My Home

Followers

Memaparkan catatan dengan label Diari Musafir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Diari Musafir. Papar semua catatan

Khamis, 8 Mei 2014

Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut Pilihan Untuk Percutian Bulan Mac 2014

Assalamualaikum wrt kepada semua pembaca ;)

Alhamdulillah, percutian bulan mac baru2 ini sy sekeluarga memilih Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut damar laut berdekatan teluk senangin. Perjalanan dari penang hampir 3 jam kesana. Sy booking lebih awal dan memilih Deluxe Garden View RM278 semalam termasuk breakfast. Suasana tempat yang mendamaikan dan jauh dr kesibukan memang amat sesuai untuk berehat sepuas2nya sambil menikmati tiupan angin segar, memang mengasyikkan!




suasana di lobby hotel

berhadapan laut yang mendamaikan

ada tangga untuk ke pantai

swimming pool-kanak2 dan dewasa tersedia, cuma di bahagian kanak2 terlalu banyak keladak lumut dalam air, huhu

Pilihan sarapan pagi

lagi suasana di lobby

antara kedai makan yang ada, astaka deretan kedai makan, boleh lihat peta di bawh. masalah utama ialah mencari kedai makan memang agak susah, mungkin Swiss Garden ni nak kita makan kat restoran dia yang mahaal tu rasanya..;( . ni makan malam hari pertama, hari kedua di kedai makan pak imam corner. siang kami ke restoran waleed dan ummi di bandar lumut.

air limau panas dan Maggi goreng, rasa tidak mengecewakan, sedap ;)

pintu masuk ke swiss garden

cantik!


parking



jalan masuk, memang dikelilingi ladang kelapa sawit.

seightseeing jom!

suasana sekitar

bilik pilihan

makan tengahri disini, memang sedappp

suasana restoran walid yg bersih
peta ke kedai makan berhampiran.





Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~ Photobucket

Khamis, 16 September 2010

Esok cuti..

 Semalam cuti, hari ni kerja, esok..waa cuti balik..seronoknya kalau hari-hari cuti..kan. Semalam sempena cuti Malaysia, aku dan keluarga berangkat ke Alor Star melawat sedara sbelah ayah mertua. Perjalanan lebih kurang 1 jam dari penang. Seronok juga sekali sekala berkunjung ke sana. Pertama kali aku melawat saudara sebelah ayah yang lainnya. Sebelum ini belum ada kesempatan untuk ke sana. Kali ini aku tak melepaskan peluang pi shopping di Jakel Alor star, terletak kurang 3 minit dari rumah abang kepada ayah mertuaku. Cuci-cuci mata sambil membeli di jakel..memang barbaloi.

Alhamdulillah semua kain yang di cari memang ada..wah bestnya..hmm terpikat dengan tekstil di jakel, premis yang cantik dan pekerja yang mesra alam. Nak cari kat pulau memang takdalah Jakel kat sini, kurang2 kena pi Sungai Petani..En. Feroz dan Pn. Farah bila nak buka cawangan kat sini lak? susah la nak cari Jakel kat sini..huhu. Saya menyokong 100% produk keluaran bumiputra bergama Islam..Caiyok lah!

Semua sekali RM172.50. untuk 12 meter kain yang best. Tak sabar dah nak tempah ni.






Aku hanyalah insan biasa, mengharap teguran dari sahabat dan mendamba redha Allah. ~qirmumtaz~

Rabu, 28 Oktober 2009

Diari Musafir 11; Secubit Rasa



Dalam meniti hari penuh kepayahan, menanti saat dikau hadir menyeri bumi tuhan..kugagahkan diri menanggung bebanan…kerana kau anugerah tuhan. Anugerah tanda doaku dimakbulkan..semoga kehadiranmu menambah kekuatan iman, dalam mencari kenberkatan dan keredhaan, buat bekalan menuju negeri abadi…salam sayang dari umi dan papa..

Baca Seterusnya...

Selasa, 10 Mac 2009

Diari Musafir 9 : Aku Diuji



Malam itu tidurku tidak lena. Seluruh urat sarafku terasa begitu lemah dan tidak bermaya. Mataku panas, seluruh tubuhku berasa sangat panas...ohh perit sekali...keadaan ini berlaku hampir setiap malam sepanjang satu minggu pertama. Walaupun aku telah mendapatkan rawatan, namun belum rezkiku untuk pulih. Pada hari terakhir minggu itu, pinggangku mula terasa sakit yang teramat sangat. Perkara ini aku khabarkan kepada suamiku, keesokan harinya kami ke klinik lagi untuk mendapatkan rawatan susulan. Doktor telah mengesahkan buah pinggangku telah dijangkiti dan mencadangkan aku membuat rawatan secepat mungkin di hospital.

5 mac 2009 merupakan hari bersejarah buatku...pertama-tama kalinya aku dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan. Keadaan berubah sejak hari itu, dimana tanganku telah dicucuk jarum dan dimasukkan air. Aku terasa betapa teramat tidak selesanya berkeadaan seperti itu. terpaksa megheret tempat gantungan air (aku pun tak pasti nak sebut ape, pasal tak pernah masuk wad) untuk ke tandas. Sudahlah badan lemah dan panas...rasa loya pun ada..memang sungguh tidak selesa. Aku tersedar...betapa nikmat kesihatan yang Allah berikan amat-amatlah terlalu berharga! baru ku sedar terlalu banyak dosa yang aku lakukan, mungkin inilah kifarah yang Allah sandarkan! betapa kerdilnya aku menghadapi semua itu. Namun aku gagahkan jua jiwa dan rasaku, aku redha dengan ketentuanNya...biar aku di balas di dunia, moga Allah bisa mengampuniku dan jauhkan aku dari azabNya yang maha pedih nanti. Aku beristighfar di dalam hati..

