 ), Al-Bada’I Al-Sana’I, J.5, Cet.Ketiga, Beirut :Dari Ihya’ al-Turath. H. 337, pada 17 Mei 2015, jam 3.45 pm.
[11] Sidi Ahmad Abdullah ( 1998 ) Undang-Undang Keterangan Islam dan Prosedur Di Mahkamah Syariah dari Aspek Hukum, Dlm. Undang-Undang Islam Di Mahkamah-Mahkamah Syariah Di Malaysia, Ahmad Hidayat Buang Et. Al. Kuala Lumpur : Universiti Malaya. H. 165, pada 18 Mei, jam 7.15 am.
 


Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dapat sesuatu dari entry di atas? komen le cikit ;)

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)