Aku melihat ketabahan suamiku menjaga dan menenangkan aku sepanjang aku di wad. Segala urusanku diuruskannya. Menjengukku saban waktu. Terpaksa berkorban masa, cuti dari kerja untuk menguruskanku yang begitu " cewek" (suka merengek dan menangis). Terlalu bersyukur...ya..Allah telah mengurniakanku seorang suami yang soleh. Sentisa membisikkan kata peransang buatku. Tika aku hampir lemah menghadapi ujian ini..dia meniupkan semangat kekuatan dijiwaku. Suamiku menginagatkan aku akan nikmatNya yang terlalu banyak, ini hanyalah sekelumit ujian cuma. Apakah aku tidak bisa menerima ujian dariNya yang sebenarnya terlalu kasihkan hambanya. dilontarkanNya batu-batu kecil agar insan dapat sedar dari lena yang mengasikkan. Yang mungkin menjurus kebinasaan... Hatiku terbuai dengan bisikan darinya...katanya lagi " ujian ini untuk abang dan ayang". Ya benar...diujiNya dengan adil...

Juga buat ibu mertuaku yang terlalu baik, membekalkan aku makanan berkahasiat sepanjang waktu aku di wad. Sehingga aku tidak menjamah makanan di wad semuanya..Dia terlalu baik...sebaik ibuku sendiri...Aku terasa aura kasih sayang mengalir diseluruh urat sarafku...Teriama kasih ibu!

Antara 5 hari di wad, Alhamdulillah hari ketiga kesihatanku agak pulih...setelah aku dicucuk dengan 3 kali suntikan antibiotik bersama ubat penahan muntah dan diberi makan 9 biji ubat sepanjang 1 hari...bermakna aku telah menerima 30 suntikan dan menelan 45 biji ubat sepanjang 5 hari, hinggakan tekakku terasa ubat yang memualkan sehingga ke saat ini...namun tetapku panjatkan syukur kerana tanpa izinNya, jika segantang ubat yang ditelan pun tidak bisa merubah keadaan...syukur Alhamdulillah....betapa penyanyangnya Allah terhadapku!

9 mac hari yang paling menggembirakanku, kerana hari ini aku dibenarkan keluar dari wad. Aku bisa mengecapi kebahgiaanku seperti dulu..namun sebelum itu aku diuji lagi...aku perlu suntikan yang terakhir sebelum pulang...perkara yang memualkan sepanjang hidupku...jururawat yang ditugaskan untuk menyuntikku telah tersilap suntik. mungkin uratku susah untuk di lihat memandangkan aku bukanlah bersaiz basar..sebenarnya rasa sakit teramat sangat jika tersalah suntik, sehingga sekarang pedihnya masih terasa. Namun aku bersangka baik dan Alhamdulillah akhirnya berjaya pada kali yang ketiga.

Terima kasih yang tidak terhingga buat keluarga dan sahabat-sahabatku yang menziarahiku...mengurangkan rasa resah dihati...buat suamiku yang berkorban seluruh tenaga dan membiayai kos rawatanku yang terlalu mahal...tidak ada yang dapat aku balas kecuali doa dan kasih sayang. Tidak lupa kepada jururawat2 Lam Wah ee Hospital yang selalu tersenyum dan membantuku.

Syukur Alhamdulillah kini aku semakin pulih...Allah menizinkan kembali nikmat kesihatan padaku yang tidak boleh dijual beli....

Jumaat, 18 Julai 2008

Diari Musafir 8 : Hasanah di Akhirat Lebih Utama




Kepada semua graduan aku mengucapkan sejambak tahniah buat kalian di atas kejayaan meraih segulung ijazah. Alhamdulillah dengan berkat usaha dan doa Allah tidak pernah menghampakan kita. Maha suci Allah yang memudahkan sesi perjalanan ini. Namun ini hanyalah salah satu episod kejayaan mengaut ilmu. Masih banyak lagi episod bersiri yang menanti dihadapan. Sesungguhnya perjuangan menuntut ilmu ini tidak pernah usai. Semoga tiada istilah jemu dalam menadah ilmu, teruskan meredah samudera ilmu yang maha luas ini!

Namun sejauh manapun kita mengejar ilmu, bukan untuk meraih hasanah di dunia semata. Pasakkan di hati, matlamat sebenar adalah sebagai bekalan meniti hari akhirat. Destinasi terakhir yang sepatutnya menjadi fokus semua manusia adalah akhirat. Justeru, hasanah di akhirat adalah lebih baik dan lebih wajar diutamakan. Tuhan menyatakan dalam surah al-A’la ayat 17 yang bermaksud, ” Dan alam akhirat adalah tempat yang lebih baik dan tempat yang kekal abadi..” Dalam surah al-Ankabut ayat 64 pula, Tuhan menyatakan, ” Dan tiadalah kehidupan dunia melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”

Pesanan untuk dirimu dan diriku, dalam menuntut ilmu jadilah kita seperti lembah, jangan seperti gunung. Gantungkan cita-citamu setinggi langit. Sekiranya ia jatuh, ia jatuh di puncak gunung bukannya di lembah jurang. Salam konvokesyen!

Sabtu, 3 Mei 2008

Diari Musafir 7: Bingkisan Perpisahan

Rasa seperti baru semalam aku menjejak kaki ke bumi ‘penyu’ ni. Pejam celik, pejam celik, dah hampir 3 tahun aku bermastautin disini. Apa yang pasti, terlalu banyak memori suka duka yang terukir dikanvas minda. Rencah hidup seorang mahasiswa, takkan mungkin luput diingatan melainkan dengan izin Allah rabbul izzati. Ketahuilah sahabat, terasa sarat sebak didada. Bagaimana aku mungkin meniti ranjau hidup tanpamu disisi. Kita bertemu dalam satu halaqoh yang suci, bersama satu tujuan yang murni. Kau dan aku menadah tangan mengutip ilmu perjuangan. Sama-sama rasa bahagia, kadang-kadang berkongsi duka. Semua bersama. Mengapa aku tidak tega menghadapi perpisahan ini. Ya Allah teralu manis nikmat pertemuan yang kau titipkan ini! Andai waktu ini bisa disekat, alangkah bahagianya, dapat kita bersama hingga ke akhirnya. Namun apakan daya, tersurat sudah kisah hidup pertemuan dan perpisahan ini. Sejauh mana kita pergi, sekuat mana pun kita lari, kita tidak dapat menghindar realiti. Harus ditempuhi dengan tabah hati!.
Baitul Raudhah yang menggamit seribu kenangan....




Kepada sahabat yang setia bersamaku, Syifa’ Nasuha. Penawar diwaktu susah dan senang. Terima kasih kerana sudi mendengar celotehku yang saban waktu aku curahkan padamu. Aku lihat ada kejujuran dalam redup matamu. Walaupun aku tidak bisa membaca isi hatimu, namun aku tahu kau berusaha menepis kejemuan mendengar bicaraku. Ein, terima kasih atas bantuan yang sering kau hulurkan. Amat bertuah rasanya dapat mengenal sahabat sepertimu. Walaupun usia pertemuan baru berputik, namun terasa seperti bertahun kita bertemu. Suriati, terasa tenang bila disampingmu. Kadang-kadang bisa terlerai kekusutan dikalbuku. Terima kasih buatmu sahabatku. Kakak yang dikasihi, Kak Syazee, senyum tawamu, petah bicaramu menjadi penghibur hatiku. Cemburu melihat kebolehanmu. Agar aku bisa menjadi bayanganmu suatu hari nanti..Insya Allah!. Adik-adik yang disayangi, Mujahidah dan Jannah. Kehadiran kalian menjadikan aku lebih bersyukur dengan nikmat Tuhanku. Terima kasih Tuhanku, kau hadirkan adik-adikku disini agar aku lebih menghargai sebutir permata ’Syuhadah’. Ketahuilah Syuhadah, dalam ketegasanku masih tersimpan rasa cinta yang suci.


Kepada warga Baitul Tasnim, Lailati, Aleeya, Nurul Huda, Bonda, K.Maisarah, K. Atikah dan Safura. Warga Darul Ansar, K.Najihah, Haliza, Qurataayun, Balqis, Zujlah, Nurul Iman, warga Baitul Muslim dan Darul Salam dan semua tunas-tunas islam yang baru bercambah. Semoga kalian thabat dalam perjuangan ini. Ingatlah, dunia ini bagai satu titian yang harus ditempuhi oleh setiap yang hidup. Oleh itu menitilah dengan berpegangkan kayu keimanan yang kukuh. Kehidupan ini adalah suatu perjalanan yang nun jauh...... hanya kita yang menentukan sama ada kapal itu sampai di tepian atau karam di lautan. Eratkan tautan ukhwah agar ikatan ini terus marak bersama api semangat perjuangan. Terima kasih atas segalanya serta halalkan makan minumku. Maafkan juga segala kekhilafanku. Kerana aku sedar aku tidak mampu memuaskan hati setiap darimu. Pertemuan dengan kalian bukanlah pertemuan yang biasa. Kerana ikatan yang terbina adalah keranaNya. Semoga berpisah tidak gelisah, bila bertemu tidak jemu!

Akhirulkalam, doakan agar Allah tetapkan hatiku dilandasan ini. Aku mohon sokongan kalian yang takkan pernah putus. Biarpun jauh dari pandangan namun sudilah menyebut namaku dalam rajut doamu... Aku tidak tahu dimanakah aku selepas ini, makin jauh pandang kehadapan makin sarat tanggungjawab yang harus dipikul. Benarlah kata-kata As-Syahid Hassan Al-Banna, ”kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada”.

”Sahabat mewakili suatu kekuatan। Yang indah itu pertemuan, yang manis itu kemesraan, yang pahit itu perpisahan, yang tinggal hanyalah kenangan, semoga segalanya dalam keredhoan Allah buat selamanya....”


Pena hati; qirMumtaz

Isnin, 25 Februari 2008

Diari musafir 6 (Oh ibu...)


Seperti biasa tidak pernah cuti semester aku tidak pulang ke kampung. Aku kira ia sebagai reward terbaik usai saja peperiksaan akhir. Ganjaran istimewa yang aku perolehi setelah bertungkus lumus menelaah pelajaran. Itu sudah cukup bahagia bagiku. Biasanya aku tidak terus pulang kerumah, sebaliknya mengabdikan diri untuk menikuti program-program yang telah disusun. Musim cuti merupakan kesempatan terbaik untuk melangsaikan program yang tertangguh. Kebetulan, program kali ini ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu, lalu aku mengambil keputusan untuk terus pulang kerumah. Tambahan pula seluruh ahli keluarga akan berkumpul pada hujung minggu ini. Alhamdulillah, mungkin sudah rezkiku, tiket pada tarikh yang aku kehendaki masih berbaki satu seat.

* * * * * * * * * *

Usai merapikan diri dan solat, aku menjengah ke dapur seketika. Aku lihat ibu sedang memasak di dapur, wajah bersih itu aku tatap, terasa sejuk menjalar di urat sarafku...sabda Rasulullah saw, tiga perkara yang apabila dipandang akan beroleh pahala, salah satunya adalah memandang wajah ibu kita...betapa besar kemuliaan yang Allah berikan kepada seorang insan yang bernama ibu...aku membantu ibu menyediakan sarapan, perlu sedia segera kata ibu, selepas itu kami akan berkumpul untuk sesi halaqoh bersama keluarga. Seperti biasa aku mengambil tempat berhadapan dengan ayah dan ibuku, kelihatan disisi ibuku adalah adikku yang bongsu. Beberapa saat berlalu, barulah abang-abang dan kakak-kakakku dapat memenuhi halaqoh. Terasa begitu besar rahmat Allah buatku, menghadirkan sebuah keluarga yang besar buatku.

Usrah atau halaqoh yang menjadi agenda utama dalam keluargaku membawa pengertian yang besar buat kami semua. Ayah amat menitikberatkan soal pertarbiyahan kami adik-beradik sedari kecil lagi. Kami diajar mengenal Allah serta pelbagai asas agama. Malah sesi halaqoh dihidupkan lagi dengan komunikasi dua hala. Segala permasalahan yang berlaku dalam keluarga akan dibincangkan bersama.


Pernah dulu, aku lihat airmata ayahku tumpah kerana berbicara tentang seorang insan bernama ibu. Ya....sungguh luar biasa kuasa seorang insan bernama ibu.
”Alangkah bahagianya anak-anakku, kerana kalian masih mempunyai ibu..kalian masih mampu merasai doa ibu, Allah akan kabulkan tanpa hijab. Wahai anak-anakku, jangan kau cuba untuk mengucapkan ah sekalipun, kerna luka hati ibu bisa mengundang kemurkaan Allah! Malah hidupmu takkan aman selagi tidak mendapat keampunan dari ibumu”. Terasa betapa tarbiyyah yang dsampaikan oleh ayah begitu hikmah dan terkesan dihati. Terima kasih ya Allah, kau hadirkan seorang ayah dan ibu yang baik buatku..
* * * * * * * * * * *

Beberapa hari yang lalu..aku dikahabarkan dengan berita kematian ibu kepada
Sahabatku. Oh Allah, hatiku jua turut gerimis...andai aku di tempat sahabatku, aku belum tahu apakah aku mampu menghadapi situasi seperti itu..ya Allah berikan aku kekuatan sepanjang waktu, agar aku tak lelah menghadapi hari-hari resah dalam hidupku...ku pujuk hatiku....”sesungguhnya setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati”.

P/s: Al-Fatihah Buat Bonda Yusro!

Rabu, 26 September 2007

Diari Musafir 5: (Siapa aku dihadapan Tuhanku)

Terasa begitu cepat masa berlalu, telah masuk 14 Ramaahan hari ini. Tidak sedar aku telah melangkah ke dalam fasa keampunan. ’Sesungguhnya Allah telah membuka seluas-luasnya pintu keampunan’. Ya....itu janji Allah yang pasti buat hamba-hambanya yang beriman. Sepatutnya kesempatan ini aku ambil untuk berlama-lama dengan Zat yang telah menjadikan diriku, Zat yang telah memberi nikmat yang melimpah ruah, Zat yang maha agung.....Zat yang memberi keampunan.....namun sudah sirnakah aku dengan dosa? Siapalah aku dihadapan tuhanku. Terlalu menggunung dosa zahir yang aku lakukan....lantas bagaimana dosa yang tersembunyi. Tidak terhitung olehku....terasa pahit relung hatiku mengenang dosa-dosa lalu...aku tidak tahu apakah kesudahan hidupku. Ke syurgakah aku, atau ke nerakakah aku? Oh... aku yang bernama manusia....masih mahu bersenang-senang. Rasulullah yang maksum dan telah ditetapkan syurga baginya pun, masih berlumba-lumba melakukan ibadah sehingga bengkak kakinya. Tetapi kita sebagai umatnya masih mahu bermudah-mudahan. Mungkin juga bengkak kaki, tapi digigit nyamuk barangkali. Malam kita, asyik diulit mimpi, namun malam bagi Baginda Nabi, adalah malam istimewa untuk Kekasih hati, Allah Rabbul izzati. Apakah kita pasti ditetapkan Allah, syurga bagi kita...atau apakah sudah cukup bekalan yang akan dipersembahkan di hadapan Rabbuljalil. Bagaimana jika oleh-oleh yang kita buka dihadapan Allah kelak, kok kosong isinya!. Loh, apa bisa aku meraih syurga tuhan! Alangkah ruginya diri...tatkala itu baru merasa sesal berkepanjangan..Andai aku dulu, solat lima waktu sehari semalam dengan sabar dan kusyuk, alangkah baiknya..andai aku dulu menutup aurat dengan sempurna, alangkah baiknya...andai aku dulu menjaga puasa alangkah baiknya...andai aku dulu bertemankan sahabat yang mengajak aku ke jalan Allah alangkah baiknya...andai aku menjadi penyejuk mata kedua orang tuaku, alangkah baiknya....andai aku...saat itu sesal sudah tidak berhasil lagi...tidak ada lagi peluang kali kedua. Ayuh teman-teman, inilah saatnya kita memuhasabah diri!. Rebutlah tawaran hebat di bulan Ramadhan ini. Sesungguhnya pintu keampunan sedang terbuka seluas-luasnya...masih belum terlambat bagi kita memohon keampunan Tuhan. ’Jalan mesti pandang ke depan tapi sesekali tolehlah ke belakang, hisablah kembali kesalahan yang telah dilakukan’....mungkin masih berbaki dosa yang belum terungkai...Semoga rajut doaku penuh penyesalan...semoga taubatku beroleh keampunan tuhan,...keredhaanMu kuharapkan, agar kuraih syurgaMu ya Rahman...amin!

“When Ramadhan comes, the gates of heaven are opened, the gates of hell are closed and the devils are chained। And a caller calls out every night: Oh seeker of good, draw near! Oh seeker of evil, desist!” (NF Nasa’i)

Jumaat, 14 September 2007

RaudhatulQalbi: Diari Musafir 4: (Ramadhan Karim!)

RaudhatulQalbi: Diari Musafir 4: (Ramadhan Karim!)

Diari Musafir 4: (Ramadhan Karim!)

Kedatangannya dinantikan, ketiadaannya dirindukan, pemergiannya ditangiskan….Ahlan Wasahlan syahru Ramadhan…Ramadhan bulan keberkatan, Ramadhan bulan keampunan, Ramadahan bulan kerahmatan, segala-galanya hadir bersamamu ya, Ramadahan..dititipkan malam Lailatulqadar, hadiah bagi hambaNya yang beriman…Tidak ghairahkah kita dengan pakej yang dijanjikan Tuhan? Ayuh, tekadkan niat..yang keruh kita jernih-jernihkan, yang tawar kita manis-maniskan, yang hambar kita ceria-ceriakan…segalanya dengan amal kebaikan, segalanya dengan tunduk dan patuh pada perintah tuhan. Yang telah berlalu, jadikan iktibar, yang bakal ditempuh pastikan menjadi wadah menuju syurga tuhan. Jangan biarkan bulan ini berlalu tanpa membuat bekalan. Oleh-oleh untuk meraih syurga Tuhan...!
* * * * * * *
Berpusu-pusu jemaah dari kariah berdekatan menuju ke Rumah Allah. Masing-masing tidak mahu ketinggalan meraikannya dengan solat sunat tarawikh berjemaah. Dari dewasa, remaja sehingga anak-anak kecil, bersama-sama memeriahkan rumah tuhan. Inilah Antara hikmah bulan Ramadahan. Pengukuh tali persaudaraan. Malam pertama Ramadhan, ahli bait Raudhah turut ke surau hijau bagi menunaikan solat sunat tarawikh berjemaah. Kesempatan ini diambil sama seperti tahun-tahun sebelum. Selain dapat solat berjemaah, peluang itu dimanfaatkan untuk berkenalan dengan jemaah muslimat yang hadir. Kelihatan ramai jemaah muslimat yang memenuhi ruang solat bahagian muslimat. Malah masih ada yang berdiri, termasuklah kami yang hanya terlewat beberapa saat sebelum waktu isyak. Mungkin seawal solat maghrib lagi mereka sudah menunggu. Setelah solat maghrib dirumah, barulah kami bergerak ke surau. Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki memandangkan jarak dari rumah ke surau hanya memakan masa 3 minit sahaja. Selesai azan isyak, dan iqamah, masing-masing bersiap siaga mengambil tempat. Ukhti Nurul dan Jannah memilih sudut yang berhampiran dengan kipas. Aku turut membututi mereka.’ Suasana yang selesa membuahkan solat yang kusyuk’, fikirku sejenak. Saat aku melangkah ke arah mereka, lantas pandanganku tertancap pada raut wajah yang amat aku kenali. Mata kami bertentangan. Lalu masing-masing menguntum senyuman. Sedekah itu sama-sama kami hulurkan. Kak Solehah, aku bergegas kearahnya. Tangan kami bertaut erat, sejurus itu kami berdakapan melepaskan rindu yang sarat didada. Hatiku gerimis seketika, betapa kecilnya dunia. Berkat doa kami, akhirnya Allah pertemukan kami di RumahNya dalam keberkatan Ramadhan yang mulia. Kak Solehah adalah naqibahku sewaktu di matrikulasi dahulu. Bagiku ilmu agama yang dimiliki kak solehah cukup mantap, sehingga mampu membawa hujah berdasarkan dalil alquran dan hadis. Fasih hafalannya. Namun kecintaannya pada ilmu tidak pernah pudar. Keakraban kami, menyebabkan kak solehah memilihku untuk menemaninya mendalami ilmu agama. Biasanya Semester Break kami, dihabiskan untuk mengaut ilmu agama di pondok-pondok yang menjadi pilihan. Pernah sekali, destinasi kami ke madrasah tahfiz yang terletak di utara semenanjung. Hatiku tersentuh melihat anak-anak kecil seusia anak saudaraku, sudah diasuh untuk menghafaz Kalamullah. Seawal usia 3 tahun. Sudah mengenal huruf-huruf hijaiyyah. Masuk 5 tahun sudah mula menghafal alQuran. Berakhlak mulia persis akhlak Rasulullah. Semuanya hasil didikan Ummi dan Abi (ustaz dan ustazah). Seandainya aku punya cahaya mata kelak, akan kugilap menjadi durrah yang bersinar. Sesungguhnya cabaran masa hadapan lebih sukar diduga. Jika tidak di adun dengan baik, masakan menjadi hidangan yang enak. Begitulah zuriat kita. Walaupun lahirnya ibarat kain putih yang bersih, jika tidak dicorakkan dengan sempurna, akan terpalit seribu satu warna yang entah apa-apa. Doa anak-anak yang soleh akan didengari oleh Allah. Seharusnya kita berlumba-lumba mendidik dan mentarbiyyah mereka menjadi insan soleh.Akhirnya aku mengisyaratkan pada ukhti Nurul untuk mengambil tempat disisi kak Solehah. Selesai solat isyak, zikir dan doa secukupnya, imam meneruskan dengan solat sunat tarawikh. Entah mengapa tiba-tiba hatiku kembali gerimis. Saat itu, aku merasakan betapa syukurnya aku dengan nikmat tuhan, kerana sekali lagi diberi kesempatan berada di bulan penuh barokah ini. Imam mengalunkan ayat-ayat suci alQuran, ku cuba mentadabburi sekadar yang termampu. Tanpa sedar air jernih perlahan-lahan mengalir di pipiku. Betapa aku sedar, aku ini insan kerdil, berselirat dosa-dosa yang belum terungkai. Dosa hati, dosa anggota, pancaindera dan semuanya.....pernah melakukan dosa...
"...Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”. Al-Baqarah: 284-286
Usai solat, semua jemaah bersalam-salaman. Pertemuan dengan kak solehah merupakan anugerah berharga buatku. Dia kesini melawat ibu saudaranya yang bermastautin di Kampung Pak Toya. Setelah tiga tahun berpisah kami jarang-jarang berhubung melalui telefon. Mungkin kesibukan yang membataskan. Tidak lupa, ku jemput kak solehah berkunjung kerumah sewaku. Namun dia perlu pulang ke Kuala Lumpur esoknya atas urusan keluarga. "Mungkin lain kali, Insya Allah akak pergi, maaf ye”. Sikapnya yang menyenangkan tidak pernah berubah. Kami berpisah setelah dia kuperkenalkan kepada ahli bait raudhah. Ku harapkan ada lagi pertemuan selepas ini. Semuanya atas keizinanNya jua....

Bicara hati: Mungkinkah kan kutemui lagi Ramadhan akan datang?

Isnin, 10 September 2007

Diari Musafir 3: (Syukur)

Mega-mega senja kelihatan kemerah-merahan di kaki langit, malam mula melabuhkan tirainya. Kelihatan wajah dunia sedikit kelam, namun masih terpalit warna-warna ceria menghiasi kanvas alam. Mentari perlahan-lahan membenamkan dirinya pada hamparan lautan. Sinarannya yang masih berbaki tampak indah sekali. Dihiasi suara Ombak mendesirkan zikir, burung-burung berterbangan pulang sambil berzikir, seluruh isi alam punya cara tersendiri membisikkan zikir pada sang Pencipta. Lantas hatiku juga turut berzikir. Subhanallah! indah nian panorama alam ini, sejenak aku terpaku pada kehalusan ciptaan Illahi. Kesempatan ini kuambil untuk bertafakur dan bersyukur di atas nikmat tuhanku.

"Sesungguhnya pada pergantian malam dan siang, dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, pasti terdapat tanda-tanda (kebesaranNya) bagi orang-orang yang bertakwa”. Yunus: 6

* * * * * *
Selesai solat maghrib, ahli bait Raudhah berkumpul bagi pengisian kuliah maghrib. Malam ini giliran uhkti Aini menyampaikan kuliah. Sekilas pandanganku tertumpu pada buku berwarna biru digenggamannya. ’ Jalan Menuju Syurga’ tertera di kulit buku tersebut. Menarik. Buku karangan Al-Habib Alwy Al-Haddad, merupakan antara karya yang menjadi koleksi peribadiku. Ulasannya ringkas dan mudah dihayati. Syukur menjadi tajuk pilihan. Ukhti Aini mengulas penuh penghayatan. Bait-bait kalimah disusun serapi mungkin, moga apa yang disampaikan terkesan dijiwa sahabiah arRaudhah.
"Erti syukur adalah pengakuan seorang hamba terhadap segala nikmat pemberian Tuhannya sama ada nikmat zahir atau batin, sebagai tanda hormat dan berterima kasih atas segala kurniaanNya. Sebagai hambaNya yang taat, mesti sentiasa ada rasa bersyukur. Tidak kira di mana jua kita berada, kita dianjurkan untuk menyanjungiNya dengan kalimah tauhid, meyemarakkan jiwa dengan kalimah syahadah. Menyirami hati yang tandus dengan siraman zikrullah. Raikan cinta kepada Rabb bersama kalimah hamdalah serta bertasbih dan bertahmid. Puncak syukur pula apabila seorang hamba menempatkan segala nikmat sesuai pada tempat yang dicintaiNya, yakni dengan memanfaatkan nikmat untuk taat beribadah, akan terasa betapa manisnya perjalanan ibadah tadi. Seandainya Allah uji kita dengan sakit mata misalnya, sudah tentu terasa perit dan berat pula sewaktu sujud. Waktu itu terasa betapa berharganya masa sihat. Boleh berlama-lama sujud pada Allah, kerana itulah saat hampirnya kita kepada Allah. Ibadah diwaktu sakit mungkin tidak dapat dihayati sepenuhnya lantaran terpaksa menanggung kesakitan pula. Jangan apabila musibah melanda, kita berpaling daripada Allah. Menafikan keadilan Allah serta tidak mahu berlapang dada dengan takdir Allah. Walau apa jua ujian yang Allah sandarkan pada kita, harus juga bersyukur. Kerana dengan ujian jugalah Allah mentarbiyyah Hambanya. Allah membuka seluas-luasnya jalan ke syurga bagi hamba yang sentiasa bersyukur dan berbaik sangka dengan takdir Allah.”
Terasa larut dengan penyampaian penuh hikmah Ukhti Aini. Kalbuku kembali disirami nur hikmah. Medan ilmu santai seperti ini ku harapkan akan berterusan. Walau sesibuk manapun kita bergelar pelajar. Santapan rohani perlu ada. Jika jasmani perlukan makan dan minum untuk meneruskan kehidupan. Jiwa kita juga begitu, perlu disuap dengan menu rohani. Barulah jiwa akan sentiasa hidup untuk menghadapi cabaran yang mendatang dan sentiasa kembali kepada Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Sejurus selepas kuliah maghrib berakhir, azan isya’ bersahut-sahutan dari masjid-masjid berdekatan. Saf diluruskan. Ukhti Aini mengimami solat isya’. Suria, saida, Ukhti nurul,jannah, hanan dan aku kembali bertaut bahu bersiap siaga untuk solat. Allahuakbar. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata hanya untuk Allah seru sekalian alam...

Ahad, 9 September 2007

Diari Musafir 2 (Ujian)

Minggu ini merupakan minggu ujian bagi pelajar yang mengambil subject services marketing. Aku punya tiga hari untuk persediaan menghadapi ujian tersebut selepas masa dan tempat diconfirmkan oleh miss Ariana. Dalam masa tiga hari itu juga aku terpaksa menghadiri program yang telah disusun oleh fakulti. Sudah lumrah bagi insan pelajar, komitmen belajar dan berlibur perlu dicanai sebaiknya. ’Moga tidak ada yang terlebih untuk perkara yang tidak penting dan terkurang bagi perkara yang penting. Perkara yang terpenting perlu diaulakan daripada perkara yang penting’. Kata-kata ayah kusemat sentiasa di hati. Kemudian ayah menambah, sesibuk mana sekalipun kamu dengan urusan dunia, solat jangan sekali kamu lengahkan. Letakkan akhirat di hati dan dunia di tanganmu, nescaya segala pekerjaanmu dipimpin olehNya. Beruntunglah bagi sesiapa yang mengharapkan redha Allah bagi kehidupannya...
Aku hanya berkesempatan menela’ah pada waktu malam setelah siangnya penat berprogram. 2 malam berturut-turut aku cuba menghabiskan bab yang masuk. Masuk malam yang terakhir, masih berbaki 2 bab yang belum aku sentuh. Selesai solat isya’, dan membaca beberapa ayat-ayat suci alquran, aku kembali menghadap textbook services marketing, people, technology, strategy, sixth editions. Usai menela’ah satu bab, terasa kepalaku begitu berat. Urat-urat disekitar mata dan dahi berdenyut-denyut. Pandanganku kian kabur. Aku cuba melawan rasa sakit yang datang tiba-tiba. Aku perlu menghabiskan 1 bab lagi dengan harapan dapat menghadamnya dengan baik, supaya cukup persediaan untuk menempuh ujian nanti. Namun aku tak terdaya. Botol mineral water yang diisikan semula dengan air putih, aku capai perlahan. Tanganku ligat mencari ubat yang sekian lama menjadi temanku disaat-saat begini. Aku membuka drawer hijau kecil bertingkat di sudut kiri meja tulisku. Kelihatan botol kecil bewarna putih, segera aku ambil dan memulas penutup botol tersebut. Hampa. Isinya kosong!. Migrain yang meyerang sesekali dalam tempoh sebulan, membuatkan aku lupa memesannya dari sahabatku, Nik. Jika dahulu, aku menahan kesakitan setelah menelan ubat yang diberikan oleh doktor. Terasa amat berkesan. Namun selepas itu, sakit kepalaku kian galak bertamu tidak kira waktu. Mungkin tidak serasi. Alhamdulillah, akhirnya aku diperkenalkan oleh Nik ubat yang diadun sendiri oleh ayahnya. Ramuan herba terpilih. Sejak aku mengamalkan ubat tersebut, migrainku beransur pulih dengan izin Allah yang Maha Pengasih. Jika ada pun sebulan sekali atau langsung tidak sakit jika jarang terkena panas matahari. Saat ini, terpaksa aku bergelut kembali, mungkin aku meredah bara mentari siang tadi. Perjalanan dari kampus kerumah sewaku memakan masa hampir 20 minit, jika berjalan kaki. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur. Dalam kesakitan yang teramat, aku cuba melelapkan mata sambil bibirku basah membisikkan kalimah zikrullah. Namun kekacauan dijiwa belum dapat kuusir jauh. Segera aku beristighfar dan kembali membaca beberapa doa yang diajar oleh ayahku. Kucuba tenangkan hati, kupujuk dengan untaian kalamullah, agar hati ini dapat menerima ia sebagai satu ujian kecil daripada Allah Ta’ala. Tafsir usang yang tersusun rapi di rak, ku ambil lalu aku letakkan didada. ”ya Allah tunjukkan hambamu jalan untuk merungkai kekalutan dijiwa ini”. Tafsir kubuka perlahan, mataku tepat pada ayat 153 surah al-Baqarah.

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

Airmataku merembes perlahan membasahi pipi. Maha pengasih dan penyayangnya Tuhan. Dia hadirkan penawar disaat hati ini digugat keresahan. Aku perlu tabah, aku perlu mengumpul kekuatan dan selautan kesabaran, kerana kelak aku akan menghadapi hari yang lebih besar ujiannya. Hari kebangkitan yang amat dasyat. Bersabarlah wahai hati, sesungguhnya Allah akan bersamamu...

Sabtu, 8 September 2007

Diari musafir 1 : (Mujahadah)

Kuliah malam ini tidak seperti hari-hari sebelum. Fikiranku menerawang jauh. Tidak bermaya. Mungkin keletihan berprogram dari pagi kepetang. Minggu ini merupakan minggu pengurusan pemasaran, fakulti pengurusan ekonomi. Banyak aktiviti yang menuntut penyertaan dari pelajar pengurusan khususnya. Bagiku aktiviti fakulti kali ini terasa sedikit hambar. Aku kembali mengalihkan tumpuan kepada Dr yang berasal dari Ireland itu. Sesekali fikiranku cuba menangkap apa yang disyarahkan Dr. Almond, kurang jelas. Kuliah sambungan topik bagi kelas sebelum ini. Atas alasan menghadiri program jugalah, aku gagal menghadiri kuliah tersebut. Mungkin asyik mendengar ceramah, aku langsung tidak sedar ada mesej yang masuk. Sebelum itu aku difahamkan kelas dibatalkan, namun disaat-saat akhir Dr berubah fikiran. Mungkin kesibukannya selepas ini, menyukarkan dia untuk mengadakan kelas ganti. Rakan sekuliahku setia bertindak sebagai informer jika terdapat sebarang arahan baru. Sedar-sedar 1 message received, tertera diskrin handsetku yang usang. Aku mengamati nama pengirim dan ternyata dari lauren menyampaikan arahan Dr.Al. Aku terlewat satu jam lebih untuk ke kuliah. Akhirnya aku memutuskan agar terus tidak hadir ke kuliah dua jam itu. Sedikit sebanyak hatiku kecewa dengan tindak-tandukku. Kalau subjek accounting buat macam ni alamat kena repeat la. Entah mengapa setiap kali aku gagal menghadiri kuliah, hatiku tak menentu. Teringat kata-kata amir sewaktu di matrikulasi tiga tahun yang lalu, pergi kuliah bukan semata-mata nak memenuhi syarat mengambil exam, tapi perlu kepada niat yang ikhlas untuk menuntut ilmu Allah. Semua ilmu yang ada didunia ini milik Allah. Sedetik itu kalamullah bergema dibenakku;

” Seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula”. Al-kahfi: 110

Subhanallah, tidak terhitung ilmu Tuhanku. Sungguh sempurna!.

Aku tanam tekad dan azam, kuliah malam ni, sekurang-kurangnya mesti hadam satu dari sepuluh pun jadilah, daripada kosong!. Kalimah ta’awudz bergetar dibibirku, agar dijauhkan dari gangguan iblis laknatullah. Aku kumpul sedaya mungkin perhatian untuk ditumpahkan kepada ilmu Allah ini. Alhamdullillah setengah jam berlalu, memberi input berguna buatku. Sepert biasa Dr. Al membenarkan pelajarnya take five untuk rehat seketika. Dr. Almond lebih gemar membiasakan dirinya di gelar Dr. Al. Menurutnya ada kenangan manis yang bisa mengingatkan dirinya kepada ibu tercinta. Dia dilahirkan di Belfast, Northern Ireland. Ibu adalah segala-galanya setelah ayahnya meninggal ketika dia di alam rahim. Anak tunggal itu akhirnya menjadi sebatang kara setelah ibunya menurut jejak ayahnya. Ketika itu Dr. Al baru sahaja tamat mengikuti PhDnya. Namun dia puas kerana berjaya membuat ibunya gembira sehingga menitiskan airmata sebelum akhir hidupnya. Aku akui Dr. Al seorang yang tabah dan tidak pernah mengaku kalah untuk berjaya.Lagaknya bersahaja dan sedikit tegas. Namun sesekali pecah perut juga apabila berjenaka. Sikap itulah membuatkan pelajarnya senang mendampinginya. Sesi kuliah berakhir tepat jam 10 malam. Nekad bermujahadah, terhimpun seribu hikmah, aku tersenyum puas, akhirnya. Semoga ilmu ini Allah kekalkan di dada buat bekalan bermusafir di bumi Tuhan!

Kewajipan Menutup Aurat

Kewajipan Menutup Aurat
An Nuur: 31 » Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari mereka.Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (QS. 24:31)

Ikut al-Quran & Sunnah

Ikut al-Quran & Sunnah
An Nisaa': 59 » Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(-Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. 4:59)

Nasihat

Nasihat
Al 'Ashr: 3 » kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran. (QS. 103:3)

Jangan Bersedih

Jangan Bersedih
Ali 'Imran: 153 » (Ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada seorangpun, sedang Rasul yang berada di antara kawan-kawanmu yang lain memanggil kamu, karena itu Allah menimpakan atas kamu kesedihan atas kesedihan, supaya kamu jangan bersedih hati terhadap apa yang luput dari pada kamu dan terhadap apa yang menimpa kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. 3:153)

Islam Seluruhnya

Islam Seluruhnya
Al Baqarah: 208 » Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaithan. Sesungguhnya syaithan itu musuh yang nyata bagimu. (QS. 2:208